NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN KEDUA

FUNDAMENTALIS DAN UTOPIA KHILAFAH ISLAMIYAH; APAKAH PUNCANYA DAN DI MANAKAH KESUDAHANNYA?

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan

Perdebatan mengenai hubungan antara negara dan agama (din wa ’ad daulah) dalam pemerintahan di negara-negara di mana umat Islam menjadi penduduk majoriti telah menjadi permasalahan dan persoalan yang memuncak. Persoalan ini telah berlarutan sejak sekian lama bermula dari era pasca kolonial iaitu sejak lahirnya konsep negara bangsa di dunia umat Islam sejak awal abad ke 20 serta keruntuhan model kekuasaan Islam Turki Uthsmaniah pada tahun 1924. Pada ketika itu, kehadiran idea serta pemikiran dari tokoh-tokoh intelektual yang berpengaruh mula mempersoalkan bagaimanakah agama seharusnya diletakkan dalam pemerintahan sesebuah negara. Seperti mana yang difahami bahawa konsep negara bangsa lahir dengan konsep memisahkan kedua-dua entiti agama dengan negara. Istilah negara bangsa terkandung di dalamnya dasar-dasar sekularisme yang memisahkan di antara autoriti negara (kekuasaan politik) yang bersifat duniawi dan autoriti agama (kekuasaan agama). 

Konsep negara bangsa kemudiannya melebarkan pengaruhnya ke wilayah dunia Islam pada abad ke 19 dan awal abad ke 20 lalu membawa persoalan-persoalan yang baru. Umat Islam melihat apa yang berlaku pada abad pertengahan di  Eropah di mana terjadinya pengasingan di antara kekuasaan politik dan kekuasaan agama. Sedangkan di dalam realiti politik dunia Islam keduanya berada dalam satu domain yang tidak boleh dipisahkan. Islam dengan konsep keseluruhannya (totalisme) di fahami sebagai satu konsep yang meliputi ad din wa’ad daulah iaitu kekuasaan keagamaan merangkumi negara.[i]

Walaubagaimana pun, konsep negara bangsa ini telah diadaptasikan oleh kebanyakan negara memandangkan kondisi politik yang membelenggu kebanyakan negara Islam pada ketika itu menyebabkan idea-idea tentang gagasan negara bangsa diaplikasikan dalam pemerintahan. Kebanyakan negara Islam yang ada di dunia pada hari ini dibangunkan berdasar kepada konsep negara bangsa tersebut. Hanya sebahagian sahaja negara yang mempertahankan bentuk pemerintahan mereka dengan beberapa pengubahsuaian sebagai negara yang berlandaskan agama seperti Arab Saudi, Iran dan Sudan. Sekiranya di analisa secara teliti walaupun ada negara yang mengakui bahawa pemerintahan dan kekuasaan mereka bercorak Islam tetapi pada hakikatnya tidak ada representasi kekuasaan politik baik negara atau pemerintahan yang secara murni bersifat Islamik.[ii]

Artikel ini bertujuan untuk menganalisa mengapa golongan fundamentalis bercita-cita untuk menegakkan sebuah Daulah Islam dan Khilafah Islamiyah. Untuk menjelaskan fenomena perjuangan golongan fundamentalis, artikel ini akan membincangkan siapakah yang dikatakan sebagai golongan fundamentalis, bagaimanakah mereka memahami syariat agama dan adakah seruan ke arah penegakan sebuah Daulah Islam dan Khilafah Islamiyah itu wujud dalam Al Quran mahupun hadis-hadis Nabi S.AW. Seterusnya, artikel ini akan merumuskan samada gagasan Daulah Islam dan Khilafah Islamiyah yang diperjuangkan oleh golongan fundamentalis ini adalah merupakan utopia atau tidak sehingga iamenjurus kepada kekeliruan di kalangan umat Islam kontemporari.

Fundamentalis dan Agenda Daulah Islamiyah serta Khilafah Islamiyah

Perdebatan tentang negara Islam tidak berpenghujung di merata pelosok dunia kerana tidak ada satu negara pun yang mempunyai model atau mengadaptasi konsep pemerintahan Islam yang hakiki. Malah sistem pemerintahan Islam juga sering dikritik kerana tidak demokratik, rigid dan zalim. Sebagai contohnya, proses peralihan kuasa di kalangan pemerintah tidak melibatkan rakyat dan hanya berkisar di kalangan penguasa yang berkuasa dan contoh ini dapat dilihat di Arab Saudi, Brunei dan beberapa negara Arab lain. Sistem kesultanan, kerajaan atau dinasti Islam yang ada dalam sejarah seperti Kerajaan Umaiyyah dan Abbasiyah secara umumnya diketahui bahawa sangat tidak demokratik kerana pemimpin yang akan datang ditentukan oleh pemimpin yang berkuasa pada hari ini malah lebih menjurus kepada pemilihan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang mempunyai hubungan dengan pemerintah yang berkuasa. Sebagai contoh, Muawiyah yang merupakan Raja pertama dalam Kerajaan Umaiyyah telah melantik anaknya sendiri iaitu Yazid bin Muawiyah sebagai pengganti selepas kematiannya pada 28 April 680M. Yazid juga adalah merupakan Putera Mahkota pertama dalam sejarah Islam. Begitu juga dengan Kerajaan Abassiyah di mana Raja pertamanya iaitu Abu Abbas yang meninggal dunia pada 10 Jun 754M telah melantik abangnya sendiri Abu Jaffer Mansoor sebagai pengganti.[iii]

Di pelbagai negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam terdapat pelbagai praktik sistem pemerintahan. Ada negara yang menggunakan sistem monarki yang merupakan representasi dari model pemerintahan berdasarkan sistem warisan di mana kekuasaan diserahkan kepada Putera Mahkota dan kekuasaan ini hanya berlegar di kalangan  keluarga mereka sahaja. Ada pula negara Islam yang menggunakan sistem republik di mana teras kekuasaan adalah diletakkan di tangan rakyat yang memilih pemerintah mereka dan ada pula negara yang mengamalkan praktis federalisme di mana ia memberi kekuasaan/autonomi kepada wilayah tertentu tetapi masih bersatu dibawah pemerintahan umum. Justeru, keberagaman sistem, konsep dan praktik ini menyebabkan tiada penyelesaian ke arah satu solusi terhadap pemerintahan atau sebuah negara Islam yang ideal.[iv]

Di dalam mencari penyelesaian terhadap konsep dan bentuk negara Islam ini, kelompok-kelompok fundamentalis Islam mengganggap bahawa sistem pemerintahan Islamlah yang unggul dan memberi jaminan yang adil bagi warganegaranya. Namun begitu, bagaimanakah konsep negara Islam yang ideal dan sesuai pada zaman sekarang seperti yang digagaskan oleh kelompok-kelompok fundamentalis ini? Pertanyaan yang pertama yang harus dijawab adalah adakah konsep negara Islam dan Khilafah itu wujud? Bolehkan kita menamakan mana-mana negara di dunia pada masa ini sebagai sebuah negara Islam? Sudah tentu di kalangan  sesetengah umat Islam akan menunjukkan contoh Arab Saudi, Iraq, Iran, Libya, Kuwait, Syria, Bahrain, Qatar, Yaman, Sudan, Indonesia, Brunei dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. 

Apa yang menarik, sesetengah negara yang dinyatakan ini adalah negara yang mengamalkan sistem monarki, autokratik menerusi rejim tentera, republik atau sekular. Justeru, secara perundangannya adakah negara-negara ini boleh dikategorikan sebagai sebuah negara Islam? Apakah kriteria-kriteria untuk mengesahkan bahawa negara-negara tersebut merupakan negara Islam. Adakah kerana umat Islam menjadi majoriti atau adakah kerana aspek-aspek ritual seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain ibadah dapat dilaksanakan dengan bebas atau ada sesetengah hukuman dan perundangan Islam dijalankan maka ia melayakkan negara tersebut dinamakan negara Islam? Persoalan ini perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi memahami mengapa kumpulan fundamentalis bercita-cita untuk menegakkan Daulah Islamiyah atau Khilafah Islamiyah. Pemahaman terhadap konsep dan bentuk negara Islam ini amat penting kerana ia melibatkan sudut pandang yang berbeza lalu diterjemahkan dalam bentuk matlamat perjuangan bagi kelompok-kelompok fundamentalis seperti Ikhwanul Muslimin dan Al Jama’at Al Islamiyya di Mesir, Front Islamic Salvation (FIS) di Algeria, National Islamic Front di Sudan, Hizbut Tahrir di Lebanon, Jama’at al Islami di Pakistan, serta Darul Islam (DI) dan Al Jama’ah Al Islamiyah di Indonesia.

Bersambung….


[i] Lihat Muhammad Abid Al Jabiri:2001, hlm 57-58.

[ii] Lihat Esposito, John:1991:96.

[iii] Keterangan lanjut lihat Tareq Fatah, 2008, Chasing The Mirage, The Tragic Illusion of Islamic State, hlm 161 dan hlm 203.

[iv] Dalam konteks Malaysia sendiri, polemik Negara Islam masih lagi menjadi perdebatan. Adakah Malaysia sebuah negara Islam atau sebuah negara sekular? Tidak ada konsensus sejak Malaysia merdeka pada tahun 1957 sama ada Malaysia sebuah Negara Islam atau sekular. Sebagaimana yang diketahui, sebuah Negara Islam didefinisikan sebagai sebuah negara yang menggunakan syariah dan mengguna pakai perundangan Islam. Perundangan Islam adalah undang-undang tertinggi berdasarkan Al Quran dan hadis. Sedangkan di dalam perlembagaan Malaysia, Islam hanya dinyatakan sebagai Agama Persekutuan. Kedua-dua bekas Perdana Menteri Malaysia (Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien Onn) menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular. Tetapi bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Bekas Menteri  yang bertanggungjawab kepada undang-undang iaitu Nazri Aziz pula menyatakan bahawa Malaysia bukan Negara Sekular. Keterangan lanjut lihat Salim Othman, Is Malaysia a Secular or Islamic State?, The Straits Time Singapore, 1 November 2012, lihat kenyataan Nazri Aziz: Malaysia’s not founded or endorsed as Secular State, dalam www.malaysiakini.com.news/212349 dan lihat kenyataan Tunku Abdul Rahman semasa ucapan harijadinya yang ke-80, Don’t Make Malaysia an Islamic State , dalam The Star, 9 Feb 1983.


Posted in Esei and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *