GISBH: ADAKAH SATU ORGANISASI GENGSTERISME AGAMA YANG BOLEH MEMBERI ANCAMAN KEPADA BANGSA, AGAMA DAN NEGARA

ARTIKEL


"GISBH: ADAKAH SATU ORGANISASI GENGSTERISME AGAMA YANG
BOLEH MEMBERI ANCAMAN KEPADA BANGSA, AGAMA DAN NEGARA"

PENDAHULUAN

Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) telah diasaskan sekitar tahun 2008 bagi menggantikan Rufaqa Corporation, yang ditubuhkan pada tahun 1997 untuk mengambil alih kepentingan perniagaan Darul Al-Arqam. Darul Al-Arqam telah diharamkan oleh Kerajaan Malaysia pada 1994 kerana didapati menyeleweng dari ajaran Islam.

GISBH telah melebarkan sayap perniagaannya secara transnasional hingga ke Haramayn iaitu pusat ibadat Islam di Arab Saudi. GISBH secara khususnya telah dipimpin oleh seorang wanita, Hatijah Aam yang merupakan salah seorang isteri kepada Ashaari Muhammad.

Pada Ogos 2024, dilaporkan bahawa organisasi GISBH ini telah mempunyai aset yang bernilai hampir kira-kira RM 325 juta dengan mempunyai 415 cawangan perniagaan di 20 buah negara termasuk United Kingdom, Australia, Emiriah Arab Bersatu, Perancis dan lain-lain negara lagi.

Antara aset berharga yang dimiliki oleh organisasi GISBH ini adalah seperti restoran, kedai bakeri dan kedai serbaneka di London, Paris, Istanbul, Dubai dan Mekah serta sebuah hotel di Turki dan Sarajevo.

Terdapat 25 buah anak syarikat yang berada di bawah pentadbiran organisasi GISBH ini. Kesemua 25 buah syarikat itu adalah seperti berikut:

  1. GISB Mart Sdn Bhd
  2. GISB Bakery, Restaurant & Catering Sdn Bhd
  3. GISB Industries Sdn Bhd
  4. GISB Distributor Sdn Bhd
  5. GISB Medicare Sdn Bhd
  6. GISB Event Management Sdn Bhd
  7. GISB Consultancy and Services Sdn Bhd
  8. GISB Travel & Tours Sdn Bhd
  9. GISB Hi Tech Sdn Bhd
  10. GISB Maritime Sdn Bhd
  11. GISBH Berbahagia Sdn Bhd
  12. Ikhwan Biotechnology Sdn Bhd
  13. Ikhwan TV Network Sdn Bhd
  14. GISB Academy Sdn Bhd
  15. GISB Security Services Sdn Bhd
  16. Permodalan Berjiwa Sdn Bhd
  17. GISB Aeilah Mart Sdn Bhd
  18. GISB Poultry Sdn Bhd
  19. Ikhwan Meat & Chicken Supplies Sdn Bhd
  20. Ikhwan Fateh Poultry Sdn Bhd
  21. Ikhwan Hatchery Sdn Bhd
  22. Ikhwan Perkasa Genetik Sdn Bhd
  23. Fateh Biotech Sdn Bhd
  24. Ikhwan Travel Marketing & Services Sdn Bhd
  25. GISB Properties & Development Sdn Bhd

Kini struktur pentadbiran dan organisasi GISBH telah diterajui oleh Datuk Haji Nasiruddin Mohd Ali selaku Pengerusi Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd. Nasiruddin turut dibantu oleh beberapa barisan tertinggi pentadbiran GISBH seperti Hasnan Abd Hamid, Muhammad Adib Attamimi Asaari, Mohd Fadhil Yassin, Ahmad Anuar Abdul Rahman, Nik Hazani Nik Muhammad, Azura Md Yusof, Roqaiyah Zakaria dan Ummu Mubarakah Attamimi Asaari.

SEJARAH KUMPULAN AL-ARQAM

Ashaari Muhammad @ Abuya

Menurut portal rasmi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), al-Arqam telah diasaskan pada 1968 oleh Ashaari Muhammad @ Abuya dan beberapa orang sahabat yang pada mulanya dikenali sebagai “Kumpulan Rumah Putih” di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Tujuan penubuhan kumpulan ini adalah untuk menyedarkan kepada umat Islam khusus di Malaysia agar lebih menghayati makna Islam. Namun beberapa tahun kemudian, kumpulan ini telah menukar identiti nama gerakan mereka kepada Darul Arqam.

Khabar angin tersebar secara meluas beberapa tahun selepas itu mengenai amalan Aurad Muhammadiah yang telah diamalkan oleh Ashaari Muhammad dan pengikutnya. Isu tersebut telah mengundang kepada beberapa siri pengisytiharan keluar dari jemaah tersebut oleh beberapa orang kanan Darul Arqam serta pemecatan beberapa individu yang berpengaruh dalam kumpulan tersebut.

Perkampungan Al-Arqam

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah bertindak memanggil Ashaari untuk memberikan penjelasan berkaitan isu tersebut dan beberapa perkara mengenai Aurad Muhammadiah. Menerusi pengakuan yang diberikan oleh Ashaari, beliau menafikan menyebarkan Aurad Muhammadiah di dalam Darul Arqam namun begitu tidak menafikan mengamalkan amalan tersebut.

Selain daripada itu, Ashaari Muhammad turut mengeluarkan satu kenyataan kontroversi memberitahu bahawa individu yang bertanggungjawab membawa Aurad Muhammadiah ialah Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi. Individu tersebut telah meninggal dunia pada tahun 1925. Menurut Ashaari, Syeikh Muhammad bakal hidup semula sebagai Imam Mahdi pada akhir zaman kelak.

Buku Terbitan Ashaari

Ekoran daripada isu-isu yang melanda Ashaari dan kumpulannya itu, jawatankuasa fatwa negeri-negeri telah sebulat suara untuk memutuskan bahawa fahaman Aurad Muhammadiah yang menjadi pegangan utama kumpulan Darul Arqam adalah bertentangan dengan syariat dan akidah Islam. Fahaman Aurad Muhammadiah turut diterjemahkan di dalam dua buah buku terbitan Ashaari dan Mohamad Taha as-Suhaimi iaitu “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi”. Buku-buku ini telah diharamkan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana terdapat ajaran-ajaran dan fahaman yang menyeleweng dari ajaran Islam serta dibimbangi mampu menyesatkan dan mengelirukan umat Islam khususnya di Malaysia.

Ashaari dan beberapa orang pemimpin kumpulan Darul Arqam telah ditahan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2 September 1994. Beliau akhirnya dibebaskan dari tahanan namun masih terikat dengan perintah kediaman. Ashaari dilaporkan meninggal dunia pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru.

CONTOH AJARAN-AJARAN SESAT DI MALAYSIA

Ajaran sesat didefinisikan sebagai ajaran atau amalan yang bawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam. Hakikatnya ajaran tersebut bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu Al-Quran, As-Sunnah, ­ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Antara ajaran-ajaran sesat yang telah difatwakan haram oleh Malaysia adalah seperti berikut:

a. Kerajaan Langit – Ajaran sesat ini diperkenalkan pada pertengahan tahun  1980 dan diketuai oleh seorang rakyat Malaysia iaitu Arifin Mohammed atau lebih   dikenali dengan Ayah Pin di kalangan pengikutnya. Ayah Pin mendakwa dirinya sebagai Tuhan dan mampu menjelma sebagai Jesus, Buddha, Shiva malah sebagai Nabi    Muhammad SAW. Ayah Pin turut mendakwa dirinya mempunyai kuasa menyembuh    bagi segala penyakit dan turut mendakwa bahawa Mekah, Kaabah dan Air Zam-Zam adalah miliknya dan dibina setelah mendapat wahyu dari langit. Ajaran Ayah Pin atau Kerajaan Langit ini telah diharamkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 2005.

b. Taslim – Taslim atau turut dikenali sebagai ajaran Matahari adalah ajaran sesat tertua yang wujud sekitar tahun 1870 dan terletak di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada tahun 1872, seorang individu bernama Haji Muhammed Shayfie   telah berpindah ke Kampung Seronok dan telah menggelarkan dirinya sebagai Taslim iaitu pengasas ajaran Matahari. Ajaran Matahari itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kenyataannya yang pernah dibuat di hadapan mufti Kedah ketika ditanya mengenai tuhan lalu dia menunjuk jarinya ke arah matahari. Ada yang mengatakan bahawa pengikutnya tertarik dengan ajaran itu disebabkan amalannya yang mudah  seperti tidak perlu sembahyang kerana Allah berada dalam tubuh badan apabila  mengucap.

c. Ajaran Millah Ibrahim@Abraham – Millah Ibrahim@Abraham telah    ditubuhkan oleh Ahmad Musadiq dari Indonesia yang mana beliau pernah membawa  ajaran sesat Al-Qiyadah pada tahun 2007. Millah Ibrahim@Abraham merupakan  sebuah komuniti ajaran sesat dari Bogor, Indonesia. Penubuhannya melibatkan sebahagian Kalimantan khususnya di Pontianak, Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, ajaran sesat ini dipercayai dianggotai seramai  4,000 hingga 6,000 orang pengikut. Ajaran sesat Millah Ibrahim@Abraham berpegang   kepada jihad perang sebagai panduan dalam mewujudkan Daulah Islamiyah atau Negara Islam di Borneo. Ajaran sesat ini turut mencampur-adukkan ajaran Islam, Nasrani dan Yahudi. Mereka turut menganggap orang lain yang belum berbaiah sebagai  kafir. Dalam ajarannya, pengikut hanya perlu melakukan solat malam, tanpa solat lima waktu. Ajaran sesat Millah Ibrahim@Abraham turut menyatakan agama Islam yang  ada masa kini tidak lagi asli kerana Islam yang sebenarnya telah lama terhapus akibat  serangan Moghul ke atas kerajaan Abbasiyah pada abad ke 10 dan 11. Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 19 Nov 14 telah  mengambil keputusan bahawa ajaran Millah Ibrahim@Abraham adalah sesat dan  menyeleweng daripada akidah Islam.

KRONOLOGI PEMBONGKARAN KES GISBH

Podcast selebriti tempatan, Caprice

21 Feb 24, bekas ahli pengikut gerakan atau kumpulan ajaran sesat bermotifkan agama telah tampil membuat satu pendedahan eksklusif menceritakan segala kesesatan dan kezaliman yang pernah dilalui oleh dirinya serta keluarga semasa bergelar sebagai seorang pengikut dalam gerakan tersebut. Pendedahan eksklusif ini telah diceritakan menerusi satu podcast selebriti tempatan, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli.

Sekitar Jul 24, terdapat pengkaji dari Majlis Agama Islam Negeri mengemukakan beberapa bukti penyelewengan dan kesesatan di dalam pengurusan pihak GISBH kepada Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza). Dr Maza diberitahu oleh pengkaji tersebut bahawa GISBH didakwa masih mengamalkan beberapa ajaran dan ideologi kumpulan al-Aqram yang diharamkan pada tahun 1994 atas kesalahan ajaran sesat.

16 Ogos 24, Dr Maza kelihatan sangat konsisten dalam mendedahkan dapatan kajian serta aduan mangsa-mangsa kumpulan GISBH menerusi beberapa siri ceramah yang dilaksanakan oleh Dr Maza. Menurut Dr Maza, kumpulan yang didakwa terlibat dalam isu ini dilabelkannya sebagai gengsterisme agama. Dalam masa yang sama, Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia, turut sama mula mendedahkan segala kegiatan sesat GISBH menerusi platform media sosial di Facebook dan TikTok. PUKAS telah memuat naik semula video-video lama aktiviti yang berkait dengan GISBH. Selain itu, terdapat satu akaun Facebook iaitu Pseudoscience Watch (PW) bertindak membongkar isu yang sedang tular ini namun lebih kepada sudut jenayah terhadap kemanusiaan yang melibatkan kanak-kanak.

29 Ogos 24, pihak tertinggi pengurusan GISBH di dalam satu kenyataan media telah menyuarakan tuntutan permohonan maaf daripada Dr Maza, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Muhd Adnan dan Ustaz Daud Lin Abdullah di atas dakwaan penyebaran fitnah, kebencian serta tohmahan ke atas GISBH.

4 Sep 24, Mokhtar Tajuddin selaku Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISBH telah tampil untuk memberikan dan menjelaskan segala dakwaan dan spekulasi yang sedang panas melanda GISBH di platform podcast milik Caprice. Dalam podcast tersebut, Tajuddin juga telah menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar.

7 Sep 24, Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) serta Penasihat Khas kepada Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil iaitu En Farhan Zulkefly dan Dr Abu Hafiz Salleh Hudin telah dihubungi agar isu yang sedang melanda ini dapat ditangani secara telus dan serius oleh pihak kementerian. Bertindak di atas arahan, Farhan dan Dr Abu Hafiz kemudiannya menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar siasatan lebih lanjut dapat dilaksanakan berhubung isu GISBH ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengesahkan berkaitan pertemuan tersebut dan menggesa wakil pihak GISBH untuk berdiskusi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung dengan isu yang dikaitkan dengan GISBH.

11 Sep 24, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan satu operasi dengan menyerbu hampir 20 buah rumah amal yang dipercayai dimiliki oleh GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Hasil daripada operasi yang dikenali sebagai Ops Global ini, seramai 402 kanak-kanak telah berjaya diselamatkan. PDRM bersama-sama agensi berkaitan telah melaksanakan proses dokumentasi kanak-kanak yang diselamatkan di Pulapol Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama, seorang wanita berusia 19 tahun telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan penderaan fizikal ke atas empat kanak-kanak lingkungan usia 5 tahun hingga 6 tahun. Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pusat asuhan di Seremban yang dikaitkan dengan GISBH.

13 Sep 24, Tan Sri Razarudin Husain selaku Ketua Polis Negara (KPN) telah mengadakan sidang media berhubung kes ini dan turut mendedahkan bahawa sejumlah 41 laporan polis berkaitan GISBH telah diterima sejak tahun 2011 hingga September tahun ini. Menurut KPN, seramai 159 individu daripada 171 yang ditahan mendapat kebenaran perintah reman manakala mereka yang dibawah umur tiada keperluan untuk disiasat. PDRM turut mengesahkan seramai 483 individu telah dirakam percakapan serta diambil kenyataan terdiri daripada mangsa, pengadu, saksi dan suspek. Seramai 384 orang kanak-kanak dan remaja telah selesai menjalani saringan kesihatan. Berdasarkan pada hasil saringan tersebut, didapati wujud ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan terhadap mangsa-mangsa yang terlibat.

17 Sep 24, KPN telah mengesahkan sebanyak 96 akaun bank milik GISBH telah dibekukan dan empat akaun ditutup dipercayai mempunyai nilai aset lebih RM581,000. Kesemua mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global selesai menjalani saringan kesihatan dan terdapat elemen jenayah fizikal serta emosi dikesan melalui keputusan saringan tersebut. PDRM telah mengeluarkan tiga kertas siasatan berhubung Op Global dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Dalam pada itu, terdapat seorang ahli perniagaan yang juga merupakan anggota GISBH iaitu Mohamad Riza Makar, 39 tahun, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan melakukan jenayah berunsur ugutan terhadap seorang wanita. Pertuduhan dibicarakan di Mahkamah Majistret Putrajaya.

19 Sep 24, 19 individu terdiri daripada pemimpin, isteri dan pengurusan tertinggi GISBH telah ditahan oleh PDRM dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Selain itu, tiga pembantu pengajar di sebuah madrasah yang terletak di Kuala Pilah, dipercayai terdapat hubung kait dengan GISBH telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban. Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah di atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada tahun 2022 dan 2023. Sehari selepas itu, tujuh individu lagi telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan orang. Kesemua mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH. Antara individu yang ditahan termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam yang juga merupakan anggota kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH.

21 Sep 24, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah. Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza), fatwa berkenaan dikeluarkan selepas menerima bukti yang meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat. Ujar Dr Maza, unsur ajaran batiniah berkenaan juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sesat.

23 Sep 24, pasukan PDRM mendapati bahawa terdapat ahli GISBH yang masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah, iaitu fahaman yang dibawa oleh pengikut kumpulan ajaran sesat al-Arqam. Laporan ini diperkuatkan lagi susulan dengan penemuan buku-buku dan risalah di premis milik GISBH menerusi Op Global yang dilaksanakan oleh PDRM dan agensi-agensi terlibat.

PANDANGAN DAN KRITIKAN

Berhubung dengan isu penindasan, eksploitasi kanak-kanak, penyelewengan ajaran agama serta kes liwat yang dikaitkan dengan organisasi ini telah mendapat reaksi dari pelbagai pihak. Isu yang tercetus ini merupakan satu isu yang amat serius dan memerlukan siasatan secara terperinci oleh pihak yang bertanggungjawab kerana ianya dilihat melibatkan agama serta nilai sosial seseorang individu itu. Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa pandangan dan kritikan yang telah dilemparkan berkaitan isu ini.

17 Sep 24, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah menitahkan agar PDRM menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan dengan isu jenayah dan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang dikatakan mempunyai kaitan dengan rumah amal di bawah GISBH. Baginda turut bertitah mengingatkan kepada semua bahawa perkara yang melibatkan akidah umat Islam seharusnya dipelihara sebilang masa dan tidak boleh dipandang ringan. Sultan Ibrahim turut mengingatkan agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang pandangan atau kenyataan yang melampau berkaitan dengan isu agama kerana isu ini amat sensitif dan harus ditangani dengan berhati-hati.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan tindakan yang segera dilaksanakan melibatkan siasatan dan laporan berhubung isu GISBH yang antaranya melibatkan eksploitasi kanak-kanak. Beliau turut menambah dalam kenyataan bahawa isu berkaitan akidah, salah guna kuasa, salah guna agama serta penderaan adalah perkara besar, jika terbukti benar. Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk PDRM untuk menjalankan siasatan dan tindakan mengikut undang-undang.

Pada 16 Sep 24, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap isu yang membabitkan organisasi GISBH. Tuanku Muhriz bertitah bahawa perbuatan organisasi yang dipercayai berselindung disebalik kebajikan Islam ini merupakan contoh perbuatan yang tidak sepatutnya timbul di negara ini. Baginda turut bertitah bahawa ia menjadi tanggungjawab dan amanah setiap umat Islam untuk menunjukkan nilai Islam sebenar dalam kehidupan seharian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berasa amat dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya kes 402 orang kanak-kanak yang telah menjadi mangsa jenayah seksual dan eksploitasi di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan. Beliau turut mengarahkan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) untuk menyantuni kanak-kanak dan keluarga mereka yang menjadi mangsa dalam kes ini dengan menawarkan khidmat ‘pendamping kanak-kanak’ atau legal companion kepada mangsa-mangsa terlibat. Beliau turut menyatakan bahawa pihak kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam hal-hal penindasan yang melibatkan kanak-kanak.

Presiden Pertubuhan Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP.MY), Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berpendapat bahawa pendedahan berkaitan eksploitasi kanak-kanak dan remaja yang dikaitkan dengan GISBH merupakan satu insiden yang yang benar-benar menimbulkan kebimbangan serta kerisauan terhadap hak, kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak serta remaja pada masa kini. Menurutnya lagi, kanak-kanak adalah merupakan amanah yang perlu dijaga, dilindungi dan diberikan pendidikan yang sewajarnya. Sebarang bentuk penindasan dan eksploitasi khusus yang sedang berlaku di dalam institusi yang dikaitkan dengan keagamaan, tidak boleh dibiarkan berlaku secara berterusan. Kegagalan untuk melindungi golongan ini daripada dieksploitasi adalah satu pengkhianatan besar kepada kepercayaan dan tanggungjawab kita sebagai masyarakat.  

Isu berkaitan doktrin fahaman GISBH telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang telah bersidang pada 24 hingga 26 September 2024. Menurut Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar, Jawatankuasa Fatwa MKI hanya akan mengeluarkan pandangan hukum mengenai GISBH dan bukan fatwa. Beliau memberitahu bahawa fatwa berhubung GISBH akan diputuskan oleh Majlis Agama Islam setiap negeri masing-masing. Intipati perbincangan ini akan dibawa ke Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 23 dan 24 Oktober untuk mendapat perkenan.

PENEMUAN BARANGAN BUKTI YANG BERTENTANGAN DENGAN AJARAN ISLAM DI MALAYSIA

Kejayaan Op Global yang dilaksanakan PDRM bersama beberapa agensi kerajaan berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak yang dipercayai dieksploitasi di 20 buah rumah kebajikan. Turut ditahan seramai 171 individu yang mengendalikan premis terbabit bagi siasatan lanjut. Operasi yang dilaksanakan ini turut membongkarkan segala modus operandi gerakan berlandaskan Islam yang telah mengeksploitasi kanak-kanak serta remaja.

Operasi ini turut berjaya menemukan beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam perihal urusniaga organisasi tersebut. Turut dijumpai adalah beberapa naskah majalah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan al-Arqam yang telah difatwakan haram pada tahun 1994 kerana menyeleweng daripada ajaran Islam.

Bukan itu sahaja, menerusi akaun Facebook milik PUKAS, terdapat satu video yang telah dimuat naik menyaksikan sesi temu bual yang melibatkan bekas pekerja GISBH telah mendakwa mereka diberikan sebotol air yang kononnya dipanggil sebagai ‘air berkat’. Kandungan di dalam ‘air berkat’ itu dipercayai mengandungi rendaman janggut, rambut, dan air basuhan badan para pimpinan GISBH. Bekas pekerja GISBH tersebut turut mendakwa bahawa mereka diarahkan untuk menyemburkan ‘air berkat’ tersebut ke dalam makanan-makanan yang dijual di restoran milik GISBH. ‘Air berkat’ tersebut dikatakan menjadi azimat bagi para pengikut GISBH.

PDRM bersama-sama agensi tempatan telah melakukan serbuan ke atas premis-premis dan rumah milik pemimpin tertinggi GISBH di sekitar Malaysia. Di Kelantan, polis telah berjaya merampas pelbagai jenis risalah dan buku berkaitan doktrin diperjuangkan oleh GISBH yang telah ditanam dan dibakar berhampiran dengan rumah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH di Kampung Panji, Kota Bahru. Seterusnya di Melaka, ratusan buku dan barangan berkaitan ajaran sesat Al-Arqam ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis dipercayai milik GISBH. Turut ditemukan 12 gambar pengasas al-Arqam iaitu Ashaari Muhammad serta jadual zikir Aurad Muhammadiah.

 

FATWA MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI BERKAITAN GISBH

Negeri Perlis – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran di dalam GISBH mengandungi unsur anjaran sesat khususnya batiniah. Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Maza), fatwa berkenaan dikeluarkan selepas menerima bukti yang menyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi tersebut sesat. Ujar Dr Maza, unsur ajaran batiniah adalah merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sebagai ajaran sesat.

Negeri Selangor – DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan kepada fatwa berkenaan fahaman, ajaran, pegangan dan amalan yang diamalkan GISBH serta rangkaiannya. Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menyakini bahawa pemimpin, pengikut, pekerja malah ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar. Mufti Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir memberitahu jawatankuasa itu memutuskan dimana fahaman, pegangan, amalan serta ajaran GISBH mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan ASWJ daripada aspek akidah mahupun syariat.

Negeri Pahang – Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang telah memutuskan bahawa fahaman yang didukung oleh GISBH adalah sesat dan menyeleweng. Keputusan ini dibuat setelah jawatankuasa itu selesai bermesyuarat bagi membincangkan perihal isu ini dan mendapat perkenan dari KDYMM Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata golongan yang disebut sebagai menyeleweng dan sesat itu bila mana mereka meneruskan amalan dan kepercayaan dalam Aurad Muhammadiah yang dibawa oleh al-Arqam, yang telah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994. 

Negeri Melaka – Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH adalah sesat dan tersasar daripada ajaran Islam sebenar dan pegangan ASWJ. Menurut Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, keputusan fatwa ini diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang berlangsung pada 3 Oktober 2024 lalu selepas mendapati beberapa elemen organisasi itu bertentangan dengan hukum syarak yang diamalkan di Malaysia.

Negeri Sabah – Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan fahaman, ajaran, amalan dan pegangan ahli GISBH serta rangkaian syarikat gabungan miliknya jelas menyeleweng dan bercanggah daripada ajaran Islam. Keputusan ini diputuskan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah pada Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah 2024 yang telah bersidang pada 1 dan 2 Oktober lalu. Pejabat Mufti menekankan mengenai penyelewengan GISBH meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kemanusiaan, kekeluargaan, dan ekonomi. Penyelewengan ini dilihat menjurus kepada perpecahan umat serta diyakini mampu mengancam keselamatan negara.

Negeri Pulau Pinang – Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bertindak memutuskan ajaran, pegangan, dan fahaman yang diamalkan oleh pemimpin, pengikut, serta pekerja GISBH bercanggah daripada ajaran Islam. Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata kumpulan GISBH masih meneruskan pegangan serta amalan al-Arqam dan Rufaqa Cooperation yang telah difatwakan sesat sebelum ini. Ahli jemaah GISBH masih mengamalkan Aurad Muhammadiah dan menyakini bahawa amalan bertabarruk iaitu air basuhan anggota badan pimpinan mereka membawa berkat. 

KESAN/ANCAMAN 

Perpaduan Keluarga, Masyarakat dan Politik. Kesan ajaran sesat terhadap keluarga dapat dilihat menerusi keretakan yang membawa kepada runtuhnya sesebuah institusi kekeluargaan tersebut. Perkara ini dapat diperkuatkan lagi apabila timbulnya rasa curiga antara ahli keluarga ekoran daripada perbezaan akidah serta kepercayaan. Disamping itu, ajaran sesat dikhuatiri akan menyebabkan tergugatnya sesuatu perpaduan umat seperti tercetusnya keganasan atas dasar taasub dan fanatik secara membuta tuli terhadap pemimpin atau figura. Pengikut ajaran sesat ini tidak akan mengamalkan sikap hormat menghormati antara masyarakat kerana mereka ini telah didoktrinasi oleh fahaman yang menganggap bahawa mereka sahaja yang sentiasa benar. Kehadiran ajaran sesat lazimnya akan mencetuskan perbalahan antara keluarga dan masyarakat sehingga membawa kepada kehidupan berpuak-puak yang memecahbelahkan keluarga, agama mahupun bangsa. Tidak dinafikan bahawa ajaran sesat ini berupaya untuk menerapkan perasaan benci membenci, perbalahan malah berkemungkinan untuk berlakunya pembunuhan sesama sendiri jika para pengikut ajaran sesat ini sudah berada pada tahap radikal.

Keterlaluan. Sifat keterlaluan atau ekstrem beragama merujuk kepada perilaku berlebih-lebihan dalam pelaksanaan terhadap hukum-hukum syariat sehingga mempersulitkan diri sendiri mahupun orang lain. Seseorang yang ekstrem akan bersikap rigid terhadap urusan-urusan agama tanpa memperlihat pada sudut etika-etika syariat serta kaedah-kaedah agama. Sikap keterlaluan atau ekstrem beragama ini dapat dilihat menerusi golongan yang menolak pegangan ASWJ dan mengamalkan ajaran yang jelas terbukti bertentangan daripada ajaran yang sepatutnya. Selepas hampir 30 tahun Kerajaan Malaysia mengharamkan ajaran Al-Arqam, negara dikejutkan dengan pembongkaran kegiatan di GISBH yang dikatakan membawa semula ajaran al-Arqam dalam organisasi mereka. Pelbagai dakwaan dan cerita perihal kegiatan ekstrem GISBH telah dirungkaikan oleh bekas pengikutnya. Antaranya adalah mengenai “air berkat” basuhan janggut, gigi, rambut dan rendaman kaki yang dicampurkan dalam makanan serta minuman yang kononnya membawa azimat.  Perkara ini harus diambil serius kerana ia mampu menjurus kepada munculnya fahaman serta ajaran yang menyesatkan.  

Ideologi. Bersikap terlalu fanatik dan taasub dalam beragama merupakan satu tindakan yang mampu memberi kesan buruk. Mereka yang terlalu berfanatik dan taasub beragama ini kebiasaannya akan menganggap dan merasakan bahawa “tokoh” atau pemimpin yang mereka ikuti itu adalah merupakan individu yang harus mereka percayai. Ideologi atau naratif yang bersifat keras atau melampau juga dilihat mampu wujud menerusi sikap fanatik dan taasub beragama ini. Hal ini kerana, bila seseorang individu atau kumpulan itu mula bertindak memilih pendekataan kekerasan iaitu menggunakan senjata bagi menghapuskan apa yang telah dianggap batil, atau cuba untuk mengubah kemungkaran dengan menggunakan persenjataan. Walaupun tiada tindakan agresif yang diambil oleh penyokong GISBH, namun sikap taasub dan fanatik mampu mendorong aktiviti keganasan untuk berlaku.

PENUTUP

Isu yang berkaitan GISBH ini hendaklah diselesaikan dengan cara yang penuh cermat dan hemat kerana ia melibatkan pelbagai pihak. Pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu ini supaya ia tidak menjadi permainan politik mahupun figura persendirian dalam mencapai matlamat mereka. Pemerhatian dan pantauan secara rapi dilihat menjadi objektif utama pihak bertanggungjawab dalam memastikan tiada unsur-unsur kewujudan ajaran sesat mahupun penyelewangan agama berlaku di dalam negara ini yang jelas mengamalkan ajaran ASWJ.

Akidah dan pegangan ASWJ adalah merupakan satu-satunya akidah dan pegangan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW yang selamat dan merupakan pegangan rasmi institusi dan masyarakat Islam di negara ini. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab masyarakat khususnya Islam untuk menjauhi segara ajaran, fahaman, pegangan mahupun ideologi yang bercanggah dan menyeleweng daripada ASWJ sebagaimana yang difatwakan oleh Majlis Agama atau Pejabat Mufti negeri-negeri di seluruh Malaysia. Segala fahaman dan ajaran baharu yang dilihat mengelirukan perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, Pejabat Mufti Negeri serta institusi-institusi Islam lain yang bertanggungjawab.

Penularan ajaran sesat dalam kalangan masyarakat khususnya di Malaysia bukan sahaja memberi kesan dari sudut akidah dan syariat Islam, malah ia memberi kesan dari segi ketenteraman awam dan keselamatan negara. Oleh yang demikian, pelan tindakan strategik perlu diwujudkan atau dikemasikini oleh pihak bertanggungjawab bagi menangani ancaman ajaran sesat secara sistematik. Setiap daripada kita hendaklah memuliakan tanpa mengambil kira perbezaan kebudayaan dan menghormati perbezaan agama bagi mengelakkan konflik. Dengan wujudnya nilai sedemikian, kedamaian dan keamanan dapat terjamin sekaligus membuatkan kehidupan semua orang selesa.  

Posted in Esei.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *