BAHAGIAN KESEMBILAN
Bagaimanakah Pandangan Tokoh-tokoh Islam Terdahulu Tentang Konsep Negara Islam dan Khilafah
Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul – Penganalisa Keganasan
Di kalangan tokoh-tokoh Islam sendiri mereka mempunyai pendapat yang berbeza-beza mengenai konsep negara Islam dan khilafah yang sebenarnya. Untuk tujuan buku ini, hanya pemikiran Yusof Al Qardhawi, Sayyid Qutb, Abu A’la Al Maududi dan Taqiyudin an Nabhani akan dibincangkan bagi menjelaskan bagaimana pola pemikiran dan konsep Negara Islam yang dicetuskan oleh golongan fundamentalis. Menurut Al Qaradhawi, walaupun di dalam Al Quran tidak ada nas-nas yang mewajibkan untuk mendirikan negara Islam tetapi berdasarkan doktrin Islam itu sendiri menuntut keharusan adanya sebuah daulah atau negara untuk berkembangnya ajaran-ajaran Islam. Ini adalah kerana daulah atau negara itu berfungsi untuk mendidik dan mentransformasi akidah, prinsip, pemikiran dan ajaran Islam ke dalam alam nyata.[i] Al Qaradhawi juga menekankan bahawa syariat merupakan undang-undang yang harus dijadikan rujukan dan perlaksanaan syariat ini dipertanggungjawabkan kepada negara yang mempunyai kekuasaan tertinggi. Al Qaradhawi menekankan bahawa keharusan untuk menjadikan Islam sebagai ideologi yang bersumberkan Al Quran dan hadis sebagai penyelesaian kepada kegawatan umat masa kini. Untuk membolehkan teori Islam dapat dipraktikkan maka sebuah negara perlu dibentuk dan institusi negara inilah yang akan bertugas untuk memelihara, menjaga dan melaksanakan hukum Allah S.W.T.[ii]
Al Maududi pula mempunyai perbezaan pendapat tentang konsep negara Islam di mana beliau dilihat amat tegas dan menentang konsep sekularisme yang terdapat dalam demokrasi yang diadaptasikan dari Barat. Maududi menolak apa yang dikatakan kedaulatan atau kuasa rakyat dan menekan bahawa sistem Islam adalah kedaulatan Tuhan dan kekhalifahan manusia. Menurut Maududi juga konsep negara Islam itu mengandungi tiga perkara asas iaitu tidak ada sesiapapun yang boleh menggugat kedaulatan Allah S.W.T sebagai Rabb (Pencipta) atau Malik (Raja), hak membuat undang-undang (hak tasyri) hanya ada pada Allah S.W.T sahaja kerana manusia adalah hamba dan yang ketiga, sesebuah negara Islam perlu didirikan berlandaskan hukum yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T.[iii] Pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah S.W.T ini tidak perlu ditaati dan sekiranya pemerintah ini mengabaikan hukum Allah S.W.T ini maka umat Islam tidak lagi terikat dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Berbeza dengan Al Qaradhawi di dalam soal ketaatan kepada pemerintah ini dapat dilihat di mana Qaradhawi menyatakan bahawa ketaatan kepada pemerintah di dukung selagi pemerintah menunjukkan ketaatan terhadap syariat dan ketaatan ini akan hilang apabila negara itu menyimpang dari manhaj dengan terang dan jelas.[iv]
Bagi Al Maududi, di dalam sebuah negara Islam tidak ada satu ruang pun untuk manusia mencipta undang-undang mereka kerana hak untuk membuat undang-undang adalah hak tasyri Allah S.W.T sedangkan satu-satunya hak manusia adalah patuh kepada undang-undang yang diaturkan oleh Allah S.W.T.[v] Perkara ini sangat ditekankan oleh Abu Bakar Ba’asyir (bekas Amir Majlis Mujahidin Indonesia (MMI) dan bekas Amir Darurat Al Jama’ah Al Islamiyah, Indonesia) semasa temu bual malah lebih jauh Ba’asyir turut melabelkan orang yang terlibat dalam pilihan raya iaitu pengundi dan orang yang di undi sebagai merampas hak tasyri Allah. Menurut Abu Bakar Ba’asyir, orang yang mengundi (pengundi) adalah orang yang akan memilih manusia (wakil rakyat di parlimen) yang akan menggubal undang-undang buatan manusia dan akan digunakan sebagai perundangan dalam sesebuah negara. Justeru, kesemua yang terlibat ini telah merampas hak Allah S.W.T sedangkan hanya Allah S.W.T sahaja yang berhak membuat undang-undang di atas muka bumi ini.[vi] Abu Bakar Ba’asyir dengan jelas merujuk kepada Maududi sebagai tokoh dan ikon dalam menegakkan Daulah Islamiyah. Al Maududi juga menekan bahawa konsep negara Islam tidak dibangunkan berdasarkan konsep bangsa, kebangsaan atau suku dan beliau menegaskan bahawa nasionalisme, sekularisme dan demokrasi adalah merupakan warisan Barat yang menyebabkan kegawatan umat Islam masa kini.[vii] Justeru, model negara Islam Al Maududi ini menyerupai konsep Khilafah Islamiyah yang kemudiannya dijadikan model oleh kebanyakan gerakan fundamentalis Islam di merata pelosok dunia.
Walau bagaimanapun, hasil penulisan, pola pemikiran dan pengaruh dari Sayyid Qutb adalah merupakan pemikiran yang paling berpengaruh dalam menerapkan gagasan dan konsep negara Islam di kalangan golongan fundamentalis. Ini adalah kerana gagasan Qutb tentang konsep jahiliyah (kekafiran), tauhid hakimiyah dan jihad dilihat paling berpengaruh dan menjadi ikutan oleh kelompok-kelompok fundamentalis di merata dunia. Di dalam bukunya, Maalim Fi al Thariq (Milestone/Petunjuk Jalan), Qutb telah membincangkan tentang konsep jahiliyah moden di mana umat Islam yang mengikuti sumber hukum, gagasan, budaya, peraturan dan tradisi yang tidak bersumberkan Al Quran menyebabkan mereka termasuk dalam golongan jahiliyah moden.[viii] Menurut Qutb, masyarakat yang mengaku Islam dikira masih termasuk dalam golongan jahiliyah kerana walau pun mereka mengakui keesaan Allah S.W.T tetapi masih membuat dan mentaati peraturan buatan manusia. Persoalannya bagaimana untuk melaksanakan hukum tuhan dalam suasana masyarakat yang jahiliyah seperti mana yang dimaksudkan oleh Qutb. Disinilah timbulnya konsep jihad untuk menegakkan Daulah Islamiyah di mana Qutb mentafsirkan jihad lebih radikal dari Maududi kerana hanya dengan jalan jihad sahaja yang akan dapat membebaskan manusia dari cengkaman undang-undang dan peraturan manusia dan akhirnya dapat menegakkan kerajaan tuhan di muka bumi ini.[ix]
Seorang lagi tokoh pemikir yang akan dibincangkan dalam buku ini dan dilihat berpengaruh di dalam konteks gerakan Islam fundamentalis adalah Taqiyudin An Nabhani yang berasal dari Palestin. Tokoh ini juga merupakan pengasas kepada gerakan Hizbut Tahrir dengan doktrin-doktrin yang sangat radikal mengenai penegakan Khilafah Islamiyahnya. Menurut Nabhani, Khilafah Islamiyah yang dibentuk akan menerapkan sistem muamalah, penegakan hukum hudud, pemeliharaan akhlak, mengisi penegakan hukum Islam dengan syiar dan ibadah serta mengatur semua urusan umat mengikut hukum Islam.[x] Di dalam konteks ini Nabhani menyatakan bahawa hanya ada dua ciri tentang Negara iaitu pertamanya Negara Islam (Darul Islam) di mana di dalam negara ini diterapkan hukum-hukum Islam dan perundangannya berdasarkan undang-undang Islam dan yang kedua Negara Kufur (Darul Kufur) iaitu sebuah negara yang di dalamnya menggunakan hukum kufur dan perundangannya menggunakan hukum selain dari Islam.[xi] Bagi Nabhani, apa jua ideologi yang dipraktikkan dalam sesebuah negara selain dari Islam maka ia dikira kufur.
Abu Bakar Ba’asyir sependapat dengan an Nabhani di dalam hal ini. Bagi Ba’asyir, salah satu perkara yang menyebabkan seseorang menjadi musyrik atau kufur adalah perbuatan mempertuhankan sesama manusia dengan mengamalkan demokrasi ciptaan orang kafir. Menurutnya lagi, ajaran demokrasi menetapkan bahawa kedaulatan membuat undang-undang untuk mengatur kehidupan berada penuh di tangan rakyat yang diwakili oleh wakil-wakilnya di dalam parlimen tanpa merujuk kepada syariat Allah S.W.T sedangkan di dalam Islam kedaulatan membuat undang-undang, menetapkan yang halal dan yang haram, menetapkan yang baik dan yang buruk hanya berada ditangan Allah S.W.T sahaja. Oleh itu, demokrasi adalah agama yang berdiri sendiri dengan pemegang kedaulatan adalah rakyat. Bagi Ba’asyir, jelas bahawa ajaran demokrasi ini bertentangan dengan Dienul Islam.[xii]
Bersambung…
[i] Al Qaradhawi:1997:29-49.
[ii] Al Qaradhawi:1985:76-82.
[iii] Al Maududi:1990:158-159.
[iv] Al Qaradhawi:1997: 94.
[v] Al Maududi:1990:94.
[vi] Temu bual dengan Abu Bakar Ba’asyir, Mac 2012, Jakarta.
[vii] Al Maududi:1976.
[viii] Sayyid Qutb:1980:103, Qutb:1990:5-10.
[ix] Sayyid Qutb:1980:146, Qutb:1990:101.
[x] Taqiyuddin an Nabhani, 2001:201.
[xi] Taqiyuddin an Nabhani, 2003:131
[xii] Hujah tentang hanya Allah S.W.T sahaja yang berhak membuat undang-undang ke atas manusia disandarkan melalui ayat-ayat As Syura; ayat 21, Surah Yunus; ayat 59, Surah An Nahl; ayat 116, Surah Al A’araf; ayat 54, Surah Al An’am; ayat 62, Surah Yusuf; ayat 40, Surah As Syura; ayat 10, Surah An Nisa; ayat 59 dan Surah Al Kahfi; ayat 26. Lihat Abu Bakar Ba’asyir, 2006, Catatan Dari Penjara; Untuk Mengamalkan dan Menegakkan Dienul Islam, di bawah tajuk Kemusyrikan Kerana Mempertuhankan Manusia dan Hukum Demokrasi, hlm 19 dan hlm 38.