Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul dan Elle Afiza
PENGENALAN
Akar kepada penglibatan wanita dalam aktiviti militansi dan terorisme sudah dikesan berlaku sejak beberapa dekad yang lalu. Sebagai contoh pada tahun 1878, Vera Zasulich seorang politikal aktivis di Rusia telah menembak mati Gabenor St Petersburg, Fedor Trepov yang memperlakukan tahanan politik dengan kejam. Zasulich dengan bangga menyebut dirinya ‘saya adalah teroris – bukan pembunuh’. Pada tahun 1973, di Ireland Utara, dua orang wanita iaitu Marian dan Dolores Price telah melakukan aksi pengeboman yang telah mencederakan 216 orang sedangkan aksi sebegini lazimnya dilakukan oleh golongan lelaki. Dewasa ini, beberapa insiden keganasan di Indonesia, Selatan Filipina dan Malaysia menunjukkan bahawa wanita juga turut menjadi pelaku dan aktor-aktor utama dalam melakukan aksi-aksi terorisme dengan alasan untuk menjadi seorang jihadis.
Sejak beberapa tahun yang lalu, beberapa insiden keganasan yang berlaku telah menunjukkan bahawa wanita kini tidak lagi berperanan di sebalik tabir atau menjadi sosok-sosok yang membantu kaum lelaki tetapi menjadi lebih dominan dengan bertransformasi menjadi pelaku atau aktor utama. Aksi radikalisme dan terorisme tidak lagi hanya menggengam semangat maskulin serta patriarki tetapi golongan wanita telah berselindung di sebalik pendekatan feminisme mereka. Seiring dengan perkembangan konflik kontemporari di pelbagai negara terutamanya dalam domain dunia Islam, penglibatan golongan wanita dalam aktiviti militan dan radikalisme seperti di Syria, Iraq, Chechnya, Selatan Filipina, Indonesia dan Malaysia telah memasuki dimensi baru yang perlu diberi perhatian.
Walaupun senario terkini memperlihatkan seolah-olah wanita ingin mencapai satu bentuk kesamarataan gender dengan menggunakan alasan bahawa mereka juga berhak mendapat ‘pahala’ yang setara seperti golongan lelaki, namun tanpa disedari bahawa penglibatan dan kemampuan golongan wanita dalam aktiviti keganasan dan militansi sebenarnya masih dimanfaatkan, dimanipulasi dan dieksploitasi oleh jihadis lelaki. Walaupun golongan wanita menjadi pelaku keganasan, namun secara hakikatnya mereka tetap menjadi korban dan mangsa dari kekeliruan, kenaifan dan ketidakberdayaan yang dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu demi kelangsungan perjuangan mereka.
PERANAN WANITA DI DALAM ORGANISASI MILITAN DAN PENGGANAS
Golongan wanita di dalam organisasi militan atau pengganas memikul tanggungjawab dan mempunyai peranan yang hampir sama sepertimana rakan seperjuangan anggota lelaki bagi memastikan kemampanan sesebuah organisasi pengganas. Antara peranan dan fungsi wanita adalah termasuk:
- Menjadi fasilitator.
- Menguruskan sumber dana.
- Menyebarkan propaganda dan naratif pengganas di internet serta media sosial.
- Mengumpul maklumat risikan untuk organisasi.
- Menguruskan hal ehwal kebajikan organisasi.
- Melatih anggota wanita.
- Merekrut anggota baharu khususnya wanita dan kanak-kanak perempuan.
- Melakukan serangan keganasan seperti menjadi ‘pelaku suicide bomber’, serangan bersenjata, rampasan pesawat, pembunuhan, sabotaj dan sebagainya.
MENGAPA GOLONGAN WANITA TERLIBAT DALAM DOMAIN MILITAN DAN TERORISME
Sebenarnya tidak ada satu alasan tunggal untuk menerangkan fenomena penglibatan wanita dalam domain keganasan. Ia banyak bergantung kepada situasi, kondisi dan konteks seseorang individu itu sendiri. Namun, dapat dirumuskan bahawa wanita yang terlibat dengan aktiviti militan dan keganasan adalah disebabkan dorongan beberapa faktor penyumbang seperti berikut:
Faktor Peribadi. Faktor ini berhubungkait dengan tekanan peribadi yang dihadapi oleh wanita yang membawa kepada penyertaan mereka di dalam organisasi militan dan pengganas ataupun menjadi seorang symphatiser. Tekanan peribadi yang dihadapi berpunca daripada peristiwa hitam yang pernah dialami seperti gangguan seksual, dendam, penindasan, diskriminasi, kematian suami, kegagalan perkahwinan dan keganasan rumahtangga. Segelintir wanita yang berhadapan dengan situasi ini mengambil keputusan menyertai kumpulan militan dan pengganas bagi menebus maruah diri atau menuntut bela terhadap kehilangan mahupun kematian orang yang tersayang seperti suami dan anggota keluarga. Terdapat juga dalam kalangan mereka terjebak dengan organisasi pengganas disebabkan faktor sense of belonging kerana mengikut dan menjadi pendamping kepada suami yang menyertai perjuangan sesuatu kumpulan. Ada juga beberapa case study menunjukkan bahawa beberapa orang wanita yang belum berkahwin sebenarnya terjerat dan terperangkap dengan ilusi sebuah Negara Khilafah yang ideal dan ingin menjadi isteri kepada mujahid-mujahid demi mendapatkan ganjaran syurga.
Faktor Ekonomi. Faktor kemiskinan dan pengangguran yang diwarisi berpotensi mendorong kaum wanita untuk menyertai gerakan bersenjata dan militan sepertimana anggota wanita yang menyertai Revolutionary Armed Forces of Colombia People’s Army (FARC) di Colombia. Insentif wang dan jaminan perlindungan daripada organisasi malahan kebajikan mereka juga turut terbela menjadi faktor motivasi untuk mereka menyertai kumpulan ini. Dalam kebanyakan keadaan, golongan wanita tidak mempunyai banyak pilihan dalam hidup mereka melainkan menyertai sahaja kelompok yang boleh menjanjikan keselamatan dan kelangsungan hidup mereka.
Kesamarataan Gender. Gender equality juga menjadi satu faktor penarik untuk golongan wanita menyertai organisasi militan dan pengganas. Organisasi FARC dan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) antara contoh organisasi militan yang memberi peluang kepada anggota militan wanita menjadi anggota kanan dan mengetuai gerakan sayap masing-masing dalam melakukan operasi keganasan. Dalam konteks kumpulan Daesh dan Jamaah Ansharut Daulah (JAD), golongan wanita ingin mendapat ganjaran ‘pahala’ yang setara dengan golongan lelaki tanpa memahami konteks ajaran agama berkaitan kesamarataan gender.
Semangat Nasionalisme dan Etno-Nasionalisme. Diskriminasi terhadap golongan minoriti di sesebuah negara berpotensi membawa kepada kemunculan sesebuah gerakan militan yang boleh disertai oleh kaum wanita. Sebagai contoh, penyertaan seramai 4000 anggota wanita Tamil di dalam organisasi LTTE yang menyokong pembentukan sebuah wilayah autonomi untuk komuniti Tamil di Sri Lanka menjadi bukti bahawa golongan wanita juga mempunyai semangat nasionalisme dan perjuangan atas nama agama yang sangat kuat. Apabila naratif ini berjaya digarap dengan baik, ia mampu menarik golongan wanita untuk menyertai sesuatu organisasi tersebut.
Ideologi Ekstrem. Golongan wanita juga menyertai kumpulan ekstremis, radikal, militan dan teroris atas kepercayaan mereka terhadap sesuatu doktrin atau ideologi. Sebagai contoh, segelintir golongan wanita menyertai kumpulan pengganas seperti Daesh, JAD dan Al Qaeda adalah kerana terpengaruh dengan ideologi Salafi Wahabi dan Salafi Jihadi. Manakala ideologi kumpulan ekstremis bukan Islam seperti Fasisme, Neo-Nazi dan white supremacist turut menjadi tarikan kepada golongan wanita berkulit putih di Eropah. Sokongan mereka terhadap perjuangan ini dilihat mampu kekal lama berbanding lelaki. Gerakan fasisme yang mempunyai pengaruh Nazisme dan White Supremacy masih menjadi pencetus kepada sentimen Islamofobia dan xenofobia yang bersikap anti-imigran di AS dan Eropah.
WANITA SEBAGAI PELAKU SERANGAN DI DALAM INSIDEN-INSIDEN SIGNIFIKAN
Insiden-insiden signifikan yang melibatkan golongan wanita di dalam aktiviti militan dan keganasan adalah seperti berikut:
Leila Khaled -PFLP. Insiden rampasan sebuah pesawat oleh seorang pejuang wanita bernama Leila Khaled yang menganggotai kumpulan militan Palestin, Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP). Wanita ini dan rakannya, Salim Issawi, telah melakukan tindakan merampas pesawat Trans World Airlines (TWA) Flight 840 di Lapangan Terbang Leonardo Da Vinci Rome, Itali yang berangkat ke Tel Aviv, Israel pada tahun 1969. PFLP adalah sebuah gerakan militan berhaluan kiri dan nasionalisme Palestin yang anti-Israel.
Sana’a Mehaidii – SSNP. Insiden signifikan yang kedua adalah membabitkan seorang pengebom bunuh diri wanita pertama daripada gerakan militan nasionalisme Palestin, Syrian Social Nationalist Party (SSNP) iaitu Sana’a Mehaidii. Remaja perempuan berusia 16 tahun ini telah melakukan serangan bunuh diri yang mensasarkan konvoi Israel di Jezzine, Lubnan pada tahun 1985.
Thenmozi Rajartnam @ Dhanu -LTTE. LTTE memiliki skuad bunuh diri wanita yang digelar sebagai Black Tigresses bagi melakukan operasi serangan bunuh diri di Sri Lanka. Namun, serangan bunuh diri yang paling signifikan dikaitkan dengan penyertaan wanita di dalam LTTE adalah insiden pembunuhan Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 21 Mei 1991. Seorang penyerang wanita LTTE dikenali sebagai Thenmozi Rajartnam @ Dhanu telah melakukan serangan bunuh diri menggunakan RDX explosive belt mensasarkan PM India tersebut sehingga mengakibatkan 16 orang maut termasuk penyerang dan PM Rajiv Gandhi. Penyertaan Dhanu di dalam LTTE berpunca daripada peristiwa hitam yang dialaminya sebagai mangsa rogol oleh Indian Peacekeeping Force.
Black Widow. Black Widow @ Shahidka merupakan sebuah skuad bunuh diri yang disertai anggota wanita bagi gerakan militan Chechen iaitu Special Purpose Islamic Regiment (SPIR) @ Al-Jihad Fi-Sabililah Special Islamic Regiment. Pada 23 Oktober 2002, gerakan ini bertanggungjawab di dalam krisis tebusan di Dubrovka Theatre di Moscow, Russia. Gerakan ini yang pada ketika itu berkekuatan lebih 40 anggota termasuk penglibatan seramai 19 anggota wanita telah menahan seramai 850 orang tebusan dan mengugut untuk melancarkan serangan bunuh diri di dalam auditorium tersebut. Tindakan ini dilakukan bertujuan untuk menuntut sebuah wilayah autonomi dan mendesak Tentera Rusia berundur dari wilayah Chechen. Black Widow ditubuhkan untuk membalas dendam terhadap kematian suami dan saudara lelaki pejuang wanita Chechen semasa dalam konflik bersenjata di Chechya di antara Tentera Rusia dan pemberontak Chechen pada tahun 90an. Penglibatan segelintir wanita Chechen di dalam gerakan ini juga berpunca daripada pengaruh ideologi Salafi Wahabi dan Al Qaeda.
Daesh @ ISIS. Trend penyertaan wanita di dalam rangkaian militan Daesh masih berlaku sehingga ke hari ini. Antara faktor pendorong mereka menyokong Daesh adalah kerana terpengaruh dengan konsep jihad, ingin mencapai mati syahid dan keninginan untuk berhijrah ke Khilafah Islamiyah di Syria serta Iraq yang mana mereka dijanjikan dengan kehidupan yang lebih mulia dan lebih Islamik berbanding negara asal mereka. Antara naratif yang berjaya menarik sokongan wanita untuk berhijrah ke Syria sebelum ini adalah naratif jihad untuk melahirkan generasi baharu yang akan menerajui Khilafah Islamiyah di Syria. Penglibatan wanita di dalam rangkaian Daesh tidak hanya menjaga hal ehwal kebajikan jihadis ataupun pejuang militan ini tetapi mereka turut berperanan di dalam menyebarkan propaganda Daesh di laman sosial. Namun, setelah kekalahan Daesh di Syria dan Iraq pada tahun 2017, golongan wanita kini telah dikerah untuk menyertai medan perang bagi mengisi kelompongan organisasi Daesh disebabkan kematian yang tinggi dalam kalangan anggota lelaki. Pengikut wanita Daesh di luar Syria dan Iraq juga digesa melancarkan serangan lone wolf di negara masing-masing sekiranya tidak berhijrah. Contohnya, serangan lone wolf menggunakan rifle di Mabes Polri di Jakarta Selatan oleh seorang pengikut wanita Daesh di Indonesia bernama Zakiah Aini pada 31 Mac 2021.
Jamaah Ansharut Daulah (JAD). Penyertaan wanita di dalam organisasi JAD bermula dengan penglibatan pasangan ataupun suami di dalam JAD. Mereka dimanipulasikan dengan konsep mati syahid yang menyebabkan mereka nekad untuk melakukan serangan keganasan ke atas pihak berkuasa dan orang bukan Islam di Indonesia. Antara serangan keganasan signifikan yang melibatkan penyerang wanita JAD adalah serangan bunuh diri di sebuah gereja di Surabaya pada tahun 2018. Wanita terbabit iaitu Puji Kuswati merupakan isteri kepada anggota JAD, Dita Upriyanto yang mana mereka turut membawa empat orang anak mereka untuk melakukan serangan bunuh diri di Gereja Pantekosta Surabaya-GPPS, Gereja Kristen Indonesia-GKI dan Gereja Katolik Santa Maria di Surabaya. Hasil siasatan mendapati bahawa sebelum melakukan serangan tersebut, Puji Kuswati terlebih dahulu telah memuatnaik posting ‘kehidupan selepas kematian’ di akaun Facebooknya.
Selatan Filipina dan Fenomena Foreign Terrorist Fighters (FTF). Insiden serangan bunuh diri di Gereja Our Lady of Mount Carmel di Jolo, Selatan Filipina pada 27 Januari 2019 mendedahkan tindakan nekad oleh penyerang-penyerangnya iaitu seorang wanita Indonesia, Ulfah Handayani Saleh dan suaminya, Rullie Rian Zeke. Kedua-duanya adalah merupakan FTF dari Indonesia. Punca kedua-duanya sanggup melakukan serangan bunuh diri adalah kerana tertarik dengan naratif jihad dan mati syahid yang dipropagandakan oleh JAD serta Daesh. Dalam konteks Selatan Filipina, rangkaian Kumpulan Abu Sayyaf (KAS) kini giat merekrut golongan wanita untuk menjadi ‘suicide bomber’ terutamanya dari kalangan warga asing bertujuan untuk membalas dendam keatas kematian anggota mereka dalam operasi pasukan keselamatan Filipina. Malah, dua orang lagi anak perempuan mereka iaitu Rezky Fantasya Rullie @ Cici (18 tahun) dan Siti Aisyah Rullie @ Maryam Israni (14 tahun) juga turut berjuang serta terlibat dengan KAS. Kedua-duanya pernah merancang untuk melakukan serangan bunuh diri bersama dengan balu-balu KAS bagi membalas dendam terhadap kematian suami mereka yang terbunuh di dalam operasi keselamatan di Selatan Mindanao.
PENGLIBATAN WANITA MALAYSIA DENGAN AKTIVITI MILITAN DAN PENGGANAS
Berdasarkan statistik rekod PDRM, sejak tahun 2013 hingga 2018 terdapat 43 orang wanita telah terlibat dengan aktiviti ekstremisme dan terorisme di Malaysia. Kes pertama melibatkan gender wanita di Malaysia dan telah didakwa di mahkamah awam ialah Ummi Khalsom Bahak berumur 25 tahun yang cuba mengambil penerbangan ke Brunei seterusnya ke Turki untuk memasuki Syria dengan hasrat untuk berkahwin dengan pejuang Daesh yang dikenalinya melalui media sosial.
Antara kes-kes signifikan melibatkan penyertaan wanita tempatan di dalam aktiviti keganasan yang menyalahi undang-undang adalah seperti berikut:
Berkahwin Dengan Anggota Pengganas Dalam Talian. Pada tahun 2014, seorang doktor wanita tempatan dilaporkan berkahwin dengan anggota militan Daesh dan berhasrat berhijrah ke Syria. Kedua-duanya saling mengenali di antara satu sama lain menerusi sebuah laman sosial. Wanita terbabit juga dikatakan cuba mempengaruhi wanita tempatan untuk menyertai militan Daesh menerusi laman sosial Facebook ‘Diary of a Muhajirah’.
Melindungi Anggota Militan Daesh. Pada tahun 2015, seorang wanita yang juga seorang kerani telah ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 130K(a) kerana melindungi suaminya yang menganggotai militan Daesh untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan dalam peperangan di Syria.
Cubaan Melakukan Serangan Semasa PRU14. Seorang wanita tempatan yang merupakan suri rumah telah ditahan pada tahun 2018 di Kuala Lumpur kerana berhasrat melakukan serangan merempuh menggunakan kenderaan ke atas orang awam yang keluar mengundi semasa PRU14.
Berhijrah Ke Syria Untuk Menyertai Militan Daesh. Seorang penuntut wanita dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah ditahan di KLIA pada tahun 2017 kerana berhasrat untuk berhijrah ke Syria untuk berjihad dan mati syahid dengan menyertai militan Daesh. Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 130JA kerana kesalahan tersebut.
Wanita Memiliki Bahan Bacaan Berkaitan Kumpulan Militan. Seorang penuntut wanita daripada universiti tempatan telah ditahan pada tahun 2016 dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 130JB(1)(a) kerana memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas.
RUMUSAN
Antara analisa dan penilaian berhubung aspek penglibatan wanita di dalam aktiviti militan dan keganasan adalah seperti berikut:
Emansipasi Wanita Di Dalam Gerakan Militan dan Pengganas Sebagai Alat Propaganda. Golongan wanita menyokong organisasi militan dan pengganas sebagai satu cara untuk mengekspresikan pandangan dan kebebasan hak bersuara wanita yang ingin melakukan pembaharuan atas tiket untuk memperjuangkan hak asasi golongan minoriti, menegakkan sebuah negara autonomi dan ingin berjihad. Segelintir wanita ini bersetuju dengan pendekatan keganasan dan kekerasan serta sanggup mengharungi risiko yang mengancam maruah dan keselamatan mereka demi memenuhi matlamat dan perjuangan organisasi militan dan pengganas. Hakikatnya, kesemua aspek ini kelak akan dijadikan sebagai propaganda dan naratif sesebuah organisasi untuk tujuan merekrut lebih ramai pengikut dan anggota baharu wanita ke dalam rangkaian mereka.
Penglibatan Wanita Memberikan Tactical Advantage. Penglibatan wanita dengan aktiviti militan dan keganasan sememangnya boleh memberi kelebihan kepada organisasi pengganas terutama dalam aspek melakukan serangan. Organisasi militan dan pengganas memanfaatkan kaum wanita untuk melancarkan serangan bunuh diri kerana ianya lebih mudah dan berkesan. Ini kerana modus operandi mereka sukar dikesan dengan mata kasar yang mana pergerakan mereka juga kurang mencurigakan pihak berkuasa. Penyerang wanita juga dilihat lebih kreatif dalam hal ini. Insiden cubaan serangan di Istana Presiden di Jakarta dan insiden serangan di Selatan Mindanao yang melibatkan pelaku wanita adalah contoh kreativiti dan modus operandi pengganas. Sebelum melancarkan serangan, mereka boleh menyimpan bahan letupan ataupun memakai jaket bom di dalam pakaian mengandung dan sebagainya. Kebanyakan kes serangan bunuh diri di checkpoints yang dikawal oleh pasukan keselamatan adalah melibatkan penyerang bunuh diri wanita yang berjaya melepasi halangan ataupun kawalan pemeriksaan sebelum meletupkan diri sendiri. Kumpulan Boko Haram turut mengeksploitasi kaum wanita yang diculik beramai-ramai untuk dijadikan human shield dan melakukan serangan bunuh diri yang mensasarkan orang awam mahupun PK Nigeria. Sehingga kini, lebih daripada 450 orang wanita telah terbunuh kerana melakukan serangan bunuh diri untuk Boko Haram di Timur Laut Nigeria.
Wanita Adalah Kumpulan Rentan Yang Menjadi Sasaran dan Mangsa. Golongan wanita adalah merupakan kelompok rentan (vulnerables groups) yang dianggap mudah untuk dimanipulasi kehidupan mereka hanya dengan memberikan erti kehidupan yang sebenar melalui ilusi yang indah dengan perjuangan yang utopia. Seiring dengan perkembangan teknologi, golongan wanita juga amat mudah direkrut kerana terdedah dengan pelbagai platform media sosial termasuk portal, blog dan chatroom yang memaparkan pelbagai naratif kumpulan ekstremis dan pengganas. Dalam konteks ini kumpulan pengganas dan militan memanfaat wanita dalam aspek publisiti untuk kelangsungan perjuangan mereka. Setiap tindakan pengikut atau anggota pengganas wanita akan mempengaruhi wanita lain bermula dari segi imej sehinggalah kejayaan sesuatu serangan keganasan yang dilakukan. Peranan media massa yang terus mensensasikan berita dan laporan serangan oleh penyerang wanita juga memberi mileage kepada organisasi militan dan pengganas untuk merekrut lebih ramai pengikut wanita. Selain itu, faktor kecanggihan teknologi dan alat komunikasi juga memberi kelebihan kepada rangkaian pengganas dalam aspek ini. Rangkaian militan Daesh dilihat masih dominan dalam menggunakan platform media sosial dan internet untuk merekrut pengikut wanita di ruang siber. Kebiasannya, recruiter Daesh ini akan menggunakan nama ataupun alias yang dimulai dengan ‘Ummu’ dan menyebarkan naratif yang mengagungkan pembentukan sebuah Khilafah, hijrah, jihad dan mati syahid kepada pengikut wanita lain.
Situasi dan Kondisi Politik Sentiasa Menjadi Pemangkin Kepada Ekstremisme. Situasi dan kondisi semasa politik yang tidak menentu di sesebuah negara sememangnya akan mempengaruhi serta menjadi pemangkin segelintir individu untuk menyertai pelbagai gerakan nasionalisme, etno-nasionalisme, anti-liberal, anti-kapitalis dan sebagainya kerana naratif dan sentimen anti-kerajaan mudah berkembang dalam komuniti. Dalam konteks ini, dengan capaian maklumat yang mudah, golongan wanita juga tidak ketinggalan bergerak aktif di dalam gerakan seumpama samada terlibat sebagai aktivis mahupun menjadi pendokong kepada kumpulan yang lebih ekstrem seperti gerakan berhaluan kanan, gerakan berhaluan kiri dan organisasi militan serta pengganas. Pada ketika ini, fenomena self radicalised adalah satu trend yang amat sukar untuk dijangka walaupun oleh agensi perisikan. Seseorang individu boleh menjadi ekstremis atau teroris hanya melalui pengaruh dari internet. Mereka tidak perlu menjadi ahli atau berbaiah kepada mana-mana kumpulan tetapi mereka melakukan serangan atas faktor inspirasi dan motivasi sahaja (motivation and inspiration over affiliation). Golongan wanita sebegini juga tidak teragak-agak akan mengambil tindakan ekstrem, keganasan dan membahayakan keselamatan orang awam demi jihad atapun memenuhi tuntutan serta perjuangan organisasi pengganas. Sebagai contoh, rancangan untuk membunuh beberapa pemimpin politik serta rancangan untuk melakukan serangan merempuh orang awam dengan menggunakan kenderaan oleh wanita tempatan di negara ini.
Legasi dan Ikatan Kekeluargaan. Tidak dinafikan bahawa tidak semua wanita ingin terlibat dengan jaringan keganasan. Penglibatan mereka pada kebiasaannya adalah disebabkan faktor ikatan kekeluargaan, persaudaraan mahupun perkahwinan. Dalam konteks ini jaringan dalam sesuatu kumpulan itu sebenarnya diwarisi menjadi legasi bukannya sesuatu yang mereka inginkan. Sesuai dengan fitrah seorang wanita yang mempunyai sifat kepatuhan dan taat pada suami, ayah serta keluarga, mereka meneruskan legasi keluarga yang terlibat dengan perjuangan. Senario ini amat mudah dilihat dalam kalangan kumpulan pengganas seperti Al Qaeda dan afiliasi mereka iaitu Jemaah Islamiyah (JI) bagi mengekalkan lineage dan kerahsiaan organisasi. Contohnya, Osama bin Laden berkahwin dengan seorang wanita daripada Kabilah Sana’a bernama Amal al-Sada untuk mengukuhkan kedudukan Al-Qaeda di Yaman. Seorang anggota JI, Ali Ghufron, mengahwini adik kepada anggota kanan JI iaitu Nasir bin Abas (Mantiqi 3) dan pengasas JI iaitu Abdullah Sungkar mengahwinkan dua anak perempuan tirinya kepada dua anggota JI, Ferial Muchlis dan Syawal Yassin.
PENUTUP
Penglibatan golongan wanita terutamanya daripada kalangan orang Islam dalam aktiviti militan dan pengganas adalah trend yang sangat membimbangkan. Walaupun senario terkini memperlihatkan seolah-olah wanita ingin mencapai satu bentuk kesamarataan gender dengan menggunakan alasan bahawa mereka juga berhak mendapat ‘pahala’ yang setara seperti golongan lelaki, namun tanpa disedari bahawa penglibatan dan kemampuan golongan wanita dalam aktiviti keganasan dan militansi sebenarnya masih dimanfaatkan, dimanipulasi dan dieksploitasi oleh jihadis lelaki. Walaupun golongan wanita menjadi pelaku keganasan, namun secara hakikatnya mereka tetap menjadi korban dan mangsa dari kekeliruan, kenaifan dan ketidakberdayaan yang dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu demi kelangsungan perjuangan mereka.
Program-program Preventing and Countering Violent Extremism (PCVE) perlu mengambilkira penyertaan dan penglibatan daripada golongan wanita kerana mereka adalah vulnerable group yang turut menjadi sasaran untuk direkrut. Pada masa yang sama, mereka menjadi mangsa untuk dimanipulasi. Fenomena segelintir wanita menjadi self radicalised kerana terpengaruh dengan naratif serta propaganda dari internet juga perlu diberi perhatian. Strategi yang insklusif perlulah dilaksanakan di peringkat nasional dan tidak hanya terletak di bahu pihak law enforcement semata-mata tetapi perlu mendapat kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi berkaitan dalam berganding bahu membantu memberi kesedaran dan memulihkan para wanita yang terlibat dengan kegiatan ekstremisme, radikalisme dan terorisme.