NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN KESEBELAS

Polemik Manhaj dan Ijtihaj dalam Memperjuangkan Agenda Islam

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan


Kebanyakan kumpulan atau kelompok dari umat Islam akan menjustifikasikan bahawa hanya kelompok mereka sahaja yang memperjuangkan Islam. Walaupun kesemua kelompok yang memperjuangkan Islam ini mempunyai cita-cita yang sama tetapi setiap dari kelompok ini mempunyai ijtihad[i] dan manhaj[ii] yang berbeza di dalam menterjemahkan tindakan dan melaksanakan kaedah perjuangan mereka. Ijitihad  adalah merupakan salah satu cara atau kaedah untuk mencari sumber hukum dalam Islam. Ia dipraktikkan dalam menyelesaikan atau merungkai pelbagai permasalahan agama yang meliputi perkara-perkara berkenaan fiqah, akidah, tasawuf mahupun perkara-perkara berkenaan doktrin politik. Perkataan atau istilah ijtihad (ar-ijtihad) berasal dari perkataan al-Juhd yang bererti al-taqhah (daya, kemampuan, kekuasaan) atau dari perkataan al-Jahd yang bererti al masyqqah (kesulitan, kesukaran).

Dari sudut bahasa, ijtihad bermakna “badal al wus wal mahud” (pengerahan daya kemampuan), atau mengerahkan segala daya kemampuan dalam suatu aktiviti dari aktiviti-aktiviti yang sukar dan berat. Di dalam sejarah perkembangan istilah ijtihad, perkataan ini mempunyai tiga tafsiran yang selalunya diguna pakai oleh ulama-ulama terdahulu. Tafsiran yang pertama  ialah ijtihad menjadi sumber hukum syar’i setelah Al Qur’an dan Sunah manakala tafsiran yang kedua ialah ijtihad diklasifikasikan sebagai setaraf dengan Al Qur’an dan Sunah manakala tafsiran yang ketiga menyatakan dalam keadaan tertentu ijtihad kadangkala lebih didahulukan dari Al Qur’an dan Sunah. Definasi yang mudah ialah ijtihad dalam syariat merupakan pencurahan segala kemampuan dalam mendapatkan hukum dalam suatu keadaan atau situasi di mana hukum itu tidak dapat di peroleh dari sumber Al Quran dan Sunnah.

Manhaj dalam bahasa Arab adalah sebuah jalan terang yang ditempuh. Sebagaimana dalam firman Allah: “Dan kami jadikan untuk masing-masing kalian syariat dan minhaj.” (Surah Al-Maidah [5]:48). Kata minhaj , sama dengan kata manhaj . Kata minhaj dalam ayat tersebut diterangkan oleh Imam ahli tafsir Ibnu Abbas, maknanya adalah sunnah. Sedang sunnah artinya jalan yang ditempuh dan sangat terang. Contoh gerakan-gerakan Islam atau gerakan dakwah yang banyak di merata dunia sekarang menjelaskan fenomena ini.

Ada gerakan atau kumpulan yang bergerak dalam lunas demokrasi dan menyertai proses pilihan raya seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS), Front Islamic Salvation (FIS) di Algeria, Parti Refah di Turki, malah Ikhwanul Muslimin di Mesir juga turut menyertai pilihan raya yang diadakan selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak. Ada pula kelompok Islam yang memperjuangkan agenda pendidikan dan ekonomi seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan ada juga gerakan Islam yang mengkhususkan perjuangan mereka terhadap kerja-kerja yang bercorak dakwah seperti Jama’ah Islah Malaysia (JIM). Kebanyakan kelompok Islam yang bergerak atas landasan dakwah adalah merupakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau di Indonesia sering juga dikenali sebagai organisasi masyarakat (Ormas).

Terdapat juga gerakan Islam yang mendedikasikan perjuangan mereka terhadap gerak kerja menentang kemungkaran dalam masyarakat dengan menggunakan aksi serta tindakan kekerasan seperti Front Pembela Islam (FPI) di Indonesia dan ada pula yang memperjuangkan agenda Islam untuk menegakkan Daulah Islamiyah sama ada dengan cara jihad mahupun cara kekerasan seperti yang dipamerkan melalui kumpulan-kumpulan seperti Tandzim Jihad dan Jama’ah Takfir Wal Hijra di Mesir, Islamic State in Khorasan Province (ISKP) di Afghanistan, Daesh @ ISIS di Syria dan Iraq,  Al Jama’ah Al Islamiyah dan Jamaah Ansharut Daulah  di Indonesia, Hamas dan Hizbut Tahrir di Palestin, Hizbullah di Lebanon, Jama’at Al Islami di Pakistan (sekadar mengambil beberapa contoh sahaja).

Justeru, kepelbagaian kaedah dan cara memperjuangkan agenda Islam ini menggambarkan bahawa terdapatnya perbezaan interpretasi terhadap manhaj yang sepatutnya diguna pakai sebagai landasan untuk memperjuangkan agenda Islam. Apakah yang menyebabkan perkara atau fenomena ini terjadi. Di antara pelbagai gerakan Islam tersebut, pelbagai kerenah dan manifestasi yang diperlihatkan. Ada yang tidak sabar (istiqomah) di dalam perjuangan dan ada pula yang ingin mencapai matlamat serta objektif perjuangan dalam masa yang singkat. Segelintir pula berpendapat bahawa sekiranya kejayaan tidak dapat dicapai melalui kaedah konvensional (seperti proses pilihan raya) maka matlamat harus dicapai dengan kaedah kekerasan walaupun ia melibatkan pertumpahan darah.

Pertembungan pendapat di antara golongan yang memilih kaedah yang dibenarkan oleh perlembagaan dengan kaedah kekerasan menyebabkan umat Islam berpecah sedangkan matlamat asalnya adalah untuk meningkatkan martabat Islam itu sendiri sedangkan kesemua mereka ini menggunakan Al Quran dan hadis yang sama sebagai hujah. Disinilah kesilapan kebanyakan pemimpin dan gerakan Islam di dalam memperjuangkan agenda mereka. Disebabkan umat Islam tidak bersatu dalam menterjemahkan agenda mereka maka umat  Islam mendapat imej yang buruk di samping sering menjadi ’kambing hitam’ apabila berlakunya aksi-aksi keganasan serta kekerasan yang melibatkan pengikut gerakan Islam di merata dunia ini. Persoalan ini berpunca dari masalah ijtihad dan manhaj yang berbeza-beza di kalangan  umat Islam sendiri.

Di dalam konteks gerakan Al Jama’ah Al Islamiyah, manhaj yang digunakan adalah manhaj salaf dan bagaimana manhaj salaf itu menjadi pendekatan mereka terhadap perjuangan menegakkan Daulah Islamiyah. Apabila membicarakan tentang manhaj ini, perkara pokok yang menjadi persoalan dan permasalahan dalam jama’ah ini adalah kaedah dan pendekatan mereka dalam usaha menegakkan Daulah Islamiyah yang tidak melalui ruang perlembagaan mahupun parlimen di samping menolak secara total konsep demokrasi. Jama’ah ini juga tidak bergerak sebagai satu organisasi yang formal kerana ia bersifat tandzim sirri (organisasi rahsia).

Justeru, timbul persoalan tentang bagaimana sebuah organisasi rahsia mampu untuk mendirikan sebuah Daulah sedangkan situasi dan kondisi politik yang ada di negara-negara di dunia ini terutamanya di Asia Tenggara adalah merupakan negara-negara demokrasi berparlimen. Adakah pendekatan dakwah wal jihad yang diterapkan mampu untuk merealisasikan impian tersebut dalam suasana politik dunia sekarang. Sedangkan gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir sendiri yang ditubuhkan pada tahun 1928 telah turut mengambil bahagian dalam proses pilihan raya bagi mendapatkan kuasa. Justeru, perbezaan manhaj inilah yang telah membezakan gerakan Ikhwanul Muslimin dengan gerakan-gerakan Islam yang lain.

Di dalam konteks atau permasalahan ijtihad pula ia berkisar kepada interpretasi terhadap konsep jihad. Secara tepatnya, permasalahan ini merujuk kepada dua perkara yang melibatkan hukum dan makna jihad. Persoalan yang pertama adalah jihad tidak mempunyai makna lain selain dari qital (perang) dan permasalahan yang kedua ialah jihad telah menjadi fardhu ain bagi setiap individu umat Islam. Fenomena ini menjelaskan bagaimana pengikut Al Jama’ah Al Islamiyah seperti Mukhlas dan Imam Samudera mentafsirkan ayat-ayat Al Quran yang menjadi dalil serta hujah mereka untuk melakukan pengeboman dan pembunuhan terhadap warga awam, tempat ibadat dan orang Islam sendiri.  Perbezaan yang sangat utama adalah berkaitan dengan pandangan ulama sebelumnya yang menyatakan ijtihad hanya wujud pada masalah yang tidak memiliki teks, sementara ulama kontemporari menjadikan teks sebagai kajian ijtihad. Pada awalnya ijtihad adalah al-intaj al-ma’rifi (hasil pemikiran) sementara pada masa sekarang ini ia telah berubah menjadi fahm an-nash (memahami teks).

Apabila Syeik Abdullah Azzam dan Imam Samudera menyatakan bahawa jihad telah menjadi fardhu ain kepada umat Islam ia memberikan implikasi yang sangat besar di dalam konteks pemahaman terhadap beberapa teks Al Quran yang menjadi sandaran oleh mereka. Kondisi ini semakin gawat dengan kurangnya maklumat dan toleransi mereka mengenai aliran-aliran pemikiran dalam Islam. Lihat sahaja permasalahan-permasalahan ushuluddin (pokok) hingga permasalahan furu’uddin (cabang) yang sering menjadi perbalahan dan perselisihan pendapat di kalangan ilmuan Islam. Contoh yang amat jelas tentang perselisihan pendapat oleh golongan salafi wahabi adalah perkara-perkara yang melibatkan bida’ah (perkara baru). Golongan salafi  wahabi melabelkan kelompok Islam yang lain sebagai pengamal bida’ah kerana mereka tidak dapat membezakan di antara perkara baru (bida’ah) dalam ibadah mahdah (ibadah ketaatan) dengan ibadah ghairu mahdah (ibadah kebaikan). Sebagai contoh, perkara-perkara seperti solat Terawih, majlis bacaan Ya’asin dan tahlil, bacaan talkin, bacaan Qunut, menziarahi kubur, berselawat atas Nabi, menyambut Maulid Nabi dan menyambut Hari Kebesaran Islam.

Jika dilihat dari perspektif ibadah kebaikan (ghairu mahdah) maka kesemua aktiviti keagamaan ini bukannya membuat perkara baru tetapi ia mempunyai kebaikan yang tersendiri malah memberikan pahala kepada pelakunya di samping membawa kebaikan dalam masyarakat. Ia tidaklah sampai menjatuhkan seseorang kepada kekufuran kerana ia hanya melibatkan kekhilafan ulama dalam menentukan perkara furu’ (cabang) bukannya perkara ushul (pokok). Perkara ini sering tidak menjadi fokus perhatian mereka yang ingin mengkaji sesuatu dan akan mengatasnamakan pandangan atau fatwa mereka sebagai pandangan Islam lalu persoalan ini akan menjadi lebih rumit dan kompleks apabila hasil pemikiran dan fatwa tersebut dihasilkan oleh mereka yang membenci aliran pemikiran yang lain.

Bersambung…


[i] Keterangan lanjut lihat Iqbal, Muhammad; 1975, The Reconstruction of Religious Thought in Islam. Lahore: SH. Muhammad Ashraf, hlm 10.

[ii] Lihat Tafsir Ibnu Katsir 2/67-68 dan Mu’jamul Wasith.


Posted in Esei and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *