EKSTREMISME DALAM ERA DIGITAL : BAGAIMANA INTERNET BERPERANAN MENYUBURKAN RADIKALISME

ARTIKEL

EKSTREMISME DALAM ERA DIGITAL : BAGAIMANA INTERNET BERPERANAN MENYUBURKAN RADIKALISME  

PENDAHULUAN

Abad ke 21 telah menyaksikan perkembangan evolusi teknologi maklumat sejak penciptaan Internet pada era 1960 an. Evolusi Internet juga memperlihatkan kelahiran media sosial yang kini menjadi sebahagian daripada keperluan bagi setiap pengguna media elektronik. Media sosial merupakan rangkaian komunikasi berkumpulan secara dalam talian dan lebih tertumpu kepada komuniti-komuniti tertentu untuk perkongsian maklumat. Dalam meniti arus kemodenan ini, penggunaan internet menjadi satu komponen utama dalam kehidupan seharian. Teknologi internet yang digunapakai pada hari ini membawa kepada dunia tanpa sempadan yang membolehkan pengguna tidak memerlukan sebarang kebenaran untuk mendapatkan maklumat mengenai negara lain.

Perkembangan internet di Malaysia bermula sejak tahun 1983 yang dicetuskan oleh seorang rakyat Malaysia, Dr. Mohamed Awang-Lah ahli akademik Fakulti Elektrikal/Elektronik di Makmal Universiti Malaya (UM). Dr. Mohamed Awang-Lah telah membuat hubungan internet yang sama di akhir tahun 1984 ketika beliau ditempatkan di Malaysian Institute of Microelectronic System (MIMOS). Penubuhan MIMOS oleh kerajaan menyediakan peluang kepada warga Malaysia untuk menghasilkan hubungan internet yang lebih baik. Bagi menampung pengguna yang semakin meningkat, Telekom Malaysia Berhad telah memulakan perkhidmatan TMNet pada 1 Nov 96.

Kini, kemudahan internet menjadi faktor kewujudan pelbagai aplikasi media sosial yang popular dalam kalangan pengguna meliputi, Facebook, X, Instagram, Google, Youtube, WhatsApp, Telegram dan sebagainya. Kesemua platform digital ini mudah untuk diakses menerusi telefon pintar yang menjadi satu keperluan kepada pengguna.

EKSTREMISME DALAM ERA DIGITAL 

Dalam arus kemodenan ini, pelbagai pihak mendapat manfaat daripada teknologi moden terutamanya dalam menggunakan internet. Ini termasuklah organisasi pengganas yang mengambil kesempatan dalam memanfaatkan penggunaan internet untuk menjalankan kegiatan keganasan mereka secara langsung atau tidak langsung terutama dalam penyebaran ideologi radikal, merekrut, mengumpul dana dan sebagainya. Kemunculan gerakan terorisme global serantau seperti Daesh, Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah (JI) berjaya menyelinap masuk elemen ekstrem ke dalam kehidupan masyarakat beragama Islam termasuk Malaysia.

Dalam penggunaan era digital pada hari ini membenarkan unsur ektremisme untuk berkembang secara pantas dan proses indoktrinasi mudah ditanam ke dalam minda masyarakat. Organisasi pengganas menggunakan taktik dan strategi menggunakan medium media sosial dalam penyebaran ideologi, propaganda, merekrut anggota baru, penjanaan sumber dana dan sebagainya. Media sosial dengan nama Al-Hayat Media Centre, Dabiq dan Al-Rumiyyah yang diperkenalkan oleh organisasi pengganas merupakan media bersifat interaktif yang berjaya menarik minat penyokong dan symphatiser seluruh dunia. Peranan media sosial dilihat memberi impak yang besar mencakupi semua lapisan masyarakat dan negara berbanding secara tradisional iaitu melalui perjumpaan fizikal.

Strategi menggunakan medium media sosial dalam penyebaran ideologi, propaganda, aktiviti merekrut keanggotaan baru, penjanaan sumber dana dan sebagainya telah dimulakan oleh Al Qaeda semasa kepimpinan Osama bin Laden pada Jun 2010. Al Qaeda juga menjadi kumpulan pengganas pertama menghasilkan majalah dalam talian iaitu Inspire yang sering mendedahkan kaedah penghasilan bom dan taktik untuk melancarkan serangan. Selain Al Qaeada, kumpulan pengganas Al Shabaab turut menggunakan Twitter dalam membuat liputan secara langsung ke atas serangan mereka di Westgate Nairobi, Kenya. Malah, bagi menarik perhatian generasi muda, Al Shabaab juga telah memuat naik video berkenaan ke dalam YouTube dan Facebook.

Organisasi pengganas juga dilihat memanfaatkan penggunaan internet bagi menghasut pengguna-pengguna internet dalam ‘perjuangan’ mereka. Mereka mencari idea atau sesuatu isu yang boleh mendatangkan kemarahan pengguna internet dan mula membuat provokasi dengan menyebarkan propaganda atau berita palsu. Isi kandungan yang berunsurkan provokatif dapat menyuburkan ideologi ekstrem kepada pengguna-pengguna yang menjadi sasaran mereka. Kebiasaanya pengguna mudah merasa simpati atau beremosi melihat klip video-video yang berupa ceramah, dokumentari atau video penindasan terhadap orang Islam. Perkara ini menjadi modal bagi organisasi pengganas dalam menggalakkan kemarahan pengguna internet. Melalui cara ini, mereka dapat membentuk komuniti yang menyokong agenda mereka kemudiannya merancang strategi untuk mempertahankan ‘perjuangan’ mereka.         

Rangkaian internet menjadi tempat utama radikalisme berkembang dengan pesat. Forum dalam talian seperti Reddit dan sebagainya dapat menjadi tempat berkumpul, berbincang dan memperkuatkan ideologi radikal bagi seseorang individu atau kumpulan yang mempunyai pandangan ekstrem. Ini termasuklah media sosial dann chat group seperti Facebook, Telegram dan WhatsApp yang sering digunakan oleh kumpulan radikal dalam berkomunikasi, merekrut ahli dan berbincang strategi.

FAKTOR INTERNET MENDORONG RADIKALISME

Internet memainkan peranan besar dalam aktiviti yang berunsurkan radikalisme secara langsung atau tidak langsung. Pelbagai kandungan atau content yang ekstrem mudah untuk diakses tanpa batasan. Elemen ekstremisme dalam bentuk video, artikel dan propaganda yang mempromosikan ideologi radikal boleh diperolehi melalui internet. Secara tidak langsung, pengguna yang terjerumus dengan elemen yang berunsurkan ekstremisme boleh mendatangkan tindakan secara sendiri atau dikenali sebagai lone wolf. Serangan lone wolf boleh tercetus hanya dengan melalui kandungan di internet. Kandungan di internet yang mengandungi unsur radikalisme mahupun ekstremisme mampu membentuk kemarahan individu atau secara kumpulan yang akhirnya mendorong mereka kepada aktiviti keganasan.

Dalam pada masa yang sama, internet membenarkan pengguna terutamanya yang mempunyai pandangan yang ekstrem untuk mencari dan menyertai komuniti dalam talian yang menyokong ideologi mereka. Pengguna yang terpengaruh dengan ideologi ekstremise kebiasaannya akan mencari individu lain atau sesebuah kumpulan melalui media sosial bagi memperkuatkan kefahaman mereka. Natijahnya, internet menjadi punca utama kepada pengguna untuk berhubung dan mengukuhkan pandangan yang berunsur ekstrem dan radikal.

Dalam masa yang sama, pihak yang tidak bertanggungjawab mengeksploitasi internet sebagai sarang penyebaran berita palsu dan maklumat yang tidak benar demi kepentingan mereka. Penyebaran berita palsu yang disebarkan melalui internet sangat pantas dan menyeluruh berbanding penyebaran secara bersemuka. Pengguna yang cetek ilmu pengetahuan dan hanya mengambil maklumat bulat-bulat tanpa membuat penyelidikan akan mudah terpengaruh dengan propaganda atau maklumat yang tidak benar tersebut.

KESAN PENGGUNAAN INTERNET DALAM RADIKALISASI

Masyarakat beragama Islam yang cetek ilmu pengetahuan khususnya mudah terpedaya dengan hasutan kumpulan pengganas yang jelas mempromosi perjuangan dengan menunggang isu agama untuk ‘menghalalkan’ elemen radikal dan keganasan. Kumpulan pengganas memanipulasikan konflik Israel-Palestin yang masih lagi berlangsung sehingga membawa kepada kebencian dan menggalakkan untuk melakukan keganasan. Kumpulan pengganas Daesh telah memperkenalkan kempen “Kill Them Wherever You Find Them” menjadi dorongan kepada semangat perjuangan pengganas Daesh.

Kumpulan pengganas menyasarkan anak-anak muda yang mudah terjerumus dalam propaganda pengganas melalui penggunaan internet yang menjadi keperluan harian mereka. Selain itu, golongan muda senang percaya dengan fahaman radikal kerana mereka mudah untuk terpengaruh dan mempunyai semangat juang yang tinggi berbanding dengan golongan yang lebih tua. Pada 22 Feb 23, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura di atas kesalahan menyertai berbilang server yang bertemakan Daesh di permainan video Roblox. Remaja tersebut didapati menggunakan permainan video Roblox ini untuk meniru zon konflik Iraq dan Syria, serta turut bersumpah setia kepada pemimpin Daesh. Menurut pihak berkuasa, remaja itu telah menjalani fantasi kehidupan sebenar terutama dalam menembak dan membunuh musuh Daesh dalam permainan itu. Hal demikian menunjukkan bagaimana kumpulan pengganas menggunakan rangkaian internet dalam permainan video untuk menyebarkan fahaman radikal terutamanya kepada golongan muda.

Selain itu, pengguna media sosial mempunyai risiko yang tinggi terhadap pengaruh radikal dan ekstremis terutama apabila laman sosial seperti facebook mudah diakses. Pada 13 Jun 2024, seorang pekebun didakwa atas tiga pertuduhan menyokong dan memiliki item berkaitan pengganas Daesh. Tertuduh, Muhammad Sani Mahdi Sahar didakwa telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Abu Ibrahim (dalam Bahasa Arab) yang kemudiannya ditukar ke nama ‘Oyen Ucuk’. Tertuduh sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman masing-masing penjara 18 bulan pada 2016 dan enam tahun pada 2018 atas kesalahan berkaitan Daesh. Beliau merupakan salah seorang yang aktif menyebarkan ideologi dan propaganda Daesh di facebook dan telegram group wilayah Malizi atau Ulul Albab. Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan. Penahanan ini menunjukkan kumpulan pengganas Daesh mengembangkan ideologi ekstremisme dalam kalangan masyarakat melalui aplikasi facebook yang mempunyai lebih 30 juta pengguna aktif di Malaysia.

Di samping itu, pada 13 Apr 24, seramai lima individu ditahan di atas kesalahan melakukan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan di restoran McDonald Sungai Isap, Kuantan. Susulan dengan konflik Israel-Palestin, tercetusnya kemarahan terhadap restoran McDonald yang tular menyumbang makanan percuma kepada pasukan Israel Defence Force (IDF) sehingga menyebabkan provokasi terhadap cawangan McDonald di kawasan mereka. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

LANGKAH PENCEGAHAN MENGATASI ONLINE RADIKALISME

Internet mempengaruhi pelbagai aspek bukan sahaja kehidupan sosial, malah merangkumi politik, ekonomi dan keselamatan negara. Pelbagai langkah perlu diambil bagi membendung fahaman radikal dalam kalangan masyarakat khususnya dalam talian. Antara usaha yang perlu diambil oleh pihak berkuasa adalah memperkenalkan pendidikan awal dan kesedaran mengenai bahaya radikalisme dan ekstremisme. Kerajaan perlu menyediakan satu slot pembelajaran diperingkat sekolah mengenai bahaya ancaman ekstremisme dan terorisme.

Seterusnya, pihak berkuasa perlu meningkatkan pengawasan yang proaktif serta memantau isi kandungan secara dalam talian yang mempunyai unsur ekstremisme. Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan penting dalam memantau media sosial kumpulan yang dikaitan dengan pengganas. Dalam usaha untuk mengekang aktiviti pengganas ini, PDRM telah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda agar tindakan yang tepat dapat diambil ke atas pihak yang terlibat. Peranan PDRM yang komited dalam memastikan sebarang kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman orang awam dapat melumpuhkan rancangan kumpulan pengganas.

Dalam pada itu, kolaborasi global antarabangsa perlu dilaksanakan supaya dapat mengatasi masalah ekstremisme. Negara-negara yang terlibat perlulah memberi kerjasama dalam mendapatkan informasi intelligence bagi mencegah elemen radikalisme secara dalam talian. Kerjasama global ini dapat memberi kesan yang efektif terhadap kewujudan organisasi pengganas ataupun elemen-elemen radikal.

PENUTUP

Pada masa kini, penggunaan internet menjadi salah satu keperluan setiap individu dan diguna pakai sejajar dengan gaya hidup terkini. Dengan adanya kemudahan internet, pelbagai maklumat mudah diperolehi dan diakses selagi mana pengguna mempunyai rangkaian internet. Namun begitu, kumpulan pengganas mengambil kesempatan ke atas kemudahan teknologi ini dalam penyebaran ideologi radikal selain merekrut ahli baru untuk menyertai ‘perjuangan’ mereka. Medium media sosial digunakan untuk menjalankan aktiviti kegiatan keganasan menjadi cabaran utama yang perlu diberi perhatian.

Oleh kerana propaganda mudah disebarkan melalui internet, pengguna haruslah bijak dalam menilai sesuatu berita atau maklumat yang diperolehi adalah suatu fakta dan benar. Terutamanya teknologi pada hari ini mula diperkenalkan dengan teknologi Artifical Intelligence (AI) yang berkebolehan untuk memanipulasikan fakta, dilihat menjadi ancaman kepada pengguna internet dalam mendapat maklumat yang sahih.

Kesimpulannya, usaha yang produktif perlu dilakukan oleh pihak berkuasa dalam melaksanakan counter-narrative bagi mengatasi peperangan ideologi dalam era digital terutama melibatkan jutaan pengguna di media sosial. Oleh itu, pada 6 Ogos 17, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 72 laman sesawang dan 54 pautan laman web dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris kerana dikesan menyebarkan ideologi pengganas Daesh. SKMM mengambil tindakan proaktif termasuk mengenal pasti pemilik laman sosial, selain menyekat akses media sosial yang dikesan menyebarkan propaganda pengganas. Usaha ini didapati dapat mengurangkan sekali gus menghapuskan fahaman radikal yang berpotensi disebarkan ke dalam negara ini.

Sebagai penutup, medium media sosial dikesan menjadi pilihan utama kumpulan pengganas Daesh untuk merekrut ahli baharu, terutama golongan muda di negara ini. SKMM telah memperkenalkan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang dilaksanakan bermula 1 Jan 25. Pindaan Akta 588 ini dijangka dapat menjaga kebebasan bersuara, tetapi pada masa yang sama melindungi masyarakat umum daripada berita palsu dan isu provokasi yang melibatkan elemen 3R (agama, raja, kaum). Langkah ini dilihat dapat membendung pemilikan pengguna media sosial agar pengguna mematuhi undang-undang.

Posted in Esei.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *