PENDAHULUAN
Pada 30 Jun 24, jurucakap kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) iaitu Abu Rusdan bersama-sama 15 pemimpin kanan telah mengisytharkan pembubaran kumpulan tersebut serta menamatkan segala aktiviti berkaitan ekstremisme, radikalisme dan terorisme yang pernah dilakukan. Kenyataan mengenai pembubaran kumpulan JI tersebut disebarkan melalui satu rakaman video yang dirakam di Bogor, Jawa Barat. Antara pemimpin kanan yang terlibat adalah Para Wijayanto, Abu Mahmuda, Bambang Sukirno, Abu Fatih, Ustaz Zarkasih, Ustaz Shalahudin, Ustaz Fachrudin Soleh, Ustaz Saptono Munadi, Ustaz Abu Dujanah, Ustaz Qadri Faturrahman, Tengku Azhar, Ustaz Imtihan, Ustaz Hamad, Ustaz Mustaqim dan Ustaz Fahim.
Menerusi teks ucapan pengisytiharaan pembubaran kumpulan JI yang dibacakan oleh Abu Rusdan, hasrat untuk pembubaran kumpulan JI turut disokong oleh majlis kepimpinan JI, pemimpin institusi pendidikan gabungan dan sekolah berasrama Islam (pesantren).
Dalam masa yang sama, JI Indonesia turut memberitahu rancangan mereka untuk menyemak dan meneliti semula kurikulum pendidikan di pesantren yang berada di bawah organisasi tersebut dalam usaha menghapuskan ideologi ekstremis. Perkara ini adalah selaras dengan prinsip-prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah, undang-undang negara dan norma kehidupan masyarakat di Indonesia.
LATAR BELAKANG KUMPULAN JEMAAH ISLAMIYAH (JI)
Jemaah Islamiyah yang juga dikenali sebagai Al-Jama’ah Al-Islamiyah@ Jamaah Islamiyah; @Jama’ah Islamiyah (JI) merupakan sebuah pertubuhan (tanzim) dan gerakan ideologi yang lahir daripada Darul Islam (DI), sebuah gerakan berorientasikan politik yang diasaskan oleh S.K. Kartosuwirjo, di tengah-tengah kemuncak perang kemerdekaan Indonesia melawan Belanda pada akhir tahun 1940.
Apabila Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, Presiden Sukarno mengisytiharkan bahawa Indonesia sebuah negara sekular yang berlandaskan ideologi Pancasila. Sehubungan itu, Kartosuwirjo bertindak menggunakan pendekatan militan dan mengisytiharkan jihad menentang kepimpinan Sukarto. Kartosuwirjo telah ditangkap dan di hukum mati pada tahun 1962. Walaupun beliau telah meninggal dunia, visi untuk menubuhkan Daulah Islamiyah di kepulauan Melayu (Nusantara) telah dikekalkan secara rahsia oleh pengikutnya iaitu Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Basyir.
Pada tahun 1992, kumpulan JI telah ditubuhkan setelah berlakunya perselisihan pendapat antara Abdullah Sungkar dengan jaringan besar DI. Puncanya adalah perbezaan ideologi dan doktrin melibatkan konsep, kaedah dan pendekatan perjuangan jihad jaringan Abdullah Sungkar yang dilihat lebih radikal dan keras berbanding aliran DI lain termasuk aliran Ajengan Masduki. Aliran Sungkar yang turut dikenali sebagai Sabilillah pada ketika itu berhasrat meneruskan perjuangan dengan perang bersenjata secara gerila. Dalam melaksanakan konsep dakwah, Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Ba’asyir banyak dipengaruhi oleh pemikir-pemikir dari Timur Tengah seperti Sayyid Qutb dan Hassan Al-Banna (pengasas Ikhwanul Muslimin). JI juga dikenali sebagai sebuah kumpulan Salafi Jihadi yang bermaksud menggunakan kekerasan demi mencapai matlamat politik dan diilhamkan oleh ideologi yang sama seperti Al-Qaeda.
JI mula membentuk dirinya sebagai sebuah kumpulan pengganas dengan membekalkan sumber kewangan dan logistik kepada operasi Al-Qaeda di Asia Tenggara. Terdapat 4 cawangan Mantiqi iaitu Mantiqi 1 merangkumi Malaysia dan Singapura, Mantiqi 2 merangkumi Indonesia, Mantiqi 3 merangkumi Mindanao, Sabah dan Kalimantan Timur serta Mantiqi 4 merangkumi Australia dan Maldives.
JI turut terkenal dengan taktik serangan pengeboman bunuh diri, menggunakan alat letupan Vehicle-Borne Improvised Explosive Device (VBIED) dan senjata kecil dalam aktiviti keganasan yang digunakan bagi menyerang sasarannya seperti gereja Kristian dan tempat hiburan. JI juga terlibat dalam aktiviti keganasan di negara luar termasuk Afghanistan, Syria dan selatan Filipina serta cubaan melaksanakan aktiviti keganasan di Singapura dan Malaysia.
Antara warga tempatan dan luar yang radikal lahir dari ideologi JI adalah seperti berikut :
- Hambali (Riduan Isamuddin) – Seorang pemimpin kanan JI yang menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyelaraskan operasi JI. Hambali turut terlibat dalam merancang beberapa serangan termasuklah pengeboman yang berlaku di Bali pada tahun 2002.
- Noordin Mat Top – Merupakan warganegara Malaysia bertanggung jawab merekrut dan pakar strategi JI. Noordin terlibat dalam beberapa siri pengeboman di Indonesia termasuk pengeboman di Hotel JW Marriott, Jakarta pada 2003.
- Azahari Husin – Anggota JI warganegara Malaysia yang pakar dalam pembuatan bom dan memainkan peranan penting dalam insiden pengeboman Bali serta serangan lain di Indonesia.
- Zulkifli Hir (Marwan) – Warganegara Malaysia yang menjadi anggota JI dan terlibat dalam aktiviti keganasan di Filipina. Marwan turut dikaitkan dengan beberapa insiden pengeboman dan tersenarai sebagai orang paling dikehendaki oleh FBI. Marwan dibunuh dalam serbuan di Filipina pada tahun 2015.
- Mas Selamat Kastari – Mas Selamat berasal dari Singapura dan dikaitkan mempunyai hubungan dengan JI. Selamat menjadikan Malaysia sebagai tempat persembunyian selepas melarikan diri dari tahanan di Singapura pada 2008 sebelum ditangkap semula setahun kemudian di Malaysia.
- Yazid Sufaat – Seorang ahli mikrobiologi berasal dari Malaysia dan bekas pegawai tentera berpangkat kapten. Yazid telah dikaitkan dengan kumpulan JI dan Al-Qaeda serta dilaporkan terlibat dalam satu penyelidikan untuk kumpulan Al-Qaeda. Yazid telah ditahan beberapa kali oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
MEREKRUT DAN PENDANAAN KUMPULAN
Aktiviti JI mempunyai penekanan kepada Dawlah (Islamic outreach) dan penerbitan untuk menyediakan pangkalan sokongan mujahidin bagi aktiviti ekstremis. JI menyebarkan ideologi Jihad dengan melaksanakan proses merekrut secara covert melalui kenalan peribadi, kumpulan kajian agama dan rangkaian lebih 50 “pesantren” (sekolah agama/pondok). Sekolah-sekolah yang dikaitkan dengan JI terus menghasilkan generasi baru mujahidin yang berpotensi dan telah diindoktrinasi ke dalam ideologi yang bersimpati dengan matlamat jangka panjang JI. Penjara turut dilihat menjadi salah satu laluan untuk proses merekrut kerana sesetengah ahli JI yang ditahan mempunyai akses kepada rakan-rakan tahanan lain.
INSIDEN SERANGAN KEGANASAN MELIBAT JEMAAH ISLAMIYAH (JI)
Ancaman keganasan yang dilaksanakan oleh JI tidak hanya tertumpu di sekitar rantau Asia Tenggara malah secara global melalui hubungan kerjasama dengan kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Taliban. Sehubungan itu, JI telah dimasukkan dalam senarai organisasi pengganas di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1267 pada 25 Okt 02. Antara insiden signifikan adalah seperti berikut:
Christmas Eve Bombings
24 Dis 2000 – JI memulakan operasi serangan keganasan besar-besaran menerusi pengeboman 28 buah gereja secara serentak di bandar-bandar Indonesia di Jakarta, Sumatera, dan Jawa. Serangan ini membunuh 19 orang dan lebih 120 orang lain cedera. Insiden ini dikenali sebagai ‘Christmas Eve Bombings’ yang telah dirancang dan diselaraskan oleh ketua operasi JI yang dikenali sebagai Hambali.
Rizal Bombings
30 Dis 2000 – Beberapa letupan telah menggegarkan Metro Manila menerusi serangan pengeboman dikenali ‘Rizal Bombings’. Bom yang ditanam di sekitar bandar ini telah meletup dalam tempoh sejam. Letupan dikatakan berlaku di dalam bas di Cubao, stesen minyak di Makati dan Plaza Ferguson, Ermita berhampiran Kedutaan AS. Serangan yang paling teruk berlaku di dalam kereta api di Stesen Blumentritt LRT 1 di Manila yang meragut nyawa seramai 22 orang manakala 100 orang cedera.
Bali Bombings
12 Okt 2002 – Letupan bom yang berlaku di Bali, Indonesia telah meragut seramai 202 nyawa dan mencederakan hampir 300 orang. Sebuah bom meletup di Kelab Malam Paddy’s Pub dan Sari Club, kawasan yang menjadi tumpuan pelancong ketika berada di Bali.
JW Marriot Hotel Bombings
05 Ogos 2003 – Sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan meletup di jalan masuk JW Marriott Hotel mengakibatkan 11 orang maut dan 152 yang lain cedera. Letupan tercetus pada hari terakhir perbicaraan suspek yang dituduh merancang dan melakukan pengeboman di Bali pada Oktober 2002.
Kedutaan Australia di Jakarta
09 Sep 2004 – Sebuah kereta meletup di luar kawasan kedutaan Australia yang terletak di Jakarta, Indonesia. Sembilan warga Indonesia terbunuh dan lebih 180 orang tercedera ekoran daripada impak letupan berkenaan. PK Indonesia kemudian berjaya menahan dan menghukum enam anggota JI berhubung serangan tersebut.
Jakarta Bombings
17 Jul 2009 – Insiden ‘Jakarta Bombings’ merupakan serangan bunuh diri yang menyasarkan dua buah hotel iaitu JW Marriott dan Ritz-Carlton di daerah Mega Kuningan, Jakarta, Indonesia. Pengeboman ini mengakibatkan tujuh maut termasuk tiga warga Australia manakala lebih 50 orang cedera.
Kawasan sasaran JI dilihat tertumpu kepada kawasan tumpuan awam dengan menyasarkan ‘soft target’ daripada menyasarkan fasiliti ketenteraan atau ‘hard target’. JI menggunakan kaedah serangan bunuh diri dan pengeboman kereta untuk memaksimumkan korban sekaligus menimbulkan rasa ketakutan di kalangan orang awam.
SENARAI DEKLARASI PEMBUBARAN KUMPULAN JEMAAH ISLAMIYAH (JI)
Hasil kesepakatan antara majlis kepimpinan JI bersama pimpinan lembaga pendidikan dan pondok pesantren telah mengeluarkan enam inti pati yang bakal dilaksanakan selaras dengan pembubaran ini. Antara enam intipati tersebut adalah seperti berikut:
- Menyatakan pembubaran Kumpulan JI dan kembali ke pangkuan sistem negara Indonesia.
- Memastikan aliran sistem kurikulum bebas daripada unsur ekstremis dan berpandukan kepada prinsip-prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.
- Membentuk pasukan bagi menyemak sistem kurikulum dan bahan pengajaran.
- Bersedia terlibat secara aktif dalam memenuhi kemerdekaan agar bangsa Indonesia menjadi bangsa yang maju dan bermartabat.
- Bersedia mengikut segala peruntukan sistem perundangan yang ada di Indonesia.
- Perkara berkaitan dengan perjanjian ini akan dibincangkan secara teliti bersama-sama dengan PK Indonesia.
KESAN
Penerimaan anggota kumpulan JI: Berita pembubaran JI dilihat masih terlalu awal untuk menilai kejayaan PK Indonesia dalam menghapuskan kumpulan tersebut. Ideologi keganasan sukar untuk dihapuskan sehingga mereka berkemungkinan melakukan tindakan keganasan sendiri. Perkara ini dapat dilihat dengan penangkapan anggota JI di Sulawesi Tengah yang menunjukkan cubaan menghidupkan kembali ideologi JI setelah Mujahidin Indonesia Timur (MIT), kumpulan yang dominan di Sulawesi namun berjaya dilumpuhkan sepenuhnya pada tahun 2022. Pembubaran JI mungkin tidak dipersetujui oleh semua anggota JI yang dianggarkan kira-kira 6,000 orang yang lebih cenderung untuk berfikir bahawa pemimpin mereka disogok dengan kewangan. Disamping itu, Abu Rusdan dan Para Wijayanto dilihat kurang kredibiliti memandangkan masih dalam tahanan yang secara tidak langsung memberi gambaran bahawa mereka membuat pengisytiharan dalam keadaan terpaksa.
Ideologi: Ideologi JI tidak akan mudah untuk terhapus kerana ideologi kumpulan tersebut sudah bertapak sekian lama. Kemungkinan kewujudan sleeper cell yang dilihat mampu mengembalikan semula aktiviti keganasan di rantau Asia Tenggara mahupun global oleh pengikut-pengikut bawahan yang masih menganggap perjuangan mereka itu bersifat suci. Tidak menolak kemungkinan bakal wujudnya kumpulan baru yang lebih radikal pada masa hadapan seperti yang berlaku di Filipina. Pada tahun 2008, perjanjian diantara Kumpulan Moro Islamic Liberation Front (MILF) dengan Kerajaan Filipina tidak disokong sepenuhnya oleh pengikutnya dan akhirnya menubuhkan kumpulan Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF). Pembubaran JI turut bermungkinan didorong oleh beberapa faktor termasuk pengaruh intelektual dalam JI yang kurang berminat dengan jihad ganas. Sehubungan itu, pendekatan secara positif boleh diambil menerusi pembubaran kumpulan JI ini. Pihak Kerajaan Indonesia boleh mengadakan perbincangan berterusan dengan kepimpinan JI dalam memastikan bahawa pembubaran mereka ini adalah satu tindakan yang menyeluruh dan bukan hanya tindakan untuk mengalih perhatian atau muslihat JI untuk melindungi aset dan sumber kewangan mereka, terutama jaringan sekolah agama (pesantren) milik mereka.
PENUTUP
Kenyataan berhubung pembubaran kumpulan pengganas JI dilihat sebagai satu petanda positif dalam menghapuskan tanggapan bahawa umat Islam adalah pengganas yang sering kali dikaitkan oleh pihak Barat dan mengurangkan Islamophobia dalam kalangan negara bukan Islam.
Pembubaran ini memberi hala tuju yang positif dalam konteks menangani ekstremisme dan keganasan di Indonesia. Pihak berkuasa Indonesia melalui Kepolisian Republik Indonesia (POLRI) dan unit Densus 88 akan terus menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan tiada ancaman baru yang muncul lanjutan daripada pembubaran ini. Pada masa yang sama, pembubaran JI ini juga berupaya memberi political mileage kepada pentadbiran Presiden Prabowo Subianto dalam mengendalikan ancaman ekstremisme dan keganasan yang lebih efektif berbanding pemerintahan yang sebelumnya.
Sepertimana yang diketahui, JI telah ditubuhkan di Malaysia dan dijangka masih ada lagi saki baki generasi yang menjadi symphatizer kepada ideologi kumpulan ini. Mereka boleh dianggap sleeper cell yang mampu melaksanakan serangan keganasan apabila dipacu oleh sentimen kebencian. Justeru, pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa terhadap golongan symphatizer ini perlu dilakukan agar tidak ada elemen-elemen untuk menghidupkan perjuangan JI semula berlaku di negara ini. Pendedahan mengenai ancaman ekstremisme, radikalisme dan terorisme harus diketengahkan bagi semua peringkat umur terutamanya golongan remaja.