BAHAGIAN KEDUA BELAS
Kesimpulan
Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul – Penganalisa Keganasan
Perbincangan dalam domain ini telah menjelaskan bagaimana kedudukan golongan fundamentalis dalam memperjuangkan agenda Islam mereka. Golongan fundamentalis menerima tafsiran yang mutlak dari teks-teks Al Quran dan menolak tafsiran yang bersifat kontekstual. Mereka menjunjung konsep teokrasi iaitu penyatuan antara agama dan negara. Golongan fundamentalis secara dasarnya menolak pentafsiran yang berbentuk historis-rasionalis sebaliknya menerima tafsiran yang berbentuk literal-skriptural. Golongan fundamentalis juga dilihat menolak simbol-simbol moden dan Barat kerana ia dianggap sebagai ciptaan manusia dan mencemar kesucian Islam. Akhir sekali golongan fundamentalis ingin menghidupkan kembali konsep khilafah di mana umat Islam disatukan di bawah satu kesatuan ummah (ummatul wahidah) dan manifestasi dari idea-idea ini ialah wujudnya sistem khilafah. Golongan fundamentalis secara terangnya menolak gagasan-gagasan Barat seperti nasionalisme, sekularisme dan demokrasi.
Golongan fundamentalis merasakan diri mereka adalah satu golongan umat Islam yang eksklusif di mana mereka berangapan bahawa ajaran Islam yang diamalkan adalah murni dan bersih serta tidak dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang boleh merosakkan akidah. Disebabkan sifat ”eksklusif” tersebut maka golongan fundamentalis mempunyai wawasan agama yang sempit dan beranggapan bahawa Islam itu sudah lengkap dan sempurna maka tidak perlulah bagi mereka untuk memahami agama lain. Bagi golongan fundamentalis pintu ijtihad telah tertutup. Sikap begini menyebabkan mereka kurang bertoleransi dengan penganut agama lain malah bersikap jauh lebih keras terhadap umat Islam yang tidak sefahaman dengan mereka. Manifestasi dari sikap jumud ini maka lahirlah konsep takfiri iaitu mengkafirkan sesama umat Islam untuk menghalalkan tindakan yang lebih ekstrem lagi. Artikel ini merumuskan bahawa konsep Daulah Islamiyah dan Khilafah Islamiyah yang sering diperjuangkan oleh golongan fundamentalis adalah merupakan ilusi yang dicipta oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu untuk mengembalikan umat Islam kepada era kegemilangan suatu masa dahulu. Oleh kerana keyakinan dan pemahaman pengikut golongan fundamentalis dalam hal ini, mereka berusaha untuk kembali kepada sistem khilafah dan memperjuangkan perlembagaan dasar-dasar Islam secara formal dalam kehidupan bernegara.
Golongan fundamentalis beranggapan bahawa Islam itu mempunyai sifat yang menyeluruh (kaffah) dan sempurna, Islam tidak hanya terhad kepada perkara-perkara ritual beribadat sahaja tetapi menjadi dasar kepada seluruh aspek kehidupan manusia. Segala aspek tindakan dan pemerintahan termasuk peraturan-peraturan politik yang dicedok dari sumber yang bukan Islam dianggap sebagai bida’ah atau penyimpangan dari Islam. Jika dilihat dari perspektif rasionalismenya, cita-cita untuk kembali kepada sistem khilafah dan mendirikan sebuah masyarakat Islam yang eksklusif adalah mustahil sama sekali tetapi jika dilihat dari kepercayaan dan emosi mereka, pengikut kelompok fundamentalis beranggapan ia adalah mungkin terjadi. Di sinilah mereka mula mengambil contoh apa yang berlaku dalam revolusi di Iran, di mana seorang Imam yang telah terbuang mampu kembali dan merampas kuasa dari pemerintah. Bagi pengikut pengikut kelompok fundamentalis ini, sekiranya perkara tersebut boleh berlaku di Iran adalah tidak mustahil untuk ia berlaku di negara-negara lain. Mereka juga mempunyai anggapan bahawa satu hari nanti kesemua umat Islam di dunia ini melupakan perbezaan-perbezaan di antara mereka lalu bersatu dan bersetuju dengan konsep khilafah.
Sekian. Wallahuaklam