Potensi Ancaman Bio-Terorisme Pada Musim Pandemik Covid-19

Ancaman serangan biologi dan bio-terorisme bukanlah isu baharu yang dilancarkan oleh gerakan-gerakan pengganas. Insiden serangan biologi seperti serangan gas Sarin oleh gerakan Aum Shinrikyo di Tokyo Subway, Jepun pada 20 Mac 1995 merupakan salah satu bukti ancaman bio-terorisme di era 90an yang membimbangkan pada ketika itu. Indikasi kedua adalah percubaan Al-Qaeda dalam melancarkan serangan biologi dan kimia yang mana ini berdasarkan penemuan bukti dokumen berkaitan kerjasama pemimpin Al-Qaeda yang juga pakar Fizik, Ayman Al Zawahiri dengan pakar mikro-biologi dari Pakistan pada tahun 2001 di Kandahar, Afghanistan. Al-Qaeda juga pernah menggunakan khidmat seorang rakyat Malaysia iaitu pakar bio-kimia dan juga bekas Anggota Tentera Malaysia (ATM), Yazid Sufaat untuk menghasilkan senjata bio-kimia jenis Antraks pada tahun 2001.

Era 2020 bakal menyaksikan evolusi ancaman bio-terorisme seiringan dengan kemampuan pembangunan sains dan teknologi canggih serta keupayaan rangkaian pengganas dan gerakan ekstremis. Pada ketika ini, penularan virus COVID-19 telah dijadikan penanda aras akan ancaman bio-terorisme ke tahap yang tinggi ekoran risiko dan kesan merbahaya virus COVID-19 kepada manusia sejagat.

Ancaman COVID-19

Penularan wabak virus Coronavirus @ COVID-19 kini telah menjangkiti lebih daripada 43 juta penduduk dunia dengan mencatatkan kematian lebih sejuta orang. Virus ini boleh berjangkit melalui titisan air ataupun lendir daripada pembawa kepada individu lain melalui batuk, bersin dan percakapan dalam jarak yang dekat. Kini, COVID-19 telah menular dengan berleluasa di pelbagai negara dan memasuki setiap penjuru daerah dan wilayah tanpa halangan. Negara-negara yang terjejas amat terkesan dengan penularannya dan langkah menangani penyebaran COVID-19 telahpun dilaksanakan di pelbagai negara seperti pelaksanaan Perintah Berkurung.

Ancaman Bio-Terorisme Di Abad 21

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa COVID-19 sedikit sebanyak boleh mempengaruhi gerakan pengganas untuk mengambil inisiatif menjadikan senjata biokimia sebagai agen melancarkan serangan. Definisi serangan bio-terorisme ataupun biological attack adalah perbuatan keganasan yang menggunakan agen-agen ataupun mikro-organisma kimia dan biologi seperti virus, bakteria, kulat dan toksin yang bertindakbalas untuk melumpuh, meracuni dan membunuh manusia serta hidupan lain. Biological Weapon dikategorikan sebagai Weapons of Mass Destruction (WMD) yang terdiri daripada elemen kimia, biologi, radiologi dan nuklear (CBRN). Kedua-duanya berupaya menyebabkan serangan berimpak tinggi walaupun digunakan dalam kuantiti yang kecil.

Propaganda Bio-Terorisme

Hasrat untuk menggunakan virus sebagai kaedah bagi melakukan serangan ini dapat diperhatikan dalam naratif-naratif gerakan ekstremis dan rangkaian pengganas yang berpendapat kemunculan virus COVID-19 sebagai senjata ampuh yang boleh memberi implikasi buruk kepada sosio-ekonomi dan keselamatan global sekaligus. Situasi lockdown dan arahan Perintah Berkurung di pelbagai negara dunia juga memberi peluang dan masa kepada gerakan-gerakan ini untuk menyebarkan propaganda dan naratif bio-terorisme menerusi Internet untuk menarik perhatian orang awam dengan perjuangan mereka. Kumpulan-kumpulan radikal turut mengambil peluang ini untuk mengumpul pengikut dan merekrut anggota baharu. Antara propaganda gerakan-gerakan pengganas dan ekstremis ini:

  • Daesh – Daesh menggunakan propaganda COVID-19 sebagai Tentera Allah dalam memanipulasi aspek jihad bagi menggalakkan pengikut dan rangkaiannya terus melakukan serangan keganasan di negara masing-masing serta mensasarkan orang bukan Islam.
  • Al-Qaeda – Naratif COVID-19 oleh Al-Qaeda ditujukan kepada golongan bukan Islam dengan menyebarkan gesaan agar mereka mempelajari dan mendalami ajaran Islam semasa situasi lockdown.
  • Gerakan Ekstremis – Gerakan berhaluan kanan, Fasisme ataupun White Supremacist menggunakan platform Chatrooms dalam membincangkan topik bio-terorisme. Mereka juga mencetuskan sentimen rasisme melalui teori konspirasi ‘Great Replacement’ dengan menuduh virus COVID-19 dibawa oleh rakyat China, Yahudi dan masyarakat Asian khususnya golongan imigran di barat.

Adakah Bio-Terrorisme Benar-Benar Menjadi Ancaman?

Walaupun fenomena ini amat membimbangkan, namun, persoalannya adalah sejauhmanakah rangkaian pengganas dan gerakan ekstremis ini berpotensi memiliki dan menghasilkan senjata bio-terorisme di era ini untuk melakukan serangan dan keganasan yang boleh memberi implikasi ke atas sesebuah negara? Penilaian-penilaian berikut memberi perspektif berikut:

  • Kempen War on Terror. Inisiatif bio-terorisme oleh rangkaian pengganas seperti Al-Qaeda dan Daesh sememangnya pernah dirancang kedua-dua organisasi pengganas ini. Idea bio-terorisme Al-Qaeda mula dikesan dalam perancangan kumpulan ini sejak tahun 1999 lagi. Namun, ia masih gagal dibangunkan ekoran kempen War on Terror oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas rangkaian kumpulan ini di Afghanistan pada tahun 2003. Manakala, ramai pengikut dan anggota rangkaiannya juga ditangkap dan terbunuh dalam kempen ini yang menyebabkan objektif bio-terorisme Al-Qaeda masih gagal dijayakan sehingga kini.
  • Kemampuan Kepakaran dan Teknologi Yang Terhad. Kekangan untuk mendapatkan kepakaran bagi mengendalikan agen merbahaya bio-kimia ini juga menggagalkan kemampuan rangkaian pengganas. Sebagai contoh, pada tahun 2017, militan Daesh gagal dalam ujian bio-terorisme jenis Risin ke atas tahanannya walaupun ujian tersebut berjaya membunuh tikus makmal. Selain itu, teknologi yang terhad juga menjadi cabaran untuk rangkaian pengganas dalam menghasilkan agen-agen bio-terorisme ini kerana kebanyakan peralatan perubatan dan kajian berteknologi canggih ini hanya mampu dimiliki oleh sesebuah negara disebabkan kos pembelian dan penyelenggaraan yang sangat tinggi. Kumpulan-kumpulan pengganas seperti Daesh dan Al-Qaeda masih berkebolehan mendapatkan akses kepada kemudahan dan teknologi bio-kimia ini dengan cara merekrut pengikut yang mempunyai akses atau bekerja di fasiliti-fasiliti kerajaan.
  • Risiko Pengendalian Yang Memudaratkan. Virus-virus penyakit seperti SARS dan COVID-19 adalah amat memudaratkan manusia yang sehingga kini tiada vaksin untuk merawatnya. Malahan, pengendalian patogen-patogen virus yang mudah berjangkit seperti smallpox, Ebola dan Lassa juga berisiko tinggi yang mana kemampuan pencegahan dan pengendalian hanya boleh dilakukan oleh sesebuah negara kecuali Antraks yang boleh dikendalikan oleh rangkaian pengganas.
  • Potensi Ancaman Bio-terorisme Yang Rendah Namun Tidak Boleh Diabaikan. Setakat ini, potensi ancaman bio-terorisme adalah rendah kerana kekangan-kekangan tersebut. Meskipun rangkaian pengganas dan gerakan ekstremis berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut, adalah amat penting untuk tidak mengambil mudah dan mengabaikan potensi ancaman ini. Gerakan-gerakan pengganas berupaya melakukan apa sahaja cara bagi mendapatkan akses kepada bio-terorisme demi kelangsungan modus operandi mereka.  Pada ketika ini, pengikut Daesh aktif membincangkan topik ini di media sosial dan memberi fokus kepada agen Bubonic Plague yang boleh disebarkan melalui bakteria. Langkah berwaspada dan pemantauan berterusan perlu dilakukan sewajarnya ke atas perkembangan ini untuk mengelak rangkaian pengganas seperti Daesh, Al-Qaeda dan gerakan ekstremis lain daripada mengambil peluang yang berpihak kepada mereka untuk melancarkan serangan bio-terorisme.

Ancaman bio-terorisme oleh rangkaian pengganas dan gerakan ekstremis masih berada di tahap rendah disebabkan keupayaan serta akses mereka yang terhad namun tidak mustahil. Publisiti yang meluas tentang ancaman ini sebenarnya merupakan satu langkah berjaga-jaga yang harus diberi perhatian serius. Ini termasuk persediaan rapi dari segi pemantauan, saringan kakitangan yang bekerja di fasiliti-fasiliti bio-kimia milik kerajaan, pencegahan dan langkah tindakbalas sekiranya berhadapan dengan situasi bio-terorisme kelak. Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin serta Konvensyen Senjata Kimia 1975 adalah platform ataupun mekanisme untuk menangani ancaman bio-terorisme serta ancaman WMD di peringkat global. Menjadi tanggungjawab sesebuah negara untuk terus memantau potensi ancaman bio-terorisme ini selaras dengan UN Security Council Resolution 1540.

Posted in Analisis and tagged , , , , , , , , , .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *