NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN KELIMA

Bagaimanakah Golongan Fundamentalis Memahami Syariat Agama

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan


Artikel ini juga ingin membincangkan bagaimanakah pengikut golongan fundamentalis ini memahami syariat agama.  Pemahaman terhadap pematuhan syariat agama dapat menjelaskan bagaimana ia diterjemahkan dalam bentuk matlamat perjuangan mereka. Penulis berpendapat bahawa perjuangan golongan fundamentalis adalah berorientasikan syariah minded dan meletakan syariah  sebagai matlamat utama baik sebagai ideologi perjuangan mahupun sebagai penyelesaian kepada semua masalah manusia di dunia ini.  Pengikut golongan fundamentalis melihat bahawa hukum serta perundangan Islam adalah interpretasi fiqh berdasarkan pendekatan secara perundangan, formal dan eksklusif.  Justeru, mereka mengutamakan fiqh sebagai hukum negara.

Golongan fundamentalis memahami teks hanya sebagai teks. Mereka tidak melihat teks dari aspek sejarah, sosiologi mahupun dalam konteks budaya dari teks tersebut. Justeru, mereka mentafsirkan Al Quran dengan cara ini lalu lahirlah sikap kaku, literal dan tidak toleran di dalam masyarakat. Pada zaman sekarang ini ada sebuah konsep yang dipelopori oleh sebahagian ulama yang mengaku menisbatkan diri mereka pada Salafus Soleh.  Konsep ini dinamakan “terjemahkan saja” , konsepnya adalah, manusia harus berserah diri, jangan menggunakan akal, apa yang Allah S.W.T dan Rasulullah sampaikan dan apa yang dicontohkan oleh Salafus Soleh harus diterima dan diikuti seadanya berdasarkan penterjemahan / penafsiran terhadap nas-nas Al Qur’an dan Hadis secara zahir karena Al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa Arab yang jelas. Hujah untuk menjustifikasikan  konsep mereka adalah firman Allah yang bermaksud,“dengan bahasa Arab yang jelas” (Asy Syu’ara’ [26]: 195.

Ayat Al Quran tidak boleh diterjemahkan sewenang-wenangnya. Seseorang yang hendak menterjemahkan ayat Al Quran mesti memahami kaedah-kaedah penterjemahan (tafsir) iaitu pertamanya mesti megetahui konteks sejarah bagi setiap ayat itu diturunkan (asbab al-nuzul), keduanya tiada pengulangan (taraduf) kerana seseorang mesti menerangkan kaitan setiap surah/ayat dengan surah/ayat yang lain (Al Quran ba’duhu yufassir ba’d), ketiganya ada ayat yang telah luput (nasakh wamansukh), keempatnya terdapat perbezaan di antara pemutusan secara am (‘amm) dan pemutusan secara khusus (khass), kelimanya terdapat surah yang berautoriti (muqayyad) dengan surah/ayat yang mutlak (mutlaq) serta berbagai-bagai kaedah lagi. Sebaliknya golongan salafi membuka kepada terjemahan bebas mengikut di mana bersesuaian dengan mereka.

Golongan fundamentalis mempunyai interpretasi secara total dalam konteks tauhid Hakimiyah iaitu pengakuan atas kekuasaan Allah S.W.T dan syariatNya di atas muka bumi ini yang mana manusia hanya tunduk kepada kekuasaan Nya sahaja.  Aliran pemahaman dan pemikiran ini berdasarkan kalimah tauhid la illaha il allah, yang memberi pengertian bahawa tiada tuhan yang di sembah selain Allah S.W.T dan tidak ada kekuasaan dan syariat lain kecuali syariat dan kekuasaan Allah S.W.T.[i]  Manifestasinya, tidak ada hukum selain hukum dan syariat Allah dan sesiapa yang tidak menggunakan hukum Allah maka mereka di label musyrik, kafir, fasik dan zalim. Sudah tentu aliran pemikiran sebegini tidak akan mengaku atau menerima demokrasi, sekularisme mahupun nasionalisme. Bagi pengikut golongan fundamentalis, tidak timbul undang-undang buatan manusia untuk manusia.

Menurut Qutb, Islam tidak berkompromi terhadap jahiliah sama ada dalam konsep bernegara  atau pun cara kehidupan. Pilihan hanya satu iaitu Islam atau jahiliyah. Islam tidak menerima konsep setengah Islam atau setengah jahiliyah. Dalam konteks ini kedudukan Islam adalah jelas. Kebenaran adalah satu, tidak boleh dibahagi-bahagikan. Undang-undang syariah mesti ditegakkan, jika tidak umat Islam akan menderita. Sebab itu Qutb menganjurkan konsep pemisahan iaitu langkah pertama bagi umat Islam sebenar ialah memisahkan diri dari masyarakat jahiliyah, mentransformasikan hidup mereka berpandukan Al Quran dan secara radikalnya mengubah masyarakat untuk mengikuti jejak umat terdahulu. Qutb juga menganjurkan jihad dengan kekerasan mesti dilaksanakan untuk menjatuhkan kerajaan/rejim jahiliyah dan digantikan dengan pemerintah Islam yang sebenar.[ii]

Tauhid Hakimiyah adalah pandangan bahawa kedaulatan politik sepenuhnya adalah milik Allah S.W.T. Hujah yang digunakan adalah, kedaulatan Allah S.W.T ini sepatutnya dibuktikan dalam bentuk penerapan hukum-hukum Allah S.W.T dalam mengatur kehidupan sosial dan masyarakat. Oleh kerana Allah S.W.T sebagai Pencipta maka Dialah yang paling tahu syariat bagi ciptaaannya dan Dialah yang paling berhak membuat syari’at bagi ciptaanNya.  Justeru, sesiapa yang membuat undang-undang yang bertentangan dengan syari’at Islam bererti telah merampas hak tasyri’ (hak membuat undang-undang) Allah S.W.T bagi ciptaannya dan dalam ertikata yang lain mereka adalah golongan musyrik. Menurut Abu Bakar Ba’asyir iaitu bekas Amir Majlis Mujahidin Indonesia (MMI), pematuhan terhadap hak tasyri Allah S.W.T ini sangat ditekankan oleh beliau dalam perjuangannya. Ba’asyir amat konsisten tentang kritikan beliau terhadap proses pilihan raya dan amalan demokrasi berparlimen.[iii] Berdasarkan pemahaman tentang tauhid hakimiyah ini juga tidak ada apa yang dikatakan sebagai kontrak sosial antara manusia kerana kesepakatan dan muafakat itu tidak lagi diperlukan kerana ia telah ditetapkan oleh Allah melalui syariatNya. 

Menurut Shepard, fundamentalis selalunya menggunakan pandangan Manichaean binari-dikotomi iaitu di dunia ini hanya ada dua golongan iaitu Tuhan versus Syaitan, hitam versus putih dan baik versus jahat. Golongan fundamentalis melihat bahawa kemanusiaan terbahagi kepada dua kem yang berlawanan dan tidak ada ‘neutral ground’.[iv] Aliran pemikiran sebegini sememangnya dipelopori oleh Qutb yang membahagikan dunia ini kepada dua kem iaitu Tuhan versus Syaitan. Bagi Qutb cuma ada satu Tuhan dan satu kebenaran. Cuma ada satu undang-undang iaitu undang-undang syari’ah. Undang-undang lain adalah ciptaan manusia. Cuma ada satu sistem iaitu sistem Islam dan lain-lain sistem adalah jahiliyah. Pemerintahan adalah hak Allah S.W.T dan jika praktik lain diamalkan maka ia adalah jahiliyah.[v]

Manifestasinya, muncullah kecenderungan untuk memberi label-label buruk terhadap golongan yang tidak sehaluan seperti memberi label musyrik, kafir, zalim,  thagut,  munafik dan jahiliyah kepada musuh atau orang yang tidak setuju dengan tauhid hakimiyat Allah S.W.T dan penerapan syariat. Kelompok fundamentalis tidak menyedari bahawa penglabelan itu bermula dari interpretasi literal yang tak bersandar pada asbab al-nuzul yang sebenarnya.[vi]  Dalam konteks ini, pengkaji seperti Lily Zubaidah menyatakan bahawa implikasi yang kritikal terhadap umat Islam kontemporari adalah menularnya fahaman dalam kehidupan seharian yang tidak fleksibel, tidak bertolak ansur, skriptualis, ”kita versus mereka”, ”baik versus jahat”, ”betul versus salah” dan ”halal versus haram”. Fahaman sebeginilah yang melahirkan fahaman binari-dikotomi di kalangan segelintir umat Islam kontemporari.[vii]

Lanjutan dari pemahaman secara literal ini, golongan fundamentalis ingin menjadikan perundangan Islam itu sebagai satu perkara yang dilaksanakan secara formal dalam negara yang meliputi seluruh kehidupan umat Islam. Golongan fundamentalis berpendapat bahawa menolak etika agama dan mengambil sekularisme serta demokrasi telah menyebabkan umat Islam menjadi gawat. Justeru, mereka melihat bahawa Islam adalah jalan penyelesaian (Islam is the solution).  Bagi golongan fundamentalis, tafsiran mereka terhadap masuk Islam secara kaffah adalah seruan untuk masuk Islam secara menyeluruh/komprehensif yang memberi maksud sebagai perintah untuk melaksanakan syariah secara total.

Aliran pemikiran dan pemahaman seperti ini sudah tentunya lahir dari pemahaman kelompok fundamentalis terhadap tauhid hakimiyah.  Mereka beranggapan bahawa teks-teks dalam Al Quran dan sunnah tidak boleh diubah dan ia perlu dilaksanakan sebagaimana pemahaman mereka secara literal. Bagi mereka hukum buatan manusia tidak akan membawa keadilan dan kesejahteraan kepada manusia. Hukum syariah adalah relevan pada sebilang masa dan mereka tidak setuju dengan pentafsiran syariah secara kontekstual. Golongan fundamentalis berusaha untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam dan dalam pengertian kembali ini bermaksud “kembali” kepada syariah. Golongan fundamentalis berangapan bahawa tiada Islam tanpa syariah. Mereka juga mentafsirkan bahawa konsep “Islam rahmatan lil alamin” sebagai konsep yang mengarah kepada penegakan hukum syariah. Sedangkan Islam itu bermaksud rahmat dan perdamaian.  Bagi mereka Islam menjadi rahmat kepada umat Islam hanya sekiranya hukum Islam itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Fatwa sempit begini diperlihatkan oleh segelintir pengikut Al Muhajiroun yang menyatakan bahawa tidak perlu berhenti di lampu isyarat merah kerana undang-undang trafik dibuat oleh manusia.[viii] Apakah akan jadi sekiranya semua undang-undang yang dibuat di dunia ini demi kebaikan manusia dilanggar oleh pengikut golongan fundamentalis hanya kerana mereka berfahaman bahawa manusia tidak berhak membuat undang-undang. Di sini penulis berpendapat bahawa fatwa-fatwa sempit sebegini yang menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam segenap bidang malah lebih memburukkan keadaan ia menyebabkan umat Islam menjadi lebih keras sesama mereka.

Dewasa ini munculnya radikalisme dalam agama adalah kerana adanya kecenderungan mendahulukan hukuman sebelum dakwah. Golongan ini mendahulukan menghukum manusia sebelum berbicara dengan cara yang baik. Mereka mengutamakan undang-undang agama, sebelum dialog memahamkan manusia berhubung dengan tujuan agama. Kelompok yang beraliran keras seperti ini mungkin rasa berpuas hati apabila melihat manusia patuh kepada hukum agama yang diwujudkan, tanpa mereka menyedari bahawa memaksa manusia mematuhi agama yang tidak di fahami dan disetujui oleh mereka dan hasilnya hanya mewujudkan sifat munafik dalam jiwa. Misi Islam bukan untuk mewujudkan manusia patuh undang-undang agama di dunia secara paksa, sebaliknya misi asal Islam ialah untuk menyelamatkan manusia dari neraka dan memasukkan manusia ke dalam syurga. Ini tidak bererti kita menolak peraturan yang bersifat Islamik, tetapi ia hanya hadir setelah kefahaman umat dimantapkan dengan hujah dan alasan yang menundukkan jiwa dan minda mereka. Maka, meletakkan keutamaan sesuatu agenda agama untuk mengubah perundangan tanpa melihat kepada persekitaran kefahaman bukanlah satu langkah yang bijak. Sikap suka mendahulukan persoalan halal dan haram tanpa diberikan alasan dan pendekatan yang jelas dan baik, juga tidak selari dengan cara Al Quran yang Allah S.W.T turunkan. Undang-undang, hukuman dan penilaian atas nama agama hanya wujud selepas penerangan dan kefahaman yang sebenarnya disebarkan dengan secukup-cukupnya.

Bersambung


[i] Lihat Sayyid Qutb: 1992: 10-11).

[ii] Keterangan lanjut lihat Sayid Qutb, 1990, Milestone (Ma’alim fi al Tariq), English Trans, Indianapolis: American Trust Publication, hlm 15-17, 45-50, 66-67, 101,103.

[iii] Temu bual dengan Abu Bakar Ba’asyir di Jakarta.

[iv] Lihat Shepard :1987:362. 

[v] Lihat Sayyid Qutb, 1990:101-102.

[vi] Al-Naisaburi, 1968:112-113). 

[vii] Lihat Lily Zubaidah : 2003: 216-217).

[viii] Lihat Abd Hakeem Carney, t.t, Analysing Political Islam: The Need for a New Taxonomy, hlm 202.

Posted in Esei and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *