ISU INSIDEN SERANGAN BERSENJATA DI BALAI POLIS ULU TIRAM, JOHOR BAHRU

ARTIKEL


ISU INSIDEN SERANGAN BERSENJATA DI BALAI POLIS ULU TIRAM, JOHOR BAHRU

PENDAHULUAN

Pada 17 Mei 24 lebih kurang sekitar jam 0254 waktu tempatan, dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram.

Anggota polis yang terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram

Suspek yang bertopeng dan berpakaian gelap bersenjatakan parang telah menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata iaitu jenis pistol Walter P99 serta selaras HK MP5. Suspek kemudiannya melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu dan perut manakala seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala. Identiti suspek dikenali sebagai Radin Romyullah bin Radin Imran (34).  

Menurut pihak polis, anggota yang maut ialah Konstable Ahmad Azza Fahmi Azhar (22) bertugas di pejabat pertanyaan Balai Polis Ulu Tiram dan Konstable Muhammad Syafiq Ahmad Said (22) bertugas sebagai anggota prowler di balai yang sama. Manakala anggota yang cedera dikenali sebagai Koperal Mohd. Hasif Roslan bertugas sebagai anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di situ.

SERANGAN KE ATAS BALAI – BALAI POLIS YANG PERNAH DILAPORKAN BERLAKU DI MALAYSIA

Insiden tragedi runtuhan Menara Berkembar World Trade Centre di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001 telah membuka mata dan minda banyak pihak khususnya agensi–agensi keselamatan dalam dan luar negara.  Pelbagai dasar yang berkait rapat keselamatan telah mula digubal, termasuklah keperluan memastikan kecekapan bangunan – bangunan keselamatan. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat banyak aspek penting lain yang turut menyumbang kepada kebocoran keselamatan dan mampu mengakibatkan pencerobohan keselamatan ke atas instalasi penting seperti balai polis. Terdapat beberapa insiden pencerobohan balai polis di Malaysia yang pernah berlaku seperti berikut:  

23 Februari 1950: Satu serangan besar-besaran melibatkan lebih kurang 200 pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor. Pengganas didapati telah membunuh hampir keseluruhan anggota polis termasuk beberapa orang isteri dan anak anggota polis dalam insiden serangan tersebut.

16 Oktober 1980: Sekumpulan 15 orang lelaki ahli ajaran sesat berkaitan kumpulan Imam mahdi yang dipimpin oleh Mohd Nasir Ismail telah menyerang Balai Polis Batu Pahat dengan pedang dan pisau. Seramai 23 individu termasuk 14 anggota polis, petugas dan orang awam dilaporkan tercedera ekoran daripada insiden serangan tersebut.

4 Februari 2001: Empat orang lelaki yang berpakaian kemeja-T dan berseluar jeans telah menyerang Balai Polis Guar Chempedak, Kedah.   Insiden serangan ini telah mengakibatkan dua anggota mengalami kecederaan. Siasatan mendapati bahawa kumpulan lelaki ini terkait dengan  Kumpulan Mujahideen Malaysia (KMM) yang terpengaruh dengan kumpulan pelampau antarabangsa. Serangan dipercayai bertujuan untuk merompak senjata api yang terdapat di balai polis berkenaan.

31 Ogos 2017: Seorang anggota polis ditemui mati di Balai Polis Pinggiran USJ, Selangor. Mangsa ditemui oleh anggota Unit Peronda (MPV) yang pulang selepas menjalankan rondaan. Terdapat kesan tetakan di belakang kepala mangsa dan kesan tembakan di bahagian tengah belakang badan mangsa.

KRONOLOGI SERANGAN BERSENJATA DI BALAI POLIS ULU TIRAM, JOHOR BAHRU

Kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei 2024 dilaporkan telah meragut nyawa dua perwira negara kita manakala seorang lagi mengalami kecederaan serius apabila mereka telah diserang oleh individu tidak dikenali semasa mereka sedang bertugas.

Pada 17 Mei 2024 sekitar jam 0230, Balai Polis Ulu Tiram telah didatangi oleh dua individu pelajar IPT lingkungan umur 21 dan 22 tahun. Tujuan mereka hadir ke balai polis berkenaan adalah untuk membuat satu laporan yang berkaitan dengan kes cabul yang berlaku sekitar 2 tahun yang lepas.

Garis masa insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram

Jam 0235, 5 minit selepas dua orang pelajar IPT datang ke balai berkenaan, suspek masuk ke kawasan balai dengan menaiki sebuah motorsikal sehingga ke bahagian belakang balai polis tersebut. Pada masa yang sama, seorang anggota polis pergi ke kawasan belakang balai untuk membuat pemeriksaan namun anggota tersebut telah diserang dan ditetak mati oleh suspek dengan menggunakan sebilah parang. Suspek turut merampas senjata api milik anggota berkenaan.

Pada jam 0254, dua anggota polis Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) pulang ke balai setelah tamat melakukan tugas rondaan dan dimaklumkan mengenai serangan itu bergegas ke kawasan belakang balai. Telah berlaku insiden tembak menembak di antara anggota polis RCJ dan suspek. Ekoran insiden tembak menembak tersebut, seorang daripada anggota polis itu maut di tempat kejadian terkena tembakan di pipi dan tembus ke kepala. Seorang lagi anggota iaitu Kpl Mohd Hasif Roslan berjaya menembak mati suspek namun mengalami kecederaan pada bahu kiri dan pinggul.

Selepas 3 jam berlakunya insiden serangan ke atas balai polis berkenaan, sekitar jam 0600, sepasukan pihak polis telah melaksanakan operasi dan menyerbu rumah keluarga suspek yang terletak di Kampung Sungai Tiram kira – kira 7km dari lokasi kejadian serangan itu berlaku. Hasil serbuan awal mendapati terdapat bahan bacaan radikal di temui di kediaman keluarga suspek tersebut. Kesemua lima orang ahli keluarga suspek yang berusia di antara 19 tahun hingga 62 tahun, dipercayai sebagai ahli anggota serpihan kumpulan JI telah ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut pihak berkuasa.  

Pada 18 Mei 2024, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah mengeluarkan satu kenyataan mendakwa bahawa suspek disebalik serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang membunuh dua anggota polis, diyakini telah bertindak secara sendirian (lone wolf) dan tidak mempunyai apa – apa kaitan dengan mana – mana kumpulan. Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, turut mengesahkan maklumat tersebut dimana awalnya suspek disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas JI berdasarkan pembabitan bapanya yang merupakan bekas ahli kumpulan pengganas JI.

PENDAKWAAN KE ATAS AHLI KELUARGA SUSPEK

Pada 19 Jun 2024, lima ahli keluarga suspek dalam kes serangan Balai Polis Ulu Tiram ini telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru. Kesemua suspek didakwa atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menggalak dan menanam ideologi kumpulan pengganas Daesh. Kesemua tertuduh terdiri daripada Radin Imran Radin Mohd Tassin, 62, isterinya Rosna Jantan, 59 serta tiga anak mereka Radin Romyullah, 34, Sobrina, 23, dan Mariah, 19.

PENGARUH JEMAAH ISLAMIYAH

Lanjutan dari kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Menteri Dalam Negeri, Pihak Cawangan Khas PDRM-E8 telah mengenalpasti insiden serangan tersebut menjurus kepada tindakan persendirian (lone wolf) dan didorong dengan kefahaman sendiri tanpa melibatkan kumpulan pengganas JI.

Berdasarkan pada rekod, Pesantren Luqmanul Hakim, Ulu Tiram memang menjadi lokasi hotspot bagi pengikut JI. Namun, pemantauan pihak berkuasa selama ini kekal dengan analisis bahawa tiada indikator radikal serta ekstremisme dari saki-baki pengikut JI di kawasan tersebut. Mereka kekal menjalankan aktiviti seperti umat Islam bersama penduduk setempat. Sama seperti Maahad Ittiba As-Sunnah, Serting Negeri Sembilan yang merupakan lokasi pertama tertubuhnya JI di rantau ini.

Namun begitu, ideologi JI dilihat masih ada di Malaysia. Mereka boleh dianggap ‘sleeper cell’ yang mampu melaksanakan serangan keganasan apabila dipacu oleh sentimen kebencian. Kehadiran pengganas warganegara Malaysia, Muhammed Farik Amin dan Muhammed Nazir Lep (bersubahat dalam pengeboman di Bali 2002) yang bakal dibebaskan lima tahun lagi dari penjara Guatanamo harus diberi perhatian. Kedua suspek berada dalam tahanan sejak 2003 telah mendapat penambahan hukuman penjara sebanyak lima tahun oleh Hakim tentera AS Lt. Kol. Wesley A Braun sebelum dihantar ke Malaysia.

Serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram ini telah diikuti secara dekat oleh kebanyakan negara terutamanya Indonesia dan Singapura. Sekiranya serangan tersebut benar dirancang oleh JI, ia mampu memberi impak negatif ke atas dua negara ini yang masih mempunyai bekas anggota JI dan anggota yang masih aktif. Sebagai maklumat tambahan, kawasan Ulu Tiram (1993) pernah diklasifikasikan oleh pihak berkuasa sebagai hotspot bagi kumpulan militan/ekstremis serta menjadi pusat merekrut penganut fahaman Syiah.

PENUTUP

Insiden serangan bersenjata yang berlaku di Balai Polis di Ulu Tiram ini jelas membuktikan bahawa ideologi dan naratif yang bersifat ganas dan keras ini masih relevan dan diterima oleh segelintir masyarakat. Walaupun tindakan serangan ini tidak melibatkan mana-mana kumpulan pengganas namun serangan lone wolf ini mampu memberi impak negatif terutamanya tahap negara dimata negara luar.

Permasalahan seperti ini bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah atau di pandang remeh serta diinginkan oleh mana–mana negara di dalam dunia. Pengawasan secara sistematik dan menyeluruh harus digunapakai oleh semua khusus bagi pihak berkuasa dalam memerangi insiden ini daripada berulang kembali. Penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang serta hukuman yang berat harus dikenakan kepada pelaku-pelaku yang terlibat dan didapati bersalah.

Dalam konteks tahap keselamatan instalasi penting seperti balai polis dan kem-kem tentera harus dinilai dan ditambah baik dari masa ke masa bagi memastikan ia sentiasa berfungsi seperti keperluan Arahan Keselamatan 2006 (Polis) dan Perintah Keselamatan ATM (Tentera) demi kepentingan bersama. 

 

GISBH: ADAKAH SATU ORGANISASI GENGSTERISME AGAMA YANG BOLEH MEMBERI ANCAMAN KEPADA BANGSA, AGAMA DAN NEGARA

ARTIKEL


"GISBH: ADAKAH SATU ORGANISASI GENGSTERISME AGAMA YANG
BOLEH MEMBERI ANCAMAN KEPADA BANGSA, AGAMA DAN NEGARA"

PENDAHULUAN

Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) telah diasaskan sekitar tahun 2008 bagi menggantikan Rufaqa Corporation, yang ditubuhkan pada tahun 1997 untuk mengambil alih kepentingan perniagaan Darul Al-Arqam. Darul Al-Arqam telah diharamkan oleh Kerajaan Malaysia pada 1994 kerana didapati menyeleweng dari ajaran Islam.

GISBH telah melebarkan sayap perniagaannya secara transnasional hingga ke Haramayn iaitu pusat ibadat Islam di Arab Saudi. GISBH secara khususnya telah dipimpin oleh seorang wanita, Hatijah Aam yang merupakan salah seorang isteri kepada Ashaari Muhammad.

Pada Ogos 2024, dilaporkan bahawa organisasi GISBH ini telah mempunyai aset yang bernilai hampir kira-kira RM 325 juta dengan mempunyai 415 cawangan perniagaan di 20 buah negara termasuk United Kingdom, Australia, Emiriah Arab Bersatu, Perancis dan lain-lain negara lagi.

Antara aset berharga yang dimiliki oleh organisasi GISBH ini adalah seperti restoran, kedai bakeri dan kedai serbaneka di London, Paris, Istanbul, Dubai dan Mekah serta sebuah hotel di Turki dan Sarajevo.

Terdapat 25 buah anak syarikat yang berada di bawah pentadbiran organisasi GISBH ini. Kesemua 25 buah syarikat itu adalah seperti berikut:

  1. GISB Mart Sdn Bhd
  2. GISB Bakery, Restaurant & Catering Sdn Bhd
  3. GISB Industries Sdn Bhd
  4. GISB Distributor Sdn Bhd
  5. GISB Medicare Sdn Bhd
  6. GISB Event Management Sdn Bhd
  7. GISB Consultancy and Services Sdn Bhd
  8. GISB Travel & Tours Sdn Bhd
  9. GISB Hi Tech Sdn Bhd
  10. GISB Maritime Sdn Bhd
  11. GISBH Berbahagia Sdn Bhd
  12. Ikhwan Biotechnology Sdn Bhd
  13. Ikhwan TV Network Sdn Bhd
  14. GISB Academy Sdn Bhd
  15. GISB Security Services Sdn Bhd
  16. Permodalan Berjiwa Sdn Bhd
  17. GISB Aeilah Mart Sdn Bhd
  18. GISB Poultry Sdn Bhd
  19. Ikhwan Meat & Chicken Supplies Sdn Bhd
  20. Ikhwan Fateh Poultry Sdn Bhd
  21. Ikhwan Hatchery Sdn Bhd
  22. Ikhwan Perkasa Genetik Sdn Bhd
  23. Fateh Biotech Sdn Bhd
  24. Ikhwan Travel Marketing & Services Sdn Bhd
  25. GISB Properties & Development Sdn Bhd

Kini struktur pentadbiran dan organisasi GISBH telah diterajui oleh Datuk Haji Nasiruddin Mohd Ali selaku Pengerusi Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd. Nasiruddin turut dibantu oleh beberapa barisan tertinggi pentadbiran GISBH seperti Hasnan Abd Hamid, Muhammad Adib Attamimi Asaari, Mohd Fadhil Yassin, Ahmad Anuar Abdul Rahman, Nik Hazani Nik Muhammad, Azura Md Yusof, Roqaiyah Zakaria dan Ummu Mubarakah Attamimi Asaari.

SEJARAH KUMPULAN AL-ARQAM

Ashaari Muhammad @ Abuya

Menurut portal rasmi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), al-Arqam telah diasaskan pada 1968 oleh Ashaari Muhammad @ Abuya dan beberapa orang sahabat yang pada mulanya dikenali sebagai “Kumpulan Rumah Putih” di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Tujuan penubuhan kumpulan ini adalah untuk menyedarkan kepada umat Islam khusus di Malaysia agar lebih menghayati makna Islam. Namun beberapa tahun kemudian, kumpulan ini telah menukar identiti nama gerakan mereka kepada Darul Arqam.

Khabar angin tersebar secara meluas beberapa tahun selepas itu mengenai amalan Aurad Muhammadiah yang telah diamalkan oleh Ashaari Muhammad dan pengikutnya. Isu tersebut telah mengundang kepada beberapa siri pengisytiharan keluar dari jemaah tersebut oleh beberapa orang kanan Darul Arqam serta pemecatan beberapa individu yang berpengaruh dalam kumpulan tersebut.

Perkampungan Al-Arqam

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah bertindak memanggil Ashaari untuk memberikan penjelasan berkaitan isu tersebut dan beberapa perkara mengenai Aurad Muhammadiah. Menerusi pengakuan yang diberikan oleh Ashaari, beliau menafikan menyebarkan Aurad Muhammadiah di dalam Darul Arqam namun begitu tidak menafikan mengamalkan amalan tersebut.

Selain daripada itu, Ashaari Muhammad turut mengeluarkan satu kenyataan kontroversi memberitahu bahawa individu yang bertanggungjawab membawa Aurad Muhammadiah ialah Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi. Individu tersebut telah meninggal dunia pada tahun 1925. Menurut Ashaari, Syeikh Muhammad bakal hidup semula sebagai Imam Mahdi pada akhir zaman kelak.

Buku Terbitan Ashaari

Ekoran daripada isu-isu yang melanda Ashaari dan kumpulannya itu, jawatankuasa fatwa negeri-negeri telah sebulat suara untuk memutuskan bahawa fahaman Aurad Muhammadiah yang menjadi pegangan utama kumpulan Darul Arqam adalah bertentangan dengan syariat dan akidah Islam. Fahaman Aurad Muhammadiah turut diterjemahkan di dalam dua buah buku terbitan Ashaari dan Mohamad Taha as-Suhaimi iaitu “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi”. Buku-buku ini telah diharamkan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana terdapat ajaran-ajaran dan fahaman yang menyeleweng dari ajaran Islam serta dibimbangi mampu menyesatkan dan mengelirukan umat Islam khususnya di Malaysia.

Ashaari dan beberapa orang pemimpin kumpulan Darul Arqam telah ditahan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2 September 1994. Beliau akhirnya dibebaskan dari tahanan namun masih terikat dengan perintah kediaman. Ashaari dilaporkan meninggal dunia pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru.

CONTOH AJARAN-AJARAN SESAT DI MALAYSIA

Ajaran sesat didefinisikan sebagai ajaran atau amalan yang bawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam. Hakikatnya ajaran tersebut bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu Al-Quran, As-Sunnah, ­ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Antara ajaran-ajaran sesat yang telah difatwakan haram oleh Malaysia adalah seperti berikut:

a. Kerajaan Langit – Ajaran sesat ini diperkenalkan pada pertengahan tahun  1980 dan diketuai oleh seorang rakyat Malaysia iaitu Arifin Mohammed atau lebih   dikenali dengan Ayah Pin di kalangan pengikutnya. Ayah Pin mendakwa dirinya sebagai Tuhan dan mampu menjelma sebagai Jesus, Buddha, Shiva malah sebagai Nabi    Muhammad SAW. Ayah Pin turut mendakwa dirinya mempunyai kuasa menyembuh    bagi segala penyakit dan turut mendakwa bahawa Mekah, Kaabah dan Air Zam-Zam adalah miliknya dan dibina setelah mendapat wahyu dari langit. Ajaran Ayah Pin atau Kerajaan Langit ini telah diharamkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 2005.

b. Taslim – Taslim atau turut dikenali sebagai ajaran Matahari adalah ajaran sesat tertua yang wujud sekitar tahun 1870 dan terletak di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada tahun 1872, seorang individu bernama Haji Muhammed Shayfie   telah berpindah ke Kampung Seronok dan telah menggelarkan dirinya sebagai Taslim iaitu pengasas ajaran Matahari. Ajaran Matahari itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kenyataannya yang pernah dibuat di hadapan mufti Kedah ketika ditanya mengenai tuhan lalu dia menunjuk jarinya ke arah matahari. Ada yang mengatakan bahawa pengikutnya tertarik dengan ajaran itu disebabkan amalannya yang mudah  seperti tidak perlu sembahyang kerana Allah berada dalam tubuh badan apabila  mengucap.

c. Ajaran Millah Ibrahim@Abraham – Millah Ibrahim@Abraham telah    ditubuhkan oleh Ahmad Musadiq dari Indonesia yang mana beliau pernah membawa  ajaran sesat Al-Qiyadah pada tahun 2007. Millah Ibrahim@Abraham merupakan  sebuah komuniti ajaran sesat dari Bogor, Indonesia. Penubuhannya melibatkan sebahagian Kalimantan khususnya di Pontianak, Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, ajaran sesat ini dipercayai dianggotai seramai  4,000 hingga 6,000 orang pengikut. Ajaran sesat Millah Ibrahim@Abraham berpegang   kepada jihad perang sebagai panduan dalam mewujudkan Daulah Islamiyah atau Negara Islam di Borneo. Ajaran sesat ini turut mencampur-adukkan ajaran Islam, Nasrani dan Yahudi. Mereka turut menganggap orang lain yang belum berbaiah sebagai  kafir. Dalam ajarannya, pengikut hanya perlu melakukan solat malam, tanpa solat lima waktu. Ajaran sesat Millah Ibrahim@Abraham turut menyatakan agama Islam yang  ada masa kini tidak lagi asli kerana Islam yang sebenarnya telah lama terhapus akibat  serangan Moghul ke atas kerajaan Abbasiyah pada abad ke 10 dan 11. Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 19 Nov 14 telah  mengambil keputusan bahawa ajaran Millah Ibrahim@Abraham adalah sesat dan  menyeleweng daripada akidah Islam.

KRONOLOGI PEMBONGKARAN KES GISBH

Podcast selebriti tempatan, Caprice

21 Feb 24, bekas ahli pengikut gerakan atau kumpulan ajaran sesat bermotifkan agama telah tampil membuat satu pendedahan eksklusif menceritakan segala kesesatan dan kezaliman yang pernah dilalui oleh dirinya serta keluarga semasa bergelar sebagai seorang pengikut dalam gerakan tersebut. Pendedahan eksklusif ini telah diceritakan menerusi satu podcast selebriti tempatan, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli.

Sekitar Jul 24, terdapat pengkaji dari Majlis Agama Islam Negeri mengemukakan beberapa bukti penyelewengan dan kesesatan di dalam pengurusan pihak GISBH kepada Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza). Dr Maza diberitahu oleh pengkaji tersebut bahawa GISBH didakwa masih mengamalkan beberapa ajaran dan ideologi kumpulan al-Aqram yang diharamkan pada tahun 1994 atas kesalahan ajaran sesat.

16 Ogos 24, Dr Maza kelihatan sangat konsisten dalam mendedahkan dapatan kajian serta aduan mangsa-mangsa kumpulan GISBH menerusi beberapa siri ceramah yang dilaksanakan oleh Dr Maza. Menurut Dr Maza, kumpulan yang didakwa terlibat dalam isu ini dilabelkannya sebagai gengsterisme agama. Dalam masa yang sama, Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia, turut sama mula mendedahkan segala kegiatan sesat GISBH menerusi platform media sosial di Facebook dan TikTok. PUKAS telah memuat naik semula video-video lama aktiviti yang berkait dengan GISBH. Selain itu, terdapat satu akaun Facebook iaitu Pseudoscience Watch (PW) bertindak membongkar isu yang sedang tular ini namun lebih kepada sudut jenayah terhadap kemanusiaan yang melibatkan kanak-kanak.

29 Ogos 24, pihak tertinggi pengurusan GISBH di dalam satu kenyataan media telah menyuarakan tuntutan permohonan maaf daripada Dr Maza, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Muhd Adnan dan Ustaz Daud Lin Abdullah di atas dakwaan penyebaran fitnah, kebencian serta tohmahan ke atas GISBH.

4 Sep 24, Mokhtar Tajuddin selaku Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISBH telah tampil untuk memberikan dan menjelaskan segala dakwaan dan spekulasi yang sedang panas melanda GISBH di platform podcast milik Caprice. Dalam podcast tersebut, Tajuddin juga telah menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar.

7 Sep 24, Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) serta Penasihat Khas kepada Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil iaitu En Farhan Zulkefly dan Dr Abu Hafiz Salleh Hudin telah dihubungi agar isu yang sedang melanda ini dapat ditangani secara telus dan serius oleh pihak kementerian. Bertindak di atas arahan, Farhan dan Dr Abu Hafiz kemudiannya menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar siasatan lebih lanjut dapat dilaksanakan berhubung isu GISBH ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengesahkan berkaitan pertemuan tersebut dan menggesa wakil pihak GISBH untuk berdiskusi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung dengan isu yang dikaitkan dengan GISBH.

11 Sep 24, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan satu operasi dengan menyerbu hampir 20 buah rumah amal yang dipercayai dimiliki oleh GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Hasil daripada operasi yang dikenali sebagai Ops Global ini, seramai 402 kanak-kanak telah berjaya diselamatkan. PDRM bersama-sama agensi berkaitan telah melaksanakan proses dokumentasi kanak-kanak yang diselamatkan di Pulapol Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama, seorang wanita berusia 19 tahun telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan penderaan fizikal ke atas empat kanak-kanak lingkungan usia 5 tahun hingga 6 tahun. Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pusat asuhan di Seremban yang dikaitkan dengan GISBH.

13 Sep 24, Tan Sri Razarudin Husain selaku Ketua Polis Negara (KPN) telah mengadakan sidang media berhubung kes ini dan turut mendedahkan bahawa sejumlah 41 laporan polis berkaitan GISBH telah diterima sejak tahun 2011 hingga September tahun ini. Menurut KPN, seramai 159 individu daripada 171 yang ditahan mendapat kebenaran perintah reman manakala mereka yang dibawah umur tiada keperluan untuk disiasat. PDRM turut mengesahkan seramai 483 individu telah dirakam percakapan serta diambil kenyataan terdiri daripada mangsa, pengadu, saksi dan suspek. Seramai 384 orang kanak-kanak dan remaja telah selesai menjalani saringan kesihatan. Berdasarkan pada hasil saringan tersebut, didapati wujud ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan terhadap mangsa-mangsa yang terlibat.

17 Sep 24, KPN telah mengesahkan sebanyak 96 akaun bank milik GISBH telah dibekukan dan empat akaun ditutup dipercayai mempunyai nilai aset lebih RM581,000. Kesemua mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global selesai menjalani saringan kesihatan dan terdapat elemen jenayah fizikal serta emosi dikesan melalui keputusan saringan tersebut. PDRM telah mengeluarkan tiga kertas siasatan berhubung Op Global dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Dalam pada itu, terdapat seorang ahli perniagaan yang juga merupakan anggota GISBH iaitu Mohamad Riza Makar, 39 tahun, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan melakukan jenayah berunsur ugutan terhadap seorang wanita. Pertuduhan dibicarakan di Mahkamah Majistret Putrajaya.

19 Sep 24, 19 individu terdiri daripada pemimpin, isteri dan pengurusan tertinggi GISBH telah ditahan oleh PDRM dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Selain itu, tiga pembantu pengajar di sebuah madrasah yang terletak di Kuala Pilah, dipercayai terdapat hubung kait dengan GISBH telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban. Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah di atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada tahun 2022 dan 2023. Sehari selepas itu, tujuh individu lagi telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan orang. Kesemua mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH. Antara individu yang ditahan termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam yang juga merupakan anggota kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH.

21 Sep 24, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah. Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza), fatwa berkenaan dikeluarkan selepas menerima bukti yang meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat. Ujar Dr Maza, unsur ajaran batiniah berkenaan juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sesat.

23 Sep 24, pasukan PDRM mendapati bahawa terdapat ahli GISBH yang masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah, iaitu fahaman yang dibawa oleh pengikut kumpulan ajaran sesat al-Arqam. Laporan ini diperkuatkan lagi susulan dengan penemuan buku-buku dan risalah di premis milik GISBH menerusi Op Global yang dilaksanakan oleh PDRM dan agensi-agensi terlibat.

PANDANGAN DAN KRITIKAN

Berhubung dengan isu penindasan, eksploitasi kanak-kanak, penyelewengan ajaran agama serta kes liwat yang dikaitkan dengan organisasi ini telah mendapat reaksi dari pelbagai pihak. Isu yang tercetus ini merupakan satu isu yang amat serius dan memerlukan siasatan secara terperinci oleh pihak yang bertanggungjawab kerana ianya dilihat melibatkan agama serta nilai sosial seseorang individu itu. Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa pandangan dan kritikan yang telah dilemparkan berkaitan isu ini.

17 Sep 24, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah menitahkan agar PDRM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan dengan isu jenayah dan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang dikatakan mempunyai kaitan dengan rumah amal di bawah GISBH. Baginda turut bertitah mengingatkan kepada semua bahawa perkara yang melibatkan akidah umat Islam seharusnya dipelihara sebilang masa dan tidak boleh dipandang ringan. Sultan Ibrahim turut mengingatkan agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang pandangan atau kenyataan yang melampau berkaitan dengan isu agama kerana isu ini amat sensitif dan harus ditangani dengan berhati-hati.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan tindakan yang segera dilaksanakan melibatkan siasatan dan laporan berhubung isu GISBH yang antaranya melibatkan eksploitasi kanak-kanak. Beliau turut menambah dalam kenyataan bahawa isu berkaitan akidah, salah guna kuasa, salah guna agama serta penderaan adalah perkara besar, jika terbukti benar. Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk PDRM untuk menjalankan siasatan dan tindakan mengikut undang-undang.

Pada 16 Sep 24, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap isu yang membabitkan organisasi GISBH. Tuanku Muhriz bertitah bahawa perbuatan organisasi yang dipercayai berselindung disebalik kebajikan Islam ini merupakan contoh perbuatan yang tidak sepatutnya timbul di negara ini. Baginda turut bertitah bahawa ia menjadi tanggungjawab dan amanah setiap umat Islam untuk menunjukkan nilai Islam sebenar dalam kehidupan seharian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berasa amat dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya kes 402 orang kanak-kanak yang telah menjadi mangsa jenayah seksual dan eksploitasi di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan. Beliau turut mengarahkan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) untuk menyantuni kanak-kanak dan keluarga mereka yang menjadi mangsa dalam kes ini dengan menawarkan khidmat ‘pendamping kanak-kanak’ atau legal companion kepada mangsa-mangsa terlibat. Beliau turut menyatakan bahawa pihak kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam hal-hal penindasan yang melibatkan kanak-kanak.

Presiden Pertubuhan Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP.MY), Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berpendapat bahawa pendedahan berkaitan eksploitasi kanak-kanak dan remaja yang dikaitkan dengan GISBH merupakan satu insiden yang yang benar-benar menimbulkan kebimbangan serta kerisauan terhadap hak, kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak serta remaja pada masa kini. Menurutnya lagi, kanak-kanak adalah merupakan amanah yang perlu dijaga, dilindungi dan diberikan pendidikan yang sewajarnya. Sebarang bentuk penindasan dan eksploitasi khusus yang sedang berlaku di dalam institusi yang dikaitkan dengan keagamaan, tidak boleh dibiarkan berlaku secara berterusan. Kegagalan untuk melindungi golongan ini daripada dieksploitasi adalah satu pengkhianatan besar kepada kepercayaan dan tanggungjawab kita sebagai masyarakat.  

Isu berkaitan doktrin fahaman GISBH telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang telah bersidang pada 24 hingga 26 September 2024. Menurut Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar, Jawatankuasa Fatwa MKI hanya akan mengeluarkan pandangan hukum mengenai GISBH dan bukan fatwa. Beliau memberitahu bahawa fatwa berhubung GISBH akan diputuskan oleh Majlis Agama Islam setiap negeri masing-masing. Intipati perbincangan ini akan dibawa ke Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 23 dan 24 Oktober untuk mendapat perkenan.

PENEMUAN BARANGAN BUKTI YANG BERTENTANGAN DENGAN AJARAN ISLAM DI MALAYSIA

Kejayaan Op Global yang dilaksanakan PDRM bersama beberapa agensi kerajaan berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak yang dipercayai dieksploitasi di 20 buah rumah kebajikan. Turut ditahan seramai 171 individu yang mengendalikan premis terbabit bagi siasatan lanjut. Operasi yang dilaksanakan ini turut membongkarkan segala modus operandi gerakan berlandaskan Islam yang telah mengeksploitasi kanak-kanak serta remaja.

Operasi ini turut berjaya menemukan beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam perihal urusniaga organisasi tersebut. Turut dijumpai adalah beberapa naskah majalah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan al-Arqam yang telah difatwakan haram pada tahun 1994 kerana menyeleweng daripada ajaran Islam.

Bukan itu sahaja, menerusi akaun Facebook milik PUKAS, terdapat satu video yang telah dimuat naik menyaksikan sesi temu bual yang melibatkan bekas pekerja GISBH telah mendakwa mereka diberikan sebotol air yang kononnya dipanggil sebagai ‘air berkat’. Kandungan di dalam ‘air berkat’ itu dipercayai mengandungi rendaman janggut, rambut, dan air basuhan badan para pimpinan GISBH. Bekas pekerja GISBH tersebut turut mendakwa bahawa mereka diarahkan untuk menyemburkan ‘air berkat’ tersebut ke dalam makanan-makanan yang dijual di restoran milik GISBH. ‘Air berkat’ tersebut dikatakan menjadi azimat bagi para pengikut GISBH.

PDRM bersama-sama agensi tempatan telah melakukan serbuan ke atas premis-premis dan rumah milik pemimpin tertinggi GISBH di sekitar Malaysia. Di Kelantan, polis telah berjaya merampas pelbagai jenis risalah dan buku berkaitan doktrin diperjuangkan oleh GISBH yang telah ditanam dan dibakar berhampiran dengan rumah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH di Kampung Panji, Kota Bahru. Seterusnya di Melaka, ratusan buku dan barangan berkaitan ajaran sesat Al-Arqam ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis dipercayai milik GISBH. Turut ditemukan 12 gambar pengasas al-Arqam iaitu Ashaari Muhammad serta jadual zikir Aurad Muhammadiah.

 

FATWA MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI BERKAITAN GISBH

Negeri Perlis – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran di dalam GISBH mengandungi unsur anjaran sesat khususnya batiniah. Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Maza), fatwa berkenaan dikeluarkan selepas menerima bukti yang menyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi tersebut sesat. Ujar Dr Maza, unsur ajaran batiniah adalah merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sebagai ajaran sesat.

Negeri Selangor – DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan kepada fatwa berkenaan fahaman, ajaran, pegangan dan amalan yang diamalkan GISBH serta rangkaiannya. Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menyakini bahawa pemimpin, pengikut, pekerja malah ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar. Mufti Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir memberitahu jawatankuasa itu memutuskan dimana fahaman, pegangan, amalan serta ajaran GISBH mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan ASWJ daripada aspek akidah mahupun syariat.

Negeri Pahang – Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang telah memutuskan bahawa fahaman yang didukung oleh GISBH adalah sesat dan menyeleweng. Keputusan ini dibuat setelah jawatankuasa itu selesai bermesyuarat bagi membincangkan perihal isu ini dan mendapat perkenan dari KDYMM Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata golongan yang disebut sebagai menyeleweng dan sesat itu bila mana mereka meneruskan amalan dan kepercayaan dalam Aurad Muhammadiah yang dibawa oleh al-Arqam, yang telah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994. 

Negeri Melaka – Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH adalah sesat dan tersasar daripada ajaran Islam sebenar dan pegangan ASWJ. Menurut Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, keputusan fatwa ini diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang berlangsung pada 3 Oktober 2024 lalu selepas mendapati beberapa elemen organisasi itu bertentangan dengan hukum syarak yang diamalkan di Malaysia.

Negeri Sabah – Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan fahaman, ajaran, amalan dan pegangan ahli GISBH serta rangkaian syarikat gabungan miliknya jelas menyeleweng dan bercanggah daripada ajaran Islam. Keputusan ini diputuskan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah pada Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah 2024 yang telah bersidang pada 1 dan 2 Oktober lalu. Pejabat Mufti menekankan mengenai penyelewengan GISBH meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kemanusiaan, kekeluargaan, dan ekonomi. Penyelewengan ini dilihat menjurus kepada perpecahan umat serta diyakini mampu mengancam keselamatan negara.

Negeri Pulau Pinang – Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bertindak memutuskan ajaran, pegangan, dan fahaman yang diamalkan oleh pemimpin, pengikut, serta pekerja GISBH bercanggah daripada ajaran Islam. Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata kumpulan GISBH masih meneruskan pegangan serta amalan al-Arqam dan Rufaqa Cooperation yang telah difatwakan sesat sebelum ini. Ahli jemaah GISBH masih mengamalkan Aurad Muhammadiah dan menyakini bahawa amalan bertabarruk iaitu air basuhan anggota badan pimpinan mereka membawa berkat. 

KESAN/ANCAMAN 

Perpaduan Keluarga, Masyarakat dan Politik. Kesan ajaran sesat terhadap keluarga dapat dilihat menerusi keretakan yang membawa kepada runtuhnya sesebuah institusi kekeluargaan tersebut. Perkara ini dapat diperkuatkan lagi apabila timbulnya rasa curiga antara ahli keluarga ekoran daripada perbezaan akidah serta kepercayaan. Disamping itu, ajaran sesat dikhuatiri akan menyebabkan tergugatnya sesuatu perpaduan umat seperti tercetusnya keganasan atas dasar taasub dan fanatik secara membuta tuli terhadap pemimpin atau figura. Pengikut ajaran sesat ini tidak akan mengamalkan sikap hormat menghormati antara masyarakat kerana mereka ini telah didoktrinasi oleh fahaman yang menganggap bahawa mereka sahaja yang sentiasa benar. Kehadiran ajaran sesat lazimnya akan mencetuskan perbalahan antara keluarga dan masyarakat sehingga membawa kepada kehidupan berpuak-puak yang memecahbelahkan keluarga, agama mahupun bangsa. Tidak dinafikan bahawa ajaran sesat ini berupaya untuk menerapkan perasaan benci membenci, perbalahan malah berkemungkinan untuk berlakunya pembunuhan sesama sendiri jika para pengikut ajaran sesat ini sudah berada pada tahap radikal.

Keterlaluan. Sifat keterlaluan atau ekstrem beragama merujuk kepada perilaku berlebih-lebihan dalam pelaksanaan terhadap hukum-hukum syariat sehingga mempersulitkan diri sendiri mahupun orang lain. Seseorang yang ekstrem akan bersikap rigid terhadap urusan-urusan agama tanpa memperlihat pada sudut etika-etika syariat serta kaedah-kaedah agama. Sikap keterlaluan atau ekstrem beragama ini dapat dilihat menerusi golongan yang menolak pegangan ASWJ dan mengamalkan ajaran yang jelas terbukti bertentangan daripada ajaran yang sepatutnya. Selepas hampir 30 tahun Kerajaan Malaysia mengharamkan ajaran Al-Arqam, negara dikejutkan dengan pembongkaran kegiatan di GISBH yang dikatakan membawa semula ajaran al-Arqam dalam organisasi mereka. Pelbagai dakwaan dan cerita perihal kegiatan ekstrem GISBH telah dirungkaikan oleh bekas pengikutnya. Antaranya adalah mengenai “air berkat” basuhan janggut, gigi, rambut dan rendaman kaki yang dicampurkan dalam makanan serta minuman yang kononnya membawa azimat.  Perkara ini harus diambil serius kerana ia mampu menjurus kepada munculnya fahaman serta ajaran yang menyesatkan.  

Ideologi. Bersikap terlalu fanatik dan taasub dalam beragama merupakan satu tindakan yang mampu memberi kesan buruk. Mereka yang terlalu berfanatik dan taasub beragama ini kebiasaannya akan menganggap dan merasakan bahawa “tokoh” atau pemimpin yang mereka ikuti itu adalah merupakan individu yang harus mereka percayai. Ideologi atau naratif yang bersifat keras atau melampau juga dilihat mampu wujud menerusi sikap fanatik dan taasub beragama ini. Hal ini kerana, bila seseorang individu atau kumpulan itu mula bertindak memilih pendekataan kekerasan iaitu menggunakan senjata bagi menghapuskan apa yang telah dianggap batil, atau cuba untuk mengubah kemungkaran dengan menggunakan persenjataan. Walaupun tiada tindakan agresif yang diambil oleh penyokong GISBH, namun sikap taasub dan fanatik mampu mendorong aktiviti keganasan untuk berlaku.

PENUTUP

Isu yang berkaitan GISBH ini hendaklah diselesaikan dengan cara yang penuh cermat dan hemat kerana ia melibatkan pelbagai pihak. Pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu ini supaya ia tidak menjadi permainan politik mahupun figura persendirian dalam mencapai matlamat mereka. Pemerhatian dan pantauan secara rapi dilihat menjadi objektif utama pihak bertanggungjawab dalam memastikan tiada unsur-unsur kewujudan ajaran sesat mahupun penyelewangan agama berlaku di dalam negara ini yang jelas mengamalkan ajaran ASWJ.

Akidah dan pegangan ASWJ adalah merupakan satu-satunya akidah dan pegangan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW yang selamat dan merupakan pegangan rasmi institusi dan masyarakat Islam di negara ini. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab masyarakat khususnya Islam untuk menjauhi segara ajaran, fahaman, pegangan mahupun ideologi yang bercanggah dan menyeleweng daripada ASWJ sebagaimana yang difatwakan oleh Majlis Agama atau Pejabat Mufti negeri-negeri di seluruh Malaysia. Segala fahaman dan ajaran baharu yang dilihat mengelirukan perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, Pejabat Mufti Negeri serta institusi-institusi Islam lain yang bertanggungjawab.

Penularan ajaran sesat dalam kalangan masyarakat khususnya di Malaysia bukan sahaja memberi kesan dari sudut akidah dan syariat Islam, malah ia memberi kesan dari segi ketenteraman awam dan keselamatan negara. Oleh yang demikian, pelan tindakan strategik perlu diwujudkan atau dikemasikini oleh pihak bertanggungjawab bagi menangani ancaman ajaran sesat secara sistematik. Setiap daripada kita hendaklah memuliakan tanpa mengambil kira perbezaan kebudayaan dan menghormati perbezaan agama bagi mengelakkan konflik. Dengan wujudnya nilai sedemikian, kedamaian dan keamanan dapat terjamin sekaligus membuatkan kehidupan semua orang selesa.  

INSIDEN SERANGAN PENGGANAS DI DEWAN BANDARAYA CROCUS DI WILAYAH MOSCOW, RUSIA

ARTIKEL


INSIDEN SERANGAN PENGGANAS DI DEWAN BANDARAYA CROCUS
DI WILAYAH MOSCOW, RUSIA

PENDAHULUAN

Pada 22 Mac 24 lebih kurang sekitar jam 2000, Rusia telah dikejutkan dengan insiden serangan keganasan yang telah sekian lama tidak berlaku. Insiden serangan keganasan pada kali ini telah berlaku di Dewan Bandaraya Crocus di wilayah Moscow. Dewan Bandaraya ini diserang oleh pengganas semasa sedang menganjurkan satu konsert. Pengganas dilihat menyerbu masuk ke dalam dewan ini dan terus melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang awam yang berada di dalam dewan berkenaan.

Lokasi insiden di Dewan Bandaraya Crocus, Moscow

Insiden ini telah menyebabkan seramai lebih kurang 137 orang awam terbunuh dan lebih 100 orang yang lain tercedera. Difahamkan, kumpulan pengganas dikenali sebagai Islamic State in Khorosan Province (ISKP) telah mengaku bertanggungjawab di atas serangan yang berlaku di Moscow itu. Kumpulan ISKP mengeluarkan satu kenyataan menerusi platform Telegram Amaq, iaitu salah satu dari media yang mempunyai hubungan dengan kumpulan ini. Akan tetapi, tiada sebarang maklum balas dari Pihak Rusia mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh ISKP ini.

SEJARAH INSIDEN SERANGAN YANG PERNAH BERLAKU DI RUSIA

Rusia merupakan sebuah kuasa besar dunia yang mempunyai ekonomi, politik, sosio – ekonomi, dan pertahanan yang baik. Namun begitu, ianya tidak menghalang negara sehebat Rusia ini bebas dari ancaman keganasan. Antara insiden serangan keganasan yang pernah berlaku adalah seperti berikut:

  1. Apartment Bombings (1999)- Pada 13 Sept 99, satu letupan bom telah berlaku di sebuah bangunan pangsapuri lapan tingkat di kawasan tenggara Moscow. Insiden letupan bom tersebut telah meragut nyawa seramai 118 orang dan mengakibatkan ramai tercedera ekoran daripada impak bom berkenaan. Puak militan dari republik Chechya dikatakan bertanggungjawab melakukan insiden pengeboman di pangsapuri tersebut berdasarkan laporan daripada pihak Moscow. Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan telah mengguna pakai serangan tersebut sebagai permulaan kepada proses kempen beliau dalam menumpaskan pemberontakan puak militan di Chechya.
  2. Dubrovka Theatre Crisis (2002) – Pada 23 Okt 02, Pada 23 Okt 02, Rusia dikejutkan dengan satu insiden pengepungan di Teater Dubrovka oleh Militan Chencen yang diketuai oleh Movsar Barayev. Seramai 40 orang militan terlibat dalam insiden ini. Anggaran seramai 912 orang telah dijadikan tebusan oleh Militan Chechen. Insiden ini berakhir apabila Pasukan Keselamatan (PK) Rusia mengambil keputusan dengan mengepam gas ke dalam dewan tersebut sebelum menyerbu masuk dan menumpaskan kesemua militan. Ekoran daripada insiden ini, 130 tebusan dilaporkan terkorban.
  3. Serangan Pengebom Berani Mati di Tushino (2003) – Pada 5 Jul 03, sekurang-kurangnya 16 orang maut manakala lebih daripada 20 cedera parah apabila terdapat 2 orang wanita pengebom berani mati berjaya melaksanakan misi pengeboman mereka dengan meletupkan diri semasa sedang berlangsungnya sebuah konsert di kawasan lapangan terbang Tushino. Kedua-dua wanita tersebut meletupkan diri berdekatan kaunter tiket di pintu masuk utama konsert berkenaan. Daripada penemuan passport yang ditemui di mayat suspek, PK Rusia mengenal pasti salah seorang suspek pengebom berani mati ini sebagai Zalikhan Elikhadzhiyeva, 20, dari perkampungan Chechen di Kurchaloi. Pihak Rusia mendakwa bahawa puak militan Chenchen bertanggungjawab ke atas insiden pengeboman ini. 

  4. Moscow Metro Bombing (2004) – Pada 6 Feb 04, kira-kira seramai 39 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 120 cedera dalam satu serangan pengeboman berani mati yang berlaku di stesen kereta api bawah tanah Avtozavodskaya di Laluan Zamoskvoretskaya di Moscow. Pelaku bertindak melakukan serangan ketika orang ramai sedang sibuk menggunakan perkhidmatan awam tersebut. Presiden Vladimir Putin yang baru sahaja memenangi pilihan raya mendakwa bahawa militan Chechen merupakan dalang disebalik insiden pengeboman tersebut. Namun, pemimpin militan Chechen menafikan penglibatan mereka dalam insiden itu.
  5. Beslan School Siege (2004) – Militan Chenchen masih meneruskan serangan keganasan terhadap Rusia. Pada 1 Sep 04, militan ini telah menyerbu masuk sebuah sekolah di Beslan iaitu sebuah bandar terletak di Caucasus Utara. Mereka telah menjadikan hampir 1000 orang sebagai tebusan yang terdiri daripada pelajar – pelajar sekolah. Puak militan ini juga telah bertindak dengan meletakkan bahan letupan di dalam bangunan berkenaan. Impak daripada insiden ini, dianggarkan seramai 330 terbunuh termasuk 186 orang kanak – kanak dan 700 lagi cedera.

  6. Nevsky Express Bombings (2009) –Pengeboman Nevsky Express berlaku pada 27 Nov 09 apabila bom meletup di bawah kereta api berkelajuan tinggi yang bergerak antara bandar Rusia Moscow dan Saint Petersburg menyebabkan ia tergelincir berhampiran bandar Bologoye, Wilayah Tver. Laporan daripada pihak berkuasa Rusia menyatakan bahawa serangan bom ini telah mengakibatkan 39 orang terbunuh dan 95 lagi cedera. Militan Chechen mengaku bertanggungjawab ke atas serangan ini.

  7. Metrojet Flight 9268 Crash (2015) – Pada 31 Ok 15, kumpulan pengganas Daesh dikatakan telah meletakkan bom di atas sebuah pesawat penumpang Rusia. Ekoran daripada letupan bom berkenaan, seramai 224 orang penumpang telah terbunuh. Kebanyakkan daripada penumpang yang ada di dalam pesawat tersebut merupakan warga Rusia yang baru pulang bercuti dari Mesir.

LATAR BELAKANG ISLAMIC STATE IN KHOROSAN PROVINCE (ISKP)

ISKP ditubuhkan pada 2014 sebagai kumpulan pembelot dari Al-Qaeda, Tehrik e – Taliban (TTP) dan bekas pejuang Taliban dari Afghanistan dan Pakistan. Pada Januari 2015, Negara Islam Pusat secara rasmi mengumumkan perluasannya secara besar – besaran sehingga masuk ke wilayah Khorasan. ISKP dilaporkan mempunyai seramai 4000 – 6000 ahli yang berdaftar. Tidak jelas siapa yang mengetuai ISKP setelah bekas pemimpin mereka iaitu Sanaullah Ghafari dibunuh oleh Taliban pada 2023. Oleh itu, hubungan antara ahli ISKP dengan kumpulan – kumpulan lain seperti Al-Qaeda dan TTP disifarkan sebagai “kabur”.  

ISKP muncul dan lahir dari hegemoni Daesh di tengah – tengah konflik yang telah sedia ada wujud di Afghanistan, Pakistan, dan India. Kemunculan ISKP ini bakal memberi potensi ancaman baharu keganasan kepada negara – negara di luar rantau Asia Selatan. 

Islamic State in Khorosan Province (ISKP) telah mendapat pengiktirafan daripada Daesh di Syria. Penggunaan perkataan Khorosan sangat signifikan kepada kumpulan ini. Khorosan merupakan satu tempat dari arah timur yang selalu disebut dalam beberapa hadis menyatakan bahawa akan datangnya tentera yang membawa panji – panji dibawah pimpinanan Imam Mahdi. Hadis ini telah dijadikan naratif dan propaganda oleh kumpulan Daesh

MOTIF SERANGAN/ MENGAPA RUSIA MENJADI SASARAN PENGGANAS

Dasar Luar Rusia dikatakan menjadi satu tanda amaran utama bagi ISKP. Pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan, tindakan Rusia di Chechya, hubungan eratnya dengan kerajaan Iran dan Syria, dan elemen penting khususnya operasi ketenteraan yang telah dilakukannya di Syria terhadap kumpulan Daesh dengan menggunakan tentera upahan. Disebabkan semua itu, “perang propaganda meluas” ISKP telah mengalihkan perhatiannya ke Moscow.

Rusia adalah musuh utama Daesh kerana penglibatan global nya dalam menentang Daesh dan sekutunya, terutama melalui operasi ketenteraannya di Syria. Di samping itu, percubaan Rusia untuk membina hubungan baik dengan Taliban Afghanistan juga menjadi pemangkin kepada serangan yang dilakukan oleh Daesh kerana Taliban Afghanistan jelas sekali merupakan musuh utama kepada ISKP.

Awal Mac 24, kedutaan AS di Rusia turut memberi amaran kepada rakyat AS untuk mengelakkan perhimpunan besar kerana terdapat sumber risikan bahawa ISIS-K bertekad untuk menyerang di Rusia dengan menyasarkan perhimpunan besar di Moscow. Dijangkakan Rusia akan memperketatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan serangan keganasan berlaku Insiden ini dijangka akan turut menjejaskan lagi konflik antara Rusia-Ukraine kerana Presiden Rusia telah mendakwa pengganas tersebut cuba bersembunyi dan menuju ke Ukraine walaupun dinafikan oleh Ukraine sebagai satu tuduhan yang tidak berasas.

SUSPEK-SUSPEK DALAM SERANGAN MOSCOW

Suspek-suspek dalam serangan keganasan di Moscow

Keempat – empat suspek kes serangan Dewan Bandaraya Crocus telah ditahan reman ke dalam tahanan pra – perbicaraan sehingga 22 Mei 24. Kesemua mereka di dakwa melakukan serangan keganasan menurut Mahkamah Bidang Kuasa Am Bandar Moscow. Jika sabit kesalahan di bawah Kanun Jenayah Rusia, kesemua mereka yang terlibat bakal menerima hukuman penjara seumur hidup.

Suspek – suspek yang berasal dari Tajikistan ini yang dikenali sebagai Dalerdzhon Mirzoyev (32), Saidakrami Rachabalizoda (30), Shamsidin Fariduni (26) dan Muhammadsobir Faizov (20).

 

KESAN

Kesiapsiagaan: Jika benar Daesh bertanggungjawab ke atas serangan di Moscow yang telah mengorbankan hampir 130 orang nyawa, ia menampakkan signifikan bahawa kumpulan pengganas ini sedang giat untuk merancana sesuatu tindakan seperti “kemunculan semula”. Bukan itu sahaja, kejadian yang berlaku di Rusia ini pasti memberikan kesan yang amat besar bagi negara – negara di luar sana agar lebih berhati – hati dalam menangani isu yang berkaitan dengan pengganas. Apa yang berlaku di Rusia pasti akan membuka mata pihak kerajaannya agar sentiasa berwaspada dengan apa jua ancaman yang bakal mendatang. Presiden Rusia, Vladimir Putin selaku orang yang mempunyai kuasa mentadbir Rusia harus melihat insiden yang berlaku ini sebagai ancaman terus terhadap kepimpinannya. Rusia tidak boleh terlalu fokus dengan konfliknya bersama Ukraine kerana tindakan tersebut sedikit sebanyak bakal memberi kesan negatif dan membuka ruang bagi kumpulan pengganas memperluaskan ideologi dan naratif disamping melancarkan serangan keganasan terhadap negara berkaitan.

Ideologi: ISKP secara konsisten telah menunjukkan cita – citanya untuk berkembang menjadi sebuah entiti pengganas serantau yang berkuasa. Hal ini dilihat apabila mereka boleh mengarahkan serangan dan melakukan pencerebohan terhadap negara seperti Rusia. Serangan keganasan daripada ISKP terhadap Rusia baru – baru ini bukanlah serangan kali pertama yang dilakukan oleh ISKP. Pada tahun 2022, kumpulan ini telah bertindak menyerang kedutaan Rusia yang berada di Kabul. Intihannya, segala serangan keganasan yang terpaksa dihadapi oleh Rusia ini telah membuktikan bahawa kumpulan pengganas menanam sifat kebencian dalam diri mereka terhadap Rusia. Tambahan pula, faktor utama yang paling menarik bagi ISKP untuk melancarkan serangan keganasan terhadap Rusia adalah Taliban. Umum mengetahui bahawa Taliban merupakan saingan sengit bagi Daesh, dan Daesh memandang serius bahawa Rusia mempunyai hubungan yang baik bersama Taliban.

PENUTUP

Insiden serangan pengganas yang berlaku di Moscow jelas membuktikan bahawa ideologi dan naratif kumpulan – kumpulan pengganas ini masih relevan dan diterima oleh segelintir masyarakat di luar sana. Perkara ini bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah dan diinginkan oleh mana – mana negara di dalam dunia. Pengawasan secara sistematik dan menyeluruh harus digunapakai oleh semua khusus bagi pihak berkuasa dalam memerangi pengaruh kumpulan pengganas yang semakin berleluasa.

Di samping itu, kerjasama dalam membenteras pengaruh kumpulan pengganas daripada tersebar memainkan peranan penting dalam usaha untuk menangani elemen terorisme ini. Perkara ini dilihat sebagai satu medium yang tepat yang boleh digunapakai oleh semua pihak. Sebagai contoh, Rusia telah menghubungi rakan sejawatannya di Turki dan Syria dan menjanjikan akan mengadakan kerjasama yang lebih erat dalam memerangi aktiviti keganasan susulan daripada insiden yang berlaku di Moscow.

Hubungan dua hala atau pelbagai hala antara negara-negara juga dilihat perlu diperhalusi secara efektif dalam menangani ancaman keganasan yang mampu menggangu gugat kestabilan dan keharmonian sesebuah negara itu. Kerjasama yang dilaksanakan secara bersama ini dilihat mampu memberi impak besar kepada kumpulan pengganas daripada melaksanakan serangan keganasan. Hal ini juga akan menjadi indikator terbaik dalam membenteras segala aktiviti atau ancaman berunsurkan keganasan yang bakal mendatang.

 

 

ARTIKEL KONFLIK ISRAEL-PALESTIN: ADAKAH SATU TINDAKAN MODERN GENOCIDE?

ARTIKEL

KONFLIK ISRAEL-PALESTIN: ADAKAH SATU TINDAKAN MODERN GENOCIDE?

PENDAHULUAN

 

Pembersihan etnik atau lebih popular digunakan sebagai ethnic cleansing adalah satu tindakan yang diklasifikasikan sebagai jenayah perang oleh badan perundangan antarabangsa. Tindakan ini menggambarkan perlakuan kejam terhadap suatu kumpulan atau masyarakat yang selalunya dikaitkan dengan perbezaan agama dan bangsa. Antara tindakan melibatkan pembersihan etnik adalah seperti pengusiran atau pemindahan paksa sesuatu kumpulan atau etnik tertentu. Di samping itu, tindakan ini juga melibatkan pemusnahan fizikal di sesuatu tempat sebagai contoh, tempat ibadat, tanah perkuburan dan kawasan perumahan Bagi pembunuhan beramai-ramai pula, dikaitkan dengan pemusnahan sesuatu kumpulan etnik, kaum atau agama. Selain itu, tindakan ini juga termasuk dengan pengusiran sesuatu kumpulan daripada tempat mereka dengan menggunakan elemen kekerasan. Walaupun pembersihan etnik dilihat berbeza dengan pembunuhan beramai-ramai, namun kedua-dua tindakan ini mempunyai matlamat yang sama dalam penghapusan dan pengusiran sesuatu kumpulan yang juga melibatkan pengorbanan nyawa sesuatu kumpulan.

 

Antara kontroversi yang dapat dikaitkan dengan pembersihan etnik adalah POLPOT Rejim yang berlaku di negara Kemboja ketika pemerintahan Pol Pot dari tahun 1975 hingga 1979 yang telah mengorbankan 1.5 hingga 3 juta orang, termasuk minoriti Vietnam dan Muslim Cham, akibat kelaparan, kekurangan zat makanan, penyakit, dan kerja berlebihan. Dianggarkan 500,000 orang Cham telah mati. Penganut agama Kristian dan Buddha juga menjadi mangsa penindasan. Pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot, bekerjasama dengan Putera Norodom Sihanouk untuk menentang Jeneral Lon Nol, yang melancarkan coup d’état pada Mac 1970, yang membawa kepada perang saudara. Dalam hal ini, Amerika Syarikat telah dilihat memberi sokongan kepada Jeneral Lon Nol. Setelah menawan Phnom Penh pada 17 April 1975, Khmer Rouge memenangi perang saudara. Selepas tentera Vietnam menawan ibu negara pada 7 Januari 1979, kerajaan Khmer Rouge digulingkan. Walau bagaimanapun, sehingga United Nations Transitional Authority Cambodia (UNTAC) ditubuhkan di Kemboja pada 28 Februari 1992, keadaan masih tidak stabil. Misi PBB berakhir pada September 1993 selepas kejayaan pemulihan demokrasi dan sistem monarki di Kemboja. Pol Pot telah menjalani hukuman house arrest pada 1997 sehingga dia meninggal dunia pada 15 April 1998. 

 

Seterusnya, kontroversi pembunuhan beramai-ramai yang dapat dilihat ialah peperangan dan krisis yang melanda Syria pada Ogos 2013. Krisis di negara tersebut telah menyebabkan warganegara diserang dengan senjata kimia dan mengorbankan ratusan ribu orang, manakala lebih sejuta hilang tempat tinggal atau menjadi pelarian. Selain manusia, serangan itu juga telah membunuh sebahagian besar haiwan termasuk biri-biri, anjing dan kucing. Rejim Bashar Al-Assad merupakan dalang disebalik lebih 330 serangan senjata kimia yang menyasarkan penduduk di negara itu. Penggunaan senjata kimia tersebut turut menjadi kritikan dan kutukan dunia.

KONFLIK ISRAEL-PALESTIN

Palestin merupakan wilayah yang didiami oleh masyarakat Arab yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama seperti, Yahudi, Kristian dan Islam. Pada 14 Mei 1948, Perdana Menteri pertama Israel, Ben Gurion mengadakan upacara di Tel Aviv Museum bagi merasmikan hari kemerdekaan pertama negara itu. Keganasan Israel ke atas Palestin terus meningkat sejak hari tersebut. Pada tahun 2006, pihak Palestin telah berpecah kepada  dua kumpulan atau parti yang membawa ideologi dan pegangan berbeza dari sudut sosio-politik iaitu Fatah dan Hamas. Fatah merupakan parti yang terbesar manakala Hamas adalah sebuah kumpulan perjuangan Islam. Konflik antara mereka menjadikan wilayah yang dikuasai oleh Palestinian National Authority (kerajaan interim Palestin) dibahagi kepada dua iaitu Fatah di Tebing Barat, manakala Hamas di Genting Gaza. Hal ini kerana Hamas dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh Israel dan banyak negara lain yang mengakibatkan Hamas tidak dibenarkan untuk menyertai sebarang perundingan rasmi walaupun menang dalam Pilihan Raya Palestin 2006.

Konfllik antara Israel-Palestin merupakan pertikaian yang masih berlangsung antara Yahudi Israel dan rakyat Palestin. Konflik ini berhubung kait dengan tuntutan kawasan tanah yang sama. Konflik Israel-Palestin kembali tegang pada 7 Oktober 2023 lalu apabila Hamas mula membuat serangan. Hamas mengejutkan dunia dengan melakukan Operasi Taufan Al-Aqsa terhadap rejim haram Israel, bermula dengan membuat serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan melalui darat, laut dan udara di negara haram itu. Serangan yang dilakukan oleh Hamas, adalah satu serangan balas berikutan peningkatan keganasan yang dilakukan oleh penceroboh Israel di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis timur. Oleh yang demikian, Israel bertindak untuk membalas kembali serangan Hamas terhadapnya dengan melancarkan operasi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.           

FAKTOR KONFLIK TERKINI ISRAEL-PALESTIN

Selepas negara-negara Arab kalah dalam peperangan lima hari pada Jun 1967, Israel bertindak melakukan banyak perkara termasuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa. Salah satu kerosakan yang berlaku adalah dinding Al-Magharibah di sebelah barat masjid dirobohkan dan diubah menjadi tempat ibadat orang Yahudi.

Baitulmaqdis sejak dahulu menjadi rebutan kerana ianya merupakan kota suci bagi tiga agama iaitu agama Islam, Kristian dan Yahudi. Bagi agama Islam, Baitulmaqdis adalah kota yang istimewa kerana ianya merupakan kiblat pertama dan terletaknya Masjid Al-Aqsa yang merupakan simbol perjuangan, pengorbanan, dan identiti orang Islam. Bagi pegangan agama Yahudi pula, kota ini penting kerana terbinanya dua kuil kuno Yahudi. Pada awal tahun 2000, telah berlaku perubahan selepas pemberontakan Palestin menentang Israel yang dikenali sebagai Intifada kedua. Israel bukan sahaja mengawal kawasan sekitar perkarangan Masjid Al-Aqsa, malah bertindak mengambil alih akses keselamatan dan membenarkan orang Yahudi mengakses tapak tersebut sesuka hati.

Sebelum ini Israel telah membuat serangan pada 8 Mei 2021 di Baitulmaqdis yang mencatatkan insiden terburuk di bandar itu sejak 2017. Ketegangan semakin memuncak apabila pihak polis Israel bertindak bertempur dengan penduduk Palestin, berikutan rakyat negara itu memprotes larangan Israel terhadap akses tanpa had ke beberapa bahagian di Kota Lama (Old City). Serangan yang dibuat oleh Israel pada penghujung Ramadan tahun itu membuktikan Israel sengaja mencetuskan kekacauan di Baitulmaqdis. Pihak Polis Israel membuat serbuan di Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah dalam kejadian itu yang mencederakan sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin. Selain itu, polis Israel juga telah menyerang penunjuk perasaan menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan bom tangan serta menahan puluhan rakyat Palestin yang tidak bersalah. Pada masa yang sama juga, Israel telah menceroboh masuk ke kawasan penduduk Palestin dan bertindak memusnahkan kediaman mereka.

KRONOLOGI INSIDEN SERANGAN TERBARU PENCETUS KEPADA MODERN GENOCIDE

Tindakan serangan Israel ke atas Palestin semakin melampau apabila negara itu mula membuat serangan ke atas penduduk Palestin dan menyasarkan serangan kepada pusat perlindungan termasuk kenderaan ambulans serta hospital. Pada 9 Oktober 2023, dunia digemparkan dengan penggunaan bom yang diharamkan kepada orang awam Palestin. Israel terkenal dengan penggunaan bom yang terlarang dan mula menggunakan white phosphosrus bomb yang diharamkan oleh badan antarabangsa dalam tindakan di Khan Younis, Genting Gaza yang menyasarkan kawasan perumahan serta penduduk di wilayah berkenaan.

Pada 12 Oktober 2023, Israel Defence Force (IDF) telah menggesa rakyat Palestin di Gaza untuk meninggalkan Utara Gaza dan melarikan diri ke Selatan Gaza bagi memberi ruang kepada mereka membuat serangan ke atas Hamas. IDF mengebom kenderaan yang membawa orang awam ketika rakyat Palestin melarikan diri mengikut arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh IDF. Ini kerana IDF mendakwa bahawa Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai (human shield). Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan 70 orang terbunuh dalam serangan maut itu dan kesan tersebut tidak menghentikan Israel dari terus melancarkan serangan bom ke Selatan Gaza.

 

Pada 19 Oktober 2023, IDF telah bertindak mengebom gereja Greek Orthodox Saint Porphyrius yang berusia lebih 1,600 tahun, selepas memusnahkan Hospital Al-Ahli Baptist yang dikendalikan oleh golongan Kristian di Gaza. Lebih 300 pelarian Palestin menjadikan kawasan gereja tersebut sebagai tempat perlindungan akibat serangan tanpa henti oleh Israel. Ratusan orang awam turut dilaporkan terkorban dan cedera dari serangan tersebut.

Pada 3 November 2023, IDF membuat serangan ke atas konvoi ambulans di Gaza yang mengorbankan 15 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 60 orang awam. Serangan tersebut berlaku berhampiran Hospital Al-Shifa ketika lima ambulans sedang membawa mangsa dari Gaza menuju ke Rafah, sempadan Mesir. Peluru berpandu pertama menyasarkan ambulans yang mengetuai konvoi kurang 1 KM dari hospital terbesar di wilayah tersebut. Serangan kedua peluru berpandu pula dilaporkan menyasarkan kepada ambulans lain yang hanya kira-kira dua meter dari pintu hospital. Insiden serangan tidak berperikamnusiaan tersebut berlaku kerana IDF mendakwa pejuang Hamas berada di dalam kenderaan tersebut.

Seterusnya, pada 11 November 2023, IDF mula menjalankan operasi serangan menjejak tempat penyembunyian Hamas dengan menyasarkan pusat perubatan utama Gaza, Hospital Al Shifa yang menyebabkan kemudahan tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana kehabisan bekalan eletrik dan bahan api. Laporan turut menyatakan bahawa beberapa bayi yang baru dilahirkan terpaksa dikeluarkan dari inkubator selepas bekalan eletrik terputus. Ribuan pegawai perubatan dan pesakit terperangkap tanpa bekalan eletrik. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kira-kira 16 buah hospital di seluruh Gaza tidak dapat berfungsi kerana mengalami kerosakan akibat serangan dan kekurangan bahan api.

PANDANGAN DAN KRITIKAN

Konflik Israel-Palestin mencipta pelbagai pandangan dan kritikan ke atas kedua-dua negara tersebut. Namun, serangan melampau oleh Israel menerima kecaman daripada pelbagai negara, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga individu berpengaruh di seluruh dunia. Antara negara Islam yang lantang memberi kecaman kepada Israel adalah Malaysia, Indonesia, Iraq, Lubnan dan negara Islam yang lain. Beberapa negara telah menarik kembali duta ke negara Israel dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel, antaranya Turki, Afrika Selatan, Republik Chad, Bahrain dan beberapa negara lain.

Terdapat juga kritikan terhadap Palestin terutama negara dari negara barat seperti Amerika Syarikat yang jelas bersekutu dengan Israel. Selain dari itu, United Kingdom, Australia, Perancis, Norway, India, Sepanyol dan beberapa negara lagi turut memberi kecaman ke atas Palestin asbab dari insiden pada 7 Okober lalu sehingga melupakan sejarah penindasan puak Zionis ke atas Palestin berpuluh tahun dahulu. Walau bagaimanapun, terdapat negara, NGO, dan individu yang memberi pandangan agar penyelesaian dua hala seperti gencaran senjata jangka panjang bagi kedua-dua negara tersebut yang sememangnya tidak akan dipersetujui oleh Palestin yang merupakan mangsa penindasan modern genocide.

KESAN

Serangan serta kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi Zionis jelas menunjukkan wujudnya elemen ethnic cleansing dan pembunuhan beramai-ramai. Akibat serangan tanpa henti oleh Israel telah mencatatkan kematian belasan ribu orang selain kemusnahan tempat tinggal, tempat perlindungan seperti rumah ibadat dan hospital yang bertentangan dgn Geneva Convention berkaitan peperangan. Konflik antara Israel-Palestin telah memberi pelbagai impak terhadap kedua-dua negara tersebut. Serangan tanpa henti dan tanpa belas kasihan oleh Israel membuahkan pelbagai reaksi oleh rakyat seluruh dunia terhadap ‘negara haram’ tersebut. Antara impak positif yang berlaku adalah, dengan tindakan serangan kejam oleh Israel telah membuka sebilangan mata dunia yang selama ini terpengaruh dengan propaganda Israel yang sering menunjukkan Palestin adalah satu negara pengganas. Hal ini dikaitkan apabila Israel bertindak kejam menyerang tempat-tempat awam seperti hospital, sekolah dan perumahan dengan alasan menyatakan tempat tersebut adalah tempat peyembunyian Hamas. Namun, kebanyakan mangsa adalah orang awam yang tidak bersalah termasuk warga emas dan kanak-kanak. Selain dari itu, penggunaan white phosphorus turut memberi kesan yang buruk ke atas mangsa-mangsa di Gaza. Selain kesan buruk kepada mangsa yang mengenanya, ianya jelas merupakan sesuatu tindakan yang menyalahi undang-undang antarabangsa kerana senjata tersebut digunakan di kawasan awam dan dilihat sebagai jenayah perang.

Tindakan tidak berperikemanusiaan Israel menyerang pusat perubatan memberi kesan jangka panjang kepada penduduk Gaza. Berikutan dengan insiden serangan ke atas hospital al-Shifa, orang awam menyaksikan sebuah keluarga ditembak dan cedera kerana cuba melarikan diri. Ribuan mangsa masih terperangkap dan hadapi putus bekalan eletrik, air dan makanan. Tiada sebarang bantuan yang diterima seperti yang dijanjikan IDF, malah sesiapa sahaja yang menghampiri Hospital Al-Shifa akan ditembak mati oleh puak Zinonis. Akhir sekali, antara kesan jangka panjang lain adalah melibatkan penduduk tempatan yang terpaksa melarikan diri ke lokasi selamat bagi melindungi diri daripada pengeboman dan serangan udara dan darat yang tidak mempunyai tanda akan berakhir. Ekonomi tempatan juga turut menerima tempias kerana kekurangan bekalan bahan mentah serta mengharapkan bantuan negara luar yang tiada kepastian.

PENUTUP

Dalam era moden ini, pelbagai maklumat mudah diakses di hujung jari. Segala propaganda palsu yang dimainkan oleh pihak media barat kini banyak yang telah dirungkaikan dengan fakta. Pihak media berperanan penting dalam menyebarkan berita yang sahih dan mengikut fakta. Ini kerana konflik Israel-Palestin menjadi tumpuan seluruh dunia. Setiap individu perlu dipupuk kesedaran mengenai konflik ini kerana peperangan ini bukanlah peperangan agama semata-mata, ianya adalah satu unsur modern genocide yang melibatkan puluhan ribu nyawa insan yang tidak berdosa.

Dalam peperangan antara Israel-Palestin jelas menujukkan tindakan balas dari Israel adalah melampau dan tidak berperikemanusiaan. Hal ini dapat dilihat apabila Israel mengarahkan lebih 1 juta penduduk Utara Gaza berpindah ke Selatan Gaza dan kemudian dengan sengaja menyasarkan serangan ke atas orang awam yang berpusu-pusu meninggalkan kediaman seperti diarahkan puak Zionis tersebut. Tindakan ini adalah pengusiran terhadap penduduk dan juga penghapusan penduduk di Gaza yang menjadi matlamat utama pemimpin Israel-Zionis serta jelas bertentangan dengan prinsip peperangan undang-undang antarabangsa.

Pemimpin-pemimpin dunia terutama negara-negara Islam juga perlu tegas dalam menyuarakan agar serangan ke atas Palestin dihentikan. Serangan tanpa henti terhadap negara Palestin menyebabkan negara itu mengalami kegawatan sosio-ekonomi, politik, sistem pendidikan serta kehilangan puluhan ribu nyawa selain menghadapi krisis makanan, minuman dan juga kesuntukan rawatan perubatan, kehilangan tempat tinggal dan pelbagai krisis yang semakin hari semakin teruk. Genjatan senjata selama 4 hari bermula 23 November 2023 wajar diteruskan agar tidak ada lagi korban mangsa yang tidak bersalah walaupun ianya amat mustahil untuk dilanjutkan. Justeru, modern genocide ini betul-betul berlaku di dalam dunia serba moden dan canggih namun dipandang ringan oleh kuasa besar dunia yang dahagakan sokongan dari negara haram Israel.

ARTIKEL “FANATIK DAN TAASUB BERAGAMA: SATU ANCAMAN KEPADA KESELAMATAN NEGARA”

PENDAHULUAN

Istilah “fanatik atau taasub” bermaksud satu sikap kepercayaan yang terlalu berlebihan terhadap sesuatu ajaran termasuk dalam perihal politik serta kepimpinan hingga melampaui batas. Fanatik juga merujuk kepada seseorang individu yang keterlaluan (melampau) terhadap sesuatu pegangan atau pendirian dan kebiasaannya dalam hal-hal berkaitan dengan praktik atau ajaran keagamaan.

Fanatik mempunyai makna yang sama dengan istilah taasub iaitu sikap terlalu berlebihan kepercayaannya atau keyakinannya terhadap sesuatu ajaran atau aliran (termasuk politik, agama, dan lain-lain) hingga melampaui batas. Fanatik atau taasub akan menyebabkan pemikiran seseorang menjadi sempit, beku, tidak adil dalam membuat penilaian dan tidak mampu mencetuskan idea-idea baharu yang lebih segar. Ketidakfahaman terhadap sikap ekstrem, fanatik dan taasub ini menyebabkan beberapa aspek kehidupan masyarakat dewasa ini menjadi celaru. Golongan ini merasakan apa yang mereka lakukan adalah kononnya satu tuntutan agama.

Sikap begini juga turut menggambarkan seseorang yang tidak berkemampuan membuka ruang perbincangan untuk membandingkan pendapatnya dengan pendapat pihak-pihak lain bagi mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya. Sikap fanatik dan taasub adalah sikap tertutup terhadap pandangan lain yang berbeza dan berusaha menidakannya. Sikap begini adalah pembawaan yang memandang hanya diri atau kumpulan sendiri sahaja yang betul, manakala pihak lain adalah salah, malah secara berani menuduh pihak yang berlainan pendapat sebagai jahil dan bodoh.

Sikap fanatik dan taasub akan mencapai puncaknya ketika seseorang individu atau kumpulan menggugurkan kehormatan orang lain, menghalalkan jiwa dan harta mereka, menghalalkan darah saudara seagama serta tidak lagi melihat hak orang lain untuk tidak diperlakukan secara adil. Fenomena ini berlaku apabila seseorang individu itu telah dikuasai oleh kekacauan fikiran lalu menuduh kebanyakan orang lain telah keluar dari Islam atau telah menjadi kafir murtad.

Inilah kemuncak kepada sikap ekstrem, fanatik dan taasub. Contoh begini pernah kepada golongan Khawarij sekitar tahun 37H/648M. Golongan ini termasuk dalam orang-orang yang sangat ketat dalam melaksanakan ritual ibadat seperti puasa, solat dan tilawah Al Quran. Golongan ini terjerumus ke dalam kebinasaan bukan disebabkan oleh keburukan hati mereka tetapi disebabkan oleh keburukan fikiran mereka.

Pada dasarnya akar radikalisme dalam pemikiran Islam tumbuh dari dua prinsip dasar iaitu Prinsip keterpilihan dan adanya doktrin kebenaran. Sebagai kesannya, golongan ini mempunyai satu perasaan ‘lebih’ dibanding kelompok atau pihak atau institusi lain (the others) yang tidak sefahaman atau berlawanan dengan ideologi golongan terbabit.

ISU-ISU BERKAITAN FANATIK DAN TAASUB BERAGAMA DI MALAYSIA

Secara umumnya, masyarakat di Malaysia khususnya beragama Islam pada masa kini dilihat telah banyak disogokkan dengan pelbagai pandangan dan aliran yang dapat mencetuskan pelbagai perbalahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat khususnya golongan-golongan agamawan. Perkara ini dilihat menerusi beberapa siri perdebatan atau forum yang telah dijalankan bagi membincangkan pelbagai isu dengan mengetengahkan tokoh atau agamawan yang mempelopori idea atau mewakili aliran mazhab mereka tersendiri.    

Ekoran daripada wujudnya penganjuran dan pelaksanaan forum sedemikian, terbukti menunjukkan bahawa timbulnya pelbagai aliran dan pandangan sehingga membawa kepada keperluan untuk mengadakan perbincangan dalam bentuk forum bagi menjelaskan atau merungkai isu-isu berkaitan dengan masyarakat. Terdapat juga segelintir tokoh atau agamawan yang mencabar pihak yang tidak sealiran untuk berdebat bagi mencari kata putus atau jawapan terhadap isu yang dipertikaikan oleh mereka.

Situasi sedemikian, memperlihatkan bahawa realiti masyarakat di Malaysia hari ini telah berada dalam keadaan terbuka dengan pelbagai aliran dan pihak yang terlibat cuba untuk mempertahankan dan melindungi aliran atau kumpulan yang didukungnya itu. Oleh itu, terhasillah golongan yang fanatik dan taasub dengan mazhab tertentu, mematuhi kepada aliran akidah tertentu, memberi sokongan secara membuta tuli kepada tokoh atau agamawan yang dilihat sebagai pembawa transformasi, dan pelbagai aliran serta organisasi lain yang muncul membawa idea pemikiran dan pemahaman tersendiri.

Oleh yang demikian, isu-isu yang melibatkan fanatik dan taasub beragama dalam Malaysia boleh dilihat menerusi beberapa insiden mahupun kejadian yang pernah dilaporkan berlaku.

            Peristiwa Kumpulan Al MaunahPada tahun 2000, negara kita pernah digemparkan satu kejadian apabila terdapat satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Pertubuhan Dalam Ajaran Al-Maunah yang merancang untuk menggulingkan kerajaan pada ketika itu dengan menggunakan kekerasan dan bersenjata. Disini dapat kita lihat bahawa pada asalnya kumpulan ini yang dikatakan mendalami ilmu persilatan yang turut menggunakan tenaga dalaman dan juga turut mempelajari perubatan tradisional Islam sahaja. Akan tetapi, akibat terlalu fanatik dan taasub mendalami ilmu tersebut diselit dengan ideologi yang dibawa oleh pemimpin kumpulan itu, ianya merubah tujuan penubuhan kumpulan tersebut sehingga mampu berfikir dan bertindak untuk menggulingkan kerajaan Malaysia dengan menggunakan kekerasan yang dianggap sebagai jihad demi mencapai objektif mereka.

            Budaya TakfiriPada tahun 80-an, polemik politik di Malaysia telah dimomok oleh satu insiden yang melibatkan parti-parti politik. Isu yang tercetus ini dianggap satu isu besar kerana ia bukan sahaja melibatkan perbalahan antara parti politik semata malah ia turut melibatkan fahaman terhadap agama serta melibatkan budaya kafir mengkafir atau lebih dikenali sebagai takfiri. Budaya kafir mengkafir ini dilihat satu perbuatan yang sangat terkutuk ditambah pula kenyataan yang dilemparkan itu datangnya dari seorang pemimpin parti politik yang beragama Islam. Jelas disini bahawa ideologi dan fahaman Islam yang terlalu taasub dan fanatik telah dijadikan modal bagi mereka dalam mencapai matlamat politik.

            Serangan Molotov KK MartPada Mac 2024, terdapat insiden serangan Molotov Cocktail dilaporkan berlaku dalam negara kita. Serangan tersebut berlaku rentetan daripada satu isu sensitif yang dikaitkan dengan satu agama besar dalam Malaysia iaitu kalimah Allah tertera pada stoking. Isu tersebut mendapat reaksi yang begitu meluas sehingga melibatkan banyak pihak seperti agamawan, ilmuan, ahli politik bahkan Raja-Raja Melayu. Serangan molotov cocktail di kedai serbaneka KK Mart dikatakan berlaku berpunca daripada isu sensitif tersebut. Berdasarkan serangan tersebut, boleh dikatakan ia berpunca daripada perilaku seseorang individu atau kumpulan yang terlalu fanatik dan taasub terhadap agama. Namun begitu, berkemungkinan juga tindakan yang diambil adalah untuk mempertahankan kalimah suci Allah yang merupakan Tuhan bagi umat Islam. Walaubagaimanapun, tindakan pelampau yang sedemikian merupakan perbuatan yang dilarang menurut ajaran Islam.

KESAN/ANCAMAN

Ideologi: Bersikap terlalu fanatik dan taasub dalam beragama merupakan satu tindakan yang mampu memberi kesan buruk. Mereka yang terlalu berfanatik dan taasub beragama ini kebiasaannya akan menganggap dan merasakan bahawa “tokoh” atau pemimpin yang mereka ikuti itu adalah merupakan individu yang harus mereka percayai. Ideologi atau naratif yang bersifat keras atau terlampau (ekstrem) juga dilihat mampu terwujud menerusi sikap fanatik dan taasub beragama ini. Hal ini kerana, bila seseorang individu atau kumpulan itu mula bertindak memilih pendekataan kekerasan iaitu menggunakan senjata bagi menghapuskan apa yang telah dianggap batil, atau cuba untuk mengubah kemungkaran dengan menggunakan persenjataan. Jelas bahawa perbuatan ekstrem merujuk kepada perbuatan yang ganas (kaedah) seseorang individu atau kumpulan (pelaku) lanjutan daripada suatu kepercayaan atau fahaman ekstrem ke atas individu atau kumpulan sosial (sasaran) tertentu bagi mencapai matlamat serta perubahan dari segi politik, sosial, ekonomi, agama dan ideologi (matlamat). Sikap ketaasuban dan fanatisme dalam kalangan masyarakat di Malaysia mampu menggugat keamanan serta keharmonian yang telah diamalkan sejak sekian lama.

Perpaduan Keluarga, Masyarakat dan Politik: Usaha mendoktrinasi atau memupuk sikap fanatik dan taasub terhadap agama mahupun sesuatu ikutan dalam kalangan masyarakat di Malaysia perlu dibanteras dengan segera dari terus menular. Perkara ini dilihat menjadi ‘virus’ negatif dalam semangat perpaduan rakyat negara Malaysia dan mampu membawa kepada tercetusnya tragedi yang tidak diingini sekiranya tiada tindakan susulan segera dari pihak bertanggungjawab. Generasi remaja yang mana semakin menjadi komponen terbesar rakyat di negara ini perlu diberikan bimbingan dan pendedahan perihal kesan buruk kepada sikap fanatik dan taasub beragama ini. Mereka merupakan antara kelompok yang mudah untuk menerima segala apa input atau output sesuatu perkara itu tanpa usul periksa dengan alasan input mahupun output tersebut sumbernya datang dari mereka-mereka yang lebih berpengalaman. Justeru itu, wajar bagi mereka mengguna pakai input dan output tersebut. Sememangnya perkara sedemikian perlu dielakkan daripada berlaku kerana khuatir bahawa ia bakal menjurus negara ini ke kancah perpecahan perpaduan samada kaum, agama dan bangsa.

Perbuatan Ekstremisme: Sifat fanatik dan taasub keagamaan yang berlebihan dalam kalangan masyarakat secara individu atau kumpulan dilihat mampu membawa kepada berlakunya perbuatan berunsurkan ekstremis atau ganas yang mampu memberi ancaman pada negara secara khususnya. Sekiranya seseorang individu itu yang terlalu fanatik dan taasub terhadap agama, berkemungkinan besar bagi mereka-mereka ini bertindak melakukan perbuatan berunsurkan keganasan itu tinggi disebabkan oleh pendekatan dan pendedahan yang diterima pakai olehnya menerusi ‘tokoh’ atau ketua kumpulan mereka itu. Individu yang terlalu fanatik dan taasub akan sesuatu perkara ini cenderung untuk menerima bulat-bulat apa sahaja maklumat, pendedahan, arahan dan kata-kata yang disampaikan oleh individu yang dianggap ‘tokoh’ itu. Bagi mereka yang terlalu fanatik dan taasub ini, kata-kata tersebut merupakan satu mandat yang perlu dituruti dan dilaksanakan tanpa gagal walaupun hakikatnya perbuatan tersebut membawa kepada keburukan. Ini turut memberi ancaman kepada keselamatan negara sekiranya tiada tindakan awal pencegahan dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan pihak-pihak lain yang terlibat. 

LANGKAH PENCEGAHAN

1.         Menyedari Impikasi Negatif Terhadap Sikap Fanatik dan Taasub Beragama – Seluruh masyarakat di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum haruslah sedar akan implikasi negetif daripada sikap terlalu fanatik dan taasub beragama ini. Setiap pihak atau organisasi perlu bekerjasama dalam menghindari segala perbalahan dan permusuhan khusus bila ianya melibatkan sentimen 3R (Royal, Religion, Races).

2.         Mengadakan Pertemuan/Perbincangan – Perbincangan dua hala merupakan satu platform terbaik dalam usaha untuk mendapatkan penyelesaian terbaik terhadap isu yang berbalah. Pihak-pihak yang berbalah harus diwakili oleh golongan ilmuwan ataupun agamawan yang mempunyai ilmu. Pertemuan/perbincangan ini harus difokuskan kepada matlamat utama untuk mencari penyelesaian serta kebenaran bukan untuk mencari kemenangan.

3.         Mewujudkan Pertimbangan Ilmiah – Setiap agama mempunyai kitab suci dan ajaran yang telah ditetapkan berdasarkan kepada kepercayaan masing-masing. Bagi umat Islam secara khususnya telah diajari untuk meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan utama. Tidak boleh dinafikan bahawa al-Quran dan al-Sunnah merupakan rujukan utama bagi seluruh umat Islam didunia. Walau bagaimanapun, bukan semua orang mampu dan mempunyai kearifan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, segala rujukan perlu dibuat menerusi organisasi, agamawan dan tokoh ilmuan yang mempunyai pengetahuan secara meluas dalam bidang dan kepakaran masing-masing dan haruslah diakui keilmuan dan ketokohan mereka itu.

4.         Pendidikan dan Literasi Media – Mengintegrasikan program pendidikan dan literasi media ke dalam kurikulum sekolah dan usaha mendekati masyarakat untuk melengkapkan individu dengan kemahiran berfikir kritis dan daya tahan terhadap propaganda perpecahan kaum dan ekstremis. Pelajar perlu di didik untuk menilai maklumat secara kritis, membezakan fakta daripada fiksyen dan mengenali taktik manipulasi yang digunakan oleh individu atau sesetengah kelompok kumpulan yang benar-benar ingin melihat perpecahan kaum serta ketidakharmonian terjadi dalam Malaysia. Menggalakkan celik digital dan penggunaan platform media sosial yang bertanggungjawab untuk menentang radikalisasi dalam talian.

5.         Penglibatan dan Pemerkasaan Komuniti – Memupuk perkongsian dengan komuniti tempatan, pemimpin agama, organisasi masyarakat sivil dan kumpulan belia untuk menggalakkan daya tahan masyarakat terhadap propaganda perpecahan kaum dan agama. Memperkasakan komuniti untuk mengenal pasti dan menangani rungutan, menggalakkan perpaduan sosial dan menyediakan laluan alternatif untuk individu yang kurang arif mengenai sistem kepelbagaian agama yang wujud di negara ini. Antara lain aktiviti berdialog juga boleh dilaksanakan bagi memupuk persefahaman bersama dan inisiatif membina kepercayaan serta menghormati keagamaan seseorang dalam kalangan masyarakat yang pelbagai.

PENUTUP

Secara keseluruhannya, isu fanatik dan taasub beragama ini bukanlah isu baru yang berlaku di Malaysia. Negara kita pernah dilanda isu ini sejak dari tahun 1960an lagi. Perbezaan pendekatan ilmu agama serta ditambah perbezaan fahaman politik menjadikan golongan fanatik dan taasub ini terus wujud dengan ramainya kerana masing-masing mengikuti dan menerima segala apa yang telah disampaikan oleh tokoh, ketua atau pemimpin mereka itu walaupun ia bertentangan dengan ajaran yang sepatutnya.

Sikap fanatik dan taasub ini dapat dikawal apabila setiap individu tersebut mengambil pendekatan sendiri dengan memperbaiki diri masing-masing dengan memperbanyakkan sumber rujukan, menerima pendapat dan pandangan orang lain serta mengelakkan diri daripada terjebak kepada mana-mana individu atau kumpulan yang mengamalkan budaya fanatisme ini. Bagi umat Islam, mereka perlu belajar dan mendekati ilmu agama sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya. Menggunakan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan utama dan jangan sesekali menyalah erti apa yang telah disampaikan didalamnya. Bagi para pemimpin, ahli politik, agamawan, dan tokoh-tokoh ilmuan pula hendaklah menyampaikan sesuatu perkara itu secara rasional dan bersederhana agar segala perkara baik tersebut dapat dijadikan ikutan bersama.

Masyarakat perlu bersama – sama dan menyokong pihak kerajaan dalam tindakan menguatkuasakan Kedaulatan Undang – Undang serta menggalakkan secara menyeluruh perpaduan antara kaum di dalam negara ini dengan mengambil tindakan segera dan tegas terhadap mana – mana pihak secara individu atau organisasi yang cuba mencetuskan sebarang bentuk tindakan proaktif yang menjerumus kepada konflik perpecahan kaum serta agama. Tindakan sedemikian mampu menjadi pemangkin negatif kepada keharmonian, keamanan dan perpaduan antara kaum yang telah dipupuk sejak dahulu. Setiap daripada kita hendaklah memuliakan tanpa mengambil kira perbezaan kebudayaan dan menghormati perbezaan agama tanpa mencetuskan konflik. Dengan wujudnya nilai sedemikian, kedamaian dan keamanan dapat terjamin sekaligus membuatkan kehidupan semua orang berada dalam keadaan selesa.

 

ARTIKEL PEMBUBARAN JEMAAH ISLAMIYAH INDONESIA : ADAKAH PENGAKHIRAN IDEOLOGI JEMAAH ISLAMIYAH

PENDAHULUAN

Pada 30 Jun 24, jurucakap kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) iaitu Abu Rusdan bersama-sama 15 pemimpin kanan telah mengisytharkan pembubaran kumpulan tersebut serta menamatkan segala aktiviti berkaitan ekstremisme, radikalisme dan terorisme yang pernah dilakukan. Kenyataan mengenai pembubaran kumpulan JI tersebut disebarkan melalui satu rakaman video yang dirakam di Bogor, Jawa Barat. Antara pemimpin kanan yang terlibat adalah Para Wijayanto, Abu Mahmuda, Bambang Sukirno, Abu Fatih, Ustaz Zarkasih, Ustaz Shalahudin, Ustaz Fachrudin Soleh, Ustaz Saptono Munadi, Ustaz Abu Dujanah, Ustaz Qadri Faturrahman, Tengku Azhar, Ustaz Imtihan, Ustaz Hamad, Ustaz Mustaqim dan Ustaz Fahim.

Menerusi teks ucapan pengisytiharaan pembubaran kumpulan JI yang dibacakan oleh Abu Rusdan, hasrat untuk pembubaran kumpulan JI turut disokong oleh majlis kepimpinan JI, pemimpin institusi pendidikan gabungan dan sekolah berasrama Islam (pesantren).

Dalam masa yang sama, JI Indonesia turut memberitahu rancangan mereka untuk menyemak dan meneliti semula kurikulum pendidikan di pesantren yang berada di bawah organisasi tersebut dalam usaha menghapuskan ideologi ekstremis. Perkara ini adalah selaras dengan prinsip-prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah, undang-undang negara dan norma kehidupan masyarakat di Indonesia.

LATAR BELAKANG KUMPULAN JEMAAH ISLAMIYAH (JI)

Jemaah Islamiyah yang juga dikenali sebagai Al-Jama’ah Al-Islamiyah@ Jamaah Islamiyah; @Jama’ah Islamiyah (JI) merupakan sebuah pertubuhan (tanzim) dan gerakan ideologi yang lahir daripada Darul Islam (DI), sebuah gerakan berorientasikan politik yang diasaskan oleh S.K. Kartosuwirjo, di tengah-tengah kemuncak perang kemerdekaan Indonesia melawan Belanda pada akhir tahun 1940.

Apabila Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, Presiden Sukarno mengisytiharkan bahawa Indonesia sebuah negara sekular yang berlandaskan ideologi Pancasila. Sehubungan itu, Kartosuwirjo bertindak menggunakan pendekatan militan dan mengisytiharkan jihad menentang kepimpinan Sukarto. Kartosuwirjo telah ditangkap dan di hukum mati pada tahun 1962. Walaupun beliau telah meninggal dunia, visi untuk menubuhkan Daulah Islamiyah di kepulauan Melayu (Nusantara) telah dikekalkan secara rahsia oleh pengikutnya iaitu Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Basyir.

Pada tahun 1992, kumpulan JI telah ditubuhkan setelah berlakunya perselisihan pendapat antara Abdullah Sungkar dengan jaringan besar DI. Puncanya adalah perbezaan ideologi dan doktrin melibatkan konsep, kaedah dan pendekatan perjuangan jihad jaringan  Abdullah Sungkar yang dilihat lebih radikal dan keras berbanding aliran DI lain termasuk aliran Ajengan Masduki. Aliran Sungkar yang turut dikenali sebagai Sabilillah pada ketika itu berhasrat meneruskan perjuangan dengan perang bersenjata secara gerila. Dalam melaksanakan konsep dakwah, Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Ba’asyir banyak dipengaruhi oleh pemikir-pemikir dari Timur Tengah seperti Sayyid Qutb dan Hassan Al-Banna (pengasas Ikhwanul Muslimin). JI juga dikenali sebagai sebuah kumpulan Salafi Jihadi yang bermaksud menggunakan kekerasan demi mencapai matlamat politik dan diilhamkan oleh ideologi yang sama seperti Al-Qaeda.

JI mula membentuk dirinya sebagai sebuah kumpulan pengganas dengan membekalkan sumber kewangan dan logistik kepada operasi Al-Qaeda di Asia Tenggara. Terdapat 4 cawangan Mantiqi iaitu  Mantiqi 1 merangkumi Malaysia dan Singapura, Mantiqi 2 merangkumi Indonesia, Mantiqi 3 merangkumi Mindanao, Sabah dan Kalimantan Timur serta Mantiqi 4 merangkumi Australia dan Maldives.

JI turut terkenal dengan taktik serangan pengeboman bunuh diri, menggunakan alat letupan Vehicle-Borne Improvised Explosive Device (VBIED) dan senjata kecil dalam aktiviti keganasan yang digunakan bagi menyerang sasarannya seperti gereja Kristian dan tempat hiburan. JI juga terlibat dalam aktiviti keganasan di negara luar termasuk Afghanistan, Syria dan selatan Filipina serta cubaan melaksanakan aktiviti keganasan di Singapura dan Malaysia.

 

Antara warga tempatan dan luar yang radikal lahir dari ideologi JI adalah seperti berikut :

  1. Hambali (Riduan Isamuddin) – Seorang pemimpin kanan JI yang menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyelaraskan operasi JI. Hambali turut terlibat dalam merancang beberapa serangan termasuklah pengeboman yang berlaku di Bali pada tahun 2002.
  2. Noordin Mat Top – Merupakan warganegara Malaysia bertanggung jawab merekrut dan pakar strategi JI. Noordin terlibat dalam beberapa siri pengeboman di Indonesia termasuk pengeboman di Hotel JW Marriott, Jakarta pada 2003.
  3. Azahari Husin – Anggota JI warganegara Malaysia yang pakar dalam pembuatan bom dan memainkan peranan penting dalam insiden pengeboman Bali serta serangan lain di Indonesia.
  4. Zulkifli Hir (Marwan) – Warganegara Malaysia yang menjadi anggota JI dan terlibat dalam aktiviti keganasan di Filipina. Marwan turut dikaitkan dengan beberapa insiden pengeboman dan tersenarai sebagai orang paling dikehendaki oleh FBI. Marwan dibunuh dalam serbuan di Filipina pada tahun 2015.
  5. Mas Selamat Kastari – Mas Selamat berasal dari Singapura dan dikaitkan mempunyai hubungan dengan JI. Selamat menjadikan Malaysia sebagai tempat persembunyian selepas melarikan diri dari tahanan di Singapura pada 2008 sebelum ditangkap semula setahun kemudian di Malaysia.
  6. Yazid Sufaat – Seorang ahli mikrobiologi berasal dari Malaysia dan bekas pegawai tentera berpangkat kapten. Yazid telah dikaitkan dengan kumpulan JI dan Al-Qaeda serta dilaporkan terlibat dalam satu penyelidikan untuk kumpulan Al-Qaeda. Yazid telah ditahan beberapa kali oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

MEREKRUT DAN PENDANAAN KUMPULAN

Aktiviti JI mempunyai penekanan kepada Dawlah (Islamic outreach) dan penerbitan untuk menyediakan pangkalan sokongan mujahidin bagi aktiviti ekstremis. JI menyebarkan ideologi Jihad dengan melaksanakan proses merekrut secara covert melalui kenalan peribadi, kumpulan kajian agama dan rangkaian lebih 50 “pesantren” (sekolah agama/pondok). Sekolah-sekolah yang dikaitkan dengan JI terus menghasilkan generasi baru mujahidin yang berpotensi dan telah diindoktrinasi ke dalam ideologi yang bersimpati dengan matlamat jangka panjang JI.  Penjara turut dilihat menjadi salah satu laluan untuk proses merekrut kerana sesetengah ahli JI yang ditahan mempunyai akses kepada rakan-rakan tahanan lain.

INSIDEN SERANGAN KEGANASAN MELIBAT JEMAAH ISLAMIYAH (JI)

Ancaman keganasan yang dilaksanakan oleh JI tidak hanya tertumpu di sekitar rantau Asia Tenggara malah secara global melalui hubungan kerjasama dengan kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Taliban. Sehubungan itu, JI telah dimasukkan dalam senarai organisasi pengganas di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1267 pada 25 Okt 02. Antara insiden signifikan adalah seperti berikut:

Christmas Eve Bombings

24 Dis 2000 – JI memulakan operasi serangan keganasan besar-besaran menerusi pengeboman 28 buah gereja secara serentak di bandar-bandar Indonesia di Jakarta, Sumatera, dan Jawa. Serangan ini membunuh 19 orang dan lebih 120 orang lain cedera. Insiden ini dikenali sebagai ‘Christmas Eve Bombings’ yang telah dirancang dan diselaraskan oleh ketua operasi JI yang dikenali sebagai Hambali.

Rizal Bombings

30 Dis 2000 – Beberapa letupan telah menggegarkan Metro Manila menerusi serangan pengeboman dikenali ‘Rizal Bombings’. Bom yang ditanam di sekitar bandar ini telah meletup dalam tempoh sejam. Letupan dikatakan berlaku di dalam bas di Cubao, stesen minyak di Makati dan Plaza Ferguson, Ermita berhampiran Kedutaan AS. Serangan yang paling teruk berlaku di dalam kereta api di Stesen Blumentritt LRT 1 di Manila yang meragut nyawa seramai 22 orang manakala 100 orang cedera.

Bali Bombings

12 Okt 2002 – Letupan bom yang berlaku di Bali, Indonesia telah meragut seramai 202 nyawa dan mencederakan hampir 300 orang. Sebuah bom meletup di Kelab Malam Paddy’s Pub dan Sari Club, kawasan yang menjadi tumpuan pelancong ketika berada di Bali.

JW Marriot Hotel Bombings

05 Ogos 2003 – Sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan meletup di jalan masuk JW Marriott Hotel mengakibatkan 11 orang maut dan 152 yang lain cedera. Letupan tercetus pada hari terakhir perbicaraan suspek yang dituduh merancang dan melakukan pengeboman di Bali pada Oktober 2002.

Kedutaan Australia di Jakarta

09 Sep 2004 – Sebuah kereta meletup di luar kawasan kedutaan Australia yang terletak di Jakarta, Indonesia. Sembilan warga Indonesia terbunuh dan lebih 180 orang tercedera ekoran daripada impak letupan berkenaan. PK Indonesia kemudian berjaya menahan dan menghukum enam anggota JI berhubung serangan tersebut.

Jakarta Bombings

17 Jul 2009 – Insiden ‘Jakarta Bombings’ merupakan serangan bunuh diri yang menyasarkan dua buah hotel iaitu JW Marriott dan Ritz-Carlton di daerah Mega Kuningan, Jakarta, Indonesia. Pengeboman ini mengakibatkan tujuh maut termasuk tiga warga Australia manakala lebih 50 orang cedera.

Kawasan sasaran JI dilihat tertumpu kepada kawasan tumpuan awam dengan menyasarkan ‘soft target’ daripada menyasarkan fasiliti ketenteraan atau ‘hard target’. JI menggunakan kaedah serangan bunuh diri dan pengeboman kereta untuk memaksimumkan korban sekaligus menimbulkan rasa ketakutan di kalangan orang awam. 

SENARAI DEKLARASI PEMBUBARAN KUMPULAN JEMAAH ISLAMIYAH (JI)

Hasil kesepakatan antara majlis kepimpinan JI bersama pimpinan lembaga pendidikan dan pondok pesantren telah mengeluarkan enam inti pati yang bakal dilaksanakan selaras dengan pembubaran ini. Antara enam intipati tersebut adalah seperti berikut:

  1. Menyatakan pembubaran Kumpulan JI dan kembali ke pangkuan sistem negara Indonesia.
  1. Memastikan aliran sistem kurikulum bebas daripada unsur ekstremis dan berpandukan kepada prinsip-prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  1. Membentuk pasukan bagi menyemak sistem kurikulum dan bahan pengajaran.
  1. Bersedia terlibat secara aktif dalam memenuhi kemerdekaan agar bangsa Indonesia menjadi bangsa yang maju dan bermartabat.
  1. Bersedia mengikut segala peruntukan sistem perundangan yang ada di Indonesia.
  1. Perkara berkaitan dengan perjanjian ini akan dibincangkan secara teliti bersama-sama dengan PK Indonesia.

KESAN

Penerimaan anggota kumpulan JI: Berita pembubaran JI dilihat masih terlalu awal untuk menilai kejayaan PK Indonesia dalam menghapuskan kumpulan tersebut. Ideologi keganasan sukar untuk dihapuskan sehingga mereka berkemungkinan melakukan tindakan keganasan sendiri. Perkara ini dapat dilihat dengan penangkapan anggota JI di Sulawesi Tengah yang menunjukkan cubaan menghidupkan kembali ideologi JI setelah Mujahidin Indonesia Timur (MIT), kumpulan yang dominan di Sulawesi namun berjaya dilumpuhkan sepenuhnya pada tahun 2022. Pembubaran JI mungkin tidak dipersetujui oleh semua anggota JI yang dianggarkan kira-kira 6,000 orang yang lebih cenderung untuk berfikir bahawa pemimpin mereka disogok dengan kewangan. Disamping itu, Abu Rusdan dan Para Wijayanto dilihat kurang kredibiliti memandangkan masih dalam tahanan yang secara tidak langsung memberi gambaran bahawa mereka membuat pengisytiharan dalam keadaan terpaksa.

Ideologi: Ideologi JI tidak akan mudah untuk terhapus kerana ideologi kumpulan tersebut sudah bertapak sekian lama. Kemungkinan kewujudan sleeper cell yang dilihat mampu mengembalikan semula aktiviti keganasan di rantau Asia Tenggara mahupun global oleh pengikut-pengikut bawahan yang masih menganggap perjuangan mereka itu bersifat suci. Tidak menolak kemungkinan bakal wujudnya kumpulan baru yang lebih radikal pada masa hadapan seperti yang berlaku di Filipina. Pada tahun 2008, perjanjian diantara Kumpulan Moro Islamic Liberation Front (MILF) dengan Kerajaan Filipina tidak disokong sepenuhnya oleh pengikutnya dan akhirnya menubuhkan kumpulan Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF). Pembubaran JI turut bermungkinan didorong oleh beberapa faktor termasuk pengaruh intelektual dalam JI yang kurang berminat dengan jihad ganas. Sehubungan itu, pendekatan secara positif boleh diambil menerusi pembubaran kumpulan JI ini. Pihak Kerajaan Indonesia boleh mengadakan perbincangan berterusan dengan kepimpinan JI dalam memastikan bahawa pembubaran mereka ini adalah satu tindakan yang menyeluruh dan bukan hanya tindakan untuk mengalih perhatian atau muslihat JI untuk melindungi aset dan sumber kewangan mereka, terutama jaringan sekolah agama (pesantren) milik mereka.

PENUTUP

Kenyataan berhubung pembubaran kumpulan pengganas JI dilihat sebagai satu petanda positif dalam menghapuskan tanggapan bahawa umat Islam adalah pengganas yang sering kali dikaitkan oleh pihak Barat dan mengurangkan Islamophobia dalam kalangan negara bukan Islam.

Pembubaran ini memberi hala tuju yang positif dalam konteks menangani ekstremisme dan keganasan di Indonesia. Pihak berkuasa Indonesia melalui Kepolisian Republik Indonesia (POLRI) dan unit Densus 88 akan terus menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan tiada ancaman baru yang muncul lanjutan daripada pembubaran ini. Pada masa yang sama, pembubaran JI ini juga berupaya memberi political mileage kepada pentadbiran Presiden Prabowo Subianto dalam mengendalikan ancaman ekstremisme dan keganasan yang lebih efektif berbanding pemerintahan yang sebelumnya.

Sepertimana yang diketahui, JI telah ditubuhkan di Malaysia dan dijangka masih ada lagi saki baki generasi yang menjadi symphatizer kepada ideologi kumpulan ini. Mereka boleh dianggap sleeper cell yang mampu melaksanakan serangan keganasan apabila dipacu oleh sentimen kebencian. Justeru, pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa terhadap golongan symphatizer ini perlu dilakukan agar tidak ada elemen-elemen untuk menghidupkan perjuangan JI semula berlaku di negara ini. Pendedahan mengenai ancaman ekstremisme, radikalisme dan terorisme harus diketengahkan bagi semua peringkat umur terutamanya golongan remaja.

 

 

WANITA DAN TERORISME; FENOMENA BAHARU DALAM DOMAIN KEGANASAN

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul dan Elle Afiza


PENGENALAN

Akar kepada penglibatan wanita dalam aktiviti militansi dan terorisme sudah dikesan berlaku sejak beberapa dekad yang lalu. Sebagai contoh pada tahun 1878, Vera Zasulich seorang politikal aktivis di Rusia telah menembak mati Gabenor St Petersburg, Fedor Trepov yang memperlakukan tahanan politik dengan kejam. Zasulich dengan bangga menyebut dirinya ‘saya adalah teroris – bukan pembunuh’. Pada tahun 1973, di Ireland Utara, dua orang wanita iaitu Marian dan Dolores Price telah melakukan aksi pengeboman yang telah mencederakan 216 orang sedangkan aksi sebegini lazimnya dilakukan oleh golongan lelaki. Dewasa ini, beberapa insiden keganasan di Indonesia, Selatan Filipina dan Malaysia menunjukkan bahawa wanita juga turut menjadi pelaku dan aktor-aktor utama dalam melakukan aksi-aksi terorisme dengan alasan untuk menjadi seorang jihadis.

Sejak beberapa tahun yang lalu, beberapa insiden keganasan yang berlaku telah menunjukkan bahawa wanita kini tidak lagi berperanan di sebalik tabir atau menjadi sosok-sosok yang membantu kaum lelaki tetapi menjadi lebih dominan dengan bertransformasi menjadi pelaku atau aktor utama. Aksi radikalisme dan terorisme tidak lagi hanya menggengam semangat maskulin serta patriarki tetapi golongan wanita telah berselindung di sebalik pendekatan feminisme mereka.  Seiring dengan perkembangan konflik kontemporari di pelbagai negara terutamanya dalam domain dunia Islam, penglibatan golongan wanita dalam aktiviti militan dan radikalisme seperti di Syria, Iraq, Chechnya, Selatan Filipina, Indonesia dan Malaysia telah memasuki dimensi baru yang perlu diberi perhatian.

Walaupun senario terkini memperlihatkan seolah-olah wanita ingin mencapai satu bentuk kesamarataan gender dengan menggunakan alasan bahawa mereka juga berhak mendapat ‘pahala’ yang setara seperti golongan lelaki, namun tanpa disedari bahawa penglibatan dan kemampuan golongan wanita dalam aktiviti keganasan dan militansi sebenarnya masih dimanfaatkan, dimanipulasi dan dieksploitasi oleh jihadis lelaki. Walaupun golongan wanita menjadi pelaku keganasan, namun secara hakikatnya mereka tetap menjadi korban dan mangsa dari kekeliruan, kenaifan dan ketidakberdayaan yang dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu demi kelangsungan perjuangan mereka.

PERANAN WANITA DI DALAM ORGANISASI MILITAN DAN PENGGANAS

Golongan wanita di dalam organisasi militan atau pengganas memikul tanggungjawab dan mempunyai peranan yang hampir sama sepertimana rakan seperjuangan anggota lelaki bagi memastikan kemampanan sesebuah organisasi pengganas. Antara peranan dan fungsi wanita adalah termasuk:

  • Menjadi fasilitator.
  • Menguruskan sumber dana.
  • Menyebarkan propaganda dan naratif pengganas di internet serta media sosial.
  • Mengumpul maklumat risikan untuk organisasi.
  • Menguruskan hal ehwal kebajikan organisasi.
  • Melatih anggota wanita.
  • Merekrut anggota baharu khususnya wanita dan kanak-kanak perempuan.
  • Melakukan serangan keganasan seperti menjadi ‘pelaku suicide bomber’, serangan bersenjata, rampasan pesawat, pembunuhan, sabotaj dan sebagainya.

MENGAPA GOLONGAN WANITA TERLIBAT DALAM DOMAIN MILITAN DAN TERORISME

Sebenarnya tidak ada satu alasan tunggal untuk menerangkan fenomena penglibatan wanita dalam domain keganasan. Ia banyak bergantung kepada situasi, kondisi dan konteks seseorang individu itu sendiri. Namun, dapat dirumuskan bahawa wanita yang terlibat dengan aktiviti militan dan keganasan adalah disebabkan dorongan beberapa faktor penyumbang seperti berikut:

Faktor Peribadi. Faktor ini berhubungkait dengan tekanan peribadi yang dihadapi oleh wanita yang membawa kepada penyertaan mereka di dalam organisasi militan dan pengganas ataupun menjadi seorang symphatiser. Tekanan peribadi yang dihadapi berpunca daripada peristiwa hitam yang pernah dialami seperti gangguan seksual, dendam, penindasan, diskriminasi, kematian suami,  kegagalan perkahwinan dan keganasan rumahtangga. Segelintir wanita yang berhadapan dengan situasi ini mengambil keputusan menyertai kumpulan militan dan pengganas bagi menebus maruah diri atau menuntut bela terhadap kehilangan mahupun kematian orang yang tersayang seperti suami dan anggota keluarga. Terdapat juga dalam kalangan mereka terjebak dengan organisasi pengganas disebabkan faktor sense of belonging kerana mengikut dan menjadi pendamping kepada suami yang menyertai perjuangan sesuatu kumpulan. Ada juga beberapa case study menunjukkan bahawa beberapa orang wanita yang belum berkahwin sebenarnya terjerat dan terperangkap dengan ilusi sebuah Negara Khilafah yang ideal dan ingin menjadi isteri kepada mujahid-mujahid demi mendapatkan ganjaran syurga.

Faktor Ekonomi. Faktor kemiskinan dan pengangguran yang diwarisi berpotensi mendorong kaum wanita untuk menyertai gerakan bersenjata dan militan sepertimana anggota wanita yang menyertai Revolutionary Armed Forces of Colombia People’s Army (FARC) di Colombia. Insentif wang dan jaminan perlindungan daripada organisasi malahan kebajikan mereka juga turut terbela menjadi faktor motivasi untuk mereka menyertai kumpulan ini. Dalam kebanyakan keadaan, golongan wanita tidak mempunyai banyak pilihan dalam hidup mereka melainkan menyertai sahaja kelompok yang boleh menjanjikan keselamatan dan kelangsungan hidup mereka.

Kesamarataan Gender. Gender equality juga menjadi satu faktor penarik untuk golongan wanita menyertai organisasi militan dan pengganas. Organisasi FARC dan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) antara contoh organisasi militan yang memberi peluang kepada anggota militan wanita menjadi anggota kanan dan mengetuai gerakan sayap masing-masing dalam melakukan operasi keganasan. Dalam konteks kumpulan Daesh dan Jamaah Ansharut Daulah (JAD), golongan wanita ingin mendapat ganjaran ‘pahala’ yang setara dengan golongan lelaki tanpa memahami konteks ajaran agama berkaitan kesamarataan gender.

Semangat Nasionalisme dan Etno-Nasionalisme. Diskriminasi terhadap golongan minoriti di sesebuah negara berpotensi membawa kepada kemunculan sesebuah gerakan militan yang boleh disertai oleh kaum wanita. Sebagai contoh,  penyertaan seramai 4000 anggota wanita Tamil di dalam organisasi LTTE yang menyokong pembentukan sebuah wilayah autonomi untuk komuniti Tamil di Sri Lanka menjadi bukti bahawa golongan wanita juga mempunyai semangat nasionalisme dan perjuangan atas nama agama yang sangat kuat. Apabila naratif ini berjaya digarap dengan baik, ia mampu menarik golongan wanita untuk menyertai sesuatu organisasi tersebut.

Ideologi Ekstrem. Golongan wanita juga menyertai kumpulan ekstremis, radikal, militan dan teroris atas kepercayaan mereka terhadap sesuatu doktrin atau ideologi. Sebagai contoh, segelintir golongan wanita menyertai kumpulan pengganas seperti Daesh, JAD dan Al Qaeda adalah kerana terpengaruh dengan ideologi Salafi Wahabi dan Salafi Jihadi. Manakala ideologi kumpulan ekstremis bukan Islam seperti Fasisme, Neo-Nazi dan white supremacist turut menjadi tarikan kepada  golongan wanita berkulit putih di Eropah.  Sokongan mereka terhadap perjuangan ini dilihat mampu kekal lama berbanding lelaki. Gerakan fasisme yang mempunyai pengaruh Nazisme dan White Supremacy masih menjadi pencetus kepada sentimen Islamofobia dan xenofobia yang bersikap anti-imigran di AS dan Eropah.

WANITA SEBAGAI PELAKU SERANGAN DI DALAM INSIDEN-INSIDEN SIGNIFIKAN

Insiden-insiden signifikan yang melibatkan golongan wanita di dalam aktiviti militan dan keganasan adalah seperti berikut:

Leila Khaled -PFLP. Insiden rampasan sebuah pesawat oleh seorang pejuang wanita bernama Leila Khaled yang menganggotai kumpulan militan Palestin, Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP). Wanita ini dan rakannya, Salim Issawi, telah melakukan tindakan merampas pesawat Trans World Airlines (TWA) Flight 840 di Lapangan Terbang Leonardo Da Vinci Rome, Itali yang berangkat ke Tel Aviv, Israel pada tahun 1969. PFLP adalah sebuah gerakan militan berhaluan kiri dan nasionalisme Palestin yang anti-Israel.

Sana’a Mehaidii – SSNP. Insiden signifikan yang kedua  adalah membabitkan seorang pengebom bunuh diri wanita pertama daripada gerakan militan nasionalisme Palestin, Syrian Social Nationalist Party (SSNP) iaitu Sana’a Mehaidii. Remaja perempuan berusia 16 tahun ini telah melakukan serangan bunuh diri yang mensasarkan konvoi Israel di Jezzine, Lubnan pada tahun 1985.

Thenmozi Rajartnam @ Dhanu -LTTE. LTTE memiliki skuad bunuh diri wanita yang digelar sebagai Black Tigresses bagi melakukan operasi serangan bunuh diri di Sri Lanka. Namun, serangan bunuh diri yang paling signifikan dikaitkan dengan penyertaan wanita di dalam LTTE adalah insiden pembunuhan Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 21 Mei 1991.  Seorang penyerang wanita LTTE dikenali sebagai Thenmozi Rajartnam @ Dhanu telah melakukan serangan bunuh diri menggunakan RDX explosive belt mensasarkan PM India tersebut sehingga mengakibatkan 16 orang maut termasuk penyerang dan PM Rajiv Gandhi. Penyertaan Dhanu di dalam LTTE berpunca daripada peristiwa hitam yang dialaminya sebagai mangsa rogol oleh Indian Peacekeeping Force.

Black Widow. Black Widow @ Shahidka merupakan sebuah skuad bunuh diri yang disertai anggota wanita bagi gerakan militan Chechen iaitu Special Purpose Islamic Regiment (SPIR) @ Al-Jihad Fi-Sabililah Special Islamic Regiment. Pada 23 Oktober 2002, gerakan ini bertanggungjawab di dalam krisis tebusan di Dubrovka Theatre di Moscow, Russia. Gerakan ini yang pada ketika itu berkekuatan lebih 40 anggota termasuk penglibatan seramai 19 anggota wanita telah menahan seramai 850 orang tebusan dan mengugut untuk melancarkan serangan bunuh diri di dalam auditorium tersebut. Tindakan ini dilakukan bertujuan untuk menuntut sebuah wilayah autonomi dan mendesak Tentera Rusia berundur dari wilayah Chechen. Black Widow ditubuhkan untuk membalas dendam terhadap kematian suami dan saudara lelaki pejuang wanita Chechen semasa dalam konflik bersenjata di Chechya di antara Tentera Rusia dan pemberontak Chechen pada tahun 90an. Penglibatan segelintir wanita Chechen di dalam gerakan ini juga berpunca daripada pengaruh ideologi Salafi Wahabi dan Al Qaeda.

Daesh @ ISIS. Trend penyertaan wanita di dalam rangkaian militan Daesh masih berlaku sehingga ke hari ini. Antara faktor pendorong mereka menyokong Daesh adalah kerana terpengaruh dengan konsep jihad, ingin mencapai mati syahid dan keninginan untuk berhijrah ke Khilafah Islamiyah di Syria serta Iraq yang mana mereka dijanjikan dengan kehidupan yang lebih mulia dan lebih Islamik berbanding negara asal mereka. Antara naratif yang berjaya menarik sokongan wanita untuk berhijrah ke Syria sebelum ini adalah naratif jihad untuk melahirkan generasi baharu yang akan menerajui Khilafah Islamiyah di Syria. Penglibatan wanita di dalam rangkaian Daesh tidak hanya menjaga hal ehwal kebajikan jihadis ataupun pejuang militan ini tetapi mereka turut berperanan di dalam menyebarkan propaganda Daesh di laman sosial. Namun, setelah kekalahan Daesh di Syria dan Iraq pada tahun 2017, golongan wanita kini telah dikerah untuk menyertai medan perang bagi mengisi kelompongan organisasi  Daesh disebabkan kematian yang tinggi dalam kalangan anggota lelaki. Pengikut wanita Daesh di luar Syria dan Iraq juga digesa melancarkan serangan lone wolf di negara masing-masing sekiranya tidak berhijrah. Contohnya, serangan lone wolf menggunakan rifle di Mabes Polri di Jakarta Selatan oleh seorang pengikut wanita Daesh di Indonesia bernama Zakiah Aini pada 31 Mac 2021.

Jamaah Ansharut Daulah (JAD). Penyertaan wanita di dalam organisasi JAD bermula dengan penglibatan pasangan ataupun suami di dalam JAD. Mereka dimanipulasikan dengan konsep mati syahid yang menyebabkan mereka nekad untuk melakukan serangan keganasan ke atas pihak berkuasa dan orang bukan Islam di Indonesia. Antara serangan keganasan signifikan yang melibatkan penyerang wanita JAD adalah serangan bunuh diri di sebuah gereja di Surabaya pada tahun 2018. Wanita terbabit iaitu Puji Kuswati merupakan isteri kepada anggota JAD, Dita Upriyanto yang mana mereka turut membawa empat orang anak mereka untuk melakukan serangan bunuh diri di Gereja Pantekosta Surabaya-GPPS, Gereja Kristen Indonesia-GKI dan Gereja  Katolik Santa Maria di Surabaya. Hasil siasatan mendapati bahawa sebelum melakukan serangan tersebut, Puji Kuswati terlebih dahulu telah memuatnaik posting ‘kehidupan selepas kematian’ di akaun Facebooknya.

Selatan Filipina dan Fenomena Foreign Terrorist Fighters (FTF). Insiden serangan bunuh diri di Gereja Our Lady of Mount Carmel di Jolo, Selatan Filipina pada 27 Januari 2019 mendedahkan tindakan nekad oleh penyerang-penyerangnya iaitu seorang wanita Indonesia, Ulfah Handayani Saleh dan suaminya, Rullie Rian Zeke. Kedua-duanya adalah merupakan FTF dari Indonesia. Punca kedua-duanya sanggup melakukan serangan bunuh diri adalah kerana tertarik  dengan naratif jihad dan mati syahid yang dipropagandakan oleh JAD serta Daesh. Dalam konteks Selatan Filipina, rangkaian Kumpulan Abu Sayyaf (KAS) kini giat merekrut golongan wanita untuk menjadi ‘suicide bomber’ terutamanya dari kalangan warga asing bertujuan untuk membalas dendam keatas kematian anggota mereka dalam operasi pasukan keselamatan Filipina. Malah, dua orang lagi anak perempuan mereka iaitu Rezky Fantasya Rullie @ Cici (18 tahun) dan Siti Aisyah Rullie @ Maryam Israni (14 tahun) juga turut berjuang serta terlibat dengan KAS. Kedua-duanya pernah merancang untuk melakukan serangan bunuh diri bersama dengan balu-balu KAS bagi membalas dendam terhadap kematian suami mereka yang terbunuh di dalam operasi keselamatan di Selatan Mindanao.

PENGLIBATAN WANITA MALAYSIA DENGAN AKTIVITI MILITAN DAN PENGGANAS

Berdasarkan statistik rekod PDRM, sejak tahun 2013 hingga 2018 terdapat 43 orang wanita telah terlibat dengan aktiviti ekstremisme dan terorisme di Malaysia. Kes pertama melibatkan gender wanita di Malaysia dan telah didakwa di mahkamah awam ialah Ummi Khalsom Bahak berumur 25 tahun yang cuba mengambil penerbangan ke Brunei seterusnya ke Turki untuk memasuki Syria dengan hasrat untuk berkahwin dengan pejuang Daesh yang dikenalinya melalui media sosial.

Antara kes-kes signifikan melibatkan penyertaan wanita tempatan di dalam aktiviti keganasan yang menyalahi undang-undang adalah seperti berikut:

Berkahwin Dengan Anggota Pengganas Dalam Talian. Pada tahun 2014, seorang doktor wanita tempatan dilaporkan berkahwin dengan anggota militan Daesh dan berhasrat berhijrah ke Syria. Kedua-duanya saling mengenali di antara satu sama lain menerusi sebuah laman sosial. Wanita terbabit juga dikatakan cuba mempengaruhi wanita tempatan untuk menyertai militan Daesh menerusi laman sosial FacebookDiary of a Muhajirah’.

Melindungi Anggota Militan Daesh. Pada tahun 2015, seorang wanita yang juga seorang kerani telah ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 130K(a) kerana melindungi suaminya yang menganggotai militan Daesh untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan dalam peperangan di Syria.

Cubaan Melakukan Serangan Semasa PRU14. Seorang wanita tempatan yang merupakan suri rumah telah ditahan pada tahun 2018 di Kuala Lumpur kerana berhasrat melakukan serangan merempuh menggunakan kenderaan ke atas orang awam yang keluar mengundi semasa PRU14.

Berhijrah Ke Syria Untuk Menyertai Militan Daesh. Seorang penuntut wanita dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah ditahan di KLIA pada tahun 2017 kerana berhasrat untuk berhijrah ke Syria untuk berjihad dan mati syahid dengan menyertai militan Daesh. Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 130JA kerana kesalahan tersebut.

Wanita Memiliki Bahan Bacaan Berkaitan Kumpulan Militan. Seorang penuntut wanita daripada universiti tempatan telah ditahan pada tahun 2016 dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 130JB(1)(a) kerana memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas.

RUMUSAN

Antara analisa dan penilaian berhubung aspek penglibatan wanita di dalam aktiviti militan dan keganasan adalah seperti berikut:

Emansipasi Wanita Di Dalam Gerakan Militan dan Pengganas Sebagai Alat Propaganda. Golongan wanita menyokong organisasi militan dan pengganas sebagai satu cara untuk mengekspresikan pandangan dan kebebasan hak bersuara wanita yang ingin melakukan pembaharuan atas tiket untuk memperjuangkan hak asasi golongan minoriti, menegakkan sebuah negara autonomi dan ingin berjihad. Segelintir wanita ini bersetuju dengan pendekatan keganasan dan kekerasan serta sanggup mengharungi risiko yang mengancam maruah dan keselamatan mereka demi memenuhi matlamat dan perjuangan organisasi militan dan pengganas. Hakikatnya, kesemua aspek ini kelak akan dijadikan sebagai propaganda dan naratif sesebuah organisasi untuk tujuan merekrut lebih ramai pengikut dan anggota baharu wanita ke dalam rangkaian mereka.

Penglibatan Wanita Memberikan Tactical Advantage. Penglibatan wanita dengan aktiviti militan dan keganasan sememangnya boleh memberi kelebihan kepada organisasi pengganas terutama dalam aspek melakukan serangan. Organisasi militan dan pengganas memanfaatkan kaum wanita untuk melancarkan serangan bunuh diri kerana ianya lebih mudah dan berkesan. Ini kerana modus operandi mereka sukar dikesan dengan mata kasar yang mana pergerakan mereka juga kurang mencurigakan pihak berkuasa. Penyerang wanita juga dilihat lebih kreatif dalam hal ini. Insiden cubaan serangan di Istana Presiden di Jakarta dan insiden serangan di Selatan Mindanao yang melibatkan pelaku wanita adalah contoh kreativiti dan modus operandi pengganas. Sebelum melancarkan serangan, mereka boleh menyimpan bahan letupan ataupun memakai jaket bom di dalam pakaian mengandung dan sebagainya. Kebanyakan kes serangan bunuh diri di checkpoints yang dikawal oleh pasukan keselamatan adalah melibatkan penyerang bunuh diri wanita yang berjaya melepasi halangan ataupun kawalan pemeriksaan sebelum meletupkan diri sendiri. Kumpulan Boko Haram turut mengeksploitasi kaum wanita yang diculik beramai-ramai untuk dijadikan human shield dan melakukan serangan bunuh diri yang mensasarkan orang awam mahupun PK Nigeria. Sehingga kini, lebih daripada 450 orang wanita telah terbunuh kerana melakukan serangan bunuh diri untuk Boko Haram di Timur Laut Nigeria.

Wanita Adalah Kumpulan Rentan Yang Menjadi Sasaran dan Mangsa. Golongan wanita adalah merupakan kelompok rentan (vulnerables groups) yang dianggap mudah untuk dimanipulasi kehidupan mereka hanya dengan memberikan erti kehidupan yang sebenar melalui ilusi yang indah dengan perjuangan yang utopia. Seiring dengan perkembangan teknologi, golongan wanita juga amat mudah direkrut kerana terdedah dengan pelbagai platform media sosial termasuk portal, blog dan chatroom yang memaparkan pelbagai naratif kumpulan ekstremis dan pengganas. Dalam konteks ini kumpulan pengganas dan militan memanfaat wanita dalam aspek publisiti untuk kelangsungan perjuangan mereka. Setiap tindakan pengikut atau anggota pengganas wanita akan mempengaruhi wanita lain bermula dari segi imej sehinggalah kejayaan sesuatu serangan keganasan yang dilakukan. Peranan media massa yang terus mensensasikan berita dan laporan serangan oleh penyerang wanita juga memberi mileage kepada organisasi militan dan pengganas untuk merekrut lebih ramai pengikut wanita. Selain itu, faktor kecanggihan teknologi dan alat komunikasi juga memberi kelebihan kepada rangkaian pengganas dalam aspek ini. Rangkaian militan Daesh dilihat masih dominan dalam menggunakan platform media sosial dan internet untuk merekrut pengikut wanita di ruang siber. Kebiasannya, recruiter Daesh ini akan menggunakan nama ataupun alias yang dimulai dengan ‘Ummu’ dan menyebarkan naratif yang mengagungkan pembentukan sebuah Khilafah, hijrah, jihad dan mati syahid kepada pengikut wanita lain.

Situasi dan Kondisi Politik Sentiasa Menjadi Pemangkin Kepada Ekstremisme. Situasi dan kondisi semasa politik yang tidak menentu di sesebuah negara sememangnya akan mempengaruhi serta menjadi pemangkin segelintir individu untuk menyertai pelbagai gerakan nasionalisme, etno-nasionalisme, anti-liberal, anti-kapitalis dan sebagainya kerana naratif dan sentimen anti-kerajaan mudah berkembang dalam komuniti. Dalam konteks ini, dengan capaian maklumat yang mudah, golongan wanita juga tidak ketinggalan bergerak aktif di dalam gerakan seumpama samada terlibat sebagai aktivis mahupun menjadi pendokong kepada kumpulan yang lebih ekstrem seperti gerakan berhaluan kanan, gerakan berhaluan kiri dan organisasi militan serta pengganas. Pada ketika ini, fenomena self radicalised adalah satu trend yang amat sukar untuk dijangka walaupun oleh agensi perisikan. Seseorang individu boleh menjadi ekstremis atau teroris hanya melalui pengaruh dari internet. Mereka tidak perlu menjadi ahli atau berbaiah kepada mana-mana kumpulan tetapi mereka melakukan serangan atas faktor inspirasi dan motivasi sahaja (motivation and inspiration over affiliation). Golongan wanita sebegini juga tidak teragak-agak akan mengambil tindakan ekstrem, keganasan dan membahayakan keselamatan orang awam demi jihad atapun memenuhi tuntutan serta perjuangan organisasi pengganas. Sebagai contoh,   rancangan untuk membunuh beberapa pemimpin politik serta rancangan untuk melakukan serangan merempuh orang awam dengan menggunakan kenderaan oleh wanita tempatan di negara ini.

Legasi dan Ikatan Kekeluargaan. Tidak dinafikan bahawa tidak semua wanita ingin terlibat dengan jaringan keganasan. Penglibatan mereka pada kebiasaannya adalah disebabkan faktor ikatan kekeluargaan, persaudaraan mahupun perkahwinan. Dalam konteks ini jaringan dalam sesuatu kumpulan itu sebenarnya diwarisi menjadi legasi bukannya sesuatu yang mereka inginkan. Sesuai dengan fitrah seorang wanita yang mempunyai sifat kepatuhan dan taat pada suami, ayah serta keluarga, mereka meneruskan legasi keluarga yang terlibat dengan perjuangan.    Senario ini amat mudah dilihat dalam kalangan kumpulan pengganas seperti Al Qaeda dan afiliasi mereka iaitu Jemaah Islamiyah (JI) bagi mengekalkan lineage dan kerahsiaan organisasi. Contohnya, Osama bin Laden berkahwin dengan seorang wanita daripada Kabilah Sana’a bernama Amal al-Sada untuk mengukuhkan kedudukan Al-Qaeda di Yaman. Seorang anggota JI, Ali Ghufron, mengahwini adik kepada anggota kanan JI iaitu Nasir bin Abas (Mantiqi 3) dan pengasas JI iaitu Abdullah Sungkar mengahwinkan dua anak perempuan tirinya kepada dua anggota JI, Ferial Muchlis dan Syawal Yassin.

PENUTUP

Penglibatan golongan wanita terutamanya daripada kalangan orang Islam dalam aktiviti militan dan pengganas adalah trend yang sangat membimbangkan. Walaupun senario terkini memperlihatkan seolah-olah wanita ingin mencapai satu bentuk kesamarataan gender dengan menggunakan alasan bahawa mereka juga berhak mendapat ‘pahala’ yang setara seperti golongan lelaki, namun tanpa disedari bahawa penglibatan dan kemampuan golongan wanita dalam aktiviti keganasan dan militansi sebenarnya masih dimanfaatkan, dimanipulasi dan dieksploitasi oleh jihadis lelaki. Walaupun golongan wanita menjadi pelaku keganasan, namun secara hakikatnya mereka tetap menjadi korban dan mangsa dari kekeliruan, kenaifan dan ketidakberdayaan yang dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu demi kelangsungan perjuangan mereka.

Program-program Preventing and Countering Violent Extremism (PCVE) perlu mengambilkira penyertaan dan penglibatan daripada golongan wanita kerana mereka adalah vulnerable group yang turut menjadi sasaran untuk direkrut. Pada masa yang sama, mereka menjadi mangsa untuk dimanipulasi. Fenomena segelintir wanita menjadi self radicalised kerana terpengaruh dengan naratif serta propaganda dari internet juga perlu diberi perhatian. Strategi yang insklusif perlulah dilaksanakan di peringkat nasional dan tidak hanya terletak di bahu pihak law enforcement semata-mata tetapi perlu mendapat kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi berkaitan dalam berganding bahu membantu memberi kesedaran dan memulihkan para wanita yang terlibat dengan kegiatan ekstremisme, radikalisme dan terorisme.


NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN KEDUA BELAS

Kesimpulan

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan


Perbincangan dalam domain ini telah menjelaskan bagaimana kedudukan golongan fundamentalis dalam memperjuangkan agenda Islam mereka. Golongan fundamentalis menerima tafsiran yang mutlak dari teks-teks Al Quran dan menolak tafsiran yang bersifat kontekstual. Mereka menjunjung konsep teokrasi iaitu penyatuan antara agama dan negara. Golongan fundamentalis secara dasarnya menolak pentafsiran yang berbentuk historis-rasionalis sebaliknya menerima tafsiran yang berbentuk literal-skriptural. Golongan fundamentalis juga dilihat menolak simbol-simbol moden dan Barat kerana ia dianggap sebagai ciptaan manusia dan mencemar kesucian Islam. Akhir sekali golongan fundamentalis ingin menghidupkan kembali konsep khilafah di mana umat Islam disatukan di bawah satu kesatuan ummah (ummatul wahidah) dan manifestasi dari idea-idea ini ialah wujudnya sistem khilafah. Golongan fundamentalis secara terangnya menolak gagasan-gagasan Barat seperti nasionalisme, sekularisme dan demokrasi.

Golongan fundamentalis merasakan diri mereka adalah satu golongan umat Islam yang eksklusif di mana mereka berangapan bahawa ajaran Islam yang diamalkan adalah murni dan bersih serta tidak dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang boleh merosakkan akidah. Disebabkan sifat ”eksklusif” tersebut maka golongan fundamentalis  mempunyai wawasan agama yang sempit dan beranggapan bahawa Islam itu sudah lengkap dan sempurna maka tidak perlulah bagi mereka untuk memahami agama lain. Bagi golongan fundamentalis pintu ijtihad telah tertutup. Sikap begini menyebabkan mereka kurang bertoleransi dengan penganut agama lain malah bersikap jauh lebih keras terhadap umat Islam yang tidak sefahaman dengan mereka. Manifestasi dari sikap jumud ini maka lahirlah konsep takfiri iaitu mengkafirkan sesama umat Islam untuk menghalalkan tindakan yang lebih ekstrem lagi. Artikel ini merumuskan bahawa konsep Daulah Islamiyah dan Khilafah Islamiyah yang sering diperjuangkan oleh golongan fundamentalis adalah merupakan ilusi yang dicipta oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu untuk mengembalikan umat Islam kepada era kegemilangan suatu masa dahulu. Oleh kerana keyakinan dan pemahaman pengikut golongan fundamentalis dalam hal ini, mereka berusaha untuk kembali kepada sistem khilafah dan memperjuangkan perlembagaan dasar-dasar Islam secara formal dalam kehidupan bernegara.

Golongan fundamentalis beranggapan bahawa Islam itu mempunyai sifat yang menyeluruh (kaffah) dan sempurna, Islam tidak hanya terhad kepada perkara-perkara ritual beribadat sahaja tetapi menjadi dasar kepada seluruh aspek kehidupan manusia. Segala aspek tindakan dan pemerintahan termasuk peraturan-peraturan politik yang dicedok dari sumber yang bukan Islam dianggap sebagai bida’ah atau penyimpangan dari Islam. Jika dilihat dari perspektif rasionalismenya, cita-cita untuk kembali kepada sistem khilafah dan mendirikan sebuah masyarakat Islam yang eksklusif adalah mustahil sama sekali tetapi jika dilihat dari kepercayaan dan emosi mereka, pengikut kelompok fundamentalis beranggapan ia adalah mungkin terjadi. Di sinilah mereka mula mengambil contoh apa yang berlaku dalam revolusi di Iran, di mana seorang Imam yang telah terbuang mampu kembali dan merampas kuasa dari pemerintah. Bagi pengikut pengikut kelompok fundamentalis ini, sekiranya perkara tersebut boleh berlaku di Iran adalah tidak mustahil untuk ia berlaku di negara-negara lain. Mereka juga mempunyai anggapan bahawa satu hari nanti kesemua umat Islam di dunia ini melupakan perbezaan-perbezaan di antara mereka lalu bersatu dan bersetuju dengan konsep khilafah.

Sekian. Wallahuaklam


NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN KESEBELAS

Polemik Manhaj dan Ijtihaj dalam Memperjuangkan Agenda Islam

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan


Kebanyakan kumpulan atau kelompok dari umat Islam akan menjustifikasikan bahawa hanya kelompok mereka sahaja yang memperjuangkan Islam. Walaupun kesemua kelompok yang memperjuangkan Islam ini mempunyai cita-cita yang sama tetapi setiap dari kelompok ini mempunyai ijtihad[i] dan manhaj[ii] yang berbeza di dalam menterjemahkan tindakan dan melaksanakan kaedah perjuangan mereka. Ijitihad  adalah merupakan salah satu cara atau kaedah untuk mencari sumber hukum dalam Islam. Ia dipraktikkan dalam menyelesaikan atau merungkai pelbagai permasalahan agama yang meliputi perkara-perkara berkenaan fiqah, akidah, tasawuf mahupun perkara-perkara berkenaan doktrin politik. Perkataan atau istilah ijtihad (ar-ijtihad) berasal dari perkataan al-Juhd yang bererti al-taqhah (daya, kemampuan, kekuasaan) atau dari perkataan al-Jahd yang bererti al masyqqah (kesulitan, kesukaran).

Dari sudut bahasa, ijtihad bermakna “badal al wus wal mahud” (pengerahan daya kemampuan), atau mengerahkan segala daya kemampuan dalam suatu aktiviti dari aktiviti-aktiviti yang sukar dan berat. Di dalam sejarah perkembangan istilah ijtihad, perkataan ini mempunyai tiga tafsiran yang selalunya diguna pakai oleh ulama-ulama terdahulu. Tafsiran yang pertama  ialah ijtihad menjadi sumber hukum syar’i setelah Al Qur’an dan Sunah manakala tafsiran yang kedua ialah ijtihad diklasifikasikan sebagai setaraf dengan Al Qur’an dan Sunah manakala tafsiran yang ketiga menyatakan dalam keadaan tertentu ijtihad kadangkala lebih didahulukan dari Al Qur’an dan Sunah. Definasi yang mudah ialah ijtihad dalam syariat merupakan pencurahan segala kemampuan dalam mendapatkan hukum dalam suatu keadaan atau situasi di mana hukum itu tidak dapat di peroleh dari sumber Al Quran dan Sunnah.

Manhaj dalam bahasa Arab adalah sebuah jalan terang yang ditempuh. Sebagaimana dalam firman Allah: “Dan kami jadikan untuk masing-masing kalian syariat dan minhaj.” (Surah Al-Maidah [5]:48). Kata minhaj , sama dengan kata manhaj . Kata minhaj dalam ayat tersebut diterangkan oleh Imam ahli tafsir Ibnu Abbas, maknanya adalah sunnah. Sedang sunnah artinya jalan yang ditempuh dan sangat terang. Contoh gerakan-gerakan Islam atau gerakan dakwah yang banyak di merata dunia sekarang menjelaskan fenomena ini.

Ada gerakan atau kumpulan yang bergerak dalam lunas demokrasi dan menyertai proses pilihan raya seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS), Front Islamic Salvation (FIS) di Algeria, Parti Refah di Turki, malah Ikhwanul Muslimin di Mesir juga turut menyertai pilihan raya yang diadakan selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak. Ada pula kelompok Islam yang memperjuangkan agenda pendidikan dan ekonomi seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan ada juga gerakan Islam yang mengkhususkan perjuangan mereka terhadap kerja-kerja yang bercorak dakwah seperti Jama’ah Islah Malaysia (JIM). Kebanyakan kelompok Islam yang bergerak atas landasan dakwah adalah merupakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau di Indonesia sering juga dikenali sebagai organisasi masyarakat (Ormas).

Terdapat juga gerakan Islam yang mendedikasikan perjuangan mereka terhadap gerak kerja menentang kemungkaran dalam masyarakat dengan menggunakan aksi serta tindakan kekerasan seperti Front Pembela Islam (FPI) di Indonesia dan ada pula yang memperjuangkan agenda Islam untuk menegakkan Daulah Islamiyah sama ada dengan cara jihad mahupun cara kekerasan seperti yang dipamerkan melalui kumpulan-kumpulan seperti Tandzim Jihad dan Jama’ah Takfir Wal Hijra di Mesir, Islamic State in Khorasan Province (ISKP) di Afghanistan, Daesh @ ISIS di Syria dan Iraq,  Al Jama’ah Al Islamiyah dan Jamaah Ansharut Daulah  di Indonesia, Hamas dan Hizbut Tahrir di Palestin, Hizbullah di Lebanon, Jama’at Al Islami di Pakistan (sekadar mengambil beberapa contoh sahaja).

Justeru, kepelbagaian kaedah dan cara memperjuangkan agenda Islam ini menggambarkan bahawa terdapatnya perbezaan interpretasi terhadap manhaj yang sepatutnya diguna pakai sebagai landasan untuk memperjuangkan agenda Islam. Apakah yang menyebabkan perkara atau fenomena ini terjadi. Di antara pelbagai gerakan Islam tersebut, pelbagai kerenah dan manifestasi yang diperlihatkan. Ada yang tidak sabar (istiqomah) di dalam perjuangan dan ada pula yang ingin mencapai matlamat serta objektif perjuangan dalam masa yang singkat. Segelintir pula berpendapat bahawa sekiranya kejayaan tidak dapat dicapai melalui kaedah konvensional (seperti proses pilihan raya) maka matlamat harus dicapai dengan kaedah kekerasan walaupun ia melibatkan pertumpahan darah.

Pertembungan pendapat di antara golongan yang memilih kaedah yang dibenarkan oleh perlembagaan dengan kaedah kekerasan menyebabkan umat Islam berpecah sedangkan matlamat asalnya adalah untuk meningkatkan martabat Islam itu sendiri sedangkan kesemua mereka ini menggunakan Al Quran dan hadis yang sama sebagai hujah. Disinilah kesilapan kebanyakan pemimpin dan gerakan Islam di dalam memperjuangkan agenda mereka. Disebabkan umat Islam tidak bersatu dalam menterjemahkan agenda mereka maka umat  Islam mendapat imej yang buruk di samping sering menjadi ’kambing hitam’ apabila berlakunya aksi-aksi keganasan serta kekerasan yang melibatkan pengikut gerakan Islam di merata dunia ini. Persoalan ini berpunca dari masalah ijtihad dan manhaj yang berbeza-beza di kalangan  umat Islam sendiri.

Di dalam konteks gerakan Al Jama’ah Al Islamiyah, manhaj yang digunakan adalah manhaj salaf dan bagaimana manhaj salaf itu menjadi pendekatan mereka terhadap perjuangan menegakkan Daulah Islamiyah. Apabila membicarakan tentang manhaj ini, perkara pokok yang menjadi persoalan dan permasalahan dalam jama’ah ini adalah kaedah dan pendekatan mereka dalam usaha menegakkan Daulah Islamiyah yang tidak melalui ruang perlembagaan mahupun parlimen di samping menolak secara total konsep demokrasi. Jama’ah ini juga tidak bergerak sebagai satu organisasi yang formal kerana ia bersifat tandzim sirri (organisasi rahsia).

Justeru, timbul persoalan tentang bagaimana sebuah organisasi rahsia mampu untuk mendirikan sebuah Daulah sedangkan situasi dan kondisi politik yang ada di negara-negara di dunia ini terutamanya di Asia Tenggara adalah merupakan negara-negara demokrasi berparlimen. Adakah pendekatan dakwah wal jihad yang diterapkan mampu untuk merealisasikan impian tersebut dalam suasana politik dunia sekarang. Sedangkan gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir sendiri yang ditubuhkan pada tahun 1928 telah turut mengambil bahagian dalam proses pilihan raya bagi mendapatkan kuasa. Justeru, perbezaan manhaj inilah yang telah membezakan gerakan Ikhwanul Muslimin dengan gerakan-gerakan Islam yang lain.

Di dalam konteks atau permasalahan ijtihad pula ia berkisar kepada interpretasi terhadap konsep jihad. Secara tepatnya, permasalahan ini merujuk kepada dua perkara yang melibatkan hukum dan makna jihad. Persoalan yang pertama adalah jihad tidak mempunyai makna lain selain dari qital (perang) dan permasalahan yang kedua ialah jihad telah menjadi fardhu ain bagi setiap individu umat Islam. Fenomena ini menjelaskan bagaimana pengikut Al Jama’ah Al Islamiyah seperti Mukhlas dan Imam Samudera mentafsirkan ayat-ayat Al Quran yang menjadi dalil serta hujah mereka untuk melakukan pengeboman dan pembunuhan terhadap warga awam, tempat ibadat dan orang Islam sendiri.  Perbezaan yang sangat utama adalah berkaitan dengan pandangan ulama sebelumnya yang menyatakan ijtihad hanya wujud pada masalah yang tidak memiliki teks, sementara ulama kontemporari menjadikan teks sebagai kajian ijtihad. Pada awalnya ijtihad adalah al-intaj al-ma’rifi (hasil pemikiran) sementara pada masa sekarang ini ia telah berubah menjadi fahm an-nash (memahami teks).

Apabila Syeik Abdullah Azzam dan Imam Samudera menyatakan bahawa jihad telah menjadi fardhu ain kepada umat Islam ia memberikan implikasi yang sangat besar di dalam konteks pemahaman terhadap beberapa teks Al Quran yang menjadi sandaran oleh mereka. Kondisi ini semakin gawat dengan kurangnya maklumat dan toleransi mereka mengenai aliran-aliran pemikiran dalam Islam. Lihat sahaja permasalahan-permasalahan ushuluddin (pokok) hingga permasalahan furu’uddin (cabang) yang sering menjadi perbalahan dan perselisihan pendapat di kalangan ilmuan Islam. Contoh yang amat jelas tentang perselisihan pendapat oleh golongan salafi wahabi adalah perkara-perkara yang melibatkan bida’ah (perkara baru). Golongan salafi  wahabi melabelkan kelompok Islam yang lain sebagai pengamal bida’ah kerana mereka tidak dapat membezakan di antara perkara baru (bida’ah) dalam ibadah mahdah (ibadah ketaatan) dengan ibadah ghairu mahdah (ibadah kebaikan). Sebagai contoh, perkara-perkara seperti solat Terawih, majlis bacaan Ya’asin dan tahlil, bacaan talkin, bacaan Qunut, menziarahi kubur, berselawat atas Nabi, menyambut Maulid Nabi dan menyambut Hari Kebesaran Islam.

Jika dilihat dari perspektif ibadah kebaikan (ghairu mahdah) maka kesemua aktiviti keagamaan ini bukannya membuat perkara baru tetapi ia mempunyai kebaikan yang tersendiri malah memberikan pahala kepada pelakunya di samping membawa kebaikan dalam masyarakat. Ia tidaklah sampai menjatuhkan seseorang kepada kekufuran kerana ia hanya melibatkan kekhilafan ulama dalam menentukan perkara furu’ (cabang) bukannya perkara ushul (pokok). Perkara ini sering tidak menjadi fokus perhatian mereka yang ingin mengkaji sesuatu dan akan mengatasnamakan pandangan atau fatwa mereka sebagai pandangan Islam lalu persoalan ini akan menjadi lebih rumit dan kompleks apabila hasil pemikiran dan fatwa tersebut dihasilkan oleh mereka yang membenci aliran pemikiran yang lain.

Bersambung…


[i] Keterangan lanjut lihat Iqbal, Muhammad; 1975, The Reconstruction of Religious Thought in Islam. Lahore: SH. Muhammad Ashraf, hlm 10.

[ii] Lihat Tafsir Ibnu Katsir 2/67-68 dan Mu’jamul Wasith.


NEO FUNDAMENTALIS, RADIKALISME DAN POLITIKAL ISLAM; KECELARUAN MANHAJ YANG TIADA PENGHUJUNG

BAHAGIAN KESEPULUH

Fundamentalis dan Ilusi Daulah Islamiyah serta Khilafah Islamiyah

Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Penganalisa Keganasan


Gerakan kebangkitan umat Islam dalam rangka menegakkan kembali Khilafah Islamiyah telah muncul di merata pelosok dunia dengan uslub perjuangan yang berbeza-beza. Khilafah Islamiyah atau disebut juga Jama’atul Muslimin adalah merujuk kepada pemerintahan yang meliputi seluruh dunia Islam. Pada saat Khilafah sudah tiada maka jama’ah-jama’ah yang ada di merata pelosok dunia sekarang seperti Ikhwanul Muslimin, Jama’at al Islami, Front Islamic Socialis, Hizbut Tahrir, Darul Islam dan Al Jama’ah Al Islamiyah hanyalah merupakan Jama’atul Minal Muslimin atau jama’ah-jama’ah kecil dari sebahagian umat Islam yang berusaha untuk mendirikan khilafah atau Jama’atul Muslimin. Justeru, kemunculan sejumlah jama’ah minal Muslimin (jama’ah-jama’ah kecil) di merata pelosok dunia ini adalah merupakan tindakan kolektif dari usaha mereka untuk mendirikan khilafah tersebut. Untuk tujuan perbincangan dalam artikel ini maka gerakan Al Jama’ah Al Islamiyah yang pernah menjadi ancaman kepada negara-negara di Asia Tenggara lewat tahun 1990an adalah merupakan salah sebuah jama’ah minal Muslimin, yang turut bercita-cita untuk menegakkan khilafah (jama’atul Muslimin) menerusi manhaj dakwah dan jihad fi sabilillah bersama sejumlah jama’ah minal Muslimin lainnya. Kini perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyah ini dipelopori pula oleh kumpulan Daesh @ ISIS/ISIL.

Menurut golongan fundamentalis, kewujudan sebuah negara Islam hanya akan berlaku setelah Khilafah Islamiyah itu tertegakiaitu di mana penegakkan syariat Islam telah berlaku dalam aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Justeru, bagi an Nabhani, sebelum tertegaknya Daulah Kekhilafahan Islam, yang ada cuma Darul Kufr. Untuk menegakkan Khilafah Islamiyah ini hanya satu negara Islam sahaja yang boleh dibentuk dan sekiranya wujud lebih dari satu negara Islam maka ia mestilah dihalang dengan cara menyatukannya.[i] Bentuk Negara Islam yang dimaksudkan oleh an Nabhani ini adalah sebuah negara yang unik di mana ia bukan sebuah negara republik, monarki, diktator, federalisme atau komunisme tetapi ia diketuai oleh seorang Khalifah (mestilah seorang laki-laki) yang diangkat oleh umat Islam menerusi bai’ah dan menerapkan syariat dalam pemerintahan. Pemerintahan Khalifah ini mempunyai empat dasar utama iaitu kedaulatan terletak pada syara’, kekuasaan adalah milik rakyat, melantik seorang khalifah adalah wajib bagi seluruh umat Islam dan hanya khalifah yang berhak menyusun konstitusi dan perundangan.[ii]

Berdasarkan doktrin inilah dapatlah difahami bagaimana golongan fundamentalis merangka matlamat perjuangan mereka untuk menegakkan sebuah Daulah Islamiyah (jama’atul minal Muslimin) dan seterusnya Khilafah Islamiyah (jama’atul muslimin). Jika dikaji matlamat dan ideologi kebanyakan gerakan fundamentalis di merata dunia ini, hampir kesemua ciri-ciri dan konsep serta pola pemikiran Sayyid Qutb, Maududi serta Nabhani mempengaruhi matlamat perjuangan mereka. Justeru, dapat disimpulkan bahawa pencetus kepada idea dan gagasan Daulah Islamiyah dan Khilafah Islamiyah yang diperjuangkan oleh gerakan fundamentalis mengambil doktrin dari gagasan Daulah dan Khilafah Islamiyah versi Qutb, Maududi dan juga Nabhani.

Polemik tentang Daulah Islamiyah dan Khilafah Islamiyah sebenarnya berpunca dari penafsiran tentang doktrin dan usaha untuk mengaitkannya dengan realiti umat Islam kontemporari. Kedua-dua perkara ini yang mencetuskan pelbagai konsep, pandangan, kaedah, matlamat serta gagasan yang hendak dibawa oleh pelbagai golongan yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan mereka. Bagi sesetengah ahli masyarakat, Islam adalah merupakan agama yang mengintergrasikan keseluruhan aspek kehidupan termasuklah kaedah berpolitik. Konsep Negara Islam atau bentuk negara itu sendiri sebenarnya tidak diterangkan dengan jelas dalam Islam (melalui Al Quran dan Sunnah) malah dalam Islam sendiri tidak ada perintah untuk menegakkan Negara Islam atau Khilafah.

Menurut Asghar Ali, konsep Negara Islam hari ini sepatutnya merujuk kepada konteks dan situasi hari ini. Konteks Negara Islam Madinah yang sering di rujuk oleh gerakan fundamentalis itu sebenarnya bukan lah sebuah konsep ‘negara’ yang sebenar dalam Al Quran. Masyarakat Arab pra-Islam tidak mempunyai struktur negara.[iii] Ia lebih berasaskan kepada puak atau kabilah yang tidak mengenal perbezaan antara negara dan masyarakat. Tidak ada undang-undang bertulis atau konstitusi mahupun badan-badan yang mentadbir sama ada diwarisi ataupun dipilih. Walaubagaimana pun, terdapat satu kumpulan yang dikenal sebagai mala’ yang dianggotai oleh Ketua-ketua Kabilah/Puak dalam sesuatu wilayah. Segala keputusan dibuat secara bersama dan setiap ketua kabilah ini melaksanakan  keputusan-keputusan tersebut di wilayah kekuasaan masing-masing dan keputusan ketua kabilah ini dianggap semacam satu undang-undang. Tidak ada sistem cukai, polis atau tentera dan tiada konsep pentadbiran wilayah, pertahanan atau polisi. Semuanya bergantung kepada adat dan tradisi setiap kabilah. Undang-undang yang ada hanyalah Qisas. Masyarakat Islam di Mekah kemudiannya mewarisi situasi ini. Sewaktu Nabi S.A.W dan sahabat mengadapi tekanan oleh masyarakat Mekah di peringkat permulaan dakwah, mereka kemudiannya berhijrah ke Madinah (dahulunya dikenali sebagai Yathrib) lalu meneruskan dakwah disana. Seperti mana Mekah, Madinah juga adalah merupakan kota yang dihuni oleh kabilah-kabilah dan diatur berdasarkan undang-undang kabilah ini. 

Malah keadaan di Madinah lebih buruk dari Mekah kerana kondisi kabilah-kabilah yang sentiasa bermusuhan dan atas sebab itulah mereka menjemput Nabi datang ke Madinah untuk mengembangkan dakwah. Di atas kebijaksanaan Nabi S.A.W menyatukan kabilah-kabilah yang bermusuhan ini satu masyarakat yang aman berjaya dibangunkan di Madinah. Nabi S.A.W memperkenalkan perjanjian antara kabilah yang dipanggil Mithaq-i-Madinah (Perjanjian Madinah) yang memberi kesaksamaan hak kepada semua kabilah dan agama seperti Islam, Yahudi dan lain-lain agama. Justeru, setiap kelompok dan agama bebas mengamalkan agama dan tradisi masing-masing dengan aman dan harmoni. Perjanjian Madinah ini secara tidak langsung kemudiannya menjadi konstitusi atau perlembagaan bagi ’negara” Madinah di mana ia memayungi undang-undang yang selama ini diamalkan oleh kabilah-kabilah di pelbagai wilayah di Madinah pada ketika itu.

Pertama kalinya konsep persempadanan wilayah secara umum dipraktikkan untuk membolehkan sebuah negara berjalan dan berkembang di mana sebelum itu hanya konsep kabilah dipraktikkan dan bukannya konsep persempadanan wilayah (teritori). Seterusnya Nabi S.A.W memansuhkan konsep kabilah dan memperkenalkan konsep sempadan ideologi serta sempadan wilayah. Nabi S.A.W tidak menekankan tentang komuniti politik tetapi lebih menitikberatkan komuniti beragama berasaskan Al Quran yang menekankan nilai-nilai moral dan etika. Dalam masa yang sama secara tidak langsung gagasan doktrin politik Islam turut berkembang sedangkan tujuan asal dakwah Nabi S.A.W adalah untuk menegakkan komuniti beragama bukannya memperkenalkan doktrin politik. Perjanjian Madinah dan konsep  Negara Islam Madinah ini sering dirujuk oleh kebanyakan gerakan fundamentalis sebagai konsep negara Islam yang ideal malah ia menjadi rujukan oleh kelompok-kelompok  fundamentalis untuk menegakkan sebuah daulah atau khilafah.

Sebenarnya, Perjanjian Madinah (perjanjian antara kabilah) ini bukan lah merupakan perlembagaan bagi sebuah Negara Islam seperti yang dicanangkan oleh golongan fundamentalis. Jika ia benar merupakan sebuah konstitusi atau perlembagaan bagi sebuah negara maka ia sepatutnya digunakan oleh Nabi S.A.W sebagai perlembagaan negara setelah tentera Islam menakluk Mekah pada tahun 630 Masihi. Atas alasan yang sama, mengapakah perlembagaan ini tidak digunakan oleh Khalifah Abu Bakar untuk mentadbir Mekah setelah beliau dilantik menjadi Khalifah yang pertama selepas kewafatan Nabi S.A.W pada tahun 632 Masihi. Ini menjelaskan bahawa Perjanjian Madinah itu adalah perjanjian antara kabilah yang terpakai di Madinah sahaja dan ia diguna pakai dalam konteks dan situasi pada masa tersebut sahaja (one-time contract).[iv]

Bagaimanakah Bentuk Sebuah Negara Islam Yang Ideal?

Setelah meneliti hujah-hujah dari cendekiawan Islam kontemporari, artikel ini turut berpendapat bahawa tidak ada model yang tepat tentang bagaimana sebuah Negara Islam itu sepatutnya dibentuk kerana Islam sendiri tidak menjelaskan dengan terperinci bagaimana bentuk dan model sebuah Negara Islam. Matlamat menegakkan sebuah Negara Islam itu sememangnya penting berlandaskan syariat dan sunnah namun berdasarkan contoh-contoh negara yang dilabelkan sebagai Negara Islam atau Republik Islam, ia masih lagi boleh dipersoalkan. Penulis juga tidak berniat untuk merendahkan usaha pelbagai gerakan Islam untuk mendirikan Khilafah Islamiyah tetapi gagasan ini mestilah berpandukan realiti serta bukan dilakukan dengan cara mentafsir doktrin agama secara sempit. Fatwa-fatwa sempit seperti menyamakan usaha mendirikan Khilafah setaraf dengan rukun Islam dan rukun Iman serta menjadikannya sebagai menjadi fardhu ain adalah keterlaluan sedangkan realitinya tidak sampai ke tahap tersebut. Pemimpin dan pendakwah di kalangan gerakan Islam harus menyedari dengan menjatuhkan sesuatu hukum menjadi fardhu ain sedangkan ianya masih lagi menjadi persoalan ijtihaj di kalangan ulama maka ia akan menyebabkan pemikiran umat Islam menjadi gawat dan bercelaru lalu mencetuskan fenomena yang membawa implikasi yang buruk.

Gelaran Negara Islam bagi sesebuah negara seperti yang ada di Timur Tengah, Pakistan atau beberapa negara di Afrika seperti Sudan, Algeria dan Nigeria itu sendiri tidak selari dengan praktik politik kenegaraannya, justeru ia memperlihatkan nilai-nilai yang bertentangan dengan konsep Islam itu sendiri.[v] Apa gunanya berdiri atau disebut sebagai Negara Islam tetapi keadilan tidak dapat ditegakkan, rakyat tidak mendapat hak mereka yang sepatutnya sebagai seorang warganegara, nilai-nilai moral, kejujuran, kasih sayang, harmoni, persefahaman dan kekuasaan diwarisi dari satu elit atau keturunan kepada satu keturunan yang lain sedangkan kesemua nilai-nilai ini dianjurkan oleh Islam. Malah jika dilihat lebih jauh bahawa Islam hanya dijadikan alat oleh golongan elit yang berkuasa untuk mempertahankan kekuasaan sedangkan Islam itu sepatutnya menjadi garis panduan di dalam pemerintahan dan aspek bernegara. 

Dalam konteks ini penulis ingin memetik satu kajian ilmiah yang bertajuk How Islamic are Islamic Countries? yang telah dilakukan oleh Scheherazade S. Rehman dan Hossein Askari dan diterbitkan oleh Global Economy Journal pada 2010. Kedua-dua orang pakar ekonomi dari George Washington University ini telah merumuskan bahawa negara-negara bukan Islam lebih mempraktikkan nilai-nilai ekonomi seperti mana yang dianjurkan oleh ajaran Islam berbanding dengan negara bukan Islam. Kajian ini dilaksanakan terhadap 208 buah negara di dunia ini termasuk 56 buah negara Organisation of Islamic Conference (OIC) (kecuali Palestin). Kriteria yang digunakan untuk menganalisa Islamicity Index dalam praktik dan perlaksanaan pemerintahan di setiap negara adalah dengan melihat praktik di setiap negara tersebut sama ada selari dengan ajaran-ajaran Islam berdasarkan Al Quran dan Sunnah.

Kriteria-kriteria Islamicity indexs yang dikaji adalah: Economic Islamicity Index, Legal and Governance Islamicity Index, Human and Political Islamicity Index dan International Relations Islamicity Index bertujuanmelihat sejauh mana korelasi antara ajaran Islam dengan praktik ekonomi, pemerintahan dan perundangan, politik dan hubungan antarabangsa dalam sesebuah negara. Hasil kajian ini amat mengejutkan kerana keputusannya menunjukkan bahawa dari tangga 1 hingga tangga 36 adalah merupakan negara bukan Islam. Tangga pertama adalah negara New Zealand dan negara Islam yang paling atas adalah Malaysia di tangga ke 37 (dalam kajian ini dua kategori negara Islam digunakan iaitu self declared Islamic country seperti Arab Saudi dan Iran dan kategori kedua adalah negara yang mana agama Islam adalah merupakan agama dalam perlembagaan seperti Malaysia dan Indonesia).[vi] Ini menunjukkan bahawa negara bukan Islam lebih mempraktikkan ajaran-ajaran serta saranan dalam Al Quran serta hadis Nabi S.A.W berbanding negara yang mengisytiharkan negara mereka sebagai sebuah negara Islam. Retorik sebegini yang sepatutnya disedari oleh umat Islam kontemporari.

Justeru, umat Islam harus berpijak dibumi yang nyata. Hari ini pembunuhan terhadap umat Islam paling banyak berlaku hampir setiap hari di negara yang majoritinya umat Islam. Ia dilakukan oleh pemimpin dan orang yang mengaku beragama Islam. Lihat sahaja contoh-contoh apa yang berlaku di Mesir, Iraq, Syria dan Sudan. Lihat juga apa yang berlaku di Mesir pada bulan Sep 2013. Rakyat Mesir adalah 80 peratus befahaman ahli Sunnah wal jama’ah dan tentera Mesir juga adalah orang Islam yang berfahaman ahli Sunnah wal jama’ah. Justeru, mengapa mereka membunuh sesama sendiri. Seburuk-buruk Yahudi di Israel, tenteranya tidak sampai ke tahap membunuh rakyat yang mempunyai pegangan agama yang sama. Apabila ia berlaku di negara yang majoriti penduduknya adalah umat Islam maka slogan ’Islam is a solution’ itu adalah retorik yang dimanipulasi oleh orang Islam sendiri demi kepentingan politik sempit mereka.

Sedangkan umat Islam yang menjadi minoriti dikebanyakan negara bukan Islam hidup dengan aman damai, berpeluang menguasai sektor ekonomi dan pendidikan, mereka tidak ditindas dan bebas mempraktikkan ajaran agama Islam. Adakah golongan fundamentalis mengatakan bahawa mereka ini berdosa kerana tidak berjuang menegakkan Daulah Islamiyah atau Khilafah Islamiyah. Adakah semua umat Islam ini akan masuk ke neraka kerana tidak memperjuangkan Khilafah Islamiyah yang telah menjadi fardhu ain mengikut hukum yang dijatuhkan oleh golongan fundamentalis. Disebabkan pandangan binari-dikotomi ini lah yang menjurus kepada umat Islam ketinggalan dalam segenap bidang. Malah lebih buruk lagi gagasan-gagasan golongan fundamentalis sebenarnya mengajak umat Islam hidup dalam permusuhan dengan orang bukan Islam hanya disebabkan gagasan utopia mereka sedangkan banyak lagi perkara yang lebih utama perlu dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup, kesejahteraan, keharmonian, pendidikan, ekonomi, keadilan dan kehidupan seharian umat Islam.

Kondisi umat Islam kontemporari amat menyedihkan. Ini tidak lagi termasuk dengan statistik umat Islam yang menjuarai kes-kes seperti penagihan dadah, kes buang bayi, kes mat rempit, kes rasuah, kes penyalahgunaan kuasa dan pelbagai lagi kes yang mencemar imej agama Islam. Salah satu kegagalan polisi yang amat kritikal sedang melanda banyak negara sekular terutamanya di Asia Tenggara adalah krisis moral dan integriti atau lebih tepatnya krisis rasuah. Ketika krisis moral dan intergriti ini sudah mencapai satu tahap yang di panggil ‘point of no return’ maka secara automatiknya nilai moral sudah tidak lagi bererti dalam masyarakat dan tidak ada ajaran-ajaran agama yang mampu untuk memulihkannya. Justeru, negara tersebut akan menuju ke arah self destruct angkara pemimpin-pemimpinnya.[vii]

Menurut Amien Rais, selagi sebuah negara melaksanakan etos Islam dan kemudiannya menegakkan keadilan sosial serta mencipta satu masyarakat yang harmoni, di mana tidak ada manusia mengambil kesempatan di atas manusia yang lain mahupun mengekploitasi antara kelompok dengan kelompok yang lain, maka ia sudah dikira sebagai satu negara yang baik.  Walaupun sesebuah negara itu tidak disebut sebagai negara Islam tetapi jika pemerintahnya melaksanakan nilai-nilai keadilan, kejujuran, amanah dan memihak kepada kepentingan rakyat maka negara itu sudah dapat dikategorikan sebagai sebuah negara Islam.[viii]  Bagi Bakhtiar Effendi pula, polemik Negara Islam ini tidak perlu diteruskan kerana ia tidak akan berkesudahan dan apa yang penting ialah umat Islam memperbaiki status dan kondisi mereka dalam aspek ekonomi, pelajaran, sosial dan teknologi yang masih jauh ketinggalan dan tidak hanya menumpukan kepada aspek-aspek kerohanian sahaja. Aspek kerohanian semata-mata tidak akan mampu memperbaiki kondisi umat Islam masa kini ditambah pula dengan perjuangan menegakkan Negara Islam yang terlalu ambitious walaupun ia penting tetapi usaha harus ditumpukan kepada mengembalikan kegemilangan umat Islam dalam aspek-aspek yang telah dinyatakan kerana hanya dengan memiliki kelebihan dalam bidang-bidang tersebut maruah umat Islam akan terbela.[ix]

Oleh kerana Islam tidak menetapkan bentuk atau model sebuah Negara Islam yang tepat atau  ideal justeru, penulis merumuskan bahawa apa yang penting adalah sesebuah pemerintahan itu sepatutnya menekankan tentang sebuah pemerintahan yang adil, ikhsan, jujur, saksama, menjanjikan keamanan dan kesejahteraan kepada warganegaranya, ikhlas, tiada penyimpangan dari syariat dan segala bentuk hukum yang berkaitan dengan syariat dikembalikan kepada Al Quran dan sunnah Nabi S.A.W. Dalam ertikata lain, penegakan keadilan dan memberikan hak yang sewajarnya kepada warganegara itu lebih penting dari utopia penegakan sebuah Daulah Islamiyah atau Khilafah Islamiyah yang tidak berpenghujung dengan melihat contoh-contoh yang ada di merata pelosok dunia sekarang.

Lanjutan dari itu, penulis ingin mengutip pendapat seorang tokoh yang menyatakan bahawa sebuah Negara atau pemerintahan Islam itu sepatutnya mempunyai empat dasar yang utama iaitu, pertama, amanah yang bertanggungjawab, kejujuran dan keihkhlasan, kedua, keadilan yang luas untuk seluruh umat termasuk keadilan sosial, ketiga, Ketuhanan Yang Maha Esa, seperti yang tertulis dalam perintah ”taatlah kepada Tuhan dan Rasulnya’ dan dasar yang keempat adalah kedaulatan rakyat yang digabungkan dengan perintah ”ulil Amri”.[x]  

Bersambung…


[i] Taqiyuddin an Nabhani, 2003:26-31.

[ii] Taqiyuddin an Nabhani, 2003:135.

[iii] Asghar Ali:2006, Tarek Fatah:2008:38.

[iv] Tarek Fatah:2008: 20..

[v] Tarek Fatah:2008;20.

[vi] Keterangan lanjut lihat Rehman Scheherazade S. & Askari Hossein, 2010. How Islamic are Islamic Countries?, Global Economy Journal, vol. 10(2), hlm 1-40.

[vii] Lihat M.Kamal Hassan, 2011, Voice of Islamic Moderation from the Malay World, hlm 126.

[viii] Amien Rais:1997.

[ix] Temu  bual dengan Prof Dr Bakhtiar Effendy, Dekan FISIP, UIN, Ciputat Jakarta, 2012. 

[x] Zainal Abidin Ahmad:2001:31.