NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN PERTAMA

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan

Apabila kita melihat corak atau trend keganasan kontemporari, tiga isu atau domain utama yang sangat menarik untuk dikaji adalah fenomena fundametalisme, radikalisme dan politikal Islam. Ketiga-tiga domain atau fenomena ini saling berkait dan pemahaman terhadap isu-isu yang membelenggu ummah menjelaskan bagaimana  keganasan berlaku dalam dunia Islam kontemporari. Kebangkitan beberapa gerakan Islam dengan pelbagai manhaj serta kaedah perjuangan mereka sejak berdekad yang lalu adalah manifestasi bagaimana kelompok-kelompok ini memahami teks-teks agama dan bagaimana ia dipraktik serta diterjemahkan dalam amalan dan kehidupan bermasyarakat mereka. Keberagaman pemahaman dan praktis ini telah melahirkan persoalan agama yang pelik, bukan sahaja dalam amalan dan praktis dalam kelompok itu sendiri malah ia menimbulkan kekeliruan yang lebih luas meliputi bidang politik, ekonomi, pendidikan, hubungan antara agama, masyarakat dan pentadbiran sesebuah negara.

Fundamentalisme secara umumnya boleh difahami sebagai satu gerakan atau pegangan untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar (kembali kepada Al Quran dan Sunnah). Persoalan dasar dalam Islam seperti halal-haram dan pemahaman literal (harfiah) tentang teks Al Quran tidak menjadi isu yang besar kerana kebanyakan golongan fundamentalis masih boleh menterjemahkan dan mensosialisasikan fahaman agama sejajar dengan arus modernisasi. Fundamentalisme pada asasnya adalah reaksi kepada modernisme. Pada ketika itu, istilah atau aliran fundamentalis ini tidak menimbulkan sebarang masalah kepada dunia Islam. Namun, apabila apabila golongan atau kelompok ini mempunyai cita-cita politik maka kecelaruan kepada pemahaman, praktik dan tindakan mereka mula menimbulkan persoalan dalam dunia Islam kontemporari. Dalam ertikata yang mudah, domain fundamentalisme adalah berkaitan fahaman dan interpretasi tentang agama manakala radikalisme adalah adalah terjemahan dari fahaman mereka terhadap politikal Islam (kuasa dan pemerintahan negara).

Sebagai contoh yang paling mudah, amalan demokrasi (pilihanraya) yang sedang dipraktikkan oleh kebanyakan negara dalam dunia ini termasuk negara-negara yang dilabel sebagai negara Islam dianggap sebagai bukan ajaran Islam oleh golongan fundamentalis. Justeru, penolakan terhadap praktik demokrasi ini telah mencetuskan satu fenomena baru iaitu radikalisme yang menginginkan perubahan politik dengan cara kekerasan. Sekiranya golongan fundamentalis berjuang melalui kaedah dakwah, golongan radikal pula berjuang melalui manhaj jihad. Inilah yang sedang terjadi dewasa ini dengan mengambil contoh beberapa kelompok ekstremis dan radikalis seperti kumpulan Daesh dan Jamaah Islamiyah. Justeru, terdapat segelintir masyarakat Islam memilih jalan untuk berjihad bagi merealisasikan aspirasi politik mereka lanjutan dari pemahaman terhadap praktik politikal Islam.

Jika ditelusuri sejarah berkaitan radikalisme, ia boleh disimpulkan bahawa radikalisme adalah reaksi atau respon kelompok fundamentalis terhadap situasi dan kondisi yang sedang berlaku. Reaksi ini muncul dalam bentuk penolakan terhadap aliran mainstream dan penentangan terhadap sistem dan praktik dalam sesebuah negara. Penentangan dan penolakan ini sangat kuat kerana ideologi yang dipegang oleh mereka yang menyatakan bahawa hanya pegangan mereka sahaja yang betul. Penolakan dan penentangan ini menjadi lebih buruk sehingga mengakibatkan pertumpahan darah apabila kelompok ini mengamalkan budaya takfiri sesama umat Islam sendiri. Mangsa dalam keadaan ini bukan sahaja melibatkan orang bukan Islam malah ia melibatkan saudara Islam yang seagama dengan mereka.

Berdasarkan latarbelakang ini, kelahiran radikalisme dalam masyarakat boleh dilihat dan dikaji dari aspek politik, keagamaan, ekonomi, sosial, psikologi, pola pemikiran dan muamalat yang boeh dirumuskan seperti berikut:

  • Ceteknya pengetahuan agama mereka tentang hakikat agama
  • Memahami teks-teks Al Quran dan nas-nas secara literal (harfiah)
  • Memperdebat perkara-perkara furu’iyah (cabang) berbanding perkara-perkara  ushuli’yah (perkara pokok)
  • Berlebihan dalam mengharamkan
  • Kecelaruan konsep beragama
  • Mengikuti ayat Mustasyabihat tetapi meninggalkan ayat muhkamat
  • Cetek dan sempit pemikiran tentang maqasyid syariah, realiti dan sunnatullah

Hasil dari pemikiran dan pegangan seperti yang dibincangkan di atas maka lahirlah pola pemikiran dan doktrin agama yang sempit seperti berikut:

  • Taksub dan fanatik kepada kelompok sendiri
  • Tidak menerima hujah dari kelompok lain
  • Mewajibkan orang melaksanakan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah S.W.T (contohnya menyimpan jambang, melarang perempuan untuk bekerja, dll)
  • Sikap keras yang tidak kena pada tempatnya
  • Buruk sangka
  • Budaya Takfiri
Posted in Esei and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , .

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *