BAHAGIAN KETIGA
Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan Golongan Ushuliyah/ Fundamentalis
Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul – Penganalisa Keganasan
Fundamentalisme dalam definisi yang mudah difahami sebagai aspirasi untuk kembali kepada asal usul agama berdasarkan interpretasi literal kitab-kitab awal. Ia boleh diaplikasikan kepada agama-agama lain seperti Kristian, Yahudi mahupun Islam kerana setiap dari agama ini mempunyai kelompok minoriti fundamentalis. Istilah “fundamentalism” diperkenalkan pertama kalinya dalam The Shorter Oxford English Dictionary setelah penerbitan 12 risalah teologi yang berjudul The Fundementals: A Testimony of Truth iaitu sebuah tulisan yang dianggap oleh penterjemah menggunakan pendekatan saintifik-kritikal dari ahli-ahli teologi Protestan terhadap buku tentang Injil.[i] Menurut Martin Kramer, fundamentalis pada asalnya adalah istilah Kristian. Ia digunakan pada awal abad ini dengan merujuk kepada beberapa gereja Protestan dan beberapa organisasi yang mengekalkan terjemahan literal dari Bible. Golongan ini menentang ahli-ahli teologi yang membuat terjemahan baru dari Bible.[ii]
Menurut Marty dan Appleby, fundamentalisme dan fundamentalis adalah berkisar kepada sikap ingin melawan atau berjuang yang merangkumi usaha-usaha untuk menentang kembali golongan yang mengancam identiti atau status-quo yang menjadi pegangan hidup mereka. Menurutnya lagi, golongan fundamentalis berjuang untuk menegakkan cita-cita serta matlamat yang mencakupi persoalan hidup secara umum di dalam ruang lingkup nilai dan identiti tertentu yang di rujuk dari generasi lepas ataupun yang kontemporari. Oleh sebab itu amat difahami apabila golongan fundamentalis ini menentang golongan-golongan tertentu yang muncul dalam bentuk penyimpangan dari ideologi dan ajaran agama.[iii] Tambahan pula golongan ini mempunyai logik dan identiti tersendiri serta merasakan diri mereka eksklusif seterusnya mewujudkan garis pemisah dengan golongan-golongan yang lain. Marty dan Appleby juga telah merumuskan bahawa golongan fundamentalis mempunyai ciri-ciri perjuangan atas nama Tuhan atau idea-idea yang lain dan ia mirip kepada ciri-ciri yang ada pada radikalisme.
Menurut definisi bahasa pula, fundamentalis bermaksud kembali kepada asal atau kembali kepada Al Quran dan Sunnah . Istilah ‘ushul’ menurut pemahaman ulama adalah bererti ‘Al Quran dan Sunnah’.[iv] Golongan ushuliyah/fundamentalis ini secara umumnya, memahami doktrin Islam secara harfiah/literal[v], menolak interpretasi rasional mahupun konstektual terhadap teks-teks Al Quran dan hadis, kurang bertoleransi terhadap fahaman atau aliran yang berbeza dengan praktik mereka, mempunyai ciri-ciri eksklusif, memperjuangkan Islam secara total di samping mendesak agar syariat Islam dapat dilaksanakan dalam pemerintahan. Implikasi dari pematuhan terhadap pemahaman literal dari Al Quran dan Sunnah ini maka ia diterjemahkan dalam bentuk komitmen untuk menyokong perlaksanaan hukum syariah dan penegakkan sesebuah Negara Islam.
Sekiranya istilah fundamentalis dikaitkan dengan kepercayaan literal terhadap teks-teks Al Quran dan mesej daripadanya sebagai arahan dari Allah S.W.T maka semua umat Islam akan dikategorikan sebagai fundamentalis. Justeru, istilah ini tidak akan memberi makna apa-apa bagi tujuan analisa mahupun perbincangan. Tetapi apabila istilah fundamentalis dikaitkan dengan usaha untuk kembali kepada zaman kegemilangan Islam maka ia akan memberi makna yang lebih signifikan. Gerakan Islam yang dilabel sebagai fundamentalis Islam adalah merujuk kepada gerakan salafi yang juga menjadi doktrin rasmi Arab Saudi. Doktrin asas salafi percaya bahawa ajaran Islam telah dicemari oleh doktrin dan inovasi-inovasi baru (bida’ah). Justeru, golongan ini ingin mengembalikan umat Islam ke zaman kegemilangan tersebut (iaitu era khilafatisme).[vi]
Umat Islam kontemporari sering terkeliru dengan kewujudan banyak gerakan Islam di merata pelosok dunia sekarang. Oleh kerana kurangnya maklumat yang diperolehi serta tengelamnya isu perjuangan sebenar mereka yang telah dimanipulasi oleh media maka gerakan Islam diberi pelbagai label yang akhirnya mencemarkan imej Islam itu sendiri. Mengambil contoh terdekat di Asia Tenggara, penubuhan Front Pembela Islam (FPI) yang menentang aktiviti kemungkaran dalam masyarakat dan Lasykar Jihad (LJ) di Indonesia yang membela umat Islam yang diserang oleh Kristian adalah berbeza dengan matlamat penubuhan Al Jama’ah Al Islamiyah. Sememangnya FPI dan LJ ditubuhkan untuk memperjuangkan agenda Islam tetapi aktiviti mereka terhad kepada situasi dan tempat tertentu serta matlamat mereka tidak sama seperti Al Jama’ah Al Islamiyah yang berkehendakkan penegakan sebuah Daulah dan Khilafah Islam agar syariat Islam dapat dilaksanakan.
Dalam konteks ini pandangan Azyumardi Azra tentang dua jenis kumpulan radikal Islam di Indonesia adalah amat bertepatan. Kumpulan pertama seperti FPI dan LJ berpendapat kewujudan mereka pada asalnya dalam konteks tempatan sahaja manakala kategori kedua adalah kumpulan radikal yang di pengaruhi serta mempunyai hubungan dengan gerakan-gerakan di Timur Tengah. Gerakan di Timur Tengah ini mempunyai pandangan dan gagasan politik yang lebih luas serta bercita-cita menegakkan satu Khilafah. Dari segi ideologi, mereka berpegang kepada ideologi radikal salafi.[vii]
Satu lagi istilah yang mempunyai kaitan dengan fundamentalis adalah Islamisme. Islamisme boleh diinterpretasikan sebagai penggunaan agama Islam untuk matlamat sosial dan juga politik. Justeru, Islamis adalah golongan yang komited terhadap proses Islamisasi (iaitu proses menubuhkan Negara Islam yang berteraskan undang-undang syariah dan menerapkan nilai-nilai agama terhadap masyarakat) dalam negara Islam.[viii] Dalam definisi yang betul, fundamentalis sebenarnya tidak langsung melibatkan unsur-unsur keganasan justeru penggunaan istilah ini adalah tidak bersesuaian untuk menerangkan fenomena pengganas moden yang berorientasikan agama. Untuk menerangkan fenomena keganasan atas nama agama ini dengan lebih jelas sebenarnya istilah radikal atau militan islamis adalah lebih tepat kerana golongan ini yang bercita-cita untuk mengubah keseluruhan sistem dari akar umbi hingga ke atas dengan menggunakan pendekatan kekerasan. Justeru, wujud perbezaan di antara fundamentalis dan radikal Islamis yang mana aspirasi serta pendekatan yang digunakan adalah berbeza sama sekali.
Menurut Moghissi, Islamisme dan Islamis merujuk kepada tiga kategori kumpulan manusia. Islamisme adalah merujuk kepada individu atau kumpulan yang hanya menumpukan kepada aspek agama tanpa melibatkan agenda politik. Kategori kedua adalah kumpulan ‘Islamik liberal reformer’ yang bercita-cita mereformasi masyarakat mengikut kehendak Islam dan dalam masa yang sama menyesuaikan Islam dengan kehidupan zaman moden. Kategori ketiga dinamakan fundamentalis dan kumpulan ini wujud disebabkan fundamentalisme adalah respon masyarakat Timur Tengah terhadap dominasi penjajahan serta persaingan kuasa-kuasa besar.[ix] Martin Kramer pula menggunakan istilah ’politikal Islam’ sebagai merujuk kepada gerakan dan kumpulan fundamentalis yang ingin kembali ke era kegemilangan serta mempunyai agenda politik yang luas. Manakala Islamis pula merujuk kepada umat Islam yang mempunyai cita-cita politik.[x]
Bersambung…..
[i] Lihat Patrick, Ryan; 1984:437.
[ii] Keterangan lanjut lihat Kramer, Martin, 2003, Coming to Terms: Fundamentalist or Islamist?, Middle Eastern Quarterly, Spring 2003, hlm 66-67.
[iii] Lihat Marty E. Martin dan R.Scott, Appleby: 1993: 25.
[iv] Lihat Ali Syu’aibi:2004:166.
[v] Literal mengikut makna dalam Kamus DBP Edisi Kedua, bermaksud lurus atau kurang berimaginasi, terjemahan secara harfiah iaitu perkataan demi perkataan yang bermaksud kaedah mereka di dalam memahami teks agama adalah sangat tekstual, harfiah atau apa yang tersurat. Mereka tidak mentafsir apa yang tersirat di sebalik teks-teks agama (ayat Al Quran dan hadis) sedangkan Nabi S. A.W menyatakan bahawa Al Quran itu mengandungi makna lahir dan batin (tersirat).
[vi] Lihat Abd Hakeem Carney, t.t, Analysing Political Islam: The Need for a New Taxaonomy, hlm 199-200.
[vii] Lihat Azyumardi Azra, 2003, Bali and Southeast Asian Islam: Debunking the Myths dalam Kumar Ramakrishna and See Seng Tan, After Bali, The Threat of Terrorism in Southeast Asia, hlm 51.
[viii] Lihat Moghissi, Haideh, 2002:65-67.
[ix] Moghissi, Haideh: 2002, hlm 65-67.
[x] Lihat Kramer, Martin, 2003, Coming to Terms: Fundamentalist or Islamist?, Middle Eastern Quarterly, Spring 2003, hlm 70.