NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN KETUJUH

Bagaimana Ideologi Berkembang Menjadi Matlamat Perjuangan

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan


Adakah agama itu sebuah ideologi? Menurut Prof Dr Bakhtiar Effendy, jawapan yang akan diberikan akan mempengaruhi dan membentuk pandangan kita mengenai hubungan antara agama dan ideologi. Sebagai suatu ”instrumen” Allah S.W.T untuk memahami dunia, agama mendapat tempat yang penting dalam kehidupan manusia. Berdasarkan ciri-ciri agama tersebut, dalam pandangan penganutnya, agama di anggap sebagai rujukan dan sumber panduan bagi tindakan manusia. Justeru, Bakhtiar Effendy berpendapat bahawa walaupun agama itu bukan merupakan satu ideologi tetapi tidak dapat dinafikan bahawa agama adalah merupakan salah satu sumber kepada ideologi.[i]

Apakah yang dimaksudkan dengan ideologi dan bagaimanakah istilah ideologi itu dapat diterangkan. Menurut Kamus Oxford, ‘ideology’ didefinisikan sebagai (1) a set of ideas that an economic or political system is based on; (2) a set of beliefs, especially one held by a particular group, that influences the way people behave. Sedangkan menurut Martin Hewitt, ‘ideology’ adalah “the system of ideas and imagery through which people come to see the word and define their needs and aspiration”, dan “a system of ideas, beliefs and values that individuals and societies aspire toward.”[ii] Pengkaji yang lain pula menerangkan secara prinsipnya ideologi boleh dikategorikan kepada tiga elemen utama iaitu pertamanya, ideologi sebagai satu kesedaran palsu, keduanya, ideologi yang berbentuk neutral dan yang ketiga adalah ideologi dalam bentuk keyakinan yang tidak ilmiah.[iii] Definisi ideologi yang pertama, iaitu sebagai satu kesedaran palsu biasanya digunakan oleh kalangan filosofi dan ilmuwan sosial. Ideologi ini adalah bersandarkan kepada teori-teori yang tidak berorientasi pada kebenaran melainkan ia mempunyai kepentingan kepada pihak yang mempropagandakannya. Ideologi juga dilihat sebagai perjuangan kelas atau kelompok sosial tertentu dalam masyarakat yang berkuasa untuk melegitimasikan kekuasaannya.

Kategori yang kedua adalah ideologi dalam bentuk yang neutral. Di dalam konteks ini ideologi didefinisikan sebagai keseluruhan sistem berfikir, nilai-nilai, dan sikap serta dasar suatu kelompok sosial atau kebudayaan tertentu. Definisi yang kedua ini biasa dilihat dalam negara-negara yang menganggap penting adanya suatu “ideologi negara”. Ia dinamakan neutral kerana kebaikan atau keburukan sesuatu ideologi itu bergantung sepenuhnya kepada isi ideologi tersebut. Definisi ketiga bagi ideologi adalah keyakinan yang tidak ilmiah dan biasanya digunakan dalam falsafah dan ilmu-ilmu sosial yang positivistik. Segala bentuk pemikiran yang tidak dapat dibuktikan secara logik-matematik atau empirikal adalah suatu ideologi. Segala masalah etika dan moral, anggapan-anggapan normatif dan pemikiran-pemikiran metafizik termasuk dalam wilayah ideologi.[iv] Untuk menerangkan fenomena fundamentalisme dan radikalisme, definisi yang kedua boleh diaplikasikan kepada gerakan-gerakan radikal ini bagi memahami ideologi dalam konteks sebuah gerakan Islam kontemporari.

Bagi memahami apakah faktor-faktor yang menjadi pemangkin dan menyatukan pengikut gerakan fundamentalis radikaldan apakah matlamat perjuangan mereka, maka terlebih dahulu perlu difahami apakah ideologi yang menjadi ikutan dan pegangan. Ini adalah kerana setiap gerakan Islam muncul berdasarkan idea yang dibawa dan dari idea-idea ini, pemimpin-pemimpin melahirkan ideologi mereka.[v] Ideologi pula akan melahirkan matlamat atau secara lebih tepatnya ideologi merangkumi kepercayaan, prinsip-prinsip, tujuan dan matlamat yang menyatukan serta memperkukuhkan sesuatu kumpulan. Dengan dipengaruhi oleh ideologi yang dirangsang oleh pemimpin sesuatu kumpulan yang mempunyai motivasi yang tinggi akan mengambil beberapa langkah kehadapan untuk mencapai objekif serta matlamat perjuangan mereka.[vi]

Mengapa Munculnya Radikalisme Dalam Agama

Terdapat banyak kajian yang menganalisis dan mentafsir tentang radikalisme dan kekerasan yang dilakukan atas nama agama. Tidak dapat dinafikan bahawa sumber kepada elemen radikalisme dan kekerasan adalah berpunca dari faktor sosial dan politik. Kekerasan sebagai fenomena yang kompleks pada umumnya lahir dari faktor-faktor yang juga kompleks dan rumit. Dua perkara yang menyumbang kepada radikalisme secara umum boleh dikategorikan sebagai faktor domestik dan faktor antarabangsa. Faktor domestik disebabkan oleh isu-isu seperti kegawatan ekonomi, ketidakadilan, situasi politik dan pemerintahan, kondisi sosial yang gawat serta faktor-faktor lain yang berkaitan dengan ciri budaya dan masyarakat. Faktor antarabangsa pula disebabkan oleh ketidakadilan global, dasar luar negara oleh negara-negara besar dan kerumitan hubungan antara negara dalam sistem antarabangsa. Gabungan dari kedua-dua faktor ini bertemu dalam situasi dan kondisi yang tidak dapat diramal dan dikawal lalu mencetuskan radikalisme atau kekerasan.

Menurut Amstrong, kemunculan fenomena fundamentalis agama baik dalam agama Islam, Kristian atau Yahudi adalah berkait rapat dengan tindakbalas atau respon dari penyebaran sekularisme dan mordenisasi yang agresif yang dianggap bukan sahaja meminggirkan agama sebagai urusan peribadi tetapi juga untuk memelihara agama dari pemusnahan oleh sekularisme dan modernisasi itu.[vii] Menurut Mohamad Faisal Hassan dari Nanyang Technological University Singapura pula, antara  ciri-ciri gerakan radikal Islam ialah mereka hanya menerima ideologi mereka sahaja sebagai ideologi yang betul, orang yang tidak menerima ideologi mereka dianggap kafir, memperkenalkan konsep al wala al bara (kawan dan lawan), mereka membentuk satu jama’ah yang eksklusif untuk pengikut mereka sahaja, mereka mempunyai jaringan yang khusus, mereka mengambil konsep dari pemimpin mereka sahaja (Amir) dan akhir sekali menjadikan jihad sebagai jalan untuk mencapai matlamat perjuangan.[viii]

Terdapat pandangan yang mengaitkan agama dengan kekerasan seolah-olah ada gabungan atau kaitan di antara keduanya yang menjurus kepada fenomena kekerasan agama (religion-violence).  Menurut Juergensmeyer, kekerasan agama ini telah melahirkan konflik antara manusia khususnya di kalangan penganut agama. Dalam konteks ini, agama sering dijadikan sebagai sumber ideologi, motivasi dan struktur organisasi bagi pelaku kekerasan atas nama agama.[ix] Mereka menggunakan hujah agama untuk membenarkan tindakan kekerasan dan radikal seperti mana yang dipamerkan oleh gerakan-gerakan seperti Daesh, Darul Islam, JAD dan Al Jama’ah Al Islamiyah.

Pengikut-pengikut jama’ah ini menggunakan dalil dan hujah yang dipetik dari Al Quran dan hadis yang mana bersesuaian untuk menghalalkan tindakan mereka.  Faktor ini amat mempengaruhi pengikut-pengikut yang dahaga kepada agama dan mempunyai sifat fanatik terhadap keagamaan dan lanjutan dari itu mereka amat mudah untuk direkrut, dipengaruhi atau dimanipulasi. Kumpulan-kuumpulan seperti Daesh, Darul Islam, JAD dan Al Jama’ah Al Islamiyah ini mempunyai ciri-ciri ekslusif dan kebanyakan pengikut jama’ah ini hanya berinteraksi di dalam lingkungan ”keluarga jama’ah” mereka sahaja. Justeru, sikap keterbukaan dan berlapang dada amat sukar dilihat dalam jamaah-jamaah sebegini. Secara teologi  umat Islam yang mengkaji ayat-ayat Al Quran akan berjumpa dengan ayat-ayat dan hadis Nabi S.A.W  yang menjustifikasikan mereka untuk menentang musuh-musuh agama dengan tindakan kekerasan.  Sebenarnya, fenomena ini turut berlaku di dalam agama-agama lain seperti Yahudi dan Kristian tetapi artikel ini hanya akan membincangkan radikalisasi yang berlatarbelakangkan ajaran Islam.

Menurut Aguk Irawan, asas kepada radikalisme dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua iaitu pertamanya asas keterpilihan (al istifa’iyyah) dan keduanya adalah  pemilik kebenaran yang mutlak (tamalluk al haqiqah al mutlaqah).[x] Asas keterpilihan  bermaksud Allah S.W.T hanya memilih satu agama sahaja yang mendapat rahmatNya.[xi] Perkara ini diperkuatkan dengan ayat Al Quran yang menyatakan hanya agama Islam sahaja yang mendapat rahmat dan keredhaan dari Allah S.W.T. Lihat ayat dalam Surah Al Ma’idah ”Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu” ( Al Ma’idah: [5] :3). Bertitik tolak dari kefahaman tentang ayat-ayat Al Quran ini maka segelintir umat Islam merasakan bahawa hanya agama mereka sahaja yang betul manakala agama lain mesti ditentang dan dimusuhi. Lanjutan dari itu, Allah S.W.T telah memilih seorang RasulNya untuk menyampaikan agama tersebut diikuti oleh sahabat-sahabat kepada rasul tersebut untuk menyebarkan ajaran dakwah yang di pelopori oleh Rasul tesebut dan diikuti oleh tabi’in, tabi al-tabi’in dan generasi-generasi seterusnya. Justeru, ia memberi indikasi bahawa Allah S.W.T telah menunjukkan bahawa umatNya sebagai umat pilihan di atas umat-umat yang lain. 

Asas yang kedua adalah  perbahasan mengenai pemilik kebenaran yang mutlak (tamalluk al haqiqah al mutlaqah) yang bermaksud bahawa setiap umat manusia di dunia ini sama ada yang beragama Islam, Yahudi, Buddha, Kristian dan lain-lain meyakini bahawa hanya ada satu agama sahaja yang benar di dunia ini iaitu agama mereka sendiri dengan menafikan kebenaran dalam agama lain dan kepercayaan umat lain. Hujah Kebenaran Yang Mutlak ini disandarkan dari ayat seperti ” Barangsiapa mencari agama selain dari agama Islam, maka sesekali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” (Ali Imran [3]: 85) dan ayat ” Dan telah kami turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu (Al Ma’idah [5]:48).[xii] Hujah pemilik kebenaran mutlak (absolute truth) ini diyakini oleh semua pemeluk agama anutan masing-masing termasuk agama Islam sendiri dan inilah yang menyuburkan benih-benih radikalisme dalam agama.

Di dalam konteks agama Islam munculnya gerakan-gerakan dakwah yang berlatarbelakangkan agama menyandarkan dan menjustifikasikan kewujudan mereka dengan ayat-ayat yang dipetik dari Al Quran tersebut dan perkara inilah yang menjadi akar kepada radikalisme dalam Islam.[xiii]  Implikasi dari kedua-dua asas keterpilihan dan kebenaran mutlak ini menyebabkan sesuatu kelompok merasakan diri mereka kelompok yang terbaik berbanding dengan kelompok yang lain yang bertentangan dengan fahaman atau ideologi yang mereka amalkan. Kelompok yang tidak sefahaman dan berlawanan ideologi ini dianggap salah dan perlu diperbetulkan serta perlu didakwahkan mengikut versi kebenaran yang mereka fahami. Justeru, fenomena ini menjurus kepada penegakan kebenaran dalam bentuk kekerasan demi memperjuangkan matlamat serta objektif perjuangan gerakan mereka. 

Satu lagi aliran atau ideologi lain tentang perkara-perkara yang menjadi akar kepada radikalisme dalam agama Islam adalah bersangkut paut dengan konsep Darul Harb (Negara Kafir), harta rampasan perang dan hijrah. Golongan fundamentalis radikal melihat dunia ini dalam bentuk ”hitam atau putih” (binari – dikotomi) di mana mereka melihat hanya ada dua bentuk pemerintahan sahaja iaitu pemerintahan Islam (Darul Islam) dan pemerintahan kafir (Darul Harb). Dalam konsep Darul Harb golongan ini percaya bahawa mereka berada dalam kondisi/wilayah perang. Dalam konteks pengikut Daesh contohnya,  mereka menganggap bahawa di dalam situasi di mana mereka berada dan tinggal sekarang (sebagai contoh di Syria, Iraq, Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina) adalah situasi Darul Harb (negara kafir). Ini adalah kerana negara yang  tidak melaksanakan syariat Islam maka semua yang terlibat dengan pemerintah sama ada penjawat awam mahupun pemimpin-pemimpinnya adalah dianggap kafir walaupun mereka beragama Islam.

Justifikasi golongan ini adalah, penjawat awam dan pemimpin Islam ini dianggap bersengkongkol dengan orang kafir untuk tidak melaksanakan syariat Islam. Justeru, kesemua mereka ini layak dan harus di perangi dalam rangka menegakkan dakwah dan Negara Islam dan kaedahnya adalah jihad. Lanjutan dari itu, timbul pula konsep kedua mengenai harta rampasan perang di mana apabila sesebuah negara itu sudah diisytiharkan sebagai Darul Harb maka segala harta benda pemerintah dan rakyatnya halal untuk dirampas menerusi kaedah fai’ (terdapat perbezaan di antara istilah  fai’ dengan ghonimah dan akan dijelaskan selanjutnya). Oleh kerana pemikiran mereka mengatakan yang mereka berada dalam wilayah perang (Darul Harb) maka harta benda milik musuh yang dirompak itu dikira sebagai harta rampasan perang. Mudahnya golongan ini menghalalkan tindakan mereka. Seterusnya muncul pula konsep yang ketiga iaitu berkenaan dengan hijrah. Di dalam hal ini, bekas pemimpin Jamaah Islamiyah iaitu Abu Bakar Ba’asyir telah menerangkan bahawa terdapat 3 peringkat di dalam rangka menegakkan Dienul Islam iaitu dakwah, jihad dan hijrah.

Berkenaan dengan hijrah beliau menekankan bahawa keperluan untuk pergi ke satu tempat yang baru yang lebih kondusif serta bebas dari gangguan dan tekanan untuk melaksanakan dakwah dan sekiranya tidak mampu hendaklah menentang di dalam hati kerana ia adalah selemah-lemah iman. Manifestasi konsep hijrah ini boleh dilihat dari beberapa tindakan golongan fundamentalis radikal termasuklah pengikut jama’ah ini melalui tindakan mereka yang tidak mahu solat berjama’ah di belakang imam yang di lantik oleh pemerintah mahu pun menunaikan ibadah di premis-premis ibadat yang dibina oleh kerajaan, tidak membayar zakat kepada pemerintah serta tidak menghantar anak ke sekolah kerajaan. Golongan sebegini merasakan mereka adalah satu golongan eksklusif yang terasing dan lebih Islamik yang kononnya bebas dari sebarang bentuk kemusyrikan dan bida’ah.

Contoh masyarakat eksklusif ini boleh dilihat dalam komuniti yang dibina di Lampung, Indonesia dan di Pesantren Lukmanul Hakiem, Johor Baharu. Fenomena sebegini malah pernah berlaku suatu masa dulu di Malaysia dan ini menjelaskan tentang pemikiran dan ideologi golongan fundamentalis atau radikal ini. Pengikut di Maahad Ittiba As Sunnah di Kg Parit, Kuala Pilah , Negeri Sembilan pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan kerana mendirikan solat Jumaat secara berasingan seramai 5 orang sahaja di Ma’ahad tersebut pada tahun 2011 sedangkan masjid yang disediakan oleh kerajaan hanya beberapa meter sahaja dari ma’ahad tersebut.[xiv] Setelah menilai perkara-perkara yang menyumbang kepada radikalisme ini maka dapat disimpulkan bahawa radikalisme agama baik sebagai fenomena beragama mahupun dalam kaitannya dengan tindakan-tindakan kekerasan yang sering dikaitkan dengan agama bukanlah satu gejala yang terjadi dengan sendirinya.

Di dalam konteks politik dan sosial, pengikut golongan fundamentalis boleh dianggap sebagai sebuah kelompok yang tersisih dan dipinggirkan. Tersisihnya mereka bukan disebabkan mereka adalah golongan minoriti tetapi disebabkan ideologi mereka bertentangan dengan golongan umat Islam arus perdana (mainstream). Tersisihnya mereka juga disebabkan oleh ciri-ciri eksklusif yang mewarnai gerakan fundamentalis seperti yang telah dibincangkan. Situasi begini menjadikan mereka sebuah kelompok yang eksklusif dan terasing. Fenomena sebegini tidak berlaku kepada sesebuah parti politik yang berjuang dan bergerak dalam jalur formal dalam sesebuah negara. Aksi kekerasan dan keganasan yang mereka terjemahkan adalah manifestasi dari kekecewaan terhadap kondisi dalam sistem sosial yang tidak mampu mengakomodasikan pemahaman mereka terhadap ideologi mereka yang sangat rigid tentang penerapan syariat Islam dalam pemerintahan mahupun cita-cita untuk menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah.

Kedudukan kelompok-kelompok Islam radikal yang tersisih ini menyebabkan mereka merasa sukar untuk memperjuangkan ideologi melalui saluran-saluran formal seperti parti politik disebabkan kerenah-kerenah birokrasi. Mereka juga sedar bahawa tidak mungkin akan berjaya untuk memperjuangkan ideologi mendirikan Khilafah melalui jalur parlimen kerana perlembagaan yang ada di mana-mana negara dicipta untuk mengambil kira kepentingan dan kewujudan pelbagai kelompok agama, budaya, bangsa dan masyarakat dalam sesebuah negara. Justeru, pendekatan yang diambil adalah menerusi jihad fisabilillah lalu ia mencetuskan suasana yang tidak stabil dalam sesebuah negara.

Bersambung


[i] Effendy, Bahktiar, 2001, Teologi Baru Politik Islam; Pertautan Agama, Negara dan Demokrasi, Yogyakarta:Galang Press, hlm 66.

[ii] Lihat, Martin Hewitt, 1992, Welfare, Ideology and Need, Developing Perspectives on the Welfare State, Maryland: Harvester Wheatsheaf, hlm. 1 dan 8.

[iii] Suseno, Franz Magnis, 1992, Filsafat Sebagai Ilmu Kritis, Jakarta; Kanisius, hlm 230.

[iv] Karl Mannheim misalnya, menyatakan bahawa pengetahuan yang bersifat ideologis bererti pengetahuan yang berasaskan keyakinan subjektif seseorang, daripada berasaskan fakta-fakta empirikal. Lihat, Karl Mannheim, 1998, Ideologi dan Utopia: Menyingkap Kaitan Pikiran dan Politik, Judul Asal: Ideology and Utopia, An Introduction to the Sociology of Knowledge, terjemahan oleh F. Budi Hardiman, Jakarta: Penerbit Kanisius, hlm. xvii.

[v] Menurut Craigin dan Daly, ideologi didefinisikan  sebagai “persetujuan terhadap objektif dan ketidakpuashatian yang akan dicapai oleh kumpulan teroris menerusi keganasan”, Lihat Cragin and Daly, 2004, The Dynamic Terrorist Threat: An Assesment of Group Motivations and Capabilities in Changing World, Rand Corporation, hlm 29.

[vi] Gunaratna, Rohan, 2005, The Ideology of Al Jama’ah Al Islamiyah, hlm 71-72.

[vii] Amstrong, Karen, 2001, The Battle for God, Random House Publishing; NY, hlm 576.

[viii] Keterangan lanjut lihat Kompas, 22 Okt 2010.

[ix] Juergensmeyer, Mark, 2000, Terrorism in the Mind of God: The Global Rise of Religious Violence, hlm 2.

[x] Aguk Irawan Mizan, 2011, Melacak Akar Radikalisme Dalam Gerakan Islam Modern, Analisis, Volume XI, No 1, hlm 54-55.

[xi] Hujah Keterpilihan Umat Islam sebagai umat terbaik disandarkan dari ayatAl Quran “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah” (Ali Imran [3]: 110). Lihat juga ayat ”Dan orang-orang yang beriman (kepada Allah) dan mengerjakan amal-amal soleh dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah hak dari tuhan mereka. Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka” ( Muhammad [47]: 8).

[xii] Hujah Kebenaran Yang Mutlak disandarkan dari ayat seperti ” Barangsiapa mencari agama selain dari agama Islam, maka sesekali tidak akan di terima (agama itu) daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” (Ali Imran [3]: 85) dan ayat ” Dan telah kami turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu (Al Ma’idah [5]:48).

[xiii] Lihat Aguk Irawan Mizan, 2011, Melacak Akar Radikalisme Dalam Gerakan Islam Modern , hlm 59.

[xiv] Maklumat dari PDRM di Kuala Pilah.

Posted in Esei and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *