BAHAGIAN KEEMPAT
Sejarah Kemunculan Golongan Fundamentalis
Artikel ini diterbitkan untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul – Penganalisa Keganasan
Di dalam sejarah gerakan Islam, gerakan fundamentalis mula mendapat momentum sekitar abad ke 20 dan dipelopori oleh tiga gerakan utama iaitu Salafi Wahabi dan Ikhwanul Muslimin yang mewakili kelompok Sunni dan Revolusi Syiah yang merupakan representasi dari kelompok Syiah. Ikhwanul Muslimin diasaskan oleh Hassan al-Banna (1906-1949) pada tahun 1928 di Mesir. Gerakan ini bermula sebagai satu gerakan “pembersihan diri” tetapi kemudiannya berkembang sepenuhnya menjadi gerakan sosial dan politik yang melibatkan diri dalam parti politik, persatuan buruh, demonstrasi, membina dan memiliki sekolah agama, hospital, bank, kebajikan masyarakat dan penerbitan akhbar. Tokoh yang tidak dapat dinafikan sangat penting dan berpengaruh yang kemudiannya mengambil alih pimpinan Ikhwanul Muslimin adalah Sayyid Qutb (1906-1966) yang telah mempopularkan seruan untuk berjihad terhadap pemerintah negara-negara Islam yang rasuah dan tidak Islamik.
Sebelum tahun 1980an, Ikhwan Muslimin tidak terlibat dalam aktviti-aktiviti untuk mengubah doktrin dan ajaran Islam dan lebih menumpukan kepada aspek-aspek spiritual sahaja walaupun mereka dilihat sebagai kelompok fundamentalis (malah mereka melalui jaringan antarabangsa di negara-negara seperti Sudan mampu menjadi pemerintah negara) tetapi di era selepas 1980an, Ikhwan Muslimin mula diresapi oleh elemen-elemen salafi wahabi dan kebanyakan pengikut Ikhwan mula menerapkan doktrin salafi wahabi. Sejak tahun 1990an, doktrin salafi wahabi ini semakin ketara dalam gerakan Ikhwan walaupun tidak secara rasmi dan ia di pelopori oleh barisan kepimpinan generasi kedua dan ketiga. Fenomena ini boleh diperlihatkan melalui tindakan Abdullah Azzam, seorang pengikut Ikhwan yang menyebarkan fahaman salafi wahabi semasa beliau di Afghanisan sekitar tahun 1984-1999. Revolusi Syiah pula adalah berkisar kepada doktrin Ayatollah Khomeini bertajuk Vilayet i-faqih yang diterbitkan pada awal tahun 1960an. Doktrin ini berasaskan bahawa hanya ulama-ulama syiah sahaja yang layak dipatuhi dan layak memerintah. Kejayaan Ayatollah Khomeni merampas kuasa pada tahun 1979 dan menubuhkan Republik Islam Iran menjadikan doktrin ini berjaya dan fundamentalis syiah bermula. [i]
Menurut Hamid Enayat, golongan fundamentalis radikal mempunyai ciri-ciri yang jelas. Pertamanya, golongan fundamentalis radikal memegang ideologi anti Barat dan anti globalisasi. Aliran pemikiran sebegini sememangnya diterapkan kepada pengikut-pengikut mereka seolah-olah apa saja simbol dari Barat akan merosakkan umat Islam dan ia mesti dihapuskan dalam rangka untuk menegakkan syariat Islam. Ciri kedua yang dikongsi bersama oleh golongan fundamentalis radikal ini adalah penentangan terhadap budaya-budaya dari Barat khususnya sekularisme dan demokrasi. Golongan fundamentalis sebenarnya cuba melepaskan diri dari perangkap-perangkap budaya yang dilihat tidak sesuai dengan budaya yang diamalkan oleh mereka. Mereka melihat sekularisme dan demokrasi sebagai satu usaha dominasi dari Barat terhadap budaya umat Islam. Justeru, ia mesti ditentang dan dihapuskan. Golongan fundamentalis juga ingin kembali menegakkan sistem pemerintahan Khilafah seperti di zaman para sahabat dengan mengambil contoh apa yang berlaku di zaman tradisi Islam yang dicontohkan oleh Nabi S.A.W dan para sahabatnya. Sistem Khilafah tersebut merupakan ijma’ para sahabat yang tidak dapat dihapuskan begitu saja oleh generasi-generasi sesudahnya.
Di samping itu golongan fundamentalis pada umumnya cenderung bersikap negatif dan pesimistik terhadap masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai bentuk dan ragam seperti budaya, suku kaum, etnik, bahasa dan agama. Perbezaan norma dan cara dalam mengamalkan agama ini seolah-olah tidak diterima oleh golongan fundamentalis. Bagi mereka masyarakat Islam itu adalah masyarakat yang benar-benar melaksanakan tuntunan doktrin agama secara total kerana ia bersifat hakimiyah. Masyarakat yang tidak bercorak demikian tergolong sebagai masyarakat jahiliah. Selain itu, kaum fundamentalis cenderung untuk bersikap keras dan enggan untuk berkompromi dengan kelompok-kelompok yang berbeza pendapat dengan mereka. Namun dalam aspek yang lain golongan fundamentalis menunjukkan minat yang tinggi dalam mengamalkan ajaran Islam secara sempurna dan menginginkan membangun kembali sebuah masyarakat seperti pada zaman Nabi dan sahabatnya yang dianggap sebagai model masyarakat yang ideal. Oleh kerana itu golongan fundamentalis sentiasa mempopularkan slogan jihad untuk menegakkan hukum Allah dan cuba menciptakan masyarakat berpandukan Al Quran.[ii]
Golongan fundamentalis juga ingin kembali menegakkan sistem pemerintahan khilafah seperti di zaman para sahabat dengan mengambil contoh apa yang berlaku di zaman tradisi Islam yang dicontohkan oleh Nabi S.A.W dan para sahabatnya. Menurut mereka, sistem khilafah tersebut merupakan ijma’ para sahabat yang tidak dapat dihapuskan begitu saja oleh generasi-generasi sesudahnya. Di samping itu golongan fundamentalis pada umumnya cenderung bersikap negatif dan pesimistik terhadap masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai bentuk dan ragam seperti budaya, suku kaum, etnik, bahasa dan agama. Perbezaan norma dan cara dalam mengamalkan agama ini seolah-olah tidak diterima oleh golongan fundamentalis. Bagi mereka masyarakat Islam itu adalah masyarakat yang benar-benar melaksanakan tuntunan doktrin agama secara total kerana ia bersifat hakimiyah. Masyarakat yang tidak bercorak demikian tergolong sebagai masyarakat jahiliah. Selain itu, kaum fundamentalis cenderung untuk bersikap keras dan enggan untuk berkompromi dengan kelompok-kelompok yang berbeza pendapat dengan mereka.[iii]
Van Bruinessen sendiri mengakui bahawa istilah fundamentalis itu sangat ‘problematic’. Ia boleh diperlihat dengan menganalisa situasi di kedua negara Islam iaitu Arab Saudi dan Iran. Rejim di Saudi adalah dikira sebagai fundamentalis kerana kepatuhan dan interpretasi Islam yang murni terhadap fahaman wahabi. Rejim ini bagaimana pun turut dicabar semasa pendudukan Masjidil Haram pada tahun 1979 oleh kumpulan Juhaiman al Utaybah yang juga boleh dilabelkan sebagai kumpulan fundamentalis. Begitu juga situasi di Iran pasca revolusi, di mana kumpulan pembangkang yang dikenali sebagai Mujahidin-i-Khalq turut menyatakan bahawa mereka adalah kumpulan yang memperjuangkan politik Islam. Sedangkan, kedua-dua kumpulan (Khomeini dan Mujahidin-i-Khalq) ini mengaku bahawa mereka adalah fundamentalis. Dalam analisanya, Bruinessen melihat istilah fundamentalis dari dua pendekatan iaitu pendekatan sosiologi dan teologi. Melalui pendekatan sosiologi, fundamentalis biasanya dianalisa sebagai reaksi kepada penentangan terhadap modernisasi. Pendekatan teologi pula melihat fundamentalis dikhususkan kepada gerakan pemurnian akidah yang merujuk kepada tokoh wahabi iaitu Ibnu Taimiyah dan pengkagumnya Muhamad bin Abd Wahab. Lanjutan dari itu, fundamentalis adalah golongan yang ingin menegakkan perundangan syariah mengatasi undang-undang buatan manusia.[iv] Sebagai kesimpulannya, penulis ingin memetik pendapat Martin Kramer yang menyatakan bahawa tidak ada konsensus tentang istilah yang tepat sama ada fundamentalis, politikal Islam mahupun Islamisme untuk menerangkan fenomena dan senario gerakan Islam kontemporari. Ianya bergantung kepada apa yang Barat mahu dan apa tindakan umat Islam dalam suasana global hari ini.[v]
Bersambung…
[i] Keterangan lanjut lihat Viscenzo:2002: 15.
[ii] Keterangan lanjut lihatHamid Enayat, 1982, Modern Islamic Political Thought, Austin: University of Texas, hlm 84.
[iii] Lihat A.M Waskito:2012 :377.
[iv] Keterangan lanjut lihat Martin van Bruinessen, 1995, Muslim Fundamentalism: Something to be Understood or to be Explained Away?, Islam and Muslim Christian Relations, Vol 6, No 2, hlm 158-161.
[v] Kramer, Martin, 2003, Coming to Terms: Fundamentalist or Islamist?, Middle Eastern Quarterly, Spring 2003, hlm 75.