Pandemik Covid-19 Dan Pengaruh Terhadap Dunia Terorisme

Penularan wabak virus Coronavirus @ COVID 19 kini telah mencecah lebih 40 juta orang penduduk di seluruh dunia dengan mencatatkan kematian lebih 1 juta orang. Penyebaran virus ini berlaku disebabkan pergerakan manusia dari satu tempat ke tempat lain. Ia boleh berjangkit melalui titisan air ataupun lendir daripada invidu pembawa kepada individu lain. Seperti yang digembar-gemburkan, virus ini dikesan di Wuhan, China pada bulan Disember 2019 dan merebak keluar pada bulan Januari 2020. Wabak COVID 19 diisytiharkan sebagai pandemik oleh World Health Organisation (WHO) pada bulan Mac 2020. Persoalannya, sejauhmanakah penularan pandemik ini mempengaruhi persekitaran terorisme pada ketika ini? Adakah dengan adanya penularan virus merbahaya ini mampu menyekat dan menghalang aktiviti keganasan mahupun terorisme di mana-mana?

Propaganda Covid 19 Oleh Rangkaian Pengganas

Sejak bulan Mac 2020, media kumpulan Daesh iaitu Al-Naba telah mengeluarkan kenyataan pertama berhubung virus COVID 19. Kenyataan ini adalah berbentuk amaran Daesh kepada rangkaian dan pengikutnya di seluruh dunia agar menjauhi Eropah ekoran penularan COVID 19. Dalam propaganda ini, Daesh menganggap benua Eropah sebagai ‘land of endemic’.

Pada minggu pertama bulan April 2020, Daesh mendesak pengikutnya untuk melancarkan serangan keganasan semasa penularan wabak COVID 19 kerana menganggap wabak tersebut sebagai hukuman kepada bukan Islam dan mempamerkan tiada belas kasihan ke atas mereka. Selain itu, Daesh juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Perancis dan Jerman walaupun pada mulanya, menggesa pengikutnya untuk tidak memasuki negara-negara ini ekoran penularan COVID 19 yang tinggi. Perubahan pendirian Daesh ini disebabkan situasi semasa di seluruh dunia yang memberi kesempatan kepada Daesh untuk terus beroperasi.

Daesh tidak akan menghentikan aktiviti keganasan dan terus menggunakan media sosial dan Internet yang mana rancak memainkan isu COVID 19. Daesh menyifatkan bahawa wabak Covid 19 sebagai ‘Tentera Allah’ yang didatangkan untuk membinasakan golongan yang ingkar.

Propaganda Daesh

Insiden-Insiden Keganasan

Di samping pendedahan terhadap adanya propaganda dan naratif Daesh berhubung Covid 19 di media sosial dan Internet, beberapa insiden keganasan telah berlaku sepanjang tempoh ini yang mana aktiviti keganasan ini dilakukan oleh rangkaian Daesh dan kumpulan-kumpulan pengganas lain:

  • Daesh mempunyai rangkaiannya di Afghanistan. Pada 4 April 2020, pemimpin rangkaian Daesh di Afghanistan melalui gerakan ISIS in Khorasan (ISK) iaitu Aslam Farooqi @ Abdullah Orakzai telah ditangkap oleh pihak berkuasa Afghanistan di Kandahar, Afghanistan. Kepimpinan Aslam Farooqi sebelum ini telah menyebabkan banyak serangan keganasan dilakukan di Afghanistan terutama ke atas minoriti etnik Sikh dan penganut Shiah tempatan.
  • Kebelakangan ini, banyak serangan keganasan berlaku di Eropah yang kurang mendapat liputan di media tempatan yang mungkin dianggap tidak signifikan. Sepertimana pada 15 April 2020, pihak polis Jerman telah menangkap 5 suspek pengganas Daesh di North-Rhine Westphalia, Jerman. Kelima-lima suspek adalah warganegara Tajikistan dan dikenali sebagai Azizjon B, Muhammadali G, Farhodshoh K, Sunatullokh K dan Raysan B yang merancang serangan keganasan ke atas pangkalan udara Tentera Amerika Syarikat AS setelah menerima arahan daripada dua anggota tertinggi Daesh di Syria dan Afghanistan sebelum ini. Kelima-lima suspek telah menempah bahan letupan dan senjata api melalui pembelian atas talian. Selain itu, mereka turut merancang serangan ke atas individu yang mengkritik Islam. Suspek-suspek ini telah menyertai jaringan Daesh di Tajikistan pada bulan Januari 2019.
  • Lokasi pelancongan dunia turut menjadi sasaran rangkaian Daesh. Pada 23 April 2020, militan Daesh mengaku di media Al Naba yang pihaknya telah melancarkan serangan ke atas tujuh buah bot di pangkalan Alifu Dhaalu Atoll di Pulau Mahibadhoo, Maldives. Insiden buruk ini telah berlaku pada 15 April lalu yang mana pihaknya telah membakar speedboats dan sea ambulance yang dimiliki oleh syarikat persendirian serta pihak berkuasa tempatan. Pengakuan ini adalah serangan pertama Daesh dalam musim penularan wabak COVID 19.
  • Rangkaian Daesh di Afghanistan melalui gerakan ISK antara rangkaian paling aktif dalam organisasi Daesh. Pada 3 Ogos 2020, rangkaian Daesh Afghanistan iaitu Islamic State in Khorasan (ISK) mengaku bertanggungjawab dalam serangan ke atas sebuah penjara yang menempatkan seramai 1500 orang tahanan di Jalalabad, Afghanistan. Insiden keganasan ini yang berlaku sejak 2 Ogos dan berakhir pada 3 Ogos melibatkan serangan bunuh diri menggunakan kenderaan dan merempuh pintu masuk penjara tersebut. Militan Daesh turut melepaskan tembakan rambang di kawasan penjara yang mengakibatkan seramai 29 orang terbunuh terdiri daripada orang awam, tahanan penjara, pihak berkuasa Afghanistan dan pengawal keselamatan penjara.  Sebanyak 48 orang cedera parah.
  •  Serangan daripada rangkaian Daesh tidak terhenti di Afghanistan dan Eropah. Ia turut merebak ke Asia Tenggara sepertimana dua kes serangan bunuh diri oleh Kumpulan Abu Sayyaf (KAS) ke di Jolo, Selatan Filipina pada 24 Ogos 2020. Kedua-dua serangan yang berlaku dipercayai dilakukan oleh dua penyerang wanita Abu Sayyaf yang membunuh 16 orang termasuk orang awam dan anggota tentera. Sebanyak 48 lagi orang turut cedera di tempat kejadian.  
  • Asia Selatan turut tidak terkecuali. Pada 19 September 2020, sebanyak 9 suspek anggota kumpulan Al-Qaeda telah ditangkap oleh National Investigation Agency (NIA) di Ernakulam, Kerala dan Murshidabad di Bengal serta Kerala di India kerana merancang serangan keganasan di New Delhi, India. Agensi ini mendakwa kesemua suspek tersebut ditangkap kerana mempunyai kaitan dengan modul rancangan rangkaian Al-Qaeda dari Pakistan. Antara barangan rampasan milik kesemua suspek adalah seperti  peranti digital, dokumen, bahan bacaan berunsur ekstremisme, senjata tajam, senjata api, perisai buatan tempatan dan manual panduan membuat bahan letupan.
  • Benua Afrika turut sama tidak terkecuali dengan ancaman rangkaian militan Daesh. Pada 27 September 2020, rangkaian militan Daesh di Afrika iaitu kumpulan Islamic State of West African Province (ISWAP) telah mendalangi satu serangan ke atas konvoi Gabenor Borno State, Babagana Zulum di Nigeria. Serangan ISWAP ini telah mengakibatkan 21 orang mati termasuk 11 anggota polis, 6 anggota tentera dan4 orang awam.
  • Dunia telah dikejutkan dengan pembunuhan kejam seorang guru di Perancis. Pembunuhan kejam ke atas seorang guru sekolah iaitu Samuel Paty telah berlaku di Conflans-Sainte-Honorine di Perancis pada 16 Oktober 2020. Pembunuhan ini dikaitkan dengan permasalahan ekstremisme iaitu satu lagi cabang permulaan terorisme. Mayat guru terbabit telah ditemui dengan kepala dipenggal berdekatan dengan College du Bois d’Aulne di Paris. Guru tersebut telah dibunuh oleh seorang penyerang, Abdoullakh Anzorov (18 tahun). Punca kejadian adalah selepas guru terbabit mempamerkan karikatur Nabi Muhammad S.A.W yang diterbitkan dalam majalah Charlie Hebdo kepada murid-muridnya untuk perbincangan subjek kebebasan bersuara di dalam kelas beberapa hari sebelum dibunuh. Serangan adalah disebabkan perasaan dendam lelaki tersebut terhadap tindakan guru terbabit yang dianggap menghina Nabi Muhammad SAW. Pihak berkuasa Perancis menyifatkan serangan ini sebagai serangan pengganas Islamis dan pembunuhan yang berkaitan dengan organisasi pengganas iaitu Daesh kerana adik perempuan penyerang pernah ke Syria untuk menyertai Daesh pada tahun 2014.
  • Di Malaysia, gerakan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengeluarkan artikel provokasi dalam talian rasmi gerakan ini iaitu mykhilafah.com. Artikel yang bertajuk ‘Coronavirus dan Keruntuhan Tatacara Dunia’ merupakan artikel yang diterjemah dan diolah daripada tulisan asal oleh Dr. Mohammad Malkawy. Artikel ini telah mengkritik barat khususnya Amerika Syarikat yang berpegang kepada sistem kapitalis dan Rusia (sistem sosialis) sebagai penghalang kepada penubuhan Khilafah Islamiyah. Artikel ini menyatakan bahawa penularan wabak Covid 19 ini telah memberi implikasi kejatuhan buruk terhadap aspek ekonomi dan kewangan dunia yang menggunakan kedua-dua sistem tersebut. Pada masa yang sama, memperkatakan inilah masa yang sesuai untuk kembali kepada pemerintahan Khilafah. Selain itu, HTM juga mempersoalkan Solat Jumaat yang tidak ditunaikan kerana saranan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri ekoran wabak COVID 19. HTM menganggap ia adalah keputusan Kerajaan yang bersifat double standard dengan membandingkan orang awam menjalankan kehidupan harian seperti ke pejabat ataupun ke pasaraya. Menurut Amir HT, Syeikh Atha’ Abu Ar-Rasytah, Solat Jumaat tetap wajib ditunaikan walaupun dalam keadaan wabak dengan perlunya ada langkah-langkah pencegahan seperti memakai topeng muka dan menjaga kebersihan diri serta terkecuali kepada yang uzur. Hujah agama yang digunakan oleh HTM ini akan mengelirukan umat Islam kerana mereka menggalakkan orang awam mengingkari arahan pemerintah (Ulil Amri). Pandangan dan fatwa sempit sebegini akan mencetuskan kekeliruan dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat umum. Implikasi buruk boleh timbul bukan sahaja melibatkan pelanggaran PKP malah mungkin akan mencetuskan kluster pesakit Covid 19 yang baharu dalam kalangan pengikut HTM  yang kelak disebarkan kepada orang awam dan sebagainya.

Apa Yang Boleh Dijangka?

  • Propaganda dan naratif COVID-19 oleh Daesh melalui Al-Naba adalah satu cubaan Daesh untuk dilihat relevan dan hebat di mata pengikutnya walaupun berhadapan dengan kekalahan teruk kerana kempen memerangi militan ini di Syria dan Iraq sebelum ini. Militan Daesh melalui rangkaiannya masih ke arah penyebaran propaganda dan ideologi secara virtual di media sosial untuk bacaan umum orang awam.
  • Krisis penularan COVID-19 tidak memberi kesan dan menjejaskan operasi rangkaian pengganas dan Daesh di rantau Asia Tenggara, Asia Barat, Afrika dan Asia Selatan. Situasi terkini menyaksikan aktiviti keganasan kumpulan-kumpulan pengganas tempatan masih bebas beroperasi seperti biasa dalam konteks tempatan. Kumpulan-kumpulan pengganas di Selatan Filipina seperti Kumpulan Abu Sayyaf (KAS), Dawlah Islamiyah dan di Indonesia seperti Jamaah Anshorut Daulah Mujahidin Indonesia Timur (MIT) serta Jemaah Islamiyah terus memberi ancaman kepada keselamatan Filipina dan Indonesia dan juga Malaysia.
  • India berhadapan dengan demonstrasi bantahan penganut Islam tempatan terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan atau Citizenship Amendment Act (CAA) yang membenarkan golongan imigran bukan Islam dari negara jiran India seperti Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan menjadi warganegara tempatan. Pindaan ini diterajui oleh Perdana Menteri India, Narenda Modi. Ia dilihat sebagai dasar diskriminasi dan anti-Islam serta memberi perasaan tidak hati dalam kalangan masyarakat Islam tempatan yang membawa kepada penindasan terhadap mereka di India. Pada masa yang sama, ia turut memberi kesan kepada isu Kashmir. Ketidaktentuan situasi ini boleh memberi peluang kepada rangkaian pengganas yang wujud di India melalui gerakan Wilayah al-Hind, Al-Qaeda in The Indian Continent, Jamiatul Ansar – Harkat Al Mujahidin, Jamaat Al Mujahidin dan Lashkar E-Taiban serta gerakan radikal Islamis tempatan untuk melancarkan serangan ke atas Kerajaan India pada bila-bila masa kerana tidak puas hati terhadap perkembangan CAA.
  • Rangkaian pengganas juga boleh memberi ancaman dari segi Chemical, Biological, Radiological and Nuclear (CBRN) yang melibatkan senjata biokimia seperti Antraks, Nerve Agent Sarin dan Triacetone Triperoxide (TATP). Kemunculan virus COVID-19 sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada gerakan pengganas yang memiliki keupayaan untuk mencipta virus maut seumpama pada masa akan datang untuk mencetuskan situasi panik dan ketakutan. Mereka berpotensi melancarkan serangan low method with high impacts menggunakan kaedah ini.
  • Serangan yang dilancarkan pengganas semasa wabak COVID-19 oleh rangkaian pengganas berupaya melumpuhkan aspek ekonomi sesebuah negara. Gerakan pengganas mengambil peluang ini untuk merencatkan ekonomi yang menjadi kekuatan pembangunan sesebuah negara. Keadaan ini boleh memberi peluang kepada rangkaian pengganas untuk memanipulasikan aspek kapitalis dan sosialis yang diamalkan di kebanyakan negara dan menganjurkan aspek ekonomi Islamik mengikut acuan Salafi Wahabi bertujuan membangunkan Khilafah Islamiyah. Selain itu, rangkaian pengganas lain juga boleh bertindak seumpama khususnya dalam kalangan gerakan ekstremis Haluan Kanan dan gerakan etno-nasionalis dengan mengkritik Kerajaan yang sedia ada sebagai gagal dan tidak kredibel dalam menangani isu wabak yang memberi kesan buruk kepada ekonomi negara. Kelompok-kelompok ini boleh menyebarkan propaganda dan agenda mereka untuk meraih simpati orang awam.
  • Berhubung dengan wabak COVID 19 dan kaitannya dengan ancaman ekstremisme dan keganasan dalam negara, ada segelintir gerakan dan pengikut ekstrem yang mengeluarkan mesej dan hujah agama mengenai COVID 19 untuk mempengaruhi pengikut mereka supaya mengingkari arahan pemerintah. Adalah tidak mustahil dalam tempoh PKP yang dikuatkuasakan akan wujud segelintir umat Islam yang tidak berpuas hati dengan arahan kerajaan terutamanya dalam aspek larangan menunaikan solat Jumaat, solat Terawih berjemaah dan aktiviti-aktiviti agama. Naratif dan hujah agama ini dikeluarkan untuk membandingkan dengan hujah saintifik yang dianggap bidaah. Doktrin dan tafsiran agama yang sempit ini boleh mendorong pengikut ekstrem untuk melakukan kekerasan serta berpotensi untuk melanggar arahan pemerintah kerana taksub dengan fatwa-fatwa dari kelompok serta pemimpin mereka.

Dengan timbulnya insiden keganasan seperti yang dikongsi jelas memberi petunjuk bahawa ancaman keganasan masih terus berlaku di musim COVID-19. Rangkaian pengganas seperti Daesh jelas hanya memanipulasikan Islam dan jihad demi mencapai objektif dan hawa nafsu politik kumpulan tersebut. Perjuangan yang diperjuangkan tidak menggambarkan sama-sekali jihad dan syahid tetapi lebih kepada kepentingan perjuangan pemimpin organisasi sehingga mengorbankan orang awam yang tidak bersalah, menentang kerajaan dengan menyerang pasukan keselamatan dan menggadaikan anggota sendiri untuk serangan bom berani mati ataupun bunuh diri. Keganasan yang dilakukan ternyata adalah senjata lemah organisasi ini dalam mencapai matlamat dan bertujuan untuk menakutkan orang awam dan pihak kerajaan.

Posted in Analisis and tagged , , , , , , , , .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *