PERMAINAN DALAM TALIAN SEBAGAI RUANG BAHARU RADIKALISASI: IMPLIKASI TERHADAP KESELAMATAN NEGARA

PENDAHULUAN

Permainan dalam talian kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat moden. Selain berfungsi sebagai medium hiburan, ia turut menjadi platform untuk berinteraksi, membina komuniti dan menjana pendapatan kepada jutaan pengguna di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Perkembangan ini membawa pelbagai manfaat, namun pada masa yang sama turut mewujudkan cabaran baharu terhadap aspek keselamatan negara. Sifat permainan dalam talian yang terbuka, interaktif dan mudah diakses membolehkan ia dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk menyebarkan propaganda, mempengaruhi pemikiran pengguna serta menjalankan aktiviti radikalisasi secara tersembunyi.

Berbeza dengan platform media sosial konvensional, permainan dalam talian menyediakan ruang komunikasi yang lebih santai dan kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa, pendidik mahupun pihak berkuasa. Ciri seperti chat room, komunikasi suara, pembentukan kumpulan pemain dan komuniti maya membolehkan hubungan dibina secara berterusan tanpa mengira lokasi geografi. Persekitaran ini boleh dimanfaatkan oleh individu atau kumpulan ekstremis untuk mendekati pengguna secara beransur-ansur, membina kepercayaan dan seterusnya memperkenalkan naratif yang bersifat radikal tanpa disedari. 

Tempoh masa yang panjang dihabiskan dalam dunia permainan yang bersifat interaktif dan immersive juga boleh meningkatkan pendedahan pengguna kepada pengaruh luar. Walaupun majoriti pemain menggunakan platform ini semata-mata untuk tujuan hiburan, sebahagian daripada mereka, khususnya golongan belia dan remaja, lebih mudah dipengaruhi kerana masih berada dalam proses membentuk identiti, nilai dan pandangan hidup. Keadaan ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada manipulasi psikologi, terutamanya apabila propaganda disampaikan melalui individu yang telah berjaya membina hubungan dan kepercayaan dalam komuniti permainan.

Dalam konteks keselamatan negara, ancaman yang perlu diberi perhatian bukanlah permainan dalam talian itu sendiri, tetapi penyalahgunaan ekosistem permainan digital oleh pihak yang mempunyai agenda ekstremis. Sehubungan itu, pemahaman yang lebih mendalam mengenai corak radikalisasi dalam komuniti permainan maya amat penting bagi membantu agensi keselamatan mengenal pasti trend ancaman yang sedang berkembang. Pada masa yang sama, usaha memperkukuh dasar, meningkatkan literasi digital, memperluaskan program Preventing and Countering Violent Extremism (PCVE) serta mempererat kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa dan syarikat teknologi perlu diperkasakan bagi memastikan ruang digital kekal selamat daripada eksploitasi oleh aktor ekstremis. 

GAMBARAN UMUM PERMAINAN DALAM TALIAN

Permainan dalam talian merupakan antara bentuk hiburan digital yang paling popular pada masa kini dan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian berjuta-juta pengguna di seluruh dunia, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan belia. Perkembangan teknologi internet serta peranti digital telah menjadikan permainan dalam talian lebih mudah diakses melalui komputer, telefon pintar dan konsol permainan. Berbeza dengan permainan tradisional, permainan dalam talian membolehkan pengguna berinteraksi secara masa nyata dengan pemain lain dari pelbagai negara, sekali gus mewujudkan pengalaman yang lebih interaktif dan menarik. Selain berfungsi sebagai medium hiburan, permainan dalam talian turut menjadi platform sosial yang membolehkan pemain berkomunikasi, berkongsi pengalaman, membentuk komuniti dan menjalinkan persahabatan merentasi sempadan geografi. Banyak permainan juga menggalakkan kerjasama berpasukan, pemikiran strategik, penyelesaian masalah dan kemahiran membuat keputusan. Atas sebab itu, permainan dalam talian kini bukan lagi sekadar aktiviti rekreasi, malah telah berkembang menjadi satu ekosistem digital yang mempunyai pengaruh besar terhadap cara generasi muda berinteraksi dan membina hubungan sosial.

Walau bagaimanapun, ciri-ciri yang menjadikan permainan dalam talian menarik kepada pengguna turut membuka ruang kepada penyalahgunaan oleh pihak yang mempunyai agenda tertentu. Dalam konteks keselamatan negara, kebimbangan utama bukanlah terhadap permainan itu sendiri, tetapi terhadap ekosistem permainan yang merangkumi ruang sembang, komunikasi suara, forum komuniti, penstriman langsung dan platform lain yang berkaitan. Ruang-ruang ini berpotensi dieksploitasi oleh individu atau kumpulan ekstremis untuk membina hubungan, menyebarkan propaganda serta mempengaruhi pengguna yang mudah terdedah kepada naratif radikal. Proses radikalisasi dalam ekosistem permainan lazimnya tidak berlaku secara terbuka atau serta-merta. Sebaliknya, ia berkembang secara beransur-ansur melalui interaksi sosial yang kelihatan biasa dalam komuniti pemain. Hubungan yang terjalin ketika bermain boleh digunakan untuk membina kepercayaan sebelum perbualan beralih kepada isu identiti, politik, agama atau konflik semasa.

Pendekatan ini menjadikan proses penyebaran ideologi ekstrem lebih sukar dikesan kerana ia berlaku dalam suasana yang tidak formal dan sering dianggap sebagai sebahagian daripada komunikasi biasa antara pemain. Sehubungan itu, pemahaman yang lebih mendalam mengenai corak interaksi dan mekanisme radikalisasi dalam ekosistem permainan digital amat penting bagi membantu pihak berkuasa menilai tahap risiko yang wujud serta merangka langkah pencegahan yang lebih berkesan. 

MEKANISME RADIKALISASI DALAM RUANG ONLINE GAMING

Radikalisasi dalam ekosistem permainan dalam talian lazimnya berlaku secara berperingkat dan bukannya secara serta-merta. Melalui ciri seperti komunikasi suara, pembentukan guild atau clan, serta platform pihak ketiga seperti Discord, pemain berpeluang membina hubungan sosial dengan individu dari pelbagai latar belakang tanpa batasan geografi. Dalam keadaan tertentu, ruang komunikasi ini boleh dieksploitasi oleh individu atau kumpulan ekstremis untuk membina kepercayaan sebelum memperkenalkan naratif radikal secara beransur-ansur. Berbeza dengan media sosial yang lebih terbuka, proses ini sering berlaku dalam komuniti tertutup dan tidak formal, sekali gus menyukarkan pengesanan oleh ibu bapa, pendidik dan pihak berkuasa.

Di samping itu, pengalaman permainan yang interaktif, sistem ganjaran, semangat berpasukan dan rasa kekitaan yang terbentuk dalam komuniti pemain boleh dimanipulasi untuk mengukuhkan pengaruh terhadap individu yang mudah terdedah, khususnya golongan remaja yang masih mencari identiti dan penerimaan sosial. Penggunaan identiti samaran dan komunikasi melalui platform yang lebih tertutup turut meningkatkan tahap anonimiti, sekali gus menyukarkan pemantauan terhadap aktiviti yang berpotensi membawa kepada radikalisasi. Justeru, ancaman sebenar bukan berpunca daripada permainan dalam talian itu sendiri, tetapi daripada penyalahgunaan ekosistem permainan digital sebagai medium penyebaran propaganda, pembinaan rangkaian dan perekrutan oleh aktor ekstremis.

Kumpulan ekstremis tidak menggunakan permainan sebagai alat untuk mengajar keganasan secara langsung. Sebaliknya, mereka mengeksploitasi ciri-ciri sosial yang terdapat dalam platform tersebut untuk membina kepercayaan, mengenal pasti individu yang berpotensi dan memperkenalkan naratif ekstrem secara berperingkat. Proses ini lazimnya bermula dengan perbualan santai mengenai permainan sebelum beralih kepada isu identiti, ketidakpuasan hati terhadap kerajaan, konflik agama atau politik dan akhirnya kepada penyebaran ideologi ekstrem. 

Proses ini turut melibatkan penggunaan bahasa dan simbol yang mampu mengukuhkan identiti kumpulan, melanggar batas-batas norma sosial dan moral yang sedia ada. Sentimen ketidakpuasan, kebencian dan perjuangan yang dipupuk dalam ruang permainan memberi peluang kepada agen-agen radikalis untuk mengembangkan dan mengekalkan pengaruh mereka, sekaligus memperlihatkan bagaimana mekanisme tersebut mampu menjana proses radikalisasi secara berterusan dan sistematik. Oleh itu, pemahaman yang mendalam terhadap mekanisme ini penting bagi membentuk strategi menangani ancaman radikalisasi yang berpunca dari ruang permainan dalam talian. 

Platform komunikasi yang berkait rapat dengan komuniti permainan seperti Discord, Steam Chat, Telegram dan aplikasi komunikasi suara turut digunakan bagi memindahkan perbualan daripada ruang permainan kepada saluran yang lebih tertutup. Pendekatan ini menyukarkan pengesanan oleh pihak berkuasa kerana proses radikalisasi berlaku secara perlahan dan melalui hubungan sosial yang kelihatan normal. 

EKSPLOITASI EKOSISTEM PERMAINAN DALAM TALIAN

Berbeza dengan tanggapan bahawa permainan video itu sendiri mendorong seseorang menjadi ekstremis, penyelidikan antarabangsa menunjukkan bahawa kumpulan pengganas dan pelaku ekstremisme lebih cenderung mengeksploitasi ekosistem permainan (gaming ecosystem) berbanding kandungan permainan itu sendiri. Ekosistem ini merangkumi platform permainan, aplikasi komunikasi suara, forum komuniti, live streaming, private servers serta media sosial yang berkait rapat dengan komuniti pemain. 

Insiden yang berlaku di Johor pada Oktober 2025 telah menggemparkan dunia digital Malaysia apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun disyaki mengelar dan menikam adiknya sehingga cedera parah. Dalam kenyataan media, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian seperti Roblox mempunyai pengaruh terhadap tingkah laku kanak-kanak tersebut. Justeru, kes ini membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas mengenai bagaimana ekosistem digital mampu mempengaruhi tingkah laku pengguna serta potensi penyalahgunaannya oleh pihak yang mempunyai agenda tertentu. Kes ini bukanlah contoh radikalisasi atau keganasan bermotif ideologi. Namun demikian, insiden tersebut menunjukkan bahawa dunia maya boleh memberi pengaruh terhadap pemikiran, emosi dan tingkah laku pengguna, khususnya golongan muda yang masih berada dalam fasa perkembangan psikologi dan sosial. 

Kajian oleh Institute for Strategic Dialogue (ISD) mendapati bahawa kumpulan ekstremis berhaluan kanan (far-right extremists) menggunakan platform seperti Steam, Discord, Twitch dan DLive bukan untuk mempromosikan permainan tertentu, tetapi sebagai ruang sosial bagi membina hubungan, berkongsi propaganda dan menghubungkan ahli kepada platform ekstremis yang lebih tertutup. Dalam banyak situasi, proses radikalisasi bermula melalui interaksi harian ketika bermain permainan video sebelum berkembang kepada perbincangan mengenai identiti, politik, kebencian terhadap kumpulan tertentu dan akhirnya ideologi ekstrem. Penyelidik turut mendapati bahawa pemain muda lebih mudah didekati kerana mereka telah mempunyai hubungan sosial yang terjalin melalui komuniti permainan. Faktor kepercayaan ini menjadikan proses perekrutan lebih berkesan berbanding pendekatan propaganda secara terbuka di media sosial. 

Laporan Global Network on Extremism and Technology (GNET) menunjukkan bahawa platform seperti Roblox dan Minecraft, yang mempunyai jutaan pengguna muda di seluruh dunia, turut menjadi sasaran pihak ekstremis. Mereka menggunakan avatar, kumpulan (groups), permainan yang dibina sendiri (user-generated games), pakaian maya (virtual clothing), simbol dan kod tertentu untuk memperkenalkan unsur propaganda secara halus. Dalam beberapa kes, pemain kemudiannya dipelawa menyertai pelayan Discord atau saluran komunikasi tertutup bagi meneruskan interaksi. Perkara ini menunjukkan bahawa risiko sebenar bukan terletak pada permainan tersebut, tetapi pada ciri komunikasi dan pembentukan komuniti yang membolehkan individu berinteraksi tanpa sempadan serta sukar dipantau.

Walaupun kumpulan seperti Daesh sebelum ini lebih dikenali menggunakan Telegram, X dan aplikasi komunikasi lain, laporan United Nations Office of Counter-Terrorism (UNOCT) menjelaskan bahawa landskap digital telah berubah. Kumpulan ekstremis kini semakin memanfaatkan ruang permainan dan platform berkaitan untuk membina rangkaian sosial, menyebarkan propaganda, mengumpul dana serta mengenal pasti individu yang berpotensi direkrut. Penggunaan permainan dalam talian bukan bertujuan menggantikan media sosial, tetapi melengkapkan ekosistem propaganda digital sedia ada.

IMPLIKASI TERHADAP ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN PELAN MITIGASI

Perkembangan ekosistem permainan dalam talian bukan sahaja memberi implikasi kepada keselamatan awam, malah turut berpotensi memberi kesan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara khusus. Sebagai sebuah organisasi yang semakin mengadaptasi teknologi digital dalam operasi dan kehidupan seharian, warga ATM tidak terkecuali daripada pendedahan kepada platform permainan dalam talian serta komuniti digital yang merentasi sempadan negara. Walaupun majoriti anggota menggunakan platform ini untuk tujuan hiburan dan interaksi sosial, kewujudan ruang komunikasi yang kurang dipantau berpotensi dieksploitasi oleh aktor ekstremis bagi menyebarkan propaganda, membina hubungan serta mempengaruhi individu yang mudah terdedah kepada proses radikalisasi. Sekiranya tidak ditangani, situasi ini boleh menjejaskan tahap kesiapsiagaan, disiplin, integriti dan keselamatan organisasi, selain meningkatkan risiko ancaman orang dalam (insider threat) terhadap ATM.

Bagi mengurangkan risiko tersebut, ATM perlu memperkukuh pendekatan pencegahan melalui pelaksanaan program PCVE yang memberi penekanan kepada literasi digital, kesedaran mengenai taktik perekrutan dalam talian dan pengukuhan daya tahan anggota terhadap propaganda ekstremis. Pada masa yang sama, usaha pemantauan perlu diperluaskan bagi mengenal pasti trend ancaman dalam ekosistem permainan digital tanpa menjejaskan privasi atau hak individu. Kerjasama strategik antara Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Pemerintahan Siber Elektromagnetik Pertahanan (PSEP), Bahagian Kerohanian Islam ATM (BKI) serta agensi keselamatan berkaitan juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan perkongsian maklumat, pengesanan awal dan intervensi dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Pendekatan ini akan membantu meningkatkan ketahanan warga ATM terhadap pengaruh ekstremisme digital, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan organisasi dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks. 

IMPLIKASI KESELAMATAN NEGARA

Kesemua aspek yang berkaitan dengan permainan dalam talian membawa implikasi serius terhadap keselamatan negara, terutamanya berkait rapat dengan potensi penyebaran ideologi radikal secara meluas dan pantas. Melalui platform digital ini, bendera fahaman ekstremis dapat berinteraksi secara sulit dan tersembunyi, mengaburkan identiti sebenar pelaku serta memudahkan penyampaian mesej berunsur ekstremisme kepada masyarakat yang mudah dipengaruhi khususnya golongan muda dan remaja. Penyebaran kandungan berunsur radikalisasi melalui permainan dalam talian bukan sahaja memecahbelahkan keharmonian masyarakat tetapi juga berpotensi menjadi punca kepada kegiatan ganas dan keganasan yang lebih terancang di dunia sebenar.

Tambahan pula, ketidaksempurnaan mekanisme pengawalan dan pengawasan terhadap kandungan digital memungkinkan unsur ekstremis menyusup masuk ke dalam ruang permainan tanpa disedari lantas menjadikan mereka lebih berani dan agresif dalam menyebarkan ideologi keganasan. Di peringkat nasional, masalah ini menimbulkan cabaran pengukuhan keselamatan siber dan perlindungan rakyat daripada pengaruh berbahaya tersebut. Sekiranya trend global ini tidak diberikan perhatian, Malaysia juga berdepan risiko yang sama. Kadar penggunaan permainan dalam talian dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan belia adalah tinggi. Manakala kebanyakan platform menyediakan kemudahan komunikasi rentas negara yang sukar dipantau secara menyeluruh.

Insiden yang melibatkan kanak-kanak bawah umur di Johor wajar dilihat sebagai petunjuk awal (early warning indicator) bahawa pengaruh ruang digital terhadap tingkah laku pengguna semakin kompleks. Walaupun kes tersebut tidak melibatkan radikalisasi atau keganasan bermotif ideologi, ia menunjukkan bahawa pengalaman digital berpotensi mempengaruhi emosi dan tingkah laku seseorang, sekali gus menekankan kepentingan memantau penyalahgunaan ekosistem permainan dalam talian oleh aktor ekstremis. Sehubungan itu, pendekatan PCVE di Malaysia perlu diperluaskan daripada pemantauan media sosial tradisional kepada keseluruhan gaming ecosystem, termasuk platform permainan, aplikasi komunikasi seperti Discord, komuniti live streaming, servers dan ruang interaksi maya lain yang semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi muda. Pendekatan ini juga perlu disokong oleh kerjasama strategik antara agensi keselamatan, institusi pendidikan, ibu bapa dan syarikat teknologi bagi memastikan ruang digital kekal selamat daripada eksploitasi kumpulan ekstremis. 

Oleh itu, perlu wujud usaha mitigasi bersepadu yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha membanteras penyebaran fahaman ekstremis di platform permainan dalam talian. Langkah-langkah strategik termasuk pengenalan dasar pengurusan kandungan yang ketat serta pelaksanaan program pendidikan literasi digital yang mendalam bertujuan membina kesedaran pengguna terhadap bahaya radikalisasi secara dalam talian. Keberkesanan pendekatan ini bergantung kepada penguatkuasaan yang tegas, integrasi teknologi canggih untuk pengesanan awal kandungan berbahaya dan penglibatan masyarakat sebagai agen utama dalam memupuk norma-norma positif.  Pendekatan proaktif ini diyakini mampu mengurangkan impak negatif permainan dalam talian dan seterusnya memperkukuhkan ketahanan keselamatan negara daripada ancaman yang semakin berkembang.

RANGKA PERUNDANGAN DAN POLISI SEMASA

Rangka perundangan dan polisi semasa memainkan peranan penting dalam menangani cabaran yang dibawa oleh permainan dalam talian sebagai ruang radikalisasi. Dasar-dasar yang sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan memberi landasan untuk penguatkuasaan terhadap kandungan berpotensi mencetuskan fahaman ekstremis di platform digital. Walau bagaimanapun, perkembangan teknologi yang pesat memerlukan penyesuaian dan pengemaskinian rangka perundangan secara berterusan untuk mengekang penyebaran ideologi radikal secara efektif. Selain itu, polisi berkaitan dengan kawalan kandungan, pengesanan aktiviti berunsur ekstremisme dan pendekatan pencegahan di setiap organisasi dan komuniti turut diberi penekanan.

Kerjasama antara agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memungkinkan pengukuhan mekanisme pengawasan dan penguatkuasaan terhadap platform permainan dalam talian. Pendekatan ini bukan sahaja melibatkan tindakan undang-undang, malah penyelarasan polisi yang mengutamakan literasi digital dan pembangunan kesedaran masyarakat. Dalam masa yang sama, garis panduan khusus berkaitan kandungan yang dibenarkan di platform permainan wajar digubal bagi mempromosikan ekosistem yang selamat dan bertanggungjawab. Oleh kerana ancaman yang sentiasa berubah, dinamik rangka perundangan dan polisi memerlukan pemantauan dan penambahbaikan berterusan agar mampu menyokong usaha mencegah radikalisasi secara berkesan serta memastikan keselamatan negara dikekalkan.

ETIKA, PRIVASI DAN KEBEBASAN SIVIL

Dalam usaha mengendalikan penyebaran konten yang berpotensi ke arah radikal, aspek etika, privasi dan kebebasan sivil perlu diberi perhatian utama. Penerapan langkah-langkah pengawasan dan penyaringan harus dilaksanakan tanpa mengabaikan hak peribadi pengguna termasuk hak privasi dan kebebasan bersuara. Pengawasan yang berlebihan berisiko menimbulkan kekeliruan dalam mengekang kandungan berbahaya, sementara pelanggaran terhadap privasi mampu menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa. Selain itu, adalah penting untuk menyeimbangkan dasar kawal selia dengan prinsip-prinsip etika yang mendukung hak asasi manusia serta kebebasan sivil. Pendekatan yang beretika ini wajar memastikan bahawa usaha pencegahan radikalisasi tidak menjejaskan hak individu secara tidak adil dan tidak mengancam kehidupan dengan norma demokrasi dalam negara. Pada masa yang sama, keperluan untuk mempromosikan literasi digital dan pendidikan media dilihat signifikan dalam membina ketahanan (resilience) terhadap pengaruh ekstremis yang tersebar melalui platform permainan dalam talian.

Penguatkuasaan terhadap pengguna yang melanggar garis panduan harus dilakukan secara adil dan telus serta berdasarkan kepada kerangka undang-undang yang jelas. Penglibatan komuniti setempat dan pihak berkepentingan adalah penting bagi memastikan bahawa langkah-langkah proaktif yang bakal diambil tidak melanggar kebebasan sivil, tetapi pada masa sama berkesan dalam dapat mengukuhkan keselamatan negara. 

PENUTUP

Ketidakpastian yang timbul daripada penggunaan permainan dalam talian sebagai ruang radikalisasi menunjukkan perlunya usaha bersepadu dalam menangani isu ini. Infrastruktur digital tidak hanya membawa manfaat tetapi juga membuka ruang untuk manipulasi dan penyebaran ideologi ekstremis yang mempengaruhi golongan muda secara langsung dan tidak langsung. Oleh itu, langkah strategik perlu diambil termasuk mengetatkan kerangka perundangan yang mampu mengawal kandungan yang berpotensi menggugat keselamatan negara tanpa melanggar hak asasi serta kebebasan sivil. Selain itu, pendidikan media dan literasi digital harus dipertingkatkan agar pengguna dapat mengenali dan menilai maklumat dengan berhemah, memberi perlindungan dan pengetahuan dari pengaruh radikal.

Penguatkuasaan dan pengawasan terhadap platform permainan dalam talian juga memainkan peranan penting dalam membendung penyebaran ideologi ekstremis secara terbuka. Selain daripada itu, kesedaran kolektif melalui peranan komuniti setempat dan kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan untuk memupuk budaya kritikal dan toleransi. Kolaborasi antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah imperative untuk membina rangka kerja pencegahan yang efektif. Dalam konteks ini, pendekatan holistik yang melibatkan pengetahuan, kawalan, pendidikan dan kerjasama akan lebih berdaya tahan dalam menangani ancaman terhadap keselamatan negara. Penambahbaikan dalam polisi sedia ada harus berpaksikan kepada maklumat terkini dan merangkumi langkah-langkah preventive berasaskan bukti untuk memastikan keberkesanan usaha mengawal penyebaran radikalisme dalam permainan dalam talian. Dengan mengintegrasikan prinsip etika, privasi dan hak kebebasan sivil secara seimbang, pendekatan ini mampu menjaga kestabilan sosial tanpa menjejaskan hak individu. Kesimpulannya, usaha memperkukuh pengawalan, pendidikan dan kerjasama adalah way forward dalam memastikan permainan dalam talian tidak menjadi saluran yang memudaratkan keselamatan negara dan perpaduan masyarakat. 

Posted in Analisis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *