Hizbut Tahrir: Perspektif Ancaman Dan Implikasi Ekstremisme Dan Radikalisme Terkini

Artikel ini pernah diterbitkan oleh pengarang sebelum ini dan diolah semula untuk bacaan umum. Disediakan oleh Dr Zul –  Terrorism Analyst

Hizbut Tahrir (HT) ataupun dikenali dengan gelaran the Islamic Party of Liberation merupakan sebuah gerakan politik yang ditubuhkan pada 1953 di Al Quds (Baitul Maqdis), Palestin. Pengasasnya adalah Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani (1909-1977). Gerakan ini bergerak aktif bermula di Jordan dan dunia Arab sekitar 1950’an.  Pemimpin kedua gerakan HT adalah  Al Syeikh Abdul Qadeem Zallum yang memimpin HT sejak 1977 hingga 2003.  Pada ketika ini, gerakan HT dipimpin oleh Syeikh Atha Abu Rusythah dan menjadi jurucakap HT di Jordan sejak tahun 2003.

Gerakan revolusi ini menggunakan Islam sebagai platform politik untuk mengembalikan semula sistem “Khilafah” yang dipimpin oleh seorang khalifah untuk umat Islam sejagat dengan cara mengembangkan dakwah Islam ke seluruh dunia. HT  beranggapan bahawa fahaman sistem demokrasi berperlembagaan yang diamalkan oleh sesebuah negara perlu diganti dan kerajaan boleh dijatuhkan tanpa melalui pilihan raya. Oleh kerana HT menolak sistem demokrasi, nasionalisme dan sekularisme, ia jelas menunjukkan bahawa pengikut HT memegang kepada fahaman bahawa sistem pilihanraya untuk memilih sesebuah kerajaan adalah satu amalan yang tidak mengikut syariat Islam. Ketika ini, pengikut-pengikut HT tidak terlibat atau dikaitkan dengan aktiviti radikalisme mahupun terorisme kerana mereka ingin menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah melalui kaedah dakwah. Namun begitu, HT mempunyai potensi untuk menjadi sebuah organisasi yang terlibat dengan aktiviti ektremisme dan radikalisme berdasarkan ideologi dan perjuangan mereka. Matlamat untuk menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah yang diperjuangkan oleh HT adalah sinonim dengan perjuangan Daesh cuma perbezaannya adalah manhaj  atau kaedah bagi mencapai objektif mereka sahaja.

Penubuhan HT juga bertujuan untuk mengajak kaum muslimin kembali ke arah kehidupan Islamik mengikut hukum-hakam syarak yang ditetapkan. Pemimpinnya kelak adalah seorang Khalifah yang diangkat dan dibai’at oleh kaum muslimin untuk ditaati agar menjalankan pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya serta mengembang risalah Islam ke seluruh dunia melalui dakwah dan jihad. Seruan ini mirip sepertimana yang dilakukan oleh Daesh pada tahun 2014 dahulu di mana mereka menyeru agar umat Islam berbaiah dengan Abu Bakar Al Baghdadi sebagai seorang Khalifah kepada sebuah Khilafah Islamiyah.

Pada masa kini, pergerakan HT telahpun berkembang ke Afrika, Mesir, Libya, Sudan, Algeria, Tunisia, Sepanyol, Lubnan, Turki, United Kingdom, Perancis, Jordan, Jerman, Austria, Belanda, Rusia, Uzbekistan, Tajikistan, Kirgistan, Bangladesh, Pakistan, China, Australia, Amerika Syarikat, Indonesia dan Malaysia. Pergerakan ini dilihat lebih dominan di negara-negara Timur Tengah dan Jordan dikenalpasti sebagai pusat utama yang signifikan bagi pergerakan ini berbanding tempat-tempat lain. Setelah banyak negara mengenakan larangan ke atasnya, aktiviti dan pergerakan HT dilakukan secara underground dan rahsia. Di Malaysia, aktiviti dan gerakan HT agak menonjol dibeberapa negeri seperti Selangor dan Johor dan gerakan ini berpusat di Bandar Baru Bangi.

Fatwa Larangan Ke Atas Hizbut Tahrir Di Malaysia

Pergerakan HT di Malaysia telah mula dilihat menjadi ancaman kepada perpaduan umat Islam kerana terdapat beberapa perkara yang menjadi amalan mereka bercanggah dengan pegangan ahli sunnah wal jamaah. Justeru beberapa negeri telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran dan amalan HT adalah diharamkan kerana ia bercanggah dengan aliran dan pegangan umat Islam mainstream. Berikut adalah negeri-negeri yang telah mengharamkan HT di Malaysia:

  • Selangor. Pada 17 Sep 15,Jawatankuasa Fatwa Selangor telah  melarang dan mengharamkan mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
  • Pahang.  Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 1/2009 yang bersidang pada 27 Feb 09 telah membincangkan kedudukan Hizb al-Tahrir di Malaysia dan membuat keputusan bahawa ajaran Hizb al-Tahrir ini tidak sesuai dan haram diamalkan oleh umat Islam di Pahang.
  • Sabah. Majlis Fatwa Negeri Sabah telah mengeluarkan fatwa ke atas 16 ajaran atau fahaman yang menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Salah satunya adalah larangan ke atas gerakan Hizbut Tahrir.

Matlamat Perjuangan Hizbut Tahrir

Gerakan HT ini dilihat memperjuangkan konsep mengembalikan Khilafah umat Islam untuk tujuan meraih simpati dan pengaruh di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia. Dalam merealisasikan hasrat tersebut, gerakan ini menggunakan beberapa pendekatan perjuangan. Antara intipati perjuangan tersebut adalah:

  • Penubuhan HT adalah bermatlamatkan untuk menubuhkan sebuah negara Islam transnasional merangkumi semua negara Islam di bawah satu Ummah. Dalam erti kata yang mudah HT bercita-cita untuk menegakkan sistem Khilafah di atas muka bumi ini.
  • HT menolak sistem demokrasi, sistem sekular dan ekonomi kapitalis kerana sistem-sistem demikian dikatakan buatan manusia dan tidak Islamik. Ini menjelaskan bahawa pengikut HT memegang aliran Tauhid Hakimiyah iaitu mereka menolak undang-undang buatan manusia serta melabelkan orang yang terlibat dalam proses demokrasi (pilihan raya) sebagai murtad. Fenomena ini menjelaskan bagaimana kumpulan-kumpulan ekstremis di merata pelosok dunia mengamalkan budaya takfiri (mengkafirkan sesama Islam kerana mereka menyertai proses demokrasi dalam sesebuah negara).
  • HT menolak mana-mana sistem yang mempunyai elemen bukan Islam. Bagi HT apa sahaja sistem yang dicedok dari Barat dikira tidak Islamik dan sesiapa sahaja yang mengguna pakai sistem tersebut dikira telah menjadi murtad.
  • Memperjuangkan penegakan sebuah Khilafah Islamiyah untuk mengembalikan umat Islam ke arah kehidupan yang mengikut lunas-lunas Islam dan Undang-Undang Syariah. Perjuangan ini sinonim dengan perjuangan yang sedang dilakukan oleh Daesh.
  • Bersifat supra-nasional (pergerakan secara internasional) dan menolak untuk bergabung dan menyertai mana-mana parti politik di sesebuah negara. Ini menjelaskan kecelaruan HT dalam melaksanakan agenda mereka terutamanya tentang kaedah untuk mereka menegakkan sebuah Khilafah atau Daulah (negara).
  • HT menolak sistem pilihan raya kerana dikatakan ia adalah praktik yang diambil dari amalan negara Barat. Malah lebih buruk lagi mereka melabelkan orang-orang yang terlibat dengan sistem demokrasi dikira telah menjadi murtad.
  • Dipengaruhi sentimen anti-Semitik @ anti-Yahudi dan pada masa yang sama turut menolak pengaruh Barat.

Dalam mencapai hasrat atau objektif mereka, HT telah merangka tiga fasa secara berperingkat seperti berikut:

Hierarki Fasa Gerakan HT

Fasa I adalah proses penyebaran ideologi dan mempengaruhi orang ramai yang melibatkan proses mengenal pasti individu dan golongan terutamanya yang berpengaruh dan mempunyai kuasa (authority) untuk diindoktrinasikan. Fasa II pula adalah mendekatkan diri dan bermesra dengan orang ramai melalui aktiviti serta program yang dirancang dengan bertujuan untuk mendapatkan keyakinan dan tahap sokongan daripada individu dan golongan yang telah dikenalpasti. Fasa III dengan jelas adalah proses mengambil alih kuasa atau pemerintahan dengan mendirikan sebuah Khilafah.

Strategi-strategi tersebut adalah visi dan objektif untuk mewujudkan sebuah institusi merangkumi aspek ketenteraan, pentadbiran dan kerajaan, sosio-ekonomi, sektor awam dan swasta yang turut akan mengikuti panduan Undang-Undang Syariah yang ditetapkan. Namun begitu, berdasarkan fasa-fasa dalam menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah yang mereka impikan, HT tidak menunjukkan dengan jelas bagaimanakah kaedah atau manhaj mereka untuk mendapatkan kuasa. Kekaburan ini menjelaskan bahawa perjuangan HT adalah satu perjuangan yang utopia. Mereka tidak mempunyai gagasan politik yang jelas bagaimana sebuah Khilafah Islamiyah itu akan tertegak. Kaedah dakwah yang mereka sarankan juga adalah kabur dan apa yang menakutkan adalah jika ada segelintir pengikut mereka yang tidak sabar dengan manhaj HT sekarang, mereka dikhuatiri akan melibatkan diri dengan aktiviti radikalisme demi untuk mendapatkan kuasa ataupun menyertai kumpulan Daesh yang dilihat sedang memperjuangkan sebuah Khilafah Islamiyah melalui kaedah jihad.

Mengikut HT, belum ada lagi sebuah negara Islam (Dar al-Islam) yang sebenar dibentuk melainkan negara Islam yang masih menerima pengaruh barat yang menyebarkan sistem demokrasi, sekular dan kapitalisme serta pemikiran liberalisme. Negara-negara demikian digelar sebagai Dar al-Harb dan dan menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk mengubahnya. Dalam konteks Malaysia, secara tidak langsung  HT menganggap bahawa Malaysia bukan merupakan sebuah negara Islam dan atas sebab itu mereka bercita-cita hendak menegakkan sebuah Khilafah.

Gerakan HT tidak menolak aspek teknologi yang mana ini mungkin dilihat penting dalam mengembangkan pengaruhnya. Walau bagaimanapun, HT menolak tamadun barat kerana dianggap menyimpang daripada kehidupan masyarakat Islam dan harus diganti dengan kehidupan sebenar Ummah. Disini juga timbul sikap hipokrit kumpulan ini dimana merreka mengambil sebahagian dari kebaikan Barat manakala menolak sebahagian praktik yang lain. Walaupun HT tidak menggunakan kekerasan dan keganasan (buat masa ini), HT masih mementingkan gesaan berjihad sebagai jalan terakhir untuk mencapai matlamat. Mereka juga bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada yang dianggap sekular melalui ketenteraan. Justeru, dapat disimpulkan bahawa HT bersedia untuk menggunakan kaedah kekerasan sekiranya matlamat perjuangan mereka tidak tercapai melalui kaedah dakwah.

Sumber Kewangan

Gerakan HT mempunyai pelbagai saluran untuk mengumpul dan mendapatkan kewangannya. Seperti mana-mana organisasi lain, sumber kewangan ini adalah untuk pembiayaan aktiviti termasuk pengurusan lain-lain aspek pentadbiran. Dana bagi gerakan ini dikumpulkan melalui sumbangan peribadi daripada ahli-ahli dan individu-individu tertentu terutamanya dari Arab Saudi serta negara-negara Teluk yang berpegang kepada agenda ‘pan-Islam’ yang lazimnya dikaburi dengan alasan untuk pertubuhan amal Islam. Terdapat sumber yang menjelaskan bahawa ahli-ahli HT membayar ‘infak’ iaitu sebanyak 10 peratus daripada sumber pendapatan bulanan mereka kepada organisasi itu. Selain itu, kutipan derma juga dilaksanakan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang Islam selain masjid. Pendekatan-pendekatan ini sememangnya menjadi amalan kumpulan tersebut secara global.

Keanggotaan

Organisasi ini dianggarkan mempunyai pengikut di hampir 50 buah negara. Keanggotaannya secara global mampu melangkaui satu juta pengikut dan jumlah ini juga jauh lebih besar daripada keanggotaan Daesh. Ibu pejabat HT bertapak dengan sokongan kuat di United Kingdom. Keahlian yang tertinggi adalah dari Uzbekistan dengan jumlah yang mampu mencapai 60,000 orang. Kyrgyzstan mempunyai 3000 ahli dan Tajikistan pula mempunyai 5000 ahli. Walau bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada jumlah yang tepat untuk mengesahkan ahli sebenar HT.

Struktur Daulah Khilafah

HT cuba menghidupkan semula zaman Khilafah yang pernah menjadi zaman kegemilangan umat Islam pada suatu ketika dahulu. Namun, sepertimana yang telah banyak diperjelaskan oleh cendekiawan Islam kontemporari, perintah untuk menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah itu sebenarnya tidak ada di dalam Al Quran. Jika perintah itu adalah wajib, maka semua umat Islam yang tidak berjuang menegakkan sebuah Khilafah boleh lah dianggap berdosa. Naratif HT yang paling utama adalah seruan mengajak umat Islam untuk kembali kepada zaman Khilafah.  Malah, HT pergi lebih jauh lagi dengan membuat deklarasi bahawa semua umat Islam kini berkewajipan untuk menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah dan sesiapa yang tidak menyertai gerakan mereka dikira murtad. Menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah acuan HT ini adalah merupakan naratif utama mereka dan lanjutan dari seruan untuk menegakkan sebuah Khilafah ini maka ia berkait pula dengan konsep jihad, hijrah, memerangi dan membunuh kafir harbi dan umat Islam yang telah murtad serta perlaksanaan hukum-hukum syariah dalam pemerintahan. Oleh kerana kesemua perkara ini adalah sinonim dengan umat Islam, maka ada segelintir umat Islam yang cintakan agama terkeliru dengan naratif-naratif ini.

Perkembangan Hizbut Tahrir Di Asia Tenggara

Indonesia

Gerakan HT muncul di Indonesia pada tahun 1980-an oleh Abdurrahman al-Baghdadi (etnik Lebanon) yang dijemput untuk memberi ceramah di sekolah agama Al-Ghazali di Bogor, Indonesia. Di era 1990-an khususnya selepas era kejatuhan pentadbiran Presiden Suharto pada 1998, idea-idea dakwah HTterus berkembang di kalangan masyarakat tempatan melalui pelbagai aktiviti dakwah yang dilakukan di pejabat, perusahaan, dan kediaman, khususnya di era Presiden B.J. Habibie. Dalam meraih sokongan ramai, pengikut-pengikut HT dikesan menggunakan sentimen tidak berpuas hati dengan pentadbiran pemimpin tempatan yang ditafsirkan tidak berkesan dalam memulihkan kehidupan masyarakat tempatan yang tertindas.  Pada 28 Mei 2000, gerakan ini telah dilancarkan secara rasmi di Stadium Tertutup Tenis, Jakarta. Antara yang hadir memberi ucapan dalam majlis tersebut adalah pengikut penting HT Malaysia iaitu Sharifuddin M. Zain. Pada ketika ini, gerakan HT Indonesia terus berkembang melalui dakwah khususnya di kampus-kampus besar di seluruh Indonesia bagi menyasarkan golongan terpelajar dan profesional.

Hizbut Tahrir Malaysia

Gerakan HT mula bertapak di Malaysia pada tahun 2001. Pada tahun 2009, pengikut mereka telah membuka “Khalifah Centre” di Bandar Baru Bangi, Selangor. Penubuhan “Khalifah Centre” ini adalah bermatlamat untuk menjadikan pusat pembangunan dakwah fahaman Islam. Perjuangan HTM dikesan telah memasuki tahap kedua iaitu berinteraksi secara terbuka dengan umat Islam. Ini dapat dilihat melalui aktiviti mereka menyebar risalah “Sautan Nahdhah” di masjid-masjid seperti di Kedah dan Kuala Lumpur. Hizbut Tahrir juga telah meresap dan berkembang di IPTA dan IPTS khususnya sekitar Lembah Klang dan Johor. Sasaran mereka adalah pensyarah di pusat pengajian tinggi bagi memperluaskan pengaruh melalui dewan kuliah dan program-program yang dianjurkan.

Selain itu, pembabitan Hizbut Tahrir ini turut dilihat sedang berusaha untuk mengembangkan fahaman dan pengaruhnya di kalangan anggota tentera. Mereka melihat sokongan tentera adalah perlu dan merupakan platform terbaik untuk menjayakan pengambilalihan kuasa pemerintahan negara tanpa melalui proses pilihan raya (rampasan kuasa) sebagaimana berlaku di negara-negara Timur Tengah sebelum ini.

Pada 21 Sep 12, ketika perhatian umum tertumpu kepada perhimpunan aman anjuran Pemuda UMNO dan Pemuda PAS bagi membantah filem Innocence Of Muslims di perkarangan Masjid Kampung Baru dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mencuri perhatian dengan mengadakan perhimpunan pada hari yang sama bagi membantah isu tersebut tetapi sasarannya bukanlah kepada AS tetapi kepada ATM di Masjid Khalid Al-Walid. Dalam perhimpunan ini, lebih kurang 300 ahli HTM yang diketuai oleh Abdul Hakim Othman  telah menyatakan bahawa tentera wajib bertindak dalam isu ini kerana ATM mempunyai kekuatan tersendiri bagi mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W.

Isu-Isu Antarabangsa Melibatkan Hizbut Tahrir

Antara insiden signifikan membabitkan HT di luar negara adalah seperti berikut:

  • Pada 1974, gerakan HT yang dipimpin oleh Salih Sirriya dengan kira-kira 100 pengikut telah mengadakan protes percubaan untuk menjatuhkan kerajaan pusat Mesir. Ekoran insiden keganasan yang berlaku, Mesir telah mengharamkan pergerakan ini.
  • Pada Julai 2008, sekumpulan pengikut HT di Andijan, Uzbeskistan mengadakan protes terhadap Presiden Islam Karimov agar meletakkan jawatan. Protes besar-besaran ini telah mengakibatkan kira-kira 500 orang terkorban dan sebahagian pengikut HT yang terlibat berjaya ditahan.
  • Pada April 2011, sekumpulan pengikut HT di Lahore dan Karachi, Pakistan telah mengadakan protes anti-demokrasi Kerajaan Pakistan untuk menghentikan sokongan terhadap Amerika Syarikat.
  • Pada Oktober 2015, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, Farhad Khalil Mohammad Jabar, terbabit dalam serangan tembakan rambang ke atas seorang anggota polis di Parramatta, Australia. Remaja tersebut sebelum ini dikatakan pernah menghadiri ceramah HT tempatan.
  • Pada November 2015, lebih daripada 100 pengikut HTM telah mengadakan demonstrasi aman berhampiran KLCC bagi membantah kehadiran Presiden AS, Barrack Obama ke negara ini.
  • Pada Januari 2016, pihak perisikan Bangladesh mendedahkan plot serangan keganasan di 23 buah lokasi yang disyaki dirancang oleh gerakan HT Bangladesh. Bagi rancangan ini, gerakan ini turut dibantu oleh beberapa kumpulan pengganas seperti Jaish-e-Mohammed (JeM) dan Lashkar-e-Taiba (LeT).
  • China, Jerman, Mesir dan Russia telah mengeluarkan larangan perkembangan  gerakan HT  kerana disifatkan mempunyai elemen ekstremisme dan keganasan.

Berdasarkan kepada perkembangan semasa kegiatan HT ini, beberapa analisa dan penilaian berhubung dengan ancaman gerakan HT yang dapat dirumuskan seperti berikut:

  • HT adalah sebuah gerakan revolusi yang menitikberatkan perjuangan mengembalikan semula kehidupan Islam melalui Khilafah Islamiyah tanpa menggunakan kekerasan. Visi dan misi gerakan HT sememangnya tidak menyokong tindakan-tindakan keganasan sepertimana yang telah dipamerkan oleh Al Qaeda dan Daesh. Walaupun matlamat politiknya sama iaitu untuk menubuhkan sebuah Khilafah Islamiyah, namun ahli-ahli HT menganggap gerakan ini menggunakan pendekatan yang berbeza dalam mencapai matlamat politik.  Sebenarnya, penolakan HT terhadap tindakan keganasan dilihat untuk mengelak gerakan tersebut daripada dipantau atau diekori oleh pihak berkuasa sepertimana yang telah berlaku di Mesir, Libya, Pakistan and Bangladesh. Persamaan matlamat akhir dengan Daesh dan Jemaah Islamiyah (JI) memberi indikasi bahawa HT juga mampu memberi ancaman kepada kestabilan dan keselamatan sesebuah negara.
  • Gagasan politik HT adalah sinonim dengan gagasan politik Daesh. Apa yang membezakan mereka adalah manhaj atau kaedah untuk menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah tersebut. Daesh memilih jalan jihad sedangkan HT memilih jalan dakwah. Namun begitu, manhaj atau kaedah HT ini agak kabur kerana tidak jelas bagaimana mereka boleh mencapai matlamat perjuangan dalam waktu yang terdekat. Justeru, amat dikhuatiri sekiranya ada pengikut mereka yang tidak sabar untuk melihat sebuah Khilafah Islamiyah tertegak akan memilih jalan kekerasan atau radikalisme. Lebih buruk lagi mungkin ada yang akan menyertai kumpulan Daesh kerana mereka melihat bahawa sudah ada kumpulan yang sedang memperjuangkan penegakkan sebuah Khilafah Islamiyah. Justeru, pengikut HT juga berpotensi besar untuk menjadi pengikut atau sekurang-kurangnya menjadi penyokong atau symphatiser Daesh.
  • HT kini berada di Fasa II dan sedang menuju ke Fasa III iaitu mengambil alih kuasa atau pemerintahan. Bagi mengekalkan momentum fasa-fasa ini, HT dijangka akan menggunakan pendekatan ‘usrah’ daripada individu atau golongan yang berpengaruh di dalam gerakannya. Pegawai-pegawai tentera, ahli politik, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan lain-lain individu yang berpengaruh yang dikenalpasti dari Fasa I lagi akan digerakkan untuk mencapai matlamat. Kejadian seumpama ini pernah terjadi di Pakistan pada tahun 2011 di mana tiga Pegawai Kanan Tentera Pakistan termasuk seorang berpangkat Brigadier Jeneral telah ditahan oleh pihak berkuasa negara itu kerana mengutuk pegawai-pegawai tentera dan Kerajaan Pakistan yang menyokong hubungan Pakistan dengan Amerika Syarikat.
  • Selain itu, HT telah terbukti cuba mempengaruhi anggota pasukan tentera ke dalam modus operandinya. Gerakan ini dilaporkan pernah merancang coup d’etat di Asia Timur di sekitar 1960-an dan 1970-an dengan cara mempengaruhi pegawai-pegawai kanan tentera. Walau bagaimanapun, cubaan itu tidak berjaya. Pada masa kini, HT dipercayai mensasarkan Pakistan kerana negara itu adalah sebuah negara Islam dan mempunyai kuasa nuklear. Selain itu, Indonesia juga dijadikan sasaran berikutan populasi tinggi penduduk yang beragama Islam dan wujudnya elemen ekstremis yang memperjuangkan ‘Daulah Islamiyah’.
  • HT turut menyokong tindakan Saddam Hussein menyerang Kuwait pada tahun 1990. Sokongan adalah disebabkan tindakan Saddam yang dilihat sebagai usaha untuk menyatukan tanah Islam. Pada ketika itu, pengikut HT telah menyeru umat Islam lain untuk turut menyertai tindakan Saddam yang ditafsirkan sebagai jihad. Malah, ada di antara pengikut HT juga telah menggesa Saddam untuk melantik dirinya sebagai Khalifah. Insiden ini jelas menunjukkan bahawa pendirian HT adalah tidak konsisten dan gerakan ini dilihat sebagai opportunist kerana berniat untuk mengambil kesempatan terhadap situasi dan konflik sesebuah negara bergolak. Justeru, pegawai-pegawai tinggi tentera sememangnya akan menjadi sasaran ‘dakwah’ HT untuk menerapkan ideologi menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah.  
  • Objektif jangka panjang HT dapat diperjelaskan berdasarkan kepada kejadian-kejadian yang dikaitkan dengan HT. Gerakan ini dilihat agak pasif dalam menonjolkan aktivitinya pada ketika ini disebabkan oleh tindakan-tindakan keganasan yang dilaksanakan oleh Daesh. Gerakan ini mungkin tidak mahu usaha mereka diganggu oleh pihak keselamatan disebabkan persamaan matlamat HT dengan Daesh. Jelasnya, modus operandi HT adalah sama berikutan mereka berpegang kepada pendekatan yang diguna pakai secara global. Ini termasuk mensasarkan pengaruh angkatan tentera dan pegawai-pegawai kanan sesebuah kerajaan. Sekiranya mereka berjaya melangkah ke Fasa III, maka tindakan keganasan atau menjatuhkan kerajaan melalui ketenteraan yang sedia ada akan dilakukan bagi menubuhkan sebuah Khilafah.
  • Gerakan HT berpotensi menjadi lebih agresif dan radikal pada masa akan datang sekiranya  tidak berjaya mencapai matlamat politik melalui kaedah-kaedah yang sedia ada iaitu secara memprotes dan demonstrasi jalanan. Sepertimana gerakan politik radikal seperti Darul Islam di Indonesia yang telah melahirkan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) di Indonesia di era 80’an, gerakan HT juga berupaya mewujudkan minoriti berideologi radikal dan menggunakan kekerasan serta keganasan sebagai penyelesaian terakhir untuk mencapai objektif politik.
  • Di Malaysia pula, gerakan HT kini telah diharamkan di beberapa negeri termasuk Pahang, Johor dan Selangor. Antara punca pengharamannya adalah disebabkan oleh intipati doktrin yang disampaikan oleh pemimpin HT dilihat menyimpang dari ajaran Islam dan tafsiran sebenar Al-Quran dan Hadis. Tindakan mengharamkan gerakan ini mampu mendorong mereka melaksanakan keganasan dalam negara kerana dianggap menghalang mereka daripada mencapai Khilafah Islamiyah.
  • Penyertaan golongan belia tempatan dengan aktiviti HT adalah membimbangkan kerana tindakan ini boleh mendorong mereka bertindak lebih agresif dan ekstrem dalam menentang dasar-dasar kerajaan yang sedia ada.
  • Gerakan HT juga dikesan menyebarkan sentimen anti-Barat yang mana sekiranya situasi ini berlarutan dalam negara, ia boleh membawa kepada ancaman keselamatan rakyat asing (khususnya dari Eropah) dan kepentingan mereka. Sekali gus, keadaan ini berupaya mencemarkan imej negara dan memberi kesan buruk kepada persepsi pelabur-pelabur barat yang boleh mejejaskan aspek ekonomi negara.

Setakat ini, gerakan HT di Malaysia adalah bersifat sederhana dan terkawal disebabkan masih dalam proses mengembangkan jaringan dan keahlian. Dalam konteks luar negara, sebahagian negara telah mempertingkatkan kawalan dan pemantauan terhadap gerakan ini yang dipercayai sudahpun beroperasi menggunakan pendekatan yang lebih agresif iaitu kekerasan. Meskipun ia terkawal, namun potensi untuk ke arah tindakan keganasan adalah tidak mustahil sekiranya pengikut HT terdorong untuk menggunakan strategi ini yang dilihat mampu menarik tumpuan antarabangsa melalui media massa untuk tujuan propaganda.

Pada ketika ini, gerakan HT dipercayai mempunyai jumlah pengikut yang ramai dari pelbagai latar belakang. Ini termasuk penglibatan penuntut universiti, pegawai dan anggota tentera bagi mencapai objektif jangka panjang HT. Gerakan ini juga dipercayai mempunyai strategi tersendiri dari aspek pengurusan kewangan dan penyebaran ideologi yang dilihat penting untuk kelangsungan masa depan. Justeru, sebarang tindakan drastik oleh pihak kerajaan tanpa meneliti sepenuhnya ancaman jangka panjang mampu mengundang permasalahan yang lebih serius. Tindakan menghapuskan HT dan ancamannya harus dilakukan secara berperingkat. Setiap kementerian harus bertanggungjawab dalam mengenalpasti kakitangan mereka yang terlibat dan melibatkan mereka dengan program kesedaran. Selain itu, aktiviti penyebaran ideologi juga perlu disekat dengan lebih komprehensif. 

Dengan memahami objektif jangka panjang gerakan HT ini, usaha mereka untuk menggulingkan kerajaan dengan menggunakan kuasa tentera dipercayai akan dapat dihalang. Dari aspek perundangan pula, gerakan ini perlu dikaitkan dengan mana-mana undang-undang pencegahan supaya penglibatan individu atau golongan yang berpengaruh dapat dihalang bagi tujuan pencegahan.

Posted in Analisis and tagged , , , .

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *