NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN KESEPULUH

Fundamentalis dan Ilusi Daulah Islamiyah serta Khilafah Islamiyah

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan


Gerakan kebangkitan umat Islam dalam rangka menegakkan kembali Khilafah Islamiyah telah muncul di merata pelosok dunia dengan uslub perjuangan yang berbeza-beza. Khilafah Islamiyah atau disebut juga Jama’atul Muslimin adalah merujuk kepada pemerintahan yang meliputi seluruh dunia Islam. Pada saat Khilafah sudah tiada maka jama’ah-jama’ah yang ada di merata pelosok dunia sekarang seperti Ikhwanul Muslimin, Jama’at al Islami, Front Islamic Socialis, Hizbut Tahrir, Darul Islam dan Al Jama’ah Al Islamiyah hanyalah merupakan Jama’atul Minal Muslimin atau jama’ah-jama’ah kecil dari sebahagian umat Islam yang berusaha untuk mendirikan khilafah atau Jama’atul Muslimin. Justeru, kemunculan sejumlah jama’ah minal Muslimin (jama’ah-jama’ah kecil) di merata pelosok dunia ini adalah merupakan tindakan kolektif dari usaha mereka untuk mendirikan khilafah tersebut. Untuk tujuan perbincangan dalam artikel ini maka gerakan Al Jama’ah Al Islamiyah yang pernah menjadi ancaman kepada negara-negara di Asia Tenggara lewat tahun 1990an adalah merupakan salah sebuah jama’ah minal Muslimin, yang turut bercita-cita untuk menegakkan khilafah (jama’atul Muslimin) menerusi manhaj dakwah dan jihad fi sabilillah bersama sejumlah jama’ah minal Muslimin lainnya. Kini perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyah ini dipelopori pula oleh kumpulan Daesh @ ISIS/ISIL.

Menurut golongan fundamentalis, kewujudan sebuah negara Islam hanya akan berlaku setelah Khilafah Islamiyah itu tertegakiaitu di mana penegakkan syariat Islam telah berlaku dalam aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Justeru, bagi an Nabhani, sebelum tertegaknya Daulah Kekhilafahan Islam, yang ada cuma Darul Kufr. Untuk menegakkan Khilafah Islamiyah ini hanya satu negara Islam sahaja yang boleh dibentuk dan sekiranya wujud lebih dari satu negara Islam maka ia mestilah dihalang dengan cara menyatukannya.[i] Bentuk Negara Islam yang dimaksudkan oleh an Nabhani ini adalah sebuah negara yang unik di mana ia bukan sebuah negara republik, monarki, diktator, federalisme atau komunisme tetapi ia diketuai oleh seorang Khalifah (mestilah seorang laki-laki) yang diangkat oleh umat Islam menerusi bai’ah dan menerapkan syariat dalam pemerintahan. Pemerintahan Khalifah ini mempunyai empat dasar utama iaitu kedaulatan terletak pada syara’, kekuasaan adalah milik rakyat, melantik seorang khalifah adalah wajib bagi seluruh umat Islam dan hanya khalifah yang berhak menyusun konstitusi dan perundangan.[ii]

Berdasarkan doktrin inilah dapatlah difahami bagaimana golongan fundamentalis merangka matlamat perjuangan mereka untuk menegakkan sebuah Daulah Islamiyah (jama’atul minal Muslimin) dan seterusnya Khilafah Islamiyah (jama’atul muslimin). Jika dikaji matlamat dan ideologi kebanyakan gerakan fundamentalis di merata dunia ini, hampir kesemua ciri-ciri dan konsep serta pola pemikiran Sayyid Qutb, Maududi serta Nabhani mempengaruhi matlamat perjuangan mereka. Justeru, dapat disimpulkan bahawa pencetus kepada idea dan gagasan Daulah Islamiyah dan Khilafah Islamiyah yang diperjuangkan oleh gerakan fundamentalis mengambil doktrin dari gagasan Daulah dan Khilafah Islamiyah versi Qutb, Maududi dan juga Nabhani.

Polemik tentang Daulah Islamiyah dan Khilafah Islamiyah sebenarnya berpunca dari penafsiran tentang doktrin dan usaha untuk mengaitkannya dengan realiti umat Islam kontemporari. Kedua-dua perkara ini yang mencetuskan pelbagai konsep, pandangan, kaedah, matlamat serta gagasan yang hendak dibawa oleh pelbagai golongan yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan mereka. Bagi sesetengah ahli masyarakat, Islam adalah merupakan agama yang mengintergrasikan keseluruhan aspek kehidupan termasuklah kaedah berpolitik. Konsep Negara Islam atau bentuk negara itu sendiri sebenarnya tidak diterangkan dengan jelas dalam Islam (melalui Al Quran dan Sunnah) malah dalam Islam sendiri tidak ada perintah untuk menegakkan Negara Islam atau Khilafah.

Menurut Asghar Ali, konsep Negara Islam hari ini sepatutnya merujuk kepada konteks dan situasi hari ini. Konteks Negara Islam Madinah yang sering di rujuk oleh gerakan fundamentalis itu sebenarnya bukan lah sebuah konsep ‘negara’ yang sebenar dalam Al Quran. Masyarakat Arab pra-Islam tidak mempunyai struktur negara.[iii] Ia lebih berasaskan kepada puak atau kabilah yang tidak mengenal perbezaan antara negara dan masyarakat. Tidak ada undang-undang bertulis atau konstitusi mahupun badan-badan yang mentadbir sama ada diwarisi ataupun dipilih. Walaubagaimana pun, terdapat satu kumpulan yang dikenal sebagai mala’ yang dianggotai oleh Ketua-ketua Kabilah/Puak dalam sesuatu wilayah. Segala keputusan dibuat secara bersama dan setiap ketua kabilah ini melaksanakan  keputusan-keputusan tersebut di wilayah kekuasaan masing-masing dan keputusan ketua kabilah ini dianggap semacam satu undang-undang. Tidak ada sistem cukai, polis atau tentera dan tiada konsep pentadbiran wilayah, pertahanan atau polisi. Semuanya bergantung kepada adat dan tradisi setiap kabilah. Undang-undang yang ada hanyalah Qisas. Masyarakat Islam di Mekah kemudiannya mewarisi situasi ini. Sewaktu Nabi S.A.W dan sahabat mengadapi tekanan oleh masyarakat Mekah di peringkat permulaan dakwah, mereka kemudiannya berhijrah ke Madinah (dahulunya dikenali sebagai Yathrib) lalu meneruskan dakwah disana. Seperti mana Mekah, Madinah juga adalah merupakan kota yang dihuni oleh kabilah-kabilah dan diatur berdasarkan undang-undang kabilah ini. 

Malah keadaan di Madinah lebih buruk dari Mekah kerana kondisi kabilah-kabilah yang sentiasa bermusuhan dan atas sebab itulah mereka menjemput Nabi datang ke Madinah untuk mengembangkan dakwah. Di atas kebijaksanaan Nabi S.A.W menyatukan kabilah-kabilah yang bermusuhan ini satu masyarakat yang aman berjaya dibangunkan di Madinah. Nabi S.A.W memperkenalkan perjanjian antara kabilah yang dipanggil Mithaq-i-Madinah (Perjanjian Madinah) yang memberi kesaksamaan hak kepada semua kabilah dan agama seperti Islam, Yahudi dan lain-lain agama. Justeru, setiap kelompok dan agama bebas mengamalkan agama dan tradisi masing-masing dengan aman dan harmoni. Perjanjian Madinah ini secara tidak langsung kemudiannya menjadi konstitusi atau perlembagaan bagi ’negara” Madinah di mana ia memayungi undang-undang yang selama ini diamalkan oleh kabilah-kabilah di pelbagai wilayah di Madinah pada ketika itu.

Pertama kalinya konsep persempadanan wilayah secara umum dipraktikkan untuk membolehkan sebuah negara berjalan dan berkembang di mana sebelum itu hanya konsep kabilah dipraktikkan dan bukannya konsep persempadanan wilayah (teritori). Seterusnya Nabi S.A.W memansuhkan konsep kabilah dan memperkenalkan konsep sempadan ideologi serta sempadan wilayah. Nabi S.A.W tidak menekankan tentang komuniti politik tetapi lebih menitikberatkan komuniti beragama berasaskan Al Quran yang menekankan nilai-nilai moral dan etika. Dalam masa yang sama secara tidak langsung gagasan doktrin politik Islam turut berkembang sedangkan tujuan asal dakwah Nabi S.A.W adalah untuk menegakkan komuniti beragama bukannya memperkenalkan doktrin politik. Perjanjian Madinah dan konsep  Negara Islam Madinah ini sering dirujuk oleh kebanyakan gerakan fundamentalis sebagai konsep negara Islam yang ideal malah ia menjadi rujukan oleh kelompok-kelompok  fundamentalis untuk menegakkan sebuah daulah atau khilafah.

Sebenarnya, Perjanjian Madinah (perjanjian antara kabilah) ini bukan lah merupakan perlembagaan bagi sebuah Negara Islam seperti yang dicanangkan oleh golongan fundamentalis. Jika ia benar merupakan sebuah konstitusi atau perlembagaan bagi sebuah negara maka ia sepatutnya digunakan oleh Nabi S.A.W sebagai perlembagaan negara setelah tentera Islam menakluk Mekah pada tahun 630 Masihi. Atas alasan yang sama, mengapakah perlembagaan ini tidak digunakan oleh Khalifah Abu Bakar untuk mentadbir Mekah setelah beliau dilantik menjadi Khalifah yang pertama selepas kewafatan Nabi S.A.W pada tahun 632 Masihi. Ini menjelaskan bahawa Perjanjian Madinah itu adalah perjanjian antara kabilah yang terpakai di Madinah sahaja dan ia diguna pakai dalam konteks dan situasi pada masa tersebut sahaja (one-time contract).[iv]

Bagaimanakah Bentuk Sebuah Negara Islam Yang Ideal?

Setelah meneliti hujah-hujah dari cendekiawan Islam kontemporari, artikel ini turut berpendapat bahawa tidak ada model yang tepat tentang bagaimana sebuah Negara Islam itu sepatutnya dibentuk kerana Islam sendiri tidak menjelaskan dengan terperinci bagaimana bentuk dan model sebuah Negara Islam. Matlamat menegakkan sebuah Negara Islam itu sememangnya penting berlandaskan syariat dan sunnah namun berdasarkan contoh-contoh negara yang dilabelkan sebagai Negara Islam atau Republik Islam, ia masih lagi boleh dipersoalkan. Penulis juga tidak berniat untuk merendahkan usaha pelbagai gerakan Islam untuk mendirikan Khilafah Islamiyah tetapi gagasan ini mestilah berpandukan realiti serta bukan dilakukan dengan cara mentafsir doktrin agama secara sempit. Fatwa-fatwa sempit seperti menyamakan usaha mendirikan Khilafah setaraf dengan rukun Islam dan rukun Iman serta menjadikannya sebagai menjadi fardhu ain adalah keterlaluan sedangkan realitinya tidak sampai ke tahap tersebut. Pemimpin dan pendakwah di kalangan gerakan Islam harus menyedari dengan menjatuhkan sesuatu hukum menjadi fardhu ain sedangkan ianya masih lagi menjadi persoalan ijtihaj di kalangan ulama maka ia akan menyebabkan pemikiran umat Islam menjadi gawat dan bercelaru lalu mencetuskan fenomena yang membawa implikasi yang buruk.

Gelaran Negara Islam bagi sesebuah negara seperti yang ada di Timur Tengah, Pakistan atau beberapa negara di Afrika seperti Sudan, Algeria dan Nigeria itu sendiri tidak selari dengan praktik politik kenegaraannya, justeru ia memperlihatkan nilai-nilai yang bertentangan dengan konsep Islam itu sendiri.[v] Apa gunanya berdiri atau disebut sebagai Negara Islam tetapi keadilan tidak dapat ditegakkan, rakyat tidak mendapat hak mereka yang sepatutnya sebagai seorang warganegara, nilai-nilai moral, kejujuran, kasih sayang, harmoni, persefahaman dan kekuasaan diwarisi dari satu elit atau keturunan kepada satu keturunan yang lain sedangkan kesemua nilai-nilai ini dianjurkan oleh Islam. Malah jika dilihat lebih jauh bahawa Islam hanya dijadikan alat oleh golongan elit yang berkuasa untuk mempertahankan kekuasaan sedangkan Islam itu sepatutnya menjadi garis panduan di dalam pemerintahan dan aspek bernegara. 

Dalam konteks ini penulis ingin memetik satu kajian ilmiah yang bertajuk How Islamic are Islamic Countries? yang telah dilakukan oleh Scheherazade S. Rehman dan Hossein Askari dan diterbitkan oleh Global Economy Journal pada 2010. Kedua-dua orang pakar ekonomi dari George Washington University ini telah merumuskan bahawa negara-negara bukan Islam lebih mempraktikkan nilai-nilai ekonomi seperti mana yang dianjurkan oleh ajaran Islam berbanding dengan negara bukan Islam. Kajian ini dilaksanakan terhadap 208 buah negara di dunia ini termasuk 56 buah negara Organisation of Islamic Conference (OIC) (kecuali Palestin). Kriteria yang digunakan untuk menganalisa Islamicity Index dalam praktik dan perlaksanaan pemerintahan di setiap negara adalah dengan melihat praktik di setiap negara tersebut sama ada selari dengan ajaran-ajaran Islam berdasarkan Al Quran dan Sunnah.

Kriteria-kriteria Islamicity indexs yang dikaji adalah: Economic Islamicity Index, Legal and Governance Islamicity Index, Human and Political Islamicity Index dan International Relations Islamicity Index bertujuanmelihat sejauh mana korelasi antara ajaran Islam dengan praktik ekonomi, pemerintahan dan perundangan, politik dan hubungan antarabangsa dalam sesebuah negara. Hasil kajian ini amat mengejutkan kerana keputusannya menunjukkan bahawa dari tangga 1 hingga tangga 36 adalah merupakan negara bukan Islam. Tangga pertama adalah negara New Zealand dan negara Islam yang paling atas adalah Malaysia di tangga ke 37 (dalam kajian ini dua kategori negara Islam digunakan iaitu self declared Islamic country seperti Arab Saudi dan Iran dan kategori kedua adalah negara yang mana agama Islam adalah merupakan agama dalam perlembagaan seperti Malaysia dan Indonesia).[vi] Ini menunjukkan bahawa negara bukan Islam lebih mempraktikkan ajaran-ajaran serta saranan dalam Al Quran serta hadis Nabi S.A.W berbanding negara yang mengisytiharkan negara mereka sebagai sebuah negara Islam. Retorik sebegini yang sepatutnya disedari oleh umat Islam kontemporari.

Justeru, umat Islam harus berpijak dibumi yang nyata. Hari ini pembunuhan terhadap umat Islam paling banyak berlaku hampir setiap hari di negara yang majoritinya umat Islam. Ia dilakukan oleh pemimpin dan orang yang mengaku beragama Islam. Lihat sahaja contoh-contoh apa yang berlaku di Mesir, Iraq, Syria dan Sudan. Lihat juga apa yang berlaku di Mesir pada bulan Sep 2013. Rakyat Mesir adalah 80 peratus befahaman ahli Sunnah wal jama’ah dan tentera Mesir juga adalah orang Islam yang berfahaman ahli Sunnah wal jama’ah. Justeru, mengapa mereka membunuh sesama sendiri. Seburuk-buruk Yahudi di Israel, tenteranya tidak sampai ke tahap membunuh rakyat yang mempunyai pegangan agama yang sama. Apabila ia berlaku di negara yang majoriti penduduknya adalah umat Islam maka slogan ’Islam is a solution’ itu adalah retorik yang dimanipulasi oleh orang Islam sendiri demi kepentingan politik sempit mereka.

Sedangkan umat Islam yang menjadi minoriti dikebanyakan negara bukan Islam hidup dengan aman damai, berpeluang menguasai sektor ekonomi dan pendidikan, mereka tidak ditindas dan bebas mempraktikkan ajaran agama Islam. Adakah golongan fundamentalis mengatakan bahawa mereka ini berdosa kerana tidak berjuang menegakkan Daulah Islamiyah atau Khilafah Islamiyah. Adakah semua umat Islam ini akan masuk ke neraka kerana tidak memperjuangkan Khilafah Islamiyah yang telah menjadi fardhu ain mengikut hukum yang dijatuhkan oleh golongan fundamentalis. Disebabkan pandangan binari-dikotomi ini lah yang menjurus kepada umat Islam ketinggalan dalam segenap bidang. Malah lebih buruk lagi gagasan-gagasan golongan fundamentalis sebenarnya mengajak umat Islam hidup dalam permusuhan dengan orang bukan Islam hanya disebabkan gagasan utopia mereka sedangkan banyak lagi perkara yang lebih utama perlu dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup, kesejahteraan, keharmonian, pendidikan, ekonomi, keadilan dan kehidupan seharian umat Islam.

Kondisi umat Islam kontemporari amat menyedihkan. Ini tidak lagi termasuk dengan statistik umat Islam yang menjuarai kes-kes seperti penagihan dadah, kes buang bayi, kes mat rempit, kes rasuah, kes penyalahgunaan kuasa dan pelbagai lagi kes yang mencemar imej agama Islam. Salah satu kegagalan polisi yang amat kritikal sedang melanda banyak negara sekular terutamanya di Asia Tenggara adalah krisis moral dan integriti atau lebih tepatnya krisis rasuah. Ketika krisis moral dan intergriti ini sudah mencapai satu tahap yang di panggil ‘point of no return’ maka secara automatiknya nilai moral sudah tidak lagi bererti dalam masyarakat dan tidak ada ajaran-ajaran agama yang mampu untuk memulihkannya. Justeru, negara tersebut akan menuju ke arah self destruct angkara pemimpin-pemimpinnya.[vii]

Menurut Amien Rais, selagi sebuah negara melaksanakan etos Islam dan kemudiannya menegakkan keadilan sosial serta mencipta satu masyarakat yang harmoni, di mana tidak ada manusia mengambil kesempatan di atas manusia yang lain mahupun mengekploitasi antara kelompok dengan kelompok yang lain, maka ia sudah dikira sebagai satu negara yang baik.  Walaupun sesebuah negara itu tidak disebut sebagai negara Islam tetapi jika pemerintahnya melaksanakan nilai-nilai keadilan, kejujuran, amanah dan memihak kepada kepentingan rakyat maka negara itu sudah dapat dikategorikan sebagai sebuah negara Islam.[viii]  Bagi Bakhtiar Effendi pula, polemik Negara Islam ini tidak perlu diteruskan kerana ia tidak akan berkesudahan dan apa yang penting ialah umat Islam memperbaiki status dan kondisi mereka dalam aspek ekonomi, pelajaran, sosial dan teknologi yang masih jauh ketinggalan dan tidak hanya menumpukan kepada aspek-aspek kerohanian sahaja. Aspek kerohanian semata-mata tidak akan mampu memperbaiki kondisi umat Islam masa kini ditambah pula dengan perjuangan menegakkan Negara Islam yang terlalu ambitious walaupun ia penting tetapi usaha harus ditumpukan kepada mengembalikan kegemilangan umat Islam dalam aspek-aspek yang telah dinyatakan kerana hanya dengan memiliki kelebihan dalam bidang-bidang tersebut maruah umat Islam akan terbela.[ix]

Oleh kerana Islam tidak menetapkan bentuk atau model sebuah Negara Islam yang tepat atau  ideal justeru, penulis merumuskan bahawa apa yang penting adalah sesebuah pemerintahan itu sepatutnya menekankan tentang sebuah pemerintahan yang adil, ikhsan, jujur, saksama, menjanjikan keamanan dan kesejahteraan kepada warganegaranya, ikhlas, tiada penyimpangan dari syariat dan segala bentuk hukum yang berkaitan dengan syariat dikembalikan kepada Al Quran dan sunnah Nabi S.A.W. Dalam ertikata lain, penegakan keadilan dan memberikan hak yang sewajarnya kepada warganegara itu lebih penting dari utopia penegakan sebuah Daulah Islamiyah atau Khilafah Islamiyah yang tidak berpenghujung dengan melihat contoh-contoh yang ada di merata pelosok dunia sekarang.

Lanjutan dari itu, penulis ingin mengutip pendapat seorang tokoh yang menyatakan bahawa sebuah Negara atau pemerintahan Islam itu sepatutnya mempunyai empat dasar yang utama iaitu, pertama, amanah yang bertanggungjawab, kejujuran dan keihkhlasan, kedua, keadilan yang luas untuk seluruh umat termasuk keadilan sosial, ketiga, Ketuhanan Yang Maha Esa, seperti yang tertulis dalam perintah ”taatlah kepada Tuhan dan Rasulnya’ dan dasar yang keempat adalah kedaulatan rakyat yang digabungkan dengan perintah ”ulil Amri”.[x]  

Bersambung…


[i] Taqiyuddin an Nabhani, 2003:26-31.

[ii] Taqiyuddin an Nabhani, 2003:135.

[iii] Asghar Ali:2006, Tarek Fatah:2008:38.

[iv] Tarek Fatah:2008: 20..

[v] Tarek Fatah:2008;20.

[vi] Keterangan lanjut lihat Rehman Scheherazade S. & Askari Hossein, 2010. How Islamic are Islamic Countries?, Global Economy Journal, vol. 10(2), hlm 1-40.

[vii] Lihat M.Kamal Hassan, 2011, Voice of Islamic Moderation from the Malay World, hlm 126.

[viii] Amien Rais:1997.

[ix] Temu  bual dengan Prof Dr Bakhtiar Effendy, Dekan FISIP, UIN, Ciputat Jakarta, 2012. 

[x] Zainal Abidin Ahmad:2001:31.


Posted in Esei and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *