ARTIKEL PERANAN ARTIFICIAL INTELLIGENCE (AI) DALAM DUNIA KEGANASAN

ARTIKEL

PERANAN ARTIFICIAL INTELLIGENCE (AI) DALAM DUNIA KEGANASAN

PENDAHULUAN

Sepanjang dekad yang lalu, kita telah menyaksikan penerimaan dan pembangunan Artificial Intelligence (AI) yang pesat dalam pelbagai industri melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta. Di ramalkan bahawa pasaran AI global akan melepasi pasaran 100 bilion USD pada tahun 2025. Sistem yang di dorong oleh AI akan terus menyokong pelbagai sektor penting seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, perbankan dan perkhidmatan kewangan, perdagangan, infrastruktur, keselamatan dan lain-lain lagi. Walaupun AI dilihat semakin memuncak berkembang, ia turut menimbulkan pelbagai ketidaktentuan dalam bidang-bidang seperti hak asasi manusia, teknologi sedia ada (seperti sistem biometrik), dan migrasi. Kumpulan pengganas juga semakin tertarik untuk memanipulasikan teknologi baharu ini dan implementasikan untuk kepentingan mereka. 

Penggunaan teknologi oleh kumpulan pengganas bukanlah satu perkara yang baru memandangkan ianya telah lama memainkan peranan yang signifikan dalam setiap insiden/serangan keganasan yang dilaksanakan oleh mereka. Walau bagaimanapun, dengan kemajuan terkini dalam AI, beberapa kumpulan pengganas kini sudah mula mempertimbangkan segala kelebihan/faedah yang ditawarkan oleh teknologi ini. Antara kelebihan AI bagi tujuan keganasan yang boleh diguna pakai oleh kumpulan/organisasi pengganas adalah seperti proses merekrut ahli baharu yang bersifat lebih interaktif (penggunaan video dan gambar), penghasilan propaganda yang lebih moden dan advance serta manipulasi tingkah laku individu melalui saluran media sosial. Kemajuan teknologi baharu membuka pelbagai pintu kepada kemungkinan yang tidak terhingga bahawa kumpulan pengganas bersedia untuk mengeksploitasi dan menggunakannya untuk keuntungan mereka. 

 

MAKSUD AI DAN AI GENERATIF

Kecerdasan Buatan (AI) merupakan suatu teknologi yang membolehkan komputer dan mesin meniru serta mengasimilasikan proses-proses kognitif manusia. Ianya merangkumi proses pembelajaran, pemahaman, penyelesaian masalah, pembuatan keputusan, kreativiti serta autonomi. Kesemuanya memainkan peranan penting dalam merangsang kemampuan intelektual manusia. Sistem AI ini mempunyai beberapa bentuk dan salah satu bentuk yang mendapat perhatian masa kini adalah AI Generatif (gen AI). Ia telah menunjukkan potensi besar dalam pelbagai bidang. Gen AI menggunakan pembelajaran mesin untuk menjana kandungan baharu, teks, audio, imej, video dan simulasi pelbagai fungsi. Ia beroperasi dengan memanfaatkan data set yang sangat besar serta parameter yang diilhamkan oleh rangkaian hubungan dalam otak manusia. Perbezaan utama antara Gen AI dan bentuk-bentuk AI yang lain terletak pada kebolehannya untuk menghasilkan output baharu, berbanding hanya meramalkan dan mengkategorikan seperti sistem pembelajaran mesin yang lain. Berikut merupakan beberapa contoh Gen AI:

  1. Chatbots berasaskan teks atau program yang direka untuk mensimulasikan perbualan dengan manusia seperti Anthropic’s Claude, ChatGPT, Bing Chat, Google Gemini dan Llama 2.
  2. Penjana imej atau video seperti Bing Image Creator, DALL-E3, Midjourney dan Stable Diffusion.
  3. Penjana suara seperti Microsoft VALL-E.

 Dengan wujudnya pelbagai aplikasi dan program ini, minat terhadap penggunaan Gen AI dilihat telah meningkat dengan ketara dari pihak kerajaan, swasta dan masyarakat awam manakala kumpulan/organisasi pengganas tidak terkecuali. Mereka melihat penggunaan aplikasi ini sebagai peluang untuk menggembangkan propaganda serta meningkatkan lagi pengaruh kumpulan mereka di seluruh dunia.

PERANAN AI DALAM MEMACU AKTIVITI KUMPULAN PENGGANAS

AI sedang mentransformasi cara pengumpulan dan penggunaan maklumat disamping mempengaruhi ketegangan geopolitik dan ancaman keganasan. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa individu pengganas dan ekstremis memanfaatkan AI untuk meningkatkan operasi mereka melalui pendekatan utama seperti berikut;


a.         Propaganda – Propaganda adalah satu alat utama yang digunakan oleh kumpulan pengganas untuk menyebarkan nilai dan kepercayaan mereka. Dengan bantuan Gen AI, propaganda boleh disebarkan dengan lebih mudah, dan impaknya boleh meningkat dengan ketara, menjadikannya lebih berkesan dan disesuaikan dengan sasaran. Propaganda boleh digunakan untuk menyebarkan ucapan kebencian dan ideologi radikal. Menggunakan imej, video, atau audio tiruan (palsu) yang selari dengan nilai-nilai organisasi boleh membantu meningkatkan jumlah propaganda yang dihasilkan, memperkuatkan mesej, dan mempengaruhi sikap serta emosi orang ramai (contohnya, menggunakan gambar palsu mangsa/kanak-kanak yang cedera untuk memberi kesan emosi kepada penonton). Gen AI dalam propaganda boleh mencipta realiti palsu, membolehkan pihak tertentu menimbulkan kekacauan dan kekeliruan melalui maklumat salah dan palsu. Memuat naik kandungan AI yang dihasilkan di platform media sosial boleh memperluas jangkauan dan menyebarkan maklumat palsu dengan cepat kerana ia boleh dikongsi oleh jutaan pengikut. Natijahnya, media sosial boleh dianggap sebagai senjata yang berkuasa dalam peperangan maklumat palsu, di mana orang ramai tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada apa yang mereka baca atau dengar. Gen AI berpotensi membawa cabaran besar dalam komunikasi dan media dalam talian, terutamanya dalam hal maklumat salah dan palsu. Melalui kaedah ini, pengganas boleh menggunakan Gen AI untuk mencipta halusinasi melalui pelbagai strategi. Contohnya adalah seperti peperangan psikologi, operasi bendera palsu atau propaganda untuk mempengaruhi tingkah laku orang ramai.

b.         Recruitment – Pengganas boleh memanfaatkan alat berasaskan AI untuk membuat profiling ke atas target dan mengenal pasti bakal rekrut yang memenuhi kriteria tertentu. Seterusnya, aplikasi Gen AI boleh digunakan untuk menyesuaikan mesej dan kandungan media bagi menarik perhatian bakal rekrut. Teknologi canggih seperti LLM’s (Larger Language Model) yang menjadi trend pada masa kini iaitu ChatGPT, membolehkan kumpulan pengganas memberikan pengalaman mirip manusia tanpa memerlukan campur tangan atau bantuan daripada manusia yang sebenar. Penggunaan Gen AI berpotensi untuk meningkatkan keupayaan kumpulan pengganas dalam membina hubungan peribadi, terutamanya untuk mendekati sympathiser dan individu yang gemar bersendirian (lone actor) yang mana individu ini mudah berasa simpati terhadap perjuangan yang dibawa oleh kumpulan pengganas ini. AI juga dilihat digunakan dalam proses mengumpulkan data untuk mengenal pasti individu yang terdedah kepada radikalisasi disamping membantu penyebaran maklumat atau mesej pengganas yang lebih tepat kepada mangsanya. Sebagai tamsilnya, kumpulan pengganas akan menghantar mesej/propaganda kepada bakal rekrut bersesuaian dengan keadaan semasa seperti individu-individu yang dilihat kerap mencari kandungan berbaur keganasan secara dalam talian atau menstrim video berkaitan dengan aktiviti keganasan.

c.          AI-Generated Deepfake – Teknologi deepfake yang dikuasakan oleh AI boleh digunakan oleh kumpulan pengganas untuk menyebarkan maklumat palsu atau kandungan seperti video, gambar atau ilustrasi palsu bagi tujuan memanipulasi pendapat orang awam. Pengganas boleh mencipta atau menghasilkan video berserta audio palsu dengan menggunakan pemimpin atau ahli politik yang realistik untuk memanipulasi atau menyebarkan maklumat yang salah. Perkara ini dilihat mampu memacu kepada pergolakkan politik dan sosial dalam sesebuah negara. Bukan itu sahaja, AI juga boleh digunakan untuk mencipta keseluruhan laman web berita palsu atau kempen media sosial kelihatan seperti boleh dipercayai untuk mengelirukan orang ramai.

d.         Pengumpulan Dana dan Financial Crimes – Penggunaan teknologi AI pada masa kini sering kali dilihat diguna pakai oleh kumpulan pengganas dari segi pengumpulan dana menggunakan sistem kewangan. AI boleh digunakan untuk mencuci wang atau melakukan transaksi melalui rangkaian cryptocurrency menjadikannya lebih sukar untuk dijejaki berkaitan dengan aktiviti kewangan yang dijalankan. Selain daripada itu, algoritma AI boleh mengenal pasti kelemahan dalam sistem kewangan sekaligus memberi laluan kepada kumpulan pengganas ini untuk mengeksploitasi bagi tujuan pembiayaan.

e.         Simulasi Video – Video simulasi adalah merupakan sejenis video yang meniru atau memodelkan situasi, proses, atau persekitaran dunia nyata dalam sistem alam maya. Kebiasaannya video ini dibuat menggunakan imej grafik yang dijana komputer (CGI) atau teknik penyuntingan video untuk menggambarkan situasi yang kelihatan realistik. Video simulasi sering digunakan dalam sektor pendidikan, latihan, hiburan, serta penyelidikan. Namun begitu, kumpulan pengganas juga tidak terlepas daripada memanfaatkan kelebihan dan daya tarikan yang ada menerusi simulasi video. Sebagai contoh, kumpulan pengganas Daesh telah menggunakan satu permainan video simulator yang kandungannya menjurus kepada sesi melatih penyokong Daesh untuk berperang di dalam alam maya. Permainan video simulator yang mempromosikan keganasan dan ideologi ekstremis dilihat boleh memberi kesan negatif yang mendalam kepada generasi muda khususnya. Pendedahan kepada kandungan ganas dan propaganda ini boleh menyebabkan golongan ini terpengaruh dengan keganasan, normalisasi ideologi radikal serta peningkatan pemikiran dan tingkah laku agresif. 

ANTARA CONTOH APLIKASI AI YANG DIGUNA PAKAI PENGGANAS 

PENUTUP

Sebagai kesimpulan, penggunaan AI oleh kumpulan pengganas mencerminkan satu fenomena yang membimbangkan dalam konteks keselamatan global yang semakin kompleks ini. Hasil kajian terhadap kumpulan – kumpulan pengganas seperti Daesh, Boko Haram, Al-Qaeda dan lain-lain menunjukkan bahawa organisasi ini semakin giat meneroka cara untuk memanfaatkan teknologi canggih bagi mencapai matlamat dan rancangan jahat mereka itu sendiri. Implikasi daripada eksploitasi sedemikian adalah luas dan mendalam, merangkumi penyebaran propaganda, penciptaan disinformation campaigns yang terperinci, penghasilan kandungan media palsu yang bertujuan untuk menimbulkan keganasan atau menyebarkan ketakutan, serta pembangunan sistem senjata autonomi. Implikasi ini mempengaruhi tingkah laku masyarakat yang tidak menyedari kompleksiti mekanisme canggih yang digunakan dalam penciptaan kandungan-kandungan tersebut.

Seiring kita berhadapan dengan ancaman yang sedang berkembang ini, pengubal dasar, agensi penguatkuasa undang-undang, pasukan keselamatan dan masyarakat awam harus bekerjasama untuk membangunkan strategi yang kukuh bagi menangkis penyalahgunaan teknologi AI oleh entiti pengganas. Ini merangkumi penambahbaikan rangka kerja pengawal seliaan untuk memantau dan mengawal penyebaran teknologi AI, memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk mengesan dan menggagalkan rangkaian haram, serta melabur dalam penyelidikan serta pembangunan alat pengesanan dan penentuan sumber AI.

Kewaspadaan, kebolehsuaian dan kerjasama merupakan elemen yang amat penting dalam menghadapi ancaman yang senantiasa berkembang. Dengan melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian untuk mengurangkan risiko yang timbul akibat eksploitasi teknologi AI generatif oleh kumpulan pengganas, kita dapat membina masa depan yang lebih selamat, kondusif dan teguh untuk semua lapisan masyarakat.

Diperingkat ATM, setiap anggota perlu cakna dalam membezakan naratif pengganas agar tidak terjebak ekstremisme, radikalisme dan terorisme. Sebagaimana yang kita sedia maklum, konflik serangan Israel ke atas Palestin terus dimanipulasikan oleh kumpulan pengganas bagi mempromosikan serangan secara lone wolf dengan slogan mereka “Kill Them Where Ever You Find Them”. Sentimen anti-semitic dilihat terus dimainkan oleh penyokong dan sympathiser kumpulan pengganas dalam meraih sokongan. Kejatuhan pemerintahan Rejim Bashar Assad di Syria dilihat membawa episod baru dalam ancaman keganasan global yang berkemungkinan mampu memberi impak kepada kebangkitan kumpulan pengganas Daesh. Insiden-insiden ini dilihat telah dimanipulasikan dalam menyemai sentimen kebencian ke atas orang bukan islam. Kecanggihan AI dilihat mampu memberi nilai tambah ke atas propaganda pengganas dalam memanipulasi emosi anggota melalui mesej peribadi yang disesuaikan (microtargeting), menyemai keraguan atau kebencian terhadap kepimpinan ATM dan kerajaan semasa bahkan mencetuskan kegelisahan sosial melalui naratif palsu.

Posted in Esei.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *