PENDAHULUAN
Istilah “fanatik atau taasub” bermaksud satu sikap kepercayaan yang terlalu berlebihan terhadap sesuatu ajaran termasuk dalam perihal politik serta kepimpinan hingga melampaui batas. Fanatik juga merujuk kepada seseorang individu yang keterlaluan (melampau) terhadap sesuatu pegangan atau pendirian dan kebiasaannya dalam hal-hal berkaitan dengan praktik atau ajaran keagamaan.
Fanatik mempunyai makna yang sama dengan istilah taasub iaitu sikap terlalu berlebihan kepercayaannya atau keyakinannya terhadap sesuatu ajaran atau aliran (termasuk politik, agama, dan lain-lain) hingga melampaui batas. Fanatik atau taasub akan menyebabkan pemikiran seseorang menjadi sempit, beku, tidak adil dalam membuat penilaian dan tidak mampu mencetuskan idea-idea baharu yang lebih segar. Ketidakfahaman terhadap sikap ekstrem, fanatik dan taasub ini menyebabkan beberapa aspek kehidupan masyarakat dewasa ini menjadi celaru. Golongan ini merasakan apa yang mereka lakukan adalah kononnya satu tuntutan agama.
Sikap begini juga turut menggambarkan seseorang yang tidak berkemampuan membuka ruang perbincangan untuk membandingkan pendapatnya dengan pendapat pihak-pihak lain bagi mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya. Sikap fanatik dan taasub adalah sikap tertutup terhadap pandangan lain yang berbeza dan berusaha menidakannya. Sikap begini adalah pembawaan yang memandang hanya diri atau kumpulan sendiri sahaja yang betul, manakala pihak lain adalah salah, malah secara berani menuduh pihak yang berlainan pendapat sebagai jahil dan bodoh.
Sikap fanatik dan taasub akan mencapai puncaknya ketika seseorang individu atau kumpulan menggugurkan kehormatan orang lain, menghalalkan jiwa dan harta mereka, menghalalkan darah saudara seagama serta tidak lagi melihat hak orang lain untuk tidak diperlakukan secara adil. Fenomena ini berlaku apabila seseorang individu itu telah dikuasai oleh kekacauan fikiran lalu menuduh kebanyakan orang lain telah keluar dari Islam atau telah menjadi kafir murtad.
Inilah kemuncak kepada sikap ekstrem, fanatik dan taasub. Contoh begini pernah kepada golongan Khawarij sekitar tahun 37H/648M. Golongan ini termasuk dalam orang-orang yang sangat ketat dalam melaksanakan ritual ibadat seperti puasa, solat dan tilawah Al Quran. Golongan ini terjerumus ke dalam kebinasaan bukan disebabkan oleh keburukan hati mereka tetapi disebabkan oleh keburukan fikiran mereka.
Pada dasarnya akar radikalisme dalam pemikiran Islam tumbuh dari dua prinsip dasar iaitu Prinsip keterpilihan dan adanya doktrin kebenaran. Sebagai kesannya, golongan ini mempunyai satu perasaan ‘lebih’ dibanding kelompok atau pihak atau institusi lain (the others) yang tidak sefahaman atau berlawanan dengan ideologi golongan terbabit.
ISU-ISU BERKAITAN FANATIK DAN TAASUB BERAGAMA DI MALAYSIA
Secara umumnya, masyarakat di Malaysia khususnya beragama Islam pada masa kini dilihat telah banyak disogokkan dengan pelbagai pandangan dan aliran yang dapat mencetuskan pelbagai perbalahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat khususnya golongan-golongan agamawan. Perkara ini dilihat menerusi beberapa siri perdebatan atau forum yang telah dijalankan bagi membincangkan pelbagai isu dengan mengetengahkan tokoh atau agamawan yang mempelopori idea atau mewakili aliran mazhab mereka tersendiri.
Ekoran daripada wujudnya penganjuran dan pelaksanaan forum sedemikian, terbukti menunjukkan bahawa timbulnya pelbagai aliran dan pandangan sehingga membawa kepada keperluan untuk mengadakan perbincangan dalam bentuk forum bagi menjelaskan atau merungkai isu-isu berkaitan dengan masyarakat. Terdapat juga segelintir tokoh atau agamawan yang mencabar pihak yang tidak sealiran untuk berdebat bagi mencari kata putus atau jawapan terhadap isu yang dipertikaikan oleh mereka.
Situasi sedemikian, memperlihatkan bahawa realiti masyarakat di Malaysia hari ini telah berada dalam keadaan terbuka dengan pelbagai aliran dan pihak yang terlibat cuba untuk mempertahankan dan melindungi aliran atau kumpulan yang didukungnya itu. Oleh itu, terhasillah golongan yang fanatik dan taasub dengan mazhab tertentu, mematuhi kepada aliran akidah tertentu, memberi sokongan secara membuta tuli kepada tokoh atau agamawan yang dilihat sebagai pembawa transformasi, dan pelbagai aliran serta organisasi lain yang muncul membawa idea pemikiran dan pemahaman tersendiri.
Oleh yang demikian, isu-isu yang melibatkan fanatik dan taasub beragama dalam Malaysia boleh dilihat menerusi beberapa insiden mahupun kejadian yang pernah dilaporkan berlaku.
Peristiwa Kumpulan Al Maunah – Pada tahun 2000, negara kita pernah digemparkan satu kejadian apabila terdapat satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Pertubuhan Dalam Ajaran Al-Maunah yang merancang untuk menggulingkan kerajaan pada ketika itu dengan menggunakan kekerasan dan bersenjata. Disini dapat kita lihat bahawa pada asalnya kumpulan ini yang dikatakan mendalami ilmu persilatan yang turut menggunakan tenaga dalaman dan juga turut mempelajari perubatan tradisional Islam sahaja. Akan tetapi, akibat terlalu fanatik dan taasub mendalami ilmu tersebut diselit dengan ideologi yang dibawa oleh pemimpin kumpulan itu, ianya merubah tujuan penubuhan kumpulan tersebut sehingga mampu berfikir dan bertindak untuk menggulingkan kerajaan Malaysia dengan menggunakan kekerasan yang dianggap sebagai jihad demi mencapai objektif mereka.
Budaya Takfiri– Pada tahun 80-an, polemik politik di Malaysia telah dimomok oleh satu insiden yang melibatkan parti-parti politik. Isu yang tercetus ini dianggap satu isu besar kerana ia bukan sahaja melibatkan perbalahan antara parti politik semata malah ia turut melibatkan fahaman terhadap agama serta melibatkan budaya kafir mengkafir atau lebih dikenali sebagai takfiri. Budaya kafir mengkafir ini dilihat satu perbuatan yang sangat terkutuk ditambah pula kenyataan yang dilemparkan itu datangnya dari seorang pemimpin parti politik yang beragama Islam. Jelas disini bahawa ideologi dan fahaman Islam yang terlalu taasub dan fanatik telah dijadikan modal bagi mereka dalam mencapai matlamat politik.
Serangan Molotov KK Mart – Pada Mac 2024, terdapat insiden serangan Molotov Cocktail dilaporkan berlaku dalam negara kita. Serangan tersebut berlaku rentetan daripada satu isu sensitif yang dikaitkan dengan satu agama besar dalam Malaysia iaitu kalimah Allah tertera pada stoking. Isu tersebut mendapat reaksi yang begitu meluas sehingga melibatkan banyak pihak seperti agamawan, ilmuan, ahli politik bahkan Raja-Raja Melayu. Serangan molotov cocktail di kedai serbaneka KK Mart dikatakan berlaku berpunca daripada isu sensitif tersebut. Berdasarkan serangan tersebut, boleh dikatakan ia berpunca daripada perilaku seseorang individu atau kumpulan yang terlalu fanatik dan taasub terhadap agama. Namun begitu, berkemungkinan juga tindakan yang diambil adalah untuk mempertahankan kalimah suci Allah yang merupakan Tuhan bagi umat Islam. Walaubagaimanapun, tindakan pelampau yang sedemikian merupakan perbuatan yang dilarang menurut ajaran Islam.
KESAN/ANCAMAN
Ideologi: Bersikap terlalu fanatik dan taasub dalam beragama merupakan satu tindakan yang mampu memberi kesan buruk. Mereka yang terlalu berfanatik dan taasub beragama ini kebiasaannya akan menganggap dan merasakan bahawa “tokoh” atau pemimpin yang mereka ikuti itu adalah merupakan individu yang harus mereka percayai. Ideologi atau naratif yang bersifat keras atau terlampau (ekstrem) juga dilihat mampu terwujud menerusi sikap fanatik dan taasub beragama ini. Hal ini kerana, bila seseorang individu atau kumpulan itu mula bertindak memilih pendekataan kekerasan iaitu menggunakan senjata bagi menghapuskan apa yang telah dianggap batil, atau cuba untuk mengubah kemungkaran dengan menggunakan persenjataan. Jelas bahawa perbuatan ekstrem merujuk kepada perbuatan yang ganas (kaedah) seseorang individu atau kumpulan (pelaku) lanjutan daripada suatu kepercayaan atau fahaman ekstrem ke atas individu atau kumpulan sosial (sasaran) tertentu bagi mencapai matlamat serta perubahan dari segi politik, sosial, ekonomi, agama dan ideologi (matlamat). Sikap ketaasuban dan fanatisme dalam kalangan masyarakat di Malaysia mampu menggugat keamanan serta keharmonian yang telah diamalkan sejak sekian lama.
Perpaduan Keluarga, Masyarakat dan Politik: Usaha mendoktrinasi atau memupuk sikap fanatik dan taasub terhadap agama mahupun sesuatu ikutan dalam kalangan masyarakat di Malaysia perlu dibanteras dengan segera dari terus menular. Perkara ini dilihat menjadi ‘virus’ negatif dalam semangat perpaduan rakyat negara Malaysia dan mampu membawa kepada tercetusnya tragedi yang tidak diingini sekiranya tiada tindakan susulan segera dari pihak bertanggungjawab. Generasi remaja yang mana semakin menjadi komponen terbesar rakyat di negara ini perlu diberikan bimbingan dan pendedahan perihal kesan buruk kepada sikap fanatik dan taasub beragama ini. Mereka merupakan antara kelompok yang mudah untuk menerima segala apa input atau output sesuatu perkara itu tanpa usul periksa dengan alasan input mahupun output tersebut sumbernya datang dari mereka-mereka yang lebih berpengalaman. Justeru itu, wajar bagi mereka mengguna pakai input dan output tersebut. Sememangnya perkara sedemikian perlu dielakkan daripada berlaku kerana khuatir bahawa ia bakal menjurus negara ini ke kancah perpecahan perpaduan samada kaum, agama dan bangsa.
Perbuatan Ekstremisme: Sifat fanatik dan taasub keagamaan yang berlebihan dalam kalangan masyarakat secara individu atau kumpulan dilihat mampu membawa kepada berlakunya perbuatan berunsurkan ekstremis atau ganas yang mampu memberi ancaman pada negara secara khususnya. Sekiranya seseorang individu itu yang terlalu fanatik dan taasub terhadap agama, berkemungkinan besar bagi mereka-mereka ini bertindak melakukan perbuatan berunsurkan keganasan itu tinggi disebabkan oleh pendekatan dan pendedahan yang diterima pakai olehnya menerusi ‘tokoh’ atau ketua kumpulan mereka itu. Individu yang terlalu fanatik dan taasub akan sesuatu perkara ini cenderung untuk menerima bulat-bulat apa sahaja maklumat, pendedahan, arahan dan kata-kata yang disampaikan oleh individu yang dianggap ‘tokoh’ itu. Bagi mereka yang terlalu fanatik dan taasub ini, kata-kata tersebut merupakan satu mandat yang perlu dituruti dan dilaksanakan tanpa gagal walaupun hakikatnya perbuatan tersebut membawa kepada keburukan. Ini turut memberi ancaman kepada keselamatan negara sekiranya tiada tindakan awal pencegahan dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan pihak-pihak lain yang terlibat.
LANGKAH PENCEGAHAN
1. Menyedari Impikasi Negatif Terhadap Sikap Fanatik dan Taasub Beragama – Seluruh masyarakat di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum haruslah sedar akan implikasi negetif daripada sikap terlalu fanatik dan taasub beragama ini. Setiap pihak atau organisasi perlu bekerjasama dalam menghindari segala perbalahan dan permusuhan khusus bila ianya melibatkan sentimen 3R (Royal, Religion, Races).
2. Mengadakan Pertemuan/Perbincangan – Perbincangan dua hala merupakan satu platform terbaik dalam usaha untuk mendapatkan penyelesaian terbaik terhadap isu yang berbalah. Pihak-pihak yang berbalah harus diwakili oleh golongan ilmuwan ataupun agamawan yang mempunyai ilmu. Pertemuan/perbincangan ini harus difokuskan kepada matlamat utama untuk mencari penyelesaian serta kebenaran bukan untuk mencari kemenangan.
3. Mewujudkan Pertimbangan Ilmiah – Setiap agama mempunyai kitab suci dan ajaran yang telah ditetapkan berdasarkan kepada kepercayaan masing-masing. Bagi umat Islam secara khususnya telah diajari untuk meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan utama. Tidak boleh dinafikan bahawa al-Quran dan al-Sunnah merupakan rujukan utama bagi seluruh umat Islam didunia. Walau bagaimanapun, bukan semua orang mampu dan mempunyai kearifan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, segala rujukan perlu dibuat menerusi organisasi, agamawan dan tokoh ilmuan yang mempunyai pengetahuan secara meluas dalam bidang dan kepakaran masing-masing dan haruslah diakui keilmuan dan ketokohan mereka itu.
4. Pendidikan dan Literasi Media – Mengintegrasikan program pendidikan dan literasi media ke dalam kurikulum sekolah dan usaha mendekati masyarakat untuk melengkapkan individu dengan kemahiran berfikir kritis dan daya tahan terhadap propaganda perpecahan kaum dan ekstremis. Pelajar perlu di didik untuk menilai maklumat secara kritis, membezakan fakta daripada fiksyen dan mengenali taktik manipulasi yang digunakan oleh individu atau sesetengah kelompok kumpulan yang benar-benar ingin melihat perpecahan kaum serta ketidakharmonian terjadi dalam Malaysia. Menggalakkan celik digital dan penggunaan platform media sosial yang bertanggungjawab untuk menentang radikalisasi dalam talian.
5. Penglibatan dan Pemerkasaan Komuniti – Memupuk perkongsian dengan komuniti tempatan, pemimpin agama, organisasi masyarakat sivil dan kumpulan belia untuk menggalakkan daya tahan masyarakat terhadap propaganda perpecahan kaum dan agama. Memperkasakan komuniti untuk mengenal pasti dan menangani rungutan, menggalakkan perpaduan sosial dan menyediakan laluan alternatif untuk individu yang kurang arif mengenai sistem kepelbagaian agama yang wujud di negara ini. Antara lain aktiviti berdialog juga boleh dilaksanakan bagi memupuk persefahaman bersama dan inisiatif membina kepercayaan serta menghormati keagamaan seseorang dalam kalangan masyarakat yang pelbagai.
PENUTUP
Secara keseluruhannya, isu fanatik dan taasub beragama ini bukanlah isu baru yang berlaku di Malaysia. Negara kita pernah dilanda isu ini sejak dari tahun 1960an lagi. Perbezaan pendekatan ilmu agama serta ditambah perbezaan fahaman politik menjadikan golongan fanatik dan taasub ini terus wujud dengan ramainya kerana masing-masing mengikuti dan menerima segala apa yang telah disampaikan oleh tokoh, ketua atau pemimpin mereka itu walaupun ia bertentangan dengan ajaran yang sepatutnya.
Sikap fanatik dan taasub ini dapat dikawal apabila setiap individu tersebut mengambil pendekatan sendiri dengan memperbaiki diri masing-masing dengan memperbanyakkan sumber rujukan, menerima pendapat dan pandangan orang lain serta mengelakkan diri daripada terjebak kepada mana-mana individu atau kumpulan yang mengamalkan budaya fanatisme ini. Bagi umat Islam, mereka perlu belajar dan mendekati ilmu agama sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya. Menggunakan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan utama dan jangan sesekali menyalah erti apa yang telah disampaikan didalamnya. Bagi para pemimpin, ahli politik, agamawan, dan tokoh-tokoh ilmuan pula hendaklah menyampaikan sesuatu perkara itu secara rasional dan bersederhana agar segala perkara baik tersebut dapat dijadikan ikutan bersama.
Masyarakat perlu bersama – sama dan menyokong pihak kerajaan dalam tindakan menguatkuasakan Kedaulatan Undang – Undang serta menggalakkan secara menyeluruh perpaduan antara kaum di dalam negara ini dengan mengambil tindakan segera dan tegas terhadap mana – mana pihak secara individu atau organisasi yang cuba mencetuskan sebarang bentuk tindakan proaktif yang menjerumus kepada konflik perpecahan kaum serta agama. Tindakan sedemikian mampu menjadi pemangkin negatif kepada keharmonian, keamanan dan perpaduan antara kaum yang telah dipupuk sejak dahulu. Setiap daripada kita hendaklah memuliakan tanpa mengambil kira perbezaan kebudayaan dan menghormati perbezaan agama tanpa mencetuskan konflik. Dengan wujudnya nilai sedemikian, kedamaian dan keamanan dapat terjamin sekaligus membuatkan kehidupan semua orang berada dalam keadaan selesa.