NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN KELAPAN

Adakah Tauhid Hakimiyah Mengarah Kepada Penegakan Sebuah Daulah dan Khilafah?

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan


Tauhid Hakimiyah adalah pandangan bahawa kedaulatan politik sepenuhnya adalah milik Allah S.W.T. Hujah yang digunakan adalah, kedaulatan Allah S.W.T ini sepatutnya dibuktikan dalam bentuk penerapan hukum-hukum Allah S.W.T dalam mengatur kehidupan sosial dan masyarakat. Oleh kerana Allah S.W.T sebagai Pencipta maka Dialah yang paling tahu syariat bagi ciptaaanNya dan Dialah yang paling berhak membuat syari’at bagi ciptaanNya. Justeru, sesiapa yang membuat undang-undang yang bertentangan dengan syari’at Islam bererti telah merampas hak tasyri’ (hak membuat undang-undang) Allah S.W.T bagi ciptaanNya dan dalam ertikata yang lain mereka adalah golongan musyrik.

Menurut Tibi Bassam, slogan politik Islam yang selalu disebut oleh golongan fundamentalis sebagai din wa ’ad daulah (hubungan antara agama dan negara) adalah ciptaan kreatif berdasarkan teks dan tradisi. Formula yang dikaitkan dengan Islam ini sebenarnya tidak ada dalam Al Quran mahupun hadis. Begitu juga dengan konsep tauhid hakimiyah dan konsep Negara Islam yang merupakan ciptaan tokoh-tokoh Islam seperti Sayyid Qutb, Al Banna, Al Maududi dan an Nabhani. Kedua-dua ciri tauhid hakimiyah dan Negara Islam ini menunjukkan ciri-ciri fundamentalis.[i] Menurut Ali Syua’aibi pula, mendefinisikan akidah Islamiyah berdasarkan kriteria Tauhid Hakimiyah adalah satu kesilapan. Istilah itu adalah ciptaan manusia dan tidak pernah disebut dalam Al Quran mahupun hadis.[ii]  

Sebenarnya, cabang Tauhid Hakimiyah (di era Darul Islam cabang tauhid ini dikenali juga sebagai Tauhid Mulkiyah) sudah termasuk di dalam Tauhid Rubbubiyah.[iii]  Justeru, ia adalah salah satu manipulasi atau penambahan kepada istilah yang sedia ada sedangkan ia mempunyai maksud yang sama. Menurut Bassam dan Culvert juga, konsep Negara Islam dan Tauhid Hakimiyah ini hanyalah penemuan baru yang dimasukkan dalam pemikiran Islam kontemporari. Kedua-duanya dengan jelas menunjukkan ciri-ciri fundamentalis.[iv] Seruan ke arah din wa’ad daulah (penyatuan agama dan negara) yang menjadi gagasan dan slogan kumpulan-kumpulan fundamentalis di merata dunia sebenarnya adalah ciptaan dari teks dan tradisi di zaman kegemilangan Islam sebelum ini. Gagasan atau seruan ini tidak ada tercatat dalam Al Quran mahupun teks-teks hadis atau sumber-sumber sejarah yang berautoriti.[v] Pengenalan kepada istilah-istilah baru ini sebenarnya adalah untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan mereka di dalam memerangi musuh-musuh Islam malah untuk menjustifikasikan tindakan takfir mereka terhadap segolongan umat Islam yang lain. Buku ini melihat bahawa tafsiran dan pengenalan istilah-istilah tauhid yang baru ini lebih kepada untuk menghalalkan tindakan pengikut golongan fundamentalis dalam konteks jihad qital, irhabiyah, fa’i[vi]dan takfir.

Menurut Azyumardi Azra, seorang tokoh Islam kontemporari di Indonesia, konsep khilafah atau Daulah Islamiyah ini tidak diperlihatkan atau diperjuangkan oleh organisasi Islam yang besar di Indonesia seperti Nahdatul Ulama dan Muhamadiyah. Ini adalah kerana pemimpin-pemimpin organisasi ini percaya bahawa konsep Khilafah dan Daulah Islamiyah tersebut hanyalah ciptaan tokoh-tokoh pemikir Islam sebelum ini hasil dari pengalaman umat Islam berhadapan dengan dominasi masyarakat Barat dan praktik negara bangsa. Dalam konteks luar dari Jazirah Arab, beberapa kumpulan fundamentalis mengambil contoh dan sangat di pengaruhi oleh kumpulan dari Timur Tengah maka penampilan mereka mirip kepada apa yang berlaku di sana. Dari segi penampilan keagamaannya golongan fundamentalis ini menganut fahaman ideologi salafi radikal dan dalam pandangan politiknya mereka percaya kepada konsep ‘khilafahtisme’ iaitu kepercayaan untuk menegakkan sebuah khilafah untuk semua umat Islam di dunia ini.[vii]

Perkara pertama yang harus diakui bahawa tidak ada konsep negara Islam yang dinyatakan dalam Al Quran mahu pun hadis.[viii] Di dalam Al Quran cuma ada dinyatakan konsep ummah (masyarakat) yang berasaskan dua teras iaitu adil dan ihsan. Ummah perlu dibangunkan berasaskan kedua-dua teras ini dan bukannya konsep negara.[ix] Menurut Munawir Syadzali, bekas Menteri Agama Indonesia (1983-1993), Islam tidak mempunyai pilihan konsep atau teori tertentu tentang pembentukan sesebuah negara dan sistem pemerintahannya. Justeru, Islam tidak secara spesifik mewajibkan penganutnya untuk mendirikan negara apatah lagi sebuah negara yang bersifat teokratik. Walaupun Islam tidak menentukan satu kosep yang rigid tentang bentuk sesebuah negara tetapi Islam memberikan nilai-nilai atau prinsip-prinsip seperti keadilan, mesyuarah dan persamaan dalam sesebuah negara.[x] Menurut Mahmood Zuhdi pula, persoalan tentang pemerintahan Islam itu meliputi bidang yang amat luas yang merangkumi konsep asas pemerintahan itu sendiri, falsafah dan objektif penubuhannya, faktor-fakor yang membolehkannya ditubuhkan, institusi-institusi yang diperlukan, hak dan kewajipan pemerintah dan rakyat serta pelbagai aspek lain.  Semua ini melibatkan ayat-ayat Al Quran dan hadis Rasullullah yang amat banyak.[xi]

Bersambung…


[i] Lihat Bassam, Tibi, 1998: 188.

[ii] Lihat Ali Syu’aibi Gills, 2004:41.

[iii] Lihat Hersi Mohamed Hilole, 2012:69.

[iv] Bassam, Tibi, 1998:156-158, Culvert::2007:182.

[v] Martinez A, Patricia: 2003:69).

[vi] Fai’ adalah salah satu bentuk penyelewengan syariat Islam. Orang-orang yang berfahaman seperti ini menggunakan istilah fai’ untuk membenarkan perbuatan mereka. Ini adalah kerana fai’ ertinya rampasan perang yang diperolehi tanpa peperangan atau pertentangan senjata. Berbeza dengan istilah ghonimah yang juga bererti harta rampasan perang setelah terjadinya pertempuran. Untuk memahami tentang istilah fai’ dan lain-lain istilah yang berkaitan dengannya seperti nafal, tawanan, jizyah dan kharaj lihat Abdul Ramdhun, 1994, Al  Jihad Sabiluna;Jihad dan Perjuangan Kami, Pustaka Al Alaq, Solo, hlm 313-325. Lihat juga Khairul Ghazali; 2011, Aksi Perampokan Bukan Fai, Grafindo, hlm 7-11.

[vii] Azyumardi Azra:2003.

[viii] Bakhtiar Effendy, 2001:71, Bassam, Tibi, 1998:156, Tarek Fatah:2008:38.

[ix] Asghar Ali:2006.

[x] Munawir, Syadzali, 1990:16.

[xi] Mahmood Zuhdi: 2010:17.

Posted in Esei and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *