BAHAGIAN KEENAM
Apakah Asas Kelahiran Sesebuah Gerakan Islam
Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul – Penganalisa Keganasan
Untuk memahami fenomena kelahiran sesebuah gerakan Islam ia memerlukan pemahaman terhadap sebab dan kondisi yang menjurus kepada kelahiran sesebuah gerakan tersebut di samping faktor-faktor sampingan yang mengiringi evolusi dan kewujudan mereka. Tidak semua gerakan Islam mempunyai ciri-ciri kekerasan atau radikal untuk mencapai matlamat perjuangan mereka. Ia perlu dilihat dari sudut serta konteks motif, penyebab dan situasi. Kemunculan sesebuah gerakan adalah berbeza mengikut situasi sesuatu tempat/negara malah berbeza di antara satu gerakan dengan gerakan yang lain. Setiap gerakan Islam mempunyai pandangan serta pendapat yang berbeza tentang amalan demokrasi dan penyertaan dalam amalan politik sesebuah negara.
Sebagai contoh, perjuangan Ikhwanul Muslimin (IM) yang sering menjadi rujukan oleh kebanyakan gerakan Islam di merata pelosok dunia juga mempunyai interpretasi yang berbeza dalam konteks penyertaan dalam proses demokrasi dan penentangan terhadap pemerintah. IM di Mesir dan Jordan tidak melancarkan penentangan bersenjata terhadap pemerintah tetapi IM di Syria bersikap sebaliknya. Situasi politik dan kondisi budaya serta masyarakat di ketiga-tiga negara tersebut adalah berbeza. Pemerintah Mesir dan Jordan memberi sedikit kebebasan kepada IM untuk beroperasi lalu mereka menjadi satu gerakan politik yang turut sama menyertai proses untuk mendapatkan kuasa sedangkan dalam situasi di Syria, IM ditekan dan ditindas tanpa henti sejak Hafez Al Assad mengambil alih kuasa pada tahun 1970. Justeru, penentangan bersenjata adalah pilihan oleh IM di Syria.[i] Perkara ini akan menjelaskan bagaimana sesebuah gerakan Islam itu melihat kewujudan mereka dalam konteks sistem politik sesebuah negara dan bagaimana mereka mengadaptasikan kewujudan mereka dalam mencapai matlamat dan objektif perjuangan.
Gerakan Islam yang lahir baik di dunia Arab atau tempat lain di merata dunia ini adalah hasil dari gabungan pelbagai faktor luaran dan dalaman yang bergabung membentuk serta mencorakkan dunia Islam kontemporari. Kelahiran banyak negara Islam selepas Perang Dunia I yang ditadbir oleh pemerintahan kolonial dan kejatuhan Khalifah Uthmaniyah pada tahun 1924 adalah contoh faktor-faktor luaran yang mencorakkan gerakan Islam masa kini. Pemerintahan kolonial ini yang mendominasi nilai-nilai Barat bagi menggantikan nilai-nilai Islam lalu menyebabkan krisis moral berlaku dalam dunia Islam. Faktor ini diperkuatkan lagi dengan kelahiran tokoh-tokoh intelektual Islam yang turut menyumbang kepada kelahiran gerakan-gerakan Islam di merata pelosok dunia.
Tokoh-tokoh seperti Sayyid Qutb, Sayyid Hawwa, Hassan Al Banna, Al Maududi dan An Nabhani menekankan bahawa pentingnya menegakkan sebuah negara Islam sebagai satu obligasi keagamaan yang mesti dipatuhi. Tokoh-tokoh ini melihat bahawa penegakan sebuah negara Islam adalah sangat penting bagi menjamin kehidupan sebagai umat Islam dan kejatuhan negara Islam adalah merupakan kemusnahan kepada sistem dan kehidupan masyarakat Islam.[ii] Sementara itu faktor dalaman yang menjadi penyumbang kepada kelahiran gerakan Islam adalah kelahiran negara bangsa (nation state) sebagai alternatif kepada perpaduan umat Islam yang komprehensif. Fenomena negara bangsa ini lahir dari perjuangan yang dilakukan oleh pelbagai kumpulan yang menentang kolonialisme yang akhirnya memberikan mereka kebebasan atau kemerdekaan.
Hampir semua negara bangsa yang lahir dari perjuangan sebegini, tidak menerapkan pemerintahan negara yang bercirikan Islam sebaliknya mengadaptasikan pemerintahan secara sekular atau liberal. Justeru, situasi dan kondisi di dalam sesebuah negara tersebut mencetuskan konflik serta pertentangan walaupun ada beberapa peruntukan undang-undang atau sebahagian dari aspek, pengajaran dan nilai Islam diguna serta dipraktikkan sebagai menunjukkan legitimasi dan kewujudan sesebuah negara tersebut. Selain dari itu gerakan Islam menjadi subur dalam konteks sesebuah negara yang telah merdeka dari pemerintahan kolonialisme disebabkan faktor ketidakpuasan hati serta pertentangan pendapat yang akhirnya menyebabkan satu pihak ditekan oleh satu pihak yang lain. Jika dinilai rejim pemerintahan di kebanyakan negara yang ada sekarang, pemerintah memperuntukkan ruang berpolitik serta kebebasan bersuara yang amat terhad malah ada rejim yang bersifat kejam dan autokratik terhadap lawan politik mereka lalu menjurus kepada kelahiran gerakan-gerakan Islam dalam konteks tempatan.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan mengapa lahirnya gerakan Islam yang berorientasikan radikal dewasa ini. Antara faktor-faktor yang dapat dikesan adalah terdapatnya perbezaan pendapat, sikap politik terhadap pemerintah, faktor modernisasi dan globalisasi yang dilihat telah menggugat nilai-nilai agama, proses perlaksanaan beragama, faktor ketidakpuasan hati terhadap kondisi-kondisi ekonomi, sosial dan kedudukan dalam berpolitik dan faktor yang terakhir adalah kebanyakan umat Islam melihat bahawa sifat dan nilai-nilai dari ajaran Islam itu bersifat rigid dan literal.[iii] Justeru, gerakan pembaharuan (tajdid) yang di pelopori oleh golongan ulama sering mendapat sambutan terutamanya dari golongan pertengahan, bawahan serta golongan-golongan mahasiswa yang merasakan diri mereka terpinggir dan golongan ini merasakan diri mereka bertangungjawab dan komited untuk melaksanakan perubahan.
Jurgensmeyer pula berpendapat, disebabkan ciri-ciri yang dimiliki oleh agama itu sendiri serta kewujudan dan kedudukan agama itulah yang mencetuskan situasi-situasi yang membenarkan kekerasan mahupun ekstremisme yang mengarah kepada pembenaran kepada kekerasan. Ketika pertentangan atau konflik ini terjadi maka akan berlakulah perkara-perkara yang disimpulkan sebagai perjuangan dan diertikan sebagai satu pembelaan terhadap identiti dan kemuliaan yang utama. Semakin keras perjuangan itu maka ia dilihat semakin suci dan mulia.[iv] Perjuangan yang tidak kesampaian atau tidak menampakkan kemenangan dalam dunia realiti tapi ia dilihat sebagai kemenangan di tangan tuhan. Justeru, Jurgensmeyer, merumuskan bahawa perjuangan oleh golongan agama di dunia ini diterjemahkan dalam bentuk perang jihad yang seterusnya melahirkan ciri-ciri pemahaman radikal dalam agama.[v]
Di dalam usaha untuk mengubah struktur sosial dan politik secara drastik dan ekstrem, kaedah yang amat popular adalah menggunakan elemen-elemen kekerasan kerana ia dilihat sebagai satu kaedah yang berkesan untuk menyedarkan sesuatu bangsa dalam sejarah peradaban manusia. Dalam konteks ini, dapat dilihat bahawa radikalisme adalah merupakan respon mereka terhadap kondisi umat Islam dan agama yang sedang berlaku dalam suasana kontemporari. Respon ini muncul dalam bentuk pertentangan terhadap nilai-nilai dan praktik yang diamalkan. Pertentangan ini tidak terhenti setakat itu malah ada sesetengah kumpulan melihat bahawa mereka mempunyai satu alternatif untuk menggantikan sistem yang ada kerana mereka mempunyai pandangan yang tersendiri tentang bagaimana kehidupan bernegara itu sepatutnya dilaksanakan. Pelbagai kumpulan seperti Daesh, Jamaah Takfir Wa al Hijrah, Jamaah Islamiyah, Daulah Islamiyah, MMI, JAD, JAD, Jamaah Jihad dan Boko Haram, juga merasa yakin terhadap kebenaran yang akan mereka bawa dan bersandarkan keyakinan ini menyebabkan mereka menafikan sistem pemerintahan yang ada. Di dalam teori gerakan sosial, keyakinan tentang sesuatu kebenaran atau filosofi sering digabungkan dengan kaedah-kaedah untuk mencapainya dengan menggunakan nilai-nilai ideal seperti kemanusiaan dan kemasyarakatan tetapi disebabkan terlalu kuatnya keyakinan ini mengakibatkan lahirnya sikap emosional yang akhirnya menjurus kepada elemen kekerasan.[vi]
Bersambung…
[i] Untuk memahami situasi IM di ketiga-tiga negara ini lihat Fondren, Billy, 2009, The Muslim Brotherhood in Egypt, Jordan and Syria; A Comparison, Naval Post Graduate School, Monterey, Calirfornia, hlm 71-75.
[ii] Keterangan lanjut lihat Sayid Qutb, 1990, Milestone (Ma’alim fi al Tariq), English Trans, Indianapolis: American Trust Publication, hlm 15-17, 45-50, 66-67, 101,103.
[iii] Prof Dr Mohd Kamal Hassan (bekas Rektor UIAM) telah membincangkan kesan-kesan negatif akibat dari proses globalisasi secara jelas bahawa globalisasi bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keagamaan malah ia turut memberi kesan-kesan dalam bidang ekonomi, sosial, kemanusiaan, alam sekitar, kemiskinan, komunikasi, teknologi, hiburan, pendidikan dan juga jenayah. Lihat M.Kamal Hassan, 2011, Voice of Islamic Moderation From The Malay World, EMIR Malaysia, hlm 77-81. Untuk memahami dengan lebih jelas tentang penyebab kelahiran golongan fundamentalis atau radikal, lihat Yusril Ihra Mahendra, 1996, Fundamentalisme, Faktor dan Masa Depannya dalam M Wahyu Nafis; Rekontruksi dan Renungan Religus Islam; Jakarta: Paramadina, hlm 97-98.
[iv] Juergensmeyer, Mark, 2000, Terrorism in the Mind of God: The Global Rise of Religious Violence. Berkeley, CA: University of California Press, hlm 214.
[v] Juergensmeyer, Mark, 2000, hlm 216 -217.
[vi] Temu bual dengan Prof Dr Bahtiar Effendy, Dekan FISIP, UIN pada Mac 2012 di Ciputat, Jakarta. , Lihat juga Khamani Zada, 2002, Islam Radikal Pergulatan Ormas-ormas Islam Garis Keras di Indonesia, Bandung, Teraju, hlm 16-17.