Ancaman Ekstremis Salafi Wahabi Di Malaysia Dari Perspektif Keselamatan

Nota: Artikel ini pernah diterbit secara online sebelum ini. Artikel disediakan oleh Dr Zul – Terrrorism Analyst

            Malaysia adalah merupakan sebuah negara Islam contoh, aman damai dan umat Islam hidup dengan harmoni berdasarkan fahaman dan amalan Ahli Sunnah wal Jemaah (ASWJ). Kesejahteraan dan keharmonian ini wajar dipertahankan dan sebarang elemen dari mana-mana aliran pemikiran yang menjurus ke arah konflik, perseteruan dan permusuhan perlu dibenteras agar keharmonian dalam masyarakat dan beragama dapat dipertahankan. Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat elemen-elemen dari aliran pemikiran yang ekstrem mula menggugat perpaduan dan keharmonian umat Islam di Malaysia.

            Dewasa ini aliran serta fahaman Wahabi yang berselindung disebalik istilah Salafi telah menular dengan hebat di negara ini. Analisa keganasan terkini telah menjelaskan bahawa pendokong-pendokong aliran salafi wahabi di Malaysia kini semakin lantang dan berani untuk menyebarkan fahaman golongan tersebut, malah ia dilakukan dengan secara terbuka.

Kerajaan yang lepas dan kerajaan Pakatan Harapan sekarang telah menegaskan bahawa fahaman salafi wahabi yang dikaitkan dengan pengasasnya iaitu Muhammad bin Abdul Wahab ini tidak sesuai diamalkan di negara ini walaupun ia tidak dikaitkan sebagai ajaran sesat. Pendirian kerajaan ini selaras dengan hasil perbincangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1985, 1986, 1996, 1997 dan 1998 yang menyatakan bahawa aliran salafi wahabi ini tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat Islam serta menjejaskan keharmonian dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk. Setakat ini penularan fahaman salafi wahabi adalah terkawal namun mutakhir ini pendokong-pendokong aliran wahabi ini semakin lantang dengan keterbukaan bersuara yang diamalkan oleh kerajaan pada hari ini.

Sejarah Fahaman Atau Aliran Salafi Wahabi

Isu salafi dan wahabi  sememangnya banyak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat awam sehingga menimbulkan banyak polemik dan perbahasan yang tidak berkesudahan. Pemahaman terhadap isu wahabi dan salafi ini akan memudahkan kefahaman terhadap kontroversi jihad dan radikalisme yang dapat dilihat pada kumpulan-kumpulan pengganas kontemporari. Untuk memudahkan pemahaman terhadap matlamat perjuangan gerakan-gerakan radikal seperti Al Jama’ah Al Islamiyah, Boko Haram, Kumpulan Abu Sayyaf (KAS), Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Hizbur Tahrir (HT), Darul Islam (DI), Al-Arqam, Daesh @ ISIS dan beberapa kumpulan radikal yang lain, perbincangan tentang aliran dan fahaman salafi wahabi adalah perlu dijelaskan bagi memahami ideologi dan manhaj perjuangan mereka.

Kebanyakan orang awam memahami atau merujuk serta mengaitkan gerakan-gerakan ini dengan fahaman Salafi atau Salafiyah. Walaupun salafi dan wahabi merupakan dua istilah yang berbeza tetapi sebenarnya kedua-dua istilah ini adalah merupakan fahaman atau ajaran yang sama. Penjelasan ini perlu dilakukan bagi menerangkan bagaimana pengikut gerakan radikal ini sebenarnya berselindung di sebalik akidah mereka dengan menyandarkan (menisbatkan) diri mereka dengan golongan Salafus Soleh. Sememangnya bagi masyarakat awam yang tidak memahami sejarah fahaman wahabi akan terkeliru dengan naratif yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan sebegini sedangkan sebenarnya aliran dan fahaman wahabi inilah yang telah menjurus umat Islam kepada fahaman beragama yang sempit, memecah-belahkan masyarakat dan menyuburkan radikalisme atas nama agama yang akhirnya mencemarkan imej agama dan imej umat Islam itu sendiri. Aliran atau fahaman ini sebenarnya dikenal sebagai Wahabiyah Hanbaliyah di Tanah Arab tetapi apabila fahaman ini dieksport ke luar dari Tanah Arab ia dijenamakan semula dengan nama yang lebih lunak iaitu ‘Salafi’.

Fahaman wahabi dianggap sebagai penerusan fahaman Ibnu Taimiyah, bahkan dalam banyak hal fahaman ini lebih radikal lagi daripada Ibnu Taimiyah. Ibnu Wahab

sangat fanatik kepada Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah malah dalam sesetengah keadaan Ibnu Wahab bersikap lebih keras dari kedua-dua tokoh ini. Aliran wahabi ini sangat dominan di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania. Muhamad bin Abd Wahab sangat terpengaruh dengan fahaman dan aliran pemikiran Ibnu Taimiyah. Ibnu Taimiyah memang terkenal dengan fatwa-fatwa yang kontroversi sehingga ada pengikut mazhab Hanbali yang tidak bersetuju dengan beliau.

Perspektif Ancaman Aliran Salafi Wahabi Di Malaysia

Aliran Wahabi diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Fahaman ini bermula dengan seruan kepada umat Islam agar kembali kepada ajaran Islam (memurnikan tauhid) sebenar berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Dalam konteks Malaysia, aliran salafi wahabi juga cenderung melabel sesuatu ibadat dan amalan tradisi umat Islam sebagai bida’ah yang sesat lagi menyesatkan. Pandangan sebegini adalah sesuatu yang ekstrem serta mengundang permusuhan dengan golongan umat Islam lain. Golongan ini bergerak di negara kita dengan menjadikan anak-anak muda sasaran mereka untuk memecah-belahkan umat Islam.

Propaganda pemikiran salafi wahabi yang menyatakan bahawa sesuatu amalan dan budaya yang tiada di zaman Rasulullah S.A.W sebagai bida’ah telah menyumbang kepada kekeliruan masyarakat sehingga berlakunya perselisihan pendapat dan menyebabkan ketegangan ukhwah di kalangan umat Islam. Golongan salafi wahabi sukar menerima amalan dan budaya tradisi Islam di Malaysiayang bertunjangkan fikah Imam as-Syafie. Dewasa ini sudah ada segelintir golongan terutamanya anak-anak muda yang mula mempertikaikan amalan-amalan yang dianggap bida’ah yang menjadi amalan beragama di Malaysia.

Sudah menjadi kelaziman pentaksub salafi wahabi yang akan memperbesarkan perkara-perkara khilafiah (iaitu perkara-perkara furu’ dalam agama) yang telah menjadi amalan dan budaya tradisi umat Islam Malaysia sejak sekian lama. Golongan pendokong salafi wahabi cuba  menyebar pandangan mereka dan cuba ‘memaksa’ orang lain menerima pandangan mereka sahaja yang benar. Sikap dan tingkah laku pendokong aliran salafi wahabi yang ekstrem ini menyebabkan umat Islam mainstream yang lain mempertahankan aliran Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ), samada mereka menjelaskan pengertian bida’ah yang sebenar berdasarkan Al-Quran dan Sunnah atau melakukan serangan balas ke atas golongan salafi wahabi ini.

Justeru, berlaku pertembungan dua aliran yang berbeza, yang akhirnya merugikan umat Islam sehingga membawa mereka ke kancah permusuhan. Perpaduan, kedamaian dan keharmonian sesama umat Islam Malaysia kini mula terjejas dan sekiranya sekiranya pemikiran ekstrem  salafi wahabi ini tidak disekat dan dibanteras ia akan menjurus kepada elemen-elemen radikalisme dan terorisme sepertimana yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.

Bagaimana Salafi Wahabi Dikaitkan Dengan Aktiviti Terorisme

Persoalan yang sering menjadi perdebatan ialah bagaimana fahaman salafi wahabi berpotensi mendorong pengikutnya berfikiran radikal dan seterusnya menjurus mereka ke arah terorisme. Metodologi mudah yang boleh digunakan ialah ‘sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman salafi wahabi berhubung beberapa perkara dalam urusan agama, sebagai hujah untuk mendakwa fahaman itu berpotensi membentuk pemikiran ekstrem, radikal dan seterusnya terorisme.

Sikap keras, tidak bertolak ansur serta tidak meraikan perbezaan mazhab dalam Islam itu menyebabkan golongan salafi wahabi ini menghukumkan beberapa amalan majoriti umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, sebagai bida’ah, sesat dan syirik yang menjadikan seseorang itu menjadi murtad. Malah bagi pendokong salafi wahabi, pelaku bida’ah bukan sahaja sesat tetapi darah mereka halal untuk dibunuh. Sebagai contoh, mereka menjatuhkan hukum terhadap amalan menyambut Maulud Nabi, sambutan Israk Mi’raj, wirid dan doa secara berjamaah, membaca doa Qunut, menziarah kubur dan bacaan yassin dan tahlil adalah bida’ah. Bagi golongan salafi wahabi, setiap perkara bida’ah adalah sesuatu yang sesat dan setiap yang sesat tempatnya adalah di neraka.

Begitu juga dengan amalan kenduri arwah dan tahlil yang telah menjadi praktis di Malaysia sejak sekian lama. Amalan ini juga dipandang bida’ah oleh golongan salafi wahabi. Malah, mereka juga memutuskan, amalan bertawassul dengan orang yang telah mati, adalah perbuatan syirik yang menjadikan seseorang itu murtad. Masalah timbul apabila kesemua contoh pengamalan tadi (kecuali kenduri arwah) telah difatwakan harus oleh majoriti ulama sejak dahulu hingga sekarang. Ekoran itu, ia diamalkan oleh majoriti umat Islam, khususnya di Malaysia sejak zaman berzaman.

Satu lagi isu besar berkaitan salafi wahabi ialah penolakan mereka terhadap mazhab majoriti umat Islam, termasuk Malaysia dalam bidang akidah, iaitu mazhab Asya’irah dan Matru’diah. Segelintir agamawan salafi wahabi menghukumkan mazhab Asya’irah dan Matru’diah ini sebagai sesat. Justeru, rumusan yang boleh dibuat adalah ‘fahaman dan aliran salafi wahabi berpotensi membentuk pemikiran ekstrem, radikal dan seterusnya terorisme di kalangan pengikutnya’ kerana mereka tidak ragu-ragu mengkafirkan pengikut aliran Asya’riah dan Matru’diah yang majoritinya adalah umat Islam di Malaysia.

Sesuatu fahaman atau aliran yang melihat umat Islam yang lain sebagai sesat, ahli bida’ah dan kafir akan terdorong untuk bertindak ganas terhadap mereka yang dipandang sedemikian. Ia juga boleh mendorong pengikut fahaman sebegini, melakukan kekerasan dan keganasan diatas alasan atau ‘tiket’ untuk memurnikan akidah, mencegah dan menghapuskan kesesatan, kekufuran dan bid’ah yang berlaku. Sedangkan kesemua perkara tersebut hanya merupakan perkara khilafiah dalam agama. Senario ini telah dibuktikan dengan perlakuan pengikut-pengikut Daesh @ ISIS di Raqqa dan Mosul. Sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman salafi wahabi  inilah yang dijadikan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa fahaman salafi wahabi boleh membawa kepada pemikiran ekstrem, radikal dan terorisme.

Terdapat hubungan yang kuat antara agama dan sikap fanatik atau ekstrem. Untuk memahami bagaimana seseorang individu atau kumpulan yang terlibat dengan fanatik agama itu boleh terlibat melakukan perbuatan ganas dengan menggunakan nama Tuhan, boleh difahami dari perspektif sosiolagi bagaimana imaginasi agama digunapakai oleh kumpulan agama, kepimpinan dan pengikut-pengikut untuk membentuk ‘mind setting’ mereka. Seseorang yang fanatik atau kumpulan yang menyokong ekstremisme agama sudah pasti akan melakukan apa sahaja sekiranya mereka mendapati apa yang mereka lakukan itu direstui atau terdapat dalam perintah Tuhan dan agama.

Pada masa itu mereka dan kumpulan mereka merasakan bahawa mereka adalah sebagai wakil dan jalan bagi Tuhan untuk melaksanakan perintah-Nya di muka bumi ini. Segala tindakan mereka tidak mengira kesan negatif bahkan mereka meyakini akan diberi ganjaran di akhirat dan jika mereka mati, syurga dan bidadari akan menunggu mereka. Konsep menjadikan orang lain sebagai mangsa sudah tidak wujud lagi dan hanya keuntungan yang mereka kira pasti. Fenomena ini yang sedang berlaku dalam konflik di Timur Tengah dewasa ini.

Analisa – Adakah Fahaman Salafi Wahabi Satu Fahaman Yang Ekstrem Dan Merbahaya?

Para ulama Al-Azhar dan pakar-pakar dalam kajian gerakan Islam telah menegaskan bahawa fahaman salafi wahabi adalah satu ajaran dan gerakan yang ekstrem dan berbahaya kepada umat Islam serta dunia. Ini adalah disebabkan fahaman salafi wahabi menyuburkan pemikiran, sikap dan tindak tanduk yang ganas, bengis, memupuk perasaan benci bukan sahaja terhadap Kafir Harbi tetapi juga sesama umat Islam dan yang paling menakutkan ialah golongan salafi wahabi ini tidak ragu-ragu untuk mengkafirkan orang Islam yang bertentangan pendapat dengan mereka.

Di dalam satu simposium di Mesir yang bertajuk ‟Wahabi: Ancaman Sangat Berbahaya Bagi Umat Islam dan Dunia”, tokoh-tokoh yang hadir telah membuat rumusan bahawa sebagai satu bentuk dakwah dan pemikiran, salafi wahabi berdiri di atas prinsip menolak dan mengkafirkan pihak lain. Ia mengancam keamanan dan keselamatan semua negara disebabkan ajaran kekerasan yang sangat berbahaya kerana menggalakkan anak-anak muda untuk melakukan keganasan ke atas masyarakat awam dan pemerintah di atas alasan-alasan yang remeh temeh.

Fahaman salafi wahabi mempunyai pendirian yang sangat negatif terhadap orang Kristian dan Islam sendiri terutamanya golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan golongan Syiah, terhadap wanita dan ilmu, muzik dan segala bentuk seni dan hasil peninggalan ajaran salafi wahabi ini adalah pemikiran radikal atau kekerasan, menolak realiti dan membekukan keintelektualan dalam masyarakat (Jumud). Fahaman salafi wahabi memang sesuai dengan orang yang ego, takbur dan merasakan diri paling sunnah, suci dan paling baik. Sikap begini menjadikan mereka berfahaman radikal dan menganjurkan tindakan teroris. Tidak hairanlah jika fahaman ini mempunyai keserasian dengan golongan pengganas seperti Taliban, Boko Haram, Al-Qaeda, Daesh @ ISIS, KAS dan lain-lain.

Terdapat enam aliran bagi merumuskan tentang fahaman Salafi Wahabi ini. Aliran-aliran tersebut adalah seperti berikut:

  • fahaman ini berkonsepkan literal
  • anti filosopi
  • anti kepada perbahasan
  • anti kebudayaan
  • anti Nomian (menolak untuk menerima kebenaran tradisional)
  • dalaman yang tidak stabil (kerana tiada sistem periksa dan imbang)
  • fahaman ini adalah bersifat agresif dan represif

Sesungguhnya fahaman ini boleh disimpulkan sangat berbeza dengan ajaran mainstream Islam dari konsep budaya, mentaliti dan beragama. Fahaman ini adalah sangat berbahaya yang mana jika ia dicetuskan oleh orang-orang yang tidak berautoriti akan menggalakkan kepada keganasan dan pembunuhan ke atas orang awam yang tidak berdosa. Golongan Wahabi ini terlalu sensitif terhadap perbezaan di kalangan umat Islam lalu mencetuskan permusuhan malah sesama mereka sendiri. Golongan Wahabi juga terlalu rigid terhadap golongan wanita sehingga kaum wanita dianggap sebagai pembawa masalah. Mereka juga terlalu fokus tentang hal-hal tauhid tetapi kurang memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan tauhid umat Islam secara komprehensif.

Golongan salafi wahabi juga meremehkan dan mengabaikan ilmu-ilmu umum seperti teknologi, pengurusan, komunikasi, budaya serta sosiologi kerana berpendapat bahawa ilmu itu bukan ilmu syari‟at. Golongan salafi wahabi juga sebenarnya hipokrit terutamanya dalam aspek fiqah yang melibatkan fotografi. Mereka juga memperlihatkan penampilan secara eksklusif dalam pergaulan seharian seperti cara berpakaian dan lanjutan dari sikap eksklusif ini menyebabkan mereka tidak mahu belajar, bergaul atau mengakui keilmuan orang-orang yang bukan dari golongan salafi wahabi. Ini jelas menunjukkan sikap golongan salafi wahabi yang keras terhadap orang Islam sendiri berbanding dengan orang bukan Islam.

Bagaimana Fahaman Wahabi Menjadi Ancaman Dalam Masyarakat ?

Seperti yang telah dibincangkan, pendokong salafi wahabi amat keras menentang perkara bida’ah dan menjatuhkan hukum kafir murtad kepada pelaku-pelaku bida’ah. Malah golongan salafi wahabi ini tidak ragu-ragu menghalalkan darah sesama umat Islam yang berlainan fahaman dari mereka.

Di dalam masyarakat di Malaysia, amalan-amalan seperti majlis bacaan yassin dan tahlil, sambutan Maal Hijrah, sambutan Maulidur Rasul, sambutan Israk Mikraj, bacaan doa akhir dan awal tahun, bacaan Qunut, wirid dan berdoa secara berjamaah dan berzanji sudah menjadi amalan dan praktis sejak sekian lama. Praktis-praktis inilah yang telah memartabatkan agama Islam dalam masyarakat dan menyatukan orang Melaayu di Malaysia. Adakah amalan-amalan ini telah menyebabkan orang Melayu di Malysia menjadi kafir murtad selama ini?

Dewasa ini sudah ada segelintir ustaz-ustaz dan orang awam yang mula mempersoalkan dan memulaukan amalan-amalan yang dianggap bida’’ah oleh golongan salafi wahabi ini. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa mereka menjadi pendokong kepada fahaman salafi wahabi. Segelintir dari mereka ini menyatakan penentangan ini secara tertutup kerana ingin menjaga pangkat dan jawatan (kerana golongan salafi wahabi juga bersikap sama seperti golongan Syiah iaitu ‘bertaqi’ah’), namun ada segelintir ustaz-ustaz dan individu yang secara terbuka menentang dan memulaukan aktiviti agama yang menjadi amalan-amalan dan praktis masyarakat selama ini.  

Sekiranya fenomena dan senario ini tidak dibendung mulai sekarang, apakah yang akan terjadi kepada masyarakat umat Islam di Malaysia ini. Adakah selepas ini kita akan menyaksikan perpecahan dalam masyarakat kerana ada segelintir ustaz-ustaz muda dan individu yang ekstrem  memulaukan aktiviti-aktiviti agama yang dianjurkan oleh kariah masjid atau masyarakat di kampong-kampung kerana berpendapat ia adalah praktis bida’ah.

Kesimpulan

Salafi Wahabi sebagai satu aliran dan pemikiran yang berdiri atas prinsip menolak pihak lain dan mengkafirkan orang yang bukan dari golongan mereka adalah satu aliran yang jelas sangat merbahaya. Ia mengancam keamanan dan kesejahteraan di seluruh negara – negara Islam kerana ianya menyebarkan pemikiran ekstremis dan radikal.

Aliran pemikiran sebeginilah yang telah menyebabkan pemuda-pemuda Islam mengkafirkan serta melakukan keganasan terhadap pemerintah dan individu Islam yang lain hanya dengan bersandarkan alasan dan sebab yang remeh temeh. Dunia Islam kontemporari telah menyaksikan bahawa fahaman sempit salafi wahabi ini menyebabkan umat Islam berbunuhan sesama sendiri kerana ingin mempertahankan fahaman sempit mereka tanpa ada perasaan tolak ansur. Fenomena dan senario ini boleh kita saksikan dari perlakuan pengikut Daesh @ ISIS, Jemaah Islamiyah, Al-Qaeda, Hizbut Tahrir, Boko Haram dan Al-Shabab.

Posted in Analisis and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *