Pendahuluan
Network School merupakan sebuah komuniti teknologi antarabangsa yang diasaskan oleh Balaji Srinivasan, bekas Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Coinbase. Balaji memiliki Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD dalam Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Stanford. Beliau terkenal sebagai seorang usahawan teknologi, pelabur dan penulis dalam bidang teknologi dan aset digital. Organisasi ini beroperasi di Forest City, Johor, dengan menghimpunkan usahawan teknologi, pembangun kecerdasan buatan (AI), pelabur, pakar blockchain, digital nomad dan profesional teknologi dari pelbagai negara. Ia menawarkan penginapan, makanan dan akses kepada komuniti teknologi dengan yuran sekitar USD 1,500 sebulan. Walaupun menggunakan istilah “School”, organisasi ini bukan merupakan institusi pendidikan tinggi yang berdaftar di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), sebaliknya berfungsi sebagai komuniti pembelajaran, kediaman dan pembangunan teknologi secara persendirian. Hasil semakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapati tiada sebarang kerjasama, pengiktirafan atau penglibatan Universiti Awam (UA) mahupun IPTS berdaftar dengan Network School berdasarkan rekod yang ada pada masa ini.
Network School memberi fokus kepada empat (4) elemen (Learn, Burn, Earn, Fun):
- Learn – Sesi kuliah dan perkongsian ilmu daripada pengasas teknologi serta pelabur antarabangsa.
- Burn – Latihan kecergasan harian dan penyediaan makanan sihat oleh cef khas.
- Earn – Ruang kerja bersama (co-working space) untuk tugasan jarak jauh.
- Fun – Kalendar sosial komuniti yang fleksibel.

Gambar Perasmian Network School di Forest City, Johor pada tahun 2024
Isu Pematuhan dan Kontroversi
Isu Network School di Forest City mula tercetus apabila timbul kebimbangan mengenai dakwaan bahawa terdapat warga Israel atau individu yang mempunyai kaitan dengan Israel menyertai komuniti tersebut dengan menggunakan pasport atau kewarganegaraan kedua, kegiatan Zionisme, pengintipan dan cubaan mewujudkan komuniti yang boleh mengancam kedaulatan Malaysia. Turut dikaitkan adalah berkaitan dengan idea “Network State” yang berpotensi menimbulkan persoalan mengenai kedaulatan negara. Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta beberapa agensi keselamatan melaksanakan pemeriksaan dan siasatan bagi menilai aspek pematuhan undang-undang sedia ada negara. Pemeriksaan ke atas 267 warga asing mendapati kesemua pasport yang diperiksa adalah sah. Namun siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak berkuasa sehingga ke hari ini. Namun begitu, terdapat pelanggaran peraturan tempatan yang telah disahkan. Pemeriksaan pihak berkuasa tempatan Johor mendapati sebuah premis tidak mempunyai lesen perniagaan yang diperlukan, manakala sebuah lagi premis yang diluluskan sebagai pejabat dipercayai digunakan untuk aktiviti kelas dan promosi di luar kategori penggunaan yang dibenarkan. Turut dikenal pasti ialah ketidakpatuhan berkaitan papan tanda atau iklan.
Analisis Naratif Media Sosial
Analisis perbincangan di aplikasi X dan Threads terhadap 858 rekod yang dikumpulkan antara 10 hingga 14 Julai 2026, sebelum disaring kepada 209 hantaran relevan. Threads menghasilkan 82.8 peratus hantaran berkaitan dan kira-kira 96 peratus keseluruhan interaksi. Hantaran negatif membentuk 51.2 peratus kandungan tetapi menjana 73.4 peratus interaksi. Sepuluh hantaran paling popular menyumbang 67.6 peratus keseluruhan interaksi, manakala dua akaun sahaja menyumbang sekitar 32.2 peratus interaksi (sumber: Initiate MY). Dapatan ini menunjukkan bahawa kontroversi tersebut banyak dipengaruhi oleh sebilangan kecil akaun berpengaruh dan tidak semestinya menggambarkan pandangan majoriti rakyat Malaysia. Jumlah tanda suka, perkongsian dan komen juga tidak membuktikan bahawa pengguna bersetuju dengan sesuatu dakwaan kerana interaksi mungkin berpunca daripada sokongan, bantahan, kemarahan atau rasa ingin tahu. Oleh itu, kajian berkenaan lebih tepat menggambarkan penumpuan dan penguatan sesuatu naratif, bukannya konsensus nasional.
Status Terkini
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn Bhd (Network School) serta mengarahkan semua aktivitinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa mulai 22 Julai 2026. Kerajaan Negeri Johor turut menyokong tindakan MBIP dan menegaskan bahawa keputusan tersebut dilaksanakan mengikut proses serta peruntukan undang-undang selepas aduan disahkan dan ketidakpatuhan dikenal pasti. Tindakan ini menunjukkan pendirian tegas pihak berkuasa dalam memastikan semua entiti perniagaan, termasuk organisasi antarabangsa, mematuhi syarat pelesenan, penggunaan premis dan undang-undang tempatan. MBIP turut memberi amaran bahawa tindakan pendakwaan boleh diambil sekiranya Network School meneruskan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan arahan penutupan tersebut.
Lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) didapati telah menghantar surat bantahan kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyuarakan ketidakpuasan hati dan mengecam keras tindakan tegas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu penglibatan warga Israel di dalam komuniti Network School yang beroperasi di Malaysia. Surat bantahan rasmi diketuai oleh Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat. Antara bantahan Ahli Kongres tersebut adalah seperti berikut:
a. Membantah pengusiran warga Israel semata-mata dan menyifatkan kenyataan Perdana Menteri cenderung bersifat anti-semitisme.
b. Mendesak AS menarik bantuan keselamatan termasuk membabitkan program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) untuk membiayai tentera Malaysia bagi menerima latihan ketenteraan profesional di negara itu.
c. Mereka mendakwa Malaysia kononnya menjadi tempat latihan Hamas kerana mempunyai hubungan terbuka dengan kumpulan pejuang Palestin itu berdasarkan laporan sebuah institusi penyelidikan Israel.

Surat bantahan rasmi yang dihantar kepada Marco Rubio
Implikasi Keselamatan Negara
Konsep komuniti global yang menghimpunkan ratusan warga asing daripada pelbagai negara mewujudkan cabaran baharu melibatkan risiko penyalahgunaan status komuniti antarabangsa. Antara risiko yang berpotensi untuk berlaku seperti kesukaran mengesahkan latar belakang sebenar setiap individu, penggunaan kewarganegaraan berganda atau dokumen perjalanan alternatif, potensi penyamaran identiti bagi mengelakkan sekatan perjalanan dan penyalahgunaan sistem kemudahan imigresen di Malaysia. Selain itu, isu berkaitan Network School wajar dinilai sebagai kes pematuhan pelbagai agensi, ketelusan organisasi dan risiko naratif, bukan sebagai ancaman keganasan atau pengintipan yang telah disahkan. Pihak berkuasa mempunyai asas munasabah untuk meneliti syarat visa, pemilikan syarikat, sumber kewangan, percukaian, aktiviti mata wang kripto, pengurusan data, keselamatan siber, penyimpanan data di luar negara serta hubungan peserta dengan organisasi asing.
Dari sudut ekstremisme dan radikalisme, risiko utama ialah peningkatan polarisasi, pelabelan berdasarkan kewarganegaraan atau identiti serta penggunaan bahasa bermusuhan. Terdapat beberapa hantaran mengandungi bahasa menghina, tuntutan pengusiran dan tuduhan pengintipan. Meskipun ia belum menjurus kepada keganasan terancang, naratif tersebut berpotensi membentuk persepsi mengenai “musuh bersama”, menggalakkan diskriminasi serta mencetuskan gangguan, ancaman atau penyebaran maklumat peribadi. Kritikan yang dilemparkan terhadap isu pelanggaran lesen dan tuntutan siasatan adalah sah, namun tuduhan terhadap keseluruhan komuniti tanpa bukti boleh menjejaskan keharmonian sosial dan mengalihkan sumber keselamatan daripada ancaman sebenar. Bukan itu sahaja, Network School diasaskan berdasarkan konsep “Network State“, iaitu idea membentuk komuniti global berasaskan rangkaian digital yang mempunyai autonomi sosial dan ekonomi. Walaupun konsep ini tidak menyalahi undang-undang secara automatik, naratif berkaitan autonomi komuniti dan tadbir urus alternatif boleh mencetuskan persoalan mengenai keserasian dengan kerangka perundangan serta kedaulatan negara sekiranya tidak dipantau dengan teliti.
Implikasi Ekonomi Negara
Kontroversi ini memberikan risiko reputasi kepada Forest City dan Malaysia sebagai destinasi teknologi serta pelaburan antarabangsa. Malaysia sedang membangunkan Forest City sebagai hab ekonomi digital dan pusat data serantau. Tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara telus dan berasaskan undang-undang supaya keyakinan pelabur kekal terpelihara, tanpa menjejaskan kepentingan keselamatan negara.
Pengasas Network School dilaporkan menangguhkan perancangan pelaburan lanjut sehingga mendapat kepastian mengenai persekitaran kawal selia. Walaupun tindakan ini tidak membuktikan kemerosotan keseluruhan iklim pelaburan Malaysia, ia menunjukkan bahawa ketidakselarasan tindakan dan komunikasi antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan boleh menimbulkan persepsi bahawa penguatkuasaan dipengaruhi tekanan media sosial
Cadangan Tindakan
Bagi memastikan keseimbangan antara keperluan memelihara keselamatan negara dengan usaha menarik pelaburan berteknologi tinggi, beberapa langkah strategik wajar dipertimbangkan oleh kerajaan. Pendekatan yang diambil hendaklah bersifat proaktif, bersepadu dan berasaskan pengurusan risiko, selaras dengan perkembangan ancaman keselamatan bukan tradisional yang semakin kompleks.
Mekanisme perkongsian maklumat antara KDN, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), CyberSecurity Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri perlu diperkasakan bagi membolehkan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan. Pendekatan Whole-of-Government (WoG) akan meningkatkan keupayaan negara dalam mengenal pasti serta menangani sebarang risiko keselamatan sebelum ia berkembang menjadi ancaman yang lebih serius.
Aspek keselamatan siber perlu diperkasakan memandangkan komuniti seperti Network School melibatkan penggunaan teknologi strategik seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan infrastruktur digital. Pemantauan keselamatan siber perlu dilaksanakan bagi mengesan sebarang cubaan pencerobohan, pengumpulan data tanpa kebenaran, aktiviti pengintipan siber atau ancaman terhadap sistem kritikal negara.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, isu Network School di Forest City perlu dilihat sebagai kes melibatkan ketidakpatuhan undang-undang, kelemahan tadbir urus organisasi dan pengurusan persepsi awam, bukannya sebagai ancaman keselamatan yang telah disahkan. Tindakan MBIP membatalkan lesen dan menghentikan operasi adalah berasas kerana terdapat pelanggaran berkaitan lesen perniagaan, penggunaan premis dan papan tanda. Walau bagaimanapun, setakat maklumat yang tersedia, tiada bukti kukuh untuk mengklasifikasikan organisasi tersebut sebagai pusat pengintipan, pangkalan Zionis, organisasi keganasan atau ancaman terancang terhadap kedaulatan negara.
Dari perspektif keselamatan negara, kewujudan komuniti teknologi antarabangsa yang menghimpunkan warga asing, pakar AI, blockchain dan aset digital tetap memerlukan penelitian secara menyeluruh. Risiko berkaitan identiti peserta, status imigresen, sumber kewangan, keselamatan siber, pengurusan data dan hubungan dengan entiti asing perlu dinilai berasaskan risikan serta bukti yang sah. Pada masa yang sama, penyebaran tuduhan tanpa pengesahan di media sosial boleh mencetuskan polarisasi, diskriminasi dan ketegangan masyarakat, sekali gus mengalihkan perhatian serta sumber keselamatan daripada ancaman sebenar.
Sehubungan itu, kerajaan perlu mengamalkan pendekatan keterbukaan yang dikawal selia dengan menyeimbangkan kepentingan keselamatan negara dan usaha menarik pelaburan teknologi. Kerjasama bersepadu antara KDN, PDRM, JIM, MCMC, CyberSecurity Malaysia, MKN, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu diperkukuh melalui pendekatan Whole-of-Government. Penguatkuasaan yang konsisten, saringan keselamatan berasaskan risiko serta komunikasi awam yang pantas dan tepat amat penting bagi memastikan isu pematuhan tidak berkembang menjadi krisis keselamatan, sosial dan reputasi negara