ARTIKEL
ISU INSIDEN SERANGAN BERSENJATA DI BALAI POLIS ULU TIRAM, JOHOR BAHRU

PENDAHULUAN
Pada 17 Mei 24 lebih kurang sekitar jam 0254 waktu tempatan, dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram.

Anggota polis yang terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram
Suspek yang bertopeng dan berpakaian gelap bersenjatakan parang telah menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata iaitu jenis pistol Walter P99 serta selaras HK MP5. Suspek kemudiannya melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu dan perut manakala seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala. Identiti suspek dikenali sebagai Radin Romyullah bin Radin Imran (34).
Menurut pihak polis, anggota yang maut ialah Konstable Ahmad Azza Fahmi Azhar (22) bertugas di pejabat pertanyaan Balai Polis Ulu Tiram dan Konstable Muhammad Syafiq Ahmad Said (22) bertugas sebagai anggota prowler di balai yang sama. Manakala anggota yang cedera dikenali sebagai Koperal Mohd. Hasif Roslan bertugas sebagai anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di situ.
SERANGAN KE ATAS BALAI – BALAI POLIS YANG PERNAH DILAPORKAN BERLAKU DI MALAYSIA
Insiden tragedi runtuhan Menara Berkembar World Trade Centre di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001 telah membuka mata dan minda banyak pihak khususnya agensi–agensi keselamatan dalam dan luar negara. Pelbagai dasar yang berkait rapat keselamatan telah mula digubal, termasuklah keperluan memastikan kecekapan bangunan – bangunan keselamatan. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat banyak aspek penting lain yang turut menyumbang kepada kebocoran keselamatan dan mampu mengakibatkan pencerobohan keselamatan ke atas instalasi penting seperti balai polis. Terdapat beberapa insiden pencerobohan balai polis di Malaysia yang pernah berlaku seperti berikut:
23 Februari 1950: Satu serangan besar-besaran melibatkan lebih kurang 200 pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor. Pengganas didapati telah membunuh hampir keseluruhan anggota polis termasuk beberapa orang isteri dan anak anggota polis dalam insiden serangan tersebut.
16 Oktober 1980: Sekumpulan 15 orang lelaki ahli ajaran sesat berkaitan kumpulan Imam mahdi yang dipimpin oleh Mohd Nasir Ismail telah menyerang Balai Polis Batu Pahat dengan pedang dan pisau. Seramai 23 individu termasuk 14 anggota polis, petugas dan orang awam dilaporkan tercedera ekoran daripada insiden serangan tersebut.
4 Februari 2001: Empat orang lelaki yang berpakaian kemeja-T dan berseluar jeans telah menyerang Balai Polis Guar Chempedak, Kedah. Insiden serangan ini telah mengakibatkan dua anggota mengalami kecederaan. Siasatan mendapati bahawa kumpulan lelaki ini terkait dengan Kumpulan Mujahideen Malaysia (KMM) yang terpengaruh dengan kumpulan pelampau antarabangsa. Serangan dipercayai bertujuan untuk merompak senjata api yang terdapat di balai polis berkenaan.
31 Ogos 2017: Seorang anggota polis ditemui mati di Balai Polis Pinggiran USJ, Selangor. Mangsa ditemui oleh anggota Unit Peronda (MPV) yang pulang selepas menjalankan rondaan. Terdapat kesan tetakan di belakang kepala mangsa dan kesan tembakan di bahagian tengah belakang badan mangsa.
KRONOLOGI SERANGAN BERSENJATA DI BALAI POLIS ULU TIRAM, JOHOR BAHRU
Kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei 2024 dilaporkan telah meragut nyawa dua perwira negara kita manakala seorang lagi mengalami kecederaan serius apabila mereka telah diserang oleh individu tidak dikenali semasa mereka sedang bertugas.
Pada 17 Mei 2024 sekitar jam 0230, Balai Polis Ulu Tiram telah didatangi oleh dua individu pelajar IPT lingkungan umur 21 dan 22 tahun. Tujuan mereka hadir ke balai polis berkenaan adalah untuk membuat satu laporan yang berkaitan dengan kes cabul yang berlaku sekitar 2 tahun yang lepas.

Garis masa insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram
Jam 0235, 5 minit selepas dua orang pelajar IPT datang ke balai berkenaan, suspek masuk ke kawasan balai dengan menaiki sebuah motorsikal sehingga ke bahagian belakang balai polis tersebut. Pada masa yang sama, seorang anggota polis pergi ke kawasan belakang balai untuk membuat pemeriksaan namun anggota tersebut telah diserang dan ditetak mati oleh suspek dengan menggunakan sebilah parang. Suspek turut merampas senjata api milik anggota berkenaan.
Pada jam 0254, dua anggota polis Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) pulang ke balai setelah tamat melakukan tugas rondaan dan dimaklumkan mengenai serangan itu bergegas ke kawasan belakang balai. Telah berlaku insiden tembak menembak di antara anggota polis RCJ dan suspek. Ekoran insiden tembak menembak tersebut, seorang daripada anggota polis itu maut di tempat kejadian terkena tembakan di pipi dan tembus ke kepala. Seorang lagi anggota iaitu Kpl Mohd Hasif Roslan berjaya menembak mati suspek namun mengalami kecederaan pada bahu kiri dan pinggul.
Selepas 3 jam berlakunya insiden serangan ke atas balai polis berkenaan, sekitar jam 0600, sepasukan pihak polis telah melaksanakan operasi dan menyerbu rumah keluarga suspek yang terletak di Kampung Sungai Tiram kira – kira 7km dari lokasi kejadian serangan itu berlaku. Hasil serbuan awal mendapati terdapat bahan bacaan radikal di temui di kediaman keluarga suspek tersebut. Kesemua lima orang ahli keluarga suspek yang berusia di antara 19 tahun hingga 62 tahun, dipercayai sebagai ahli anggota serpihan kumpulan JI telah ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut pihak berkuasa.
Pada 18 Mei 2024, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah mengeluarkan satu kenyataan mendakwa bahawa suspek disebalik serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang membunuh dua anggota polis, diyakini telah bertindak secara sendirian (lone wolf) dan tidak mempunyai apa – apa kaitan dengan mana – mana kumpulan. Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, turut mengesahkan maklumat tersebut dimana awalnya suspek disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas JI berdasarkan pembabitan bapanya yang merupakan bekas ahli kumpulan pengganas JI.
PENDAKWAAN KE ATAS AHLI KELUARGA SUSPEK
Pada 19 Jun 2024, lima ahli keluarga suspek dalam kes serangan Balai Polis Ulu Tiram ini telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru. Kesemua suspek didakwa atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menggalak dan menanam ideologi kumpulan pengganas Daesh. Kesemua tertuduh terdiri daripada Radin Imran Radin Mohd Tassin, 62, isterinya Rosna Jantan, 59 serta tiga anak mereka Radin Romyullah, 34, Sobrina, 23, dan Mariah, 19.
PENGARUH JEMAAH ISLAMIYAH
Lanjutan dari kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Menteri Dalam Negeri, Pihak Cawangan Khas PDRM-E8 telah mengenalpasti insiden serangan tersebut menjurus kepada tindakan persendirian (lone wolf) dan didorong dengan kefahaman sendiri tanpa melibatkan kumpulan pengganas JI.
Berdasarkan pada rekod, Pesantren Luqmanul Hakim, Ulu Tiram memang menjadi lokasi hotspot bagi pengikut JI. Namun, pemantauan pihak berkuasa selama ini kekal dengan analisis bahawa tiada indikator radikal serta ekstremisme dari saki-baki pengikut JI di kawasan tersebut. Mereka kekal menjalankan aktiviti seperti umat Islam bersama penduduk setempat. Sama seperti Maahad Ittiba As-Sunnah, Serting Negeri Sembilan yang merupakan lokasi pertama tertubuhnya JI di rantau ini.
Namun begitu, ideologi JI dilihat masih ada di Malaysia. Mereka boleh dianggap ‘sleeper cell’ yang mampu melaksanakan serangan keganasan apabila dipacu oleh sentimen kebencian. Kehadiran pengganas warganegara Malaysia, Muhammed Farik Amin dan Muhammed Nazir Lep (bersubahat dalam pengeboman di Bali 2002) yang bakal dibebaskan lima tahun lagi dari penjara Guatanamo harus diberi perhatian. Kedua suspek berada dalam tahanan sejak 2003 telah mendapat penambahan hukuman penjara sebanyak lima tahun oleh Hakim tentera AS Lt. Kol. Wesley A Braun sebelum dihantar ke Malaysia.
Serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram ini telah diikuti secara dekat oleh kebanyakan negara terutamanya Indonesia dan Singapura. Sekiranya serangan tersebut benar dirancang oleh JI, ia mampu memberi impak negatif ke atas dua negara ini yang masih mempunyai bekas anggota JI dan anggota yang masih aktif. Sebagai maklumat tambahan, kawasan Ulu Tiram (1993) pernah diklasifikasikan oleh pihak berkuasa sebagai hotspot bagi kumpulan militan/ekstremis serta menjadi pusat merekrut penganut fahaman Syiah.
PENUTUP
Insiden serangan bersenjata yang berlaku di Balai Polis di Ulu Tiram ini jelas membuktikan bahawa ideologi dan naratif yang bersifat ganas dan keras ini masih relevan dan diterima oleh segelintir masyarakat. Walaupun tindakan serangan ini tidak melibatkan mana-mana kumpulan pengganas namun serangan lone wolf ini mampu memberi impak negatif terutamanya tahap negara dimata negara luar.
Permasalahan seperti ini bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah atau di pandang remeh serta diinginkan oleh mana–mana negara di dalam dunia. Pengawasan secara sistematik dan menyeluruh harus digunapakai oleh semua khusus bagi pihak berkuasa dalam memerangi insiden ini daripada berulang kembali. Penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang serta hukuman yang berat harus dikenakan kepada pelaku-pelaku yang terlibat dan didapati bersalah.
Dalam konteks tahap keselamatan instalasi penting seperti balai polis dan kem-kem tentera harus dinilai dan ditambah baik dari masa ke masa bagi memastikan ia sentiasa berfungsi seperti keperluan Arahan Keselamatan 2006 (Polis) dan Perintah Keselamatan ATM (Tentera) demi kepentingan bersama.